Wednesday, April 08, 2026

SIRI 183


KEWAJIPAN AMAL SYARI'AT DAN TORIQAT RASULULLAH ﷺ



بِسْــــــــــــــــــمِ ﷲ الرَّحْمَنِ الرحيم

اَلسَّلاَمُ عَلَيْكُمْ وَرَحْمَةُ اللهِ وَبَرَكَاتُهُ


Bab 3: Sistem Tarbiyyah dan Tazkiyyah Jalan Ma'rifat


Fasal 8:  Proses Penyucian Hati

sambungan....



Setiap murid pada jalan Ma’rifat dilatih menempuh mujahadah melawan segala nafsu-nafsu jahat dan bisikan syaitan yang sentiasa menariknya kepada kefasikan, penyelewengan, kesesatan dan kekafiran.  Setelah seseorang salikin menempuh perjalanan yang jauh dan mencabar ini, dengan pimpinan Mursyid, Pewaris Nabi yang Siddiq, sehingga berjaya di dalam mujahadahnya, maka inilah Langkah permulaan bagi memperoleh Keimanan sejati atau Tauhid yang hakiki.  Inilah keberuntungan dan kemenangan terbesar. 


Firman Allah:


قَدۡ أَفۡلَحَ مَن زَكَّٮٰهَا   وَقَدۡ خَابَ مَن دَسَّٮٰهَا

“Sesungguhnya beruntunglah orang yang menyucikan jiwa itu dan merugilah orang yang mengotorinya”

[Asy-Syams (91) : Ayat 9-10] 


Ayat Allah ini dengan tegas menyebut bahawa orang yang beruntung adalah mereka yang menyucikan jiwanya dan sebaliknya orang yang membiarkan hatinya di dalam kekotoran, maka menemui kerugian.


Firman Allah:


هُوَ ٱلَّذِى بَعَثَ فِى ٱلۡأُمِّيِّـۧنَ رَسُولاً۬ مِّنۡہُمۡ يَتۡلُواْ عَلَيۡہِمۡ ءَايَـٰتِهِۦ وَيُزَكِّيہِمۡ وَيُعَلِّمُهُمُ ٱلۡكِتَـٰبَ وَٱلۡحِكۡمَةَ وَإِن كَانُواْ مِن قَبۡلُ لَفِى ضَلَـٰلٍ۬ مُّبِينٍ۬


“Dia-lah yang mengutus kepada kaum yang buta huruf seorang Rasul di antara mereka, yang membacakan Ayat-ayat-Nya kepada mereka, menyucikan mereka dan mengajarkan kepada mereka Kitab dan Hikmah (Ilmu rahsia dan pengetahuan mendalam).  Dan sesungguhnya mereka sebelumnya benar-benar dalam kesesatan yang nyata.”

[Al-Jumu’ah (62) : Ayat 2]


Inilah matlamat sekalian Anbiya dan Mursalin yang diutuskan ke muka bumi, iaitu mendidik jiwa manusia supaya tunduk kepada Allah dengan cara menyucikan batin mereka.  Maka inilah juga yang diwarisi oleh sekalian Mursyid Pewaris Nabi yang Siddiq. 


Jika kamu perhatikan dari dalam hati yang murni, maka kamu akan mendapat jawapan kepada tujuan Rasul dan Nabi diutuskan oleh Allah ke muka bumi, yang ini selalu disebut-sebut sebagai menyeru kepada Mentauhidkan Allah. Sesungguhnya proses untuk Mentauhidkan Allah bermula dari penyucian hati, iaitu suci hati daripada syirik khafi (dalam hati), mazmumah, ghaflah dan aghyar.  Ertinya seseorang Islam tidak akan menjadi orang yang benar-benar beriman dan Mentauhidkan Allah sebelum dia menyucikan hatinya daripada segala kekotoran hatinya.  Cahaya Tauhid tidak akan masuk ke dalam hati yang di dalamnya bersarang Syirik yang tersembunyi, mazmumah dan kekotoran ma’nawiyyah yang lain.


Tanpa melalui proses penyucian hati yang telah dilaksanakan oleh Junjungan Besar Rasulullah  ﷺ, yang kemudian diwarisi turun- temurun oleh sekalian Masyaikh Ahlus Sunnah (Mursyid, Ahli Sufi, Ahli Ma'rifat, Warisatul Anbiya yang sebenar) manusia Muslim tidak akan mencapai Keimanan Sejati atau Tauhid yang hakiki atau Ma'rifat yang suci murni ; iaitu tanpa sungguh-sungguh berusaha menyucikan hati dan sungguh-sungguh mujahadah melawan sekalian nafsu-nafsu kejahatan sehingga tumpas semuanya dan terus-menerus berzikir sehingga hatinya bersinar dengan cahaya Rabbaniyyah dengan pimpinan Mursyid Pewaris Nabi yang Siddiq, maka tidak mungkin seseorang muslim memperoleh Keimanan sejati atau Tauhid yang suci murni.  Mereka tetap akan berada di dalam tingkatan keimanan orang awam yang bergelumang dengan kekeruhan hati, kekejian dan sifat nifaq.  Wal Iyazubillah.


Bersambung siri 184 اِ نْ شَآ ءَ اللّهُ

_______________________________ 

     MAJLIS TAZKIRAH JILANI     

           🌳🍁🕌🕌🕌🍁🌳

No comments:

Post a Comment

MENCARI MURSYID PEWARIS NABI YANG SEBENAR - FASAL 9

 بِسْــــــــــــــــــمِ ﷲ الرَّحْمَنِ الرحيم اَلسَّلاَمُ عَلَيْكُمْ وَرَحْمَةُ اللهِ وَبَرَكَاتُهُ FASAL 9: SISTEM TARBIYYAH dan TAZKIYYAH...