SIRI 190
KEWAJIPAN AMAL SYARI'AT DAN TORIQAT RASULULLAH ﷺ
بِسْــــــــــــــــــمِ ﷲ الرَّحْمَنِ الرحيم
اَلسَّلاَمُ عَلَيْكُمْ وَرَحْمَةُ اللهِ وَبَرَكَاتُهُ
Bab 4: Tingkatan Iman
Fasal 1: Pengenalan
Pengenalan — Iman
Pernahkah kalian terfikir apakah unsur terpenting yang membezakan orang yang mempunyai Iman dengan orang yang tidak memilikinya? Pernahkah kalian terfikir apakah perkara pokok yang membezakan orang beriman dengan orang kafir?
Adakah kalian sedar Iman adalah perkara terpenting dalam hidup manusia?
Adakah kalian sedar orang yang memiliki Iman yang sebenar telah memiliki segalanya dan
orang yang tiada Iman telah hilang segalanya?
Adakah kalian sedar wujudnya berbagai tingkatan kekufuran iaitu : orang yang terang-terang tidak beriman (kafir), ada yang Imannya pura-pura (munafiq) ada yang Imannya ghurur (tertipu) dengan ajaran-ajaran sesat (72 golongan).
Pernahkah kalian renungi makna Iman menurut Ahlus Sunnah?
Adakah kalian sedar wujudnya orang yang beriman dengan Iman yang benar dan orang yang palsu Imannya?
Adakah kalian mengetahui tanda-tanda orang beriman?
Adakah kalian sedar wujud tingkatan-tingkatan Iman?
Adakah kalian sedar wujud tingkatan Iman orang awam dan Tingkatan Iman orang Salikin yang menuju Allah dan Iman Arifin?
Adakah kalian tahu perbezaan-perbezaannya?
Pernahkah kalian terfikir apakah haqiqat Iman?
Adakah kalian mengetahui Iman yang benar dan haqiqat Iman hanya diperoleh oleh Salikin yang mujahadah pada Jalan Allah — Jalan Ma'rifat?
Iman, Tauhid, Ma'rifat
Ungkapan Iman, Tauhid, Ma'rifat dan juga beberapa ungkapan yang berkaitan seperti Aqidah, Yaqeen, Mengenal Allah dan lain-lain boleh jadi mengelirukan bagi kebanyakan orang awam. Bahkan Salikin yang baru mula mujahadah juga akan mendapati kepayahan di dalam mencernakannya dengan tertib.
Di sini kita cuba berikan panduan awal secara ringkas.
Ungkapan Iman, Tauhid, Ma'rifat mempunyai hantaran maksud yang sama, iaitu merujuk kepada "Suatu kepercayaan teguh di dalam hati akan kewujudan Allah, Tuhan Yang Maha Esa yang tiada sekutu baginya, Tuhan yang Menciptakan sekalian makhluq dan Maha Mentadbir menurut Kehendak-Nya, Tuhan Yang Maha Kuasa dan Maha Perkasa atas setiap sesuatu, Dia Menggerakkan sekalian planet, bumi, matahari, bulan dan bintang-bintang. Dia menjadikan Lautan dan biarkan bahtera belayar di atasnya. Dia menciptakan manusia, jinn dan pohonan dan biarkan mereka menikmatinya sampai waktu yang ditentukan. Dialah Tuhan yang Maha Agung, Istiwa di atas 'Arasy tanpa kaifiyyat dan bentuk, yang tiada umpama sesuatu sepertinya, Dia Yang Maha Menaungi sekalian Ciptaan-Nya."
Perbezaan antara ketiga-tiga istilah ini adalah :
Kaedah pendekatan dan cara huraian dari sudut ilmiah yang berbeza-beza bersesuaian dengan bentuk-bentuk kefahaman aqal manusia dan bentuk-bentuk tahqiq di dalam hati seseorang yang beriman.
Haqiqat Iman, Tauhid, Ma'rifat
Sesungguhnya Haqiqat Iman adalah "Cahaya Ketuhanan" di dalam hati. Iman bukan sekadar ungkapan atau pengakuan semata-mata. Iman bukan teori-teori tentang Ketuhanan. Iman tidak terhasil dari hafalan, diskusi, seminar, perdebatan... sebaliknya Iman adalah Rahsia Ketuhanan yang bersemi di dalam dada seorang hamba Allah yang dibukakan mata hati bagi mengenal-Nya dengan pandangan yang nyata benar.
Kepercayaan yang teguh dalam hati itu pula bukan suatu andaian, bukan sangkaan, bukan keraguan tetapi suatu keyakinan teguh dari penglihatan mata hati.! Orang yang benar-benar beriman menghayati dengan hati dan ruh akan kewujudan Allah dan sekalian yang ghaib. Mereka melihat Allah dari dalam hati.
Bersambung siri 191 اِ نْ شَآ ءَ اللّهُ
_______________________________
MAJLIS TAZKIRAH JILANI
🌳🍁🕌🕌🕌🍁🌳
No comments:
Post a Comment