SIRI 114
KEWAJIPAN AMAL SYARI'AT DAN TORIQAT RASULULLAH ﷺ
بِسْــــــــــــــــــمِ ﷲ الرَّحْمَنِ الرحيم
اَلسَّلاَمُ عَلَيْكُمْ وَرَحْمَةُ اللهِ وَبَرَكَاتُهُ
Bab 2: Syari'at dan Toriqat Rasulullah ﷺ
Fasal 11: Punca kesesatan orang awam dan salikin
Punca 5: Bersekutu dengan Jinn syaitan
sambungan...
Poin 15: Contoh-Contoh Iblis menarik kepada kefasikan
sambungan....
Definisi fasiq:
Dari segi Bahasa:
Fasiq berasal dari kata ( فَسَقَ) "fasaqa" bererti keluar dari sesuatu, menyimpang dari jalan lurus, keluar dari keta'atan, ingkar sumpah, melanggar peraturan, ma'siat, penderhakaan.
Dari segi Istilah:
Fasiq adalah keluar dari keta'atan kepada Allah, lupa ikrar janji setia kepada Allah, ingkar kepada Perintah Allah, kufur Ni'mat, melawan hukum-hakam Allah akibat terikut nafsu dan bisikan iblis.
Menurut Ahli Ma’rifat seseorang dikatakan fasiq apabila dia melakukan dosa besar walaupun sekali atau dia kekalkan dosa kecil tanpa melakukan Taubat Nasuha. Jika dia melakukan dosa besar berterusan tanpa Taubat Nasuha, maka ini lebih berat kerana hatinya akan gelap, kelam dan tertutup. Wal Iyazubillah.
Oleh kerana “Fasiq” dan “Kefasikan” berkait rapat dengan dosa, maka setiap Muslim WAJIB mempelajari hal-hal berkaitan dosa, pembahagian dosa, jenis-jenis dosa — dosa besar dan dosa kecil, dosa zahir dan dosa batin, dosa kepada Allah dan dosa sesama manusia. Demikian lagi wajib mengetahui cara-cara tipu daya iblis memasuki hati, memperdaya dia sehingga menjadikannya fasiq.
Pembahagian Dosa:
Ulama Ahlus Sunnah membahagikan dosa manusia kepada beberapa bahagian dan bentuk:
Pertama : Dosa besar dan dosa kecil
Kedua : Dosa zahir dan dosa batin
Ketiga : Dosa kepada Allah dan dosa sesama makhluq
Perbezaan dosa besar dan dosa kecil:
Dosa besar adalah setiap perbuatan yang diancam dengan Neraka atau diancam dengan Kemurkaan Allah atau dikenakan hukum tertentu pada Syara' yang didasarkan kepada Firman Allah atau Hadith Nabi ﷺ atau Ijma' Qias Ulama Mu'tabar. Setiap dosa besar menghampiri kesesatan atau kekafiran, maka WAJIB taubat segera dengan Taubat Nasuha.
Dosa kecil adalah setiap dosa yang berlawanan dengan Kehendak Allah tetapi tidak sampai ke tahap diancam dengan siksaan Neraka dan tidak dikenakan hukum tertentu seperti Hudud atau Ta'zir.
Dosa kecil menjadi dosa besar:
Dosa kecil boleh menjadi dosa besar yang membawa kepada kefasikan atas beberapa sebab.
Dosa-dosa kecil sering terjadi kepada semua orang Islam, namun setengahnya gugur dengan sebab wudhu, setengahnya akan gugur dengan melakukan kebajikan-kebajikan, setengahnya Allah Ta'ala kifaratkan dengan demam, kesakitan, kecederaan atau musibah-musibah lain. Namun sebahagian lagi tidak gugur melainkan dengan Taubat Nasuha. Jika seseorang sering melakukan dosa kecil tetapi tidak mahu Taubat, maka dia terheret kepada dosa besar dan ini membawa kepada fasiq.
Bersambung siri 115 اِ نْ شَآ ءَ اللّه
____________________________
MAJLIS TAZKIRAH JILANI
🌳🍁🕌🕌🕌🍁🌳
No comments:
Post a Comment