SIRI 154
KEWAJIPAN AMAL SYARI'AT DAN TORIQAT RASULULLAH ﷺ
بِسْــــــــــــــــــمِ ﷲ الرَّحْمَنِ الرحيم
اَلسَّلاَمُ عَلَيْكُمْ وَرَحْمَةُ اللهِ وَبَرَكَاتُهُ
Bab 3: Sistem Tarbiyyah dan Tazkiyyah Jalan Ma'rifat
Fasal 5: Keistimewaan Mursyid, Pemimpin Jalan Ma'rifat
sambungan....
Ahli-ahli politik ini menamakan diri mereka sebagai “Khalifah”, “Amirul Mu’minin” atau lain-lain yang sedap didengari tetapi mereka memerintah dengan kezaliman dan kefasikan. Mereka habiskan masa berfoya-foya dengan muzik, wanita, arak dan lain-lain yang jelas berlawanan dengan sifat-sifat pemimpin Islam yang diamanahkan oleh Rasulullah ﷺ.
Wal Iyazubillah.
Inilah sebabnya sekalian Mursyid Pewaris Nabi yang Siddiq menjauhkan diri dari Sultan-sultan yang zalim dan “Ulama As-su” ini. Mereka membentuk Sistem dan Peradaban sendiri menepati Kehendak Allah dan Rasul-Nya yang kemudian dinamakan “Jalan Ma’rifat”.
Sesungguhnya Jalan Ma’rifat inilah Manhaj Ahlus Sunnah Wal Jama’ah yang benar, yang menjadi pegangan sekalian Masyaikh Ahlus Sunnah sepanjang zaman. Dari Jalan suci inilah lahirnya Mursyid Pewaris Nabi yang terdiri dari berbagai disiplin Ilmu - Ahli Tafsir, Ahli Hadith bahkan sekalian Mujtahid dan Mujaddid, kesemua ulama Pilihan Allah ini adalah lahir dari Institusi Mursyid, Madrasah Ahli Sufi, Jalan Ma’rifat. Ertinya sekalian Mufassir dan Muhaddith dan juga Mujtahid dan Mujaddid adalah juga merupakan Mursyid Pewaris Nabi yang Siddiq. Mereka juga Ahli Sufi dan Ahli Ma’rifat yang tinggi.
Jika kamu benar-benar memahami apa yang kami perkatakan ini, kamu akan melihat jurang perbezaan yang amat luas antara Sistem Pendidikan Mursyid Pewaris Nabi yang Siddiq ini dengan Sistem-sistem buatan manusia berdasarkan aqal pemikiran semata-mata tanpa Petunjuk Allah ke dalam hati mereka. Meskipun mereka yang membuat berbagai sistem moden ini terdiri dari pakar-pakar - “alim fiqh” atau “pakar motivasi” atau “pakar psikologi” dan sebagainya, mereka akan sentiasa gagal. Mereka takkan mampu membangunkan insan-insan bertaqwa sebagaimana dibangunkan oleh Mursyid Pewaris Nabi yang Siddiq yang mewarisi Rasulullah ﷺ.
Bahkan bijak pandai yang cuba mencipta sistem-sistem moden itu sendiri pun bergelumang dengan berbagai penyakit hati. Mereka bergelar “Ustaz”, “Muallim”, “Kiyai”, “Professor” dan sebagainya mengajar manusia berkenaan kesucian hati, Ikhlas, khusyu’ dan nilai-nilai kesucian yang lain, namun mereka sendiri bergelumang dengan berbagai kesyirikan - syirik khafi, mazmumah, ghaflah, aghyar. Mereka sendiri tidak “ikhlas” di dalam erti kata yang sebenar. Mereka sendiri lalai di dalam mengerjakan Solat dan ibadah lain. Maka mana mungkin mereka mencipta jalan untuk sucikan hati dan mencapai nilai-nilai murni sebagaimana tuntutan Allah?
Hal yang kami gambarkan di atas adalah contoh keadaan yang telah dialami oleh Hujjatul Islam Imam Ghazali sebelum beliau masuk ke Jalan Ma’rifat sebagaimana kami kisahkan di dalam lembaran-lembaran terdahulu. Meskipun beliau menjadi Guru Besar Universiti Nizamiyyah dan terkenal sebagai Ulama Besar dunia, namun beliau belum mampu Ikhlas di dalam melakukan ketaatan kepada Allah dan tak mampu khusyu’ di dalam solat beliau. Sehingga beliau meninggalkan segala kebesaran beliau dan masuk kepada Jalan Ma’rifat, merendahkan diri berkhidmat kepada Mursyid beliau selama 11 tahun, barulah beliau mencapai Keimanan dan Ketaqwaan sejati, sebagaimana kami kisahkan sebelum ini.
Bersambung siri 155 اِ نْ شَآ ءَ اللّه
___________________________
MAJLIS TAZKIRAH JILANI
🌳🍁🕌🕌🕌🍁🌳
No comments:
Post a Comment