SIRI 197
KEWAJIPAN AMAL SYARI'AT DAN TORIQAT RASULULLAH ﷺ
بِسْــــــــــــــــــمِ ﷲ الرَّحْمَنِ الرحيم
اَلسَّلاَمُ عَلَيْكُمْ وَرَحْمَةُ اللهِ وَبَرَكَاتُهُ
Bab 4: Tingkatan Iman
Fasal 3: Iman Orang Awam
Fakta-fakta Iman Orang Awam
sambungan....
Fakta 7: Amat sukar mendapat Ikhlas dalam Solat
Orang awam amat sukar mendapat Ikhlas dalam Solat serta ibadah lain. Niat mereka bercampur-campur ketika melakukan Ibadah. Setengah mereka beribadah untuk kesihatan badan mereka. Setengah beribadah kerana ingin murah rezeki. Setengah beribadah kerana harapkan pujian makhluq. Setengah beribadah kerana riya.
Firman Allah:
وَمَآ أُمِرُواْ إِلاَّ لِيَعْبُدُواْ اللَّهَ مُخْلِصِينَ لَهُ الدّينَ
Pada hal mereka tidak diperintahkan melainkan supaya menyembah Allah dengan mengikhlaskan ibadat kepada-Nya.
[Al-Bayyinah (98) : Ayat 5]
Rasulullah ﷺ bersabda:
"Sesungguhnya Allah tidak akan menerima amal kecuali amal yang dilaksanakan dengan ikhlas dan dilakukan semata-mata untuk mengharap redha Allah.
[Imam Abu Daud, Imam An-Nasa'i]
Kemudian ada lagi orang-orang yang keluar dari sifat tercela dan semata-mata beribadah kerana Allah tetapi mereka terhalang oleh syirik khafi (syirik tersembunyi).
Tiga Tingkatan Ikhlas orang awam
(1) Melakukan amal ibadah dengan qasad (niat) semata-mata kerana Allah, tetapi pada masa yang sama mempunyai cita-cita di dalam hatinya kepada kesenangan syurga berupa bidadari, mahligai indah-indah dan segala macam makanan enak dan hiburan syurga.
(2) Melakukan solat (dan juga ibadah lain) dengan qasad (niat) semata-mata kerana Allah dan tidak mempunyai cita-cita di dalam hatinya (tiada menuntut hatinya) kepada syurga dan segala kesenangannya. Tetapi hamba ini melihat kemampuan dirinya melakukan amal ibadah (disebut keakuan diri).
(3) Melakukan amal ibadah dengan qasad (niat) semata-mata kerana Allah, tidak mempunyai cita-cita kepada kesenangan syurga, tidak melihat kemampuan dirinya melakukan amal ibadah, tetapi dia merasakan dirinya sudah ikhlas.
Inilah 3 tingkatan ikhlas orang awam, (iaitu mereka yang tidak melalui jalan Ma'rifat Ketuhanan).
Tingkatan yang ke-3 lebih baik daripada tingkatan ke-2 dan tingkatan pertama. Tingkatan ke-2 lebih baik dari tingkatan awal.
Pada sisi Fiqh, ketiga-tiga bentuk "ikhlas awam" ini adalah sah, yakni sah amal ibadahnya dan terlepas daripada _taklif syara_' (kewajipan sebagai mukallaf). Namun apabila direnungi pada sisi tasawwuf, ketiga-tiga bentuk ikhlas ini masih belum bebas sepenuhnya daripada "mempersekutukan" Allah. Ini kerana menuntut selain wajah Allah di dalam ibadah adalah suatu bentuk "kesyirikan yang halus" kepada Ketuhanan — syirik khafi.
Sebagaimana kami sebut beberapa kali sebelum ini, kepayahan dalam memperoleh ikhlas bukan sahaja terkena pada orang jahil atau orang yang sedikit ilmu sahaja, tetapi juga kepada Profesor dan PhD dan Drs dan lain-lain peringkat sarjana atau bergelar Ulama alim fiqh sekalipun!
Berikut adalah pengakuan Imam Ghazali sendiri di dalam Kitab Beliau Munqiz Min-Ala-Dhalal, ketika beliau masih di peringkat Ulama fekah:
Berkata Imam Ghazali Radhiallahu Anhu
“Aku lihat diriku tenggelam dalam samudera godaan dan rintangan. Segala pekerjaanku dan yang terbaik ialah mengajar dan mendidik kutinjau sedalam-dalamnya. Jelas, aku sedang memperhatikan beberapa ilmu yang tidak penting untuk perjalanan ke akhirat. Apa niat dan tujuanku dengan mengajar dan mendidik, nyatalah tidak sebenarnya ikhlas yang murni kerana Allah Ta'ala, melainkan dicampuri oleh pengaruh ingin kepada kedudukan dan kemasyhuran. Maka terasalah kepadaku bahawa aku sedang berdiri di pinggir jurang yang curam, di atas tebing yang hampir gugur. Aku akan jatuh ke neraka jika tidak segera merubah sikap".
[Munqiz Min-Adh-Dholal]
Bersambung siri 198 اِ نْ شَآ ءَ اللّهُ
_______________________________
MAJLIS TAZKIRAH JILANI
🌳🍁🕌🕌🕌🍁🌳
No comments:
Post a Comment