■■■■■■■■■■■■■■■■■
PENYAKIT HATI
BAHAYA YANG TIDAK DISEDARI
(Siri 544)
■■■■■■■■■■■■■■■■■
بِسْــــــــــــــــــمِ ﷲ الرَّحْمَنِ الرحيم
اَلسَّلاَمُ عَلَيْكُمْ وَرَحْمَةُ اللهِ وَبَرَكَاتُهُ
Dosa besar 65:
Bermegah-megah
Berlumba mencari dunia
.... sambungan....
Contoh 3 :Bermewah-mewah dan megah dengan kekayaan tetapi bakhil — enggan belanja harta pada fi sabilillah
Setengah hartawan sanggup bermewah-mewah, rumah bungalow, kenderaan-kederaan mewah, serta habiskan duit ratusan ribu untuk hiburan dan bermegah-megah dengannya, namun sangat bakhil untuk membelanjakan sebahagiannya kepada fi sabilillah dan faqir miskin.
Firman Allah:
وَلاَ يَحْسَبَنَّ الَّذِينَ يَبْخَلُونَ بِمَآءَاتَاهُمُ اللهُ مِن فَضْلِهِ هُوَ خَيْرًا لَّهُمْ بَلْ هُوَ شَرُّ لَّهُمْ سَيُطَوَّقُونَ مَا بَخِلُوا بِهِ يَوْمَ الْقِيَامَةِ وَللهِ مِيرَاثُ السَّمَاوَاتِ وَاْلأَرْضَ وَاللهُ بِمَا تَعْمَلُونَ خَبِيرُُ
“Sekali-kali janganlah orang-orang yang bakhil dengan harta yang Allah berikan kepada mereka dari karunia-Nya menyangka, bahawa kebakhilan itu baik bagi mereka. Sebenarnya kebakhilan itu adalah buruk bagi mereka. Harta yang mereka bakhilkan itu akan dikalungkan di lehernya kelak pada hari Qiamat. Dan kepunyaan Allah-lah segala warisan (yang ada) di langit dan di bumi. Dan Allah mengetahui apa yang kamu kerjakan.”
[Ali Imran (3) : Ayat 180]
Contoh 4: Berlumba-lumba membina bangunan tinggi-tinggi
Pada hari ini berbagai negara Islam berlumba-lumba mendirikan bangunan paling tinggi di dunia. Pada pendapat mereka ia merupakan kebanggaan dan kemegahan Islam sedangkan ia adalah tanda-tanda kebinasaan.
Kisah kaum 'Aad
Ini adalah kisah kaum 'Aad yang leka, lalai, tenggelam di dalam kemewahan dan kekayaan dunia serta lupa kepada Allah, bermegah-megah dengan pembangunan negara yang serba maju, megah dengan kekuatan dan kekuasaan.... akhirnya menerima kebinasaan akibat kekafiran mereka. Wal Iyazubillah.
Kaum 'Aad adalah generasi keempat keturunan Nabi Nuh Alaihis Salam. Mereka tinggal di Jazirah 'Arab di bahagian utara Hadramaut, Yemen. Allah Ta'ala Mengurniakan kekayaan dan kemewahan melimpah ruah kepada kaum 'Aad. Mereka hidup senang-lenang dan makin lupa kepada Allah Ta'ala. Segala Ni'mat dunia berupa bangunan mewah, makanan yang mewah, kebun-kebun subur yang terbentang luas menjadikan mereka kufur. Akibatnya Allah Ta'ala menurunkan 'Azab yang berat dengan angin kencang yang amat sejuk melanda kaum 'Aad sehingga mereka mati bagaikan kayu yang reput.
Firman Allah:
وَأَمَّا عَادٌ۬ فَأُهۡلِڪُواْ بِرِيحٍ۬ صَرۡصَرٍ عَاتِيَةٍ۬ (٦) سَخَّرَهَا عَلَيۡہِمۡ سَبۡعَ لَيَالٍ۬ وَثَمَـٰنِيَةَ أَيَّامٍ حُسُومً۬ا فَتَرَى ٱلۡقَوۡمَ فِيہَا صَرۡعَىٰ كَأَنَّہُمۡ أَعۡجَازُ نَخۡلٍ خَاوِيَةٍ۬ (٧) فَهَلۡ تَرَىٰ لَهُم مِّنۢ بَاقِيَةٍ۬
"Adapun 'Aad (kaum Nabi Hud), maka mereka telah dibinasakan dengan angin ribut yang kencang, yang melampau kencangnya. Yang diarahkannya menyerang mereka tujuh malam lapan hari terus-menerus; (kalaulah engkau menyaksikannya) maka engkau akan melihat kaum itu bergelimpangan mati, seolah-olah mereka batang-batang pohon kurma yang (tumbang dan) lompong. Dengan yang demikian, dapatkah engkau melihat lagi sisa-sisa mereka (yang masih hidup)?”
[Al-Haqqah (69) : Ayat 6-8 ]
Rasulullah ﷺ bersabda:
وَأَنْ تَرَى الْحُفَاةَ الْعُرَاةَ الْعَالَةَ رِعَاءَ الشَّاءِ یَتَطَاوَلُوْنَ فِي الْبُنْیَانِ،
"Dan jika kamu melihat orang yang sebelumnya tidak beralas kaki dan tidak berpakaian, miskin dan penggembala domba, (kemudian) berlumba-lumba meninggikan bangunan.”
[Imam Muslim]
Contoh 5: Ahli politik berlumba-lumba mencari kuasa, pangkat dan kedudukan
Ahli politik dan orang-orang yang berkecimpung di dalam pemerintahan negara menjadi "gila kuasa". Jika mereka belum berkuasa, mereka akan menagih kuasa. Jika sudah ada kuasa, mereka ingin menambah kuasa lagi, kemudian bermati-matian untuk menambah lagi dan menambah lagi sampailah saling berbunuhan untuk memperolehnya.
Bersambung siri 545 اِ نْ شَآ ءَ اللّهُ
=====================
MAJLIS TAZKIRAH JILANI
🌳🍁🕌🕌🕌🍁🌳
No comments:
Post a Comment