SIRI 141
KEWAJIPAN AMAL SYARI'AT DAN TORIQAT RASULULLAH ﷺ
بِسْــــــــــــــــــمِ ﷲ الرَّحْمَنِ الرحيم
اَلسَّلاَمُ عَلَيْكُمْ وَرَحْمَةُ اللهِ وَبَرَكَاتُهُ
Bab 3: Sistem Tarbiyyah dan Tazkiyyah Jalan Ma'rifat
Fasal 1: Pengenalan
sambungan....
Sebelum kami jelaskan hal tersebut, setiap orang Islam wajib memahami bahawa Sistem Warisan Rasulullah ﷺ ini jauh berbeza dengan Sistem Pendidikan yang dikenali oleh manusia dari Timur maupun Barat, kuno atau moden, orang ‘Arab atau ‘Ajam. Termasuk di dalam perkataan kami ini adalah golongan cerdik pandai Agama yang moden atau Pemimpin berbagai Jemaah Islam yang mencipta Sistem Pendidikan baru, namun semuanya gagal membentuk jiwa-jiwa manusia yang bertaqwa. Sebaliknya sekalian sistem yang mereka cipta melahirkan manusia-manusia angkuh, megah, cinta dunia, cinta pangkat dan kedudukan, utamakan nafsu kepentingan diri. Sistem ini juga melahirkan Ahli politik dan Pemimpin-pemimpin yang rakus, tamak, gemar fitnah memfitnah, adu domba sehingga bunuh berbunuhan kerana menagih pangkat, kedudukan dan kemewahan dunia.
Ketahuilah,
Sistem Warisan Rasulullah ﷺ yang ada pada tangan Mursyid Pewaris Nabi yang Siddiq adalah satu-satunya Sistem Rabbani yang sempurna bagi membangunkan jiwa manusia yang benar-benar Taqwa dan membangunkan Masyarakat dan Negara yang di-Redhai Allah. Sekalian Masyaikh Ahlus Sunnah yang mewarisi Nabi ﷺ mengakui hakikat ini.
Di antara fatwa Ulama Mu’tabar yang sangat masyhur dan menarik adalah kata-kata Imam Ghazali Radhiallahu Anhu. Beliau menempuh sendiri jalan orang awam kemudian Jalan Ma’rifat dan bersuluk selama 11 tahun.
Fatwa beliau amat terkenal di kalangan Ulama Ahlus Sunnah kerana beliau telah menempuh dua fasa kehidupan dan perjuangan:
Fasa Pertama:
Kehidupan dan Sistem Pendidikan awam, iaitu berdasarkan pemikiran manusia.
Fasa Kedua:
Kehidupan dan Sistem Pendidikan khusus berdasarkan Jalan Ma’rifat Warisan Rasulullah ﷺ.
Pada fasa awal perjuangan hidup, beliau sudah terkenal sebagai Ulama Besar, memegang jawatan sebagai Rektor Universiti Nizamiyyah, Baghdad. Pelajar-pelajar dari seluruh dunia datang belajar dengan beliau. Nama beliau harum di kalangan Ummat sebagai Ulama terulung.
Ketika nama beliau dijulang tinggi setinggi-tingginya, berlaku suatu keadaan luar biasa di dalam kehidupan beliau. Beliau merasakan apa saja yang beliau sedang lakukan (mendidik dan mengajar manusia) adalah dipenuhi dengan riya’ dan bercita-cita kepada dunia, bukan kerana Allah, ertinya tidak ikhlas. Begini pengakuan beliau sendiri:
Berkata Imam Ghazali Radhiallahu Anhu:
“Aku lihat diriku tenggelam dalam samudera godaan dan rintangan. Segala pekerjaanku dan yang terbaik ialah mengajar dan mendidik kutinjau sedalam-dalamnya. Jelas, aku sedang memperhatikan beberapa ilmu yang tidak penting untuk perjalanan ke akhirat. Apa niat dan tujuanku dengan mengajar dan mendidik, nyatalah tidak sebenarnya ikhlas yang murni kerana Allah Ta'ala, melainkan dicampuri oleh pengaruh ingin kepada kedudukan dan kemasyhuran. Maka terasalah kepadaku bahawa aku sedang berdiri di pinggir jurang yang curam, di atas tebing yang hampir gugur. Aku akan jatuh ke Neraka jika tidak segera merubah sikap. "
[Munqiz Min-Adh-Dholal]
Amat menghairankan!
Bersambung siri 142 اِ نْ شَآ ءَ اللّه
____________________________
MAJLIS TAZKIRAH JILANI
🌳🍁🕌🕌🕌🍁🌳
No comments:
Post a Comment