Thursday, March 12, 2026

SIRI 131


KEWAJIPAN AMAL SYARI'AT DAN TORIQAT RASULULLAH ﷺ



بِسْــــــــــــــــــمِ ﷲ الرَّحْمَنِ الرحيم

اَلسَّلاَمُ عَلَيْكُمْ وَرَحْمَةُ اللهِ وَبَرَكَاتُهُ


Bab 2: Syari'at dan Toriqat Rasulullah ﷺ

Fasal 11: Punca kesesatan orang awam dan salikin


Punca 5: Bersekutu dengan Jinn syaitan


Poin 15: Contoh-Contoh Iblis menarik kepada kefasikan

sambungan....


Contoh 6:  Jatuh Fasiq kerana abaikan Toriqat (Tasawwuf)

sambungan.....


(5) Tidak dapat mendirikan solat dengan khusyu’ sedangkan Allah Ta'ala memerintahkan khusyu’ ketika menghadap-Nya, ertinya wajib khusyu' di dalam solat kerana  ianya merupakan sebahagian dari tanda-tanda orang beriman.  Cara-cara untuk mencapai darjat khusyu' yang sebenar yang terbit dari hati yang suci dan automatik, tanpa memaksa-maksa diri hanya ditunjukkan di dalam Toriqat.  Ilmu fiqh atau ilmu lain tidak mengajar cara khusyu' dan tadharru' ketika solat.


(6) Tidak akan memperoleh ikhlas yang hakiki, yang pada hakikatnya adalah Tauhid Mengesakan Allah Ta'ala dari dalam hati.  Ikhlas yang hakiki hanya akan terbit dari hati yang telah disucikan.  Dan ini hanya akan diperoleh melalui latihan-latihan intensif Toriqat Rasulullah ﷺ.


(7) Tidak akan memperoleh Tauhid yang bersih dan Taqwa yang diwajibkan.  Cara-cara memperoleh Tauhid yang suci bersih (Ma'rifat mengenal Allah dengan sebenarnya) dan Taqwa yang sejati hanya akan diperoleh dengan mematuhi sekalian Adab dan Disiplin Toriqat yang warid dari Junjungan Rasulullah ﷺ.   Tauhid yang suci murni tidak akan diperoleh dengan ilmu teori atau melalui perdebatan Ilmu Kalam.  Tauhid yang diperoleh oleh pakar debat Ilmu Kalam sekalipun hanyalah Tauhid pada batas aqal yang diliputi waham dan zonn.  Mereka akan sentiasa diliputi keraguan akan Af'al, Asma', Sifat dan Zat Allah Ta'ala.  Mereka takkan mampu mencapai Tauhid yang hakiki dari dalam hati kerana hati mereka masih dipenuhi zulmah dan selaput hijab basyariah.


Inilah sebahagian dari perkara-perkara UTAMA yang menyebabkan seseorang Muslim jatuh kepada kefasikan akibat meninggalkan Toriqat Rasulullah ﷺ  yang sahih.


Memang benar tidak semua yang membawa nama "Toriqat"  itu benar, sebahagian kecil darinya adalah Toriqat PALSU, dipimpin oleh Guru PALSU.   Oleh kerana inilah sekalian Masyaikh Ahlus Sunnah telah berikan amaran awal-awal lagi akan wujudnya kumpulan-kumpulan keruhanian sesat yang mengaku Toriqat Rasulullah ﷺ sedangkan mereka hanya pendusta Agama.  Masyaikh Ahlus Sunnah sejak dahulu lagi telah meletakkan syarat-syarat Toriqat yang sahih dan syarat-syarat Mursyid yang Siddiq yang memimpin Toriqat tersebut. 


Syarat sesebuah Toriqat Mu'tabar yang sahih dari Rasulullah ﷺ  dan syarat-syarat serta tanda-tanda mengenal Mursyid yang Siddiq (Pewaris Nabi yang sebenar)  telah pun kami huraikan secara panjang lebar di dalam Risalah-risalah kami sebelum ini.  Antaranya risalah bertajuk: 


"Kewajipan Amalkan Syari'at dan Toriqat Rasulullah  ﷺ"   


"Tingkatan Iman, Tauhid, Ma'rifat"  


"Keutamaan Bai'at menurut Ahlus Sunnah"


Bersambung siri 132 اِ نْ شَآ ءَ اللّه

____________________________

MAJLIS TAZKIRAH JILANI

   🌳🍁🕌🕌🕌🍁🌳

No comments:

Post a Comment

SIRI 140 KEWAJIPAN AMAL SYARI'AT DAN TORIQAT RASULULLAH ﷺ بِسْــــــــــــــــــمِ ﷲ الرَّحْمَنِ الرحيم اَلسَّلاَمُ عَلَيْكُمْ وَرَحْمَة...