SIRI 105
KEWAJIPAN AMAL SYARI'AT DAN TORIQAT RASULULLAH ﷺ
بِسْــــــــــــــــــمِ ﷲ الرَّحْمَنِ الرحيم
اَلسَّلاَمُ عَلَيْكُمْ وَرَحْمَةُ اللهِ وَبَرَكَاتُهُ
Bab 2: Syari'at dan Toriqat Rasulullah ﷺ
Fasal 11: Punca kesesatan orang awam dan salikin
Punca 4: Melanggar Adab Ma'rifat
sambungan....
Poin 10: Makin tinggi Maqam makin halus adab:
Seseorang yang sudah mencapai kedudukan yang tinggi pada Jalan Ma'rifat wajib memelihara sekalian adab dengan teguh kerana sedikit kesilapan adab akan menjerumuskannya kepada kepincangan atau terus jatuh kepada kesesatan. Wal Iyazubilllah.
Poin 11: Adab Ibarat pagar:
Adab adalah diibaratkan seperti pagar yang memelihara sekalian amal ibadah seseorang. Seperti halnya pagar dengan dusun buah-buahan. Pagar melindungi sekalian hasil tanamannya berupa buah-buahan ranum dan enak daripada dimusnahkan oleh anasir perosak atau dicuri oleh manusia jahat.
Poin 12: Perbezaan antara adab (akhlaq) dengan pelajaran moral:
Orang Islam awam seringkali terkeliru di antara pemakaian istilah adab dengan pemakaian istilah moral. Perbezaan utama adab dengan moral, adab meliputi zahir dan batin manusia sedangkan moral adalah semata-mata pertimbangan zahir sahaja.
*Poin 13: Jalan Ma'rifat paling Tinggi adabnya:*
Jalan Ma'rifat adalah _Manhaj_ Rasulullah ﷺ yang paling tinggi disiplinnya dan paling kuat berpegang teguh kepada adab-adab. Jalan Ma'rifat mempunyai Prinsip tersendiri yang wajib diikuti oleh seluruh salikin yang inginkan kemenangan di negeri akhirat.
Poin 14: Berpegang teguh adab, elakkan kegelinciran:
Jalan Ma'rifat mempunyai Prinsip-prinsipnya yang tersendiri sebagaimana yang telah dihimpun dan dijelaskan oleh sekalian Masyaikh (jamak bagi Shaikh) — iaitu Ulama bertaraf Auliya Allah yang terdahulu. Mereka telah menjelaskan perkara pokok yang merupakan ADAB yang sangat besar pada Jalan Ma'rifat. Sekalian ADAB ini wajib difahami dan diikuti sungguh-sungguh agar tidak tergelincir di pertengahan jalan — mudah-mudahan termasuk janji Allah masuk syurga tanpa hisab.
Poin 15: Kunci keselamatan:
Sekalian Mursyid yang Siddiq (benar) sangat arif akan hal ini kerana merekalah pemimpin Ummat pada Jalan Ketuhanan dan Pemimpin bagi Ahlus Sunnah Wal Jamaah. Cogan kata muridin, salikin yang menempuh jalan Ma'rifat adalah dengar dan patuh, ertinya patuhi sekalian Prinsip Ma'rifat — ADAB pada jalan Ma'rifat:
Firman Allah :
وَقَالُوا سَمِعْنَا وَأَطَعْنَا
"dan mereka berkata: Kami dengar dan kami patuh"
[Al-Baqarah (2) : Ayat 285]
Dan telah masyhur dari kata-kata Ahli Ma'rifat:
"Sesiapa yang tidak beradab, tiada ilmu baginya walau dia alim sekalipun."
Bersambung siri 106 اِ نْ شَآ ءَ اللّه
____________________________
MAJLIS TAZKIRAH JILANI
🌳🍁🕌🕌🕌🍁🌳
No comments:
Post a Comment