Wednesday, December 21, 2022

■■■■■■■■■■■■■■■■■■■■■■■■■■■■■■■■■■■■■■■■

PENYAKIT HATI BAHAYA YANG TIDAK DISEDARI

(Siri 125)

■■■■■■■■■■■■■■■■■■■■■■■■■■■■■■■■■■■■■■■■


بِسْــــــــــــــــــمِ ﷲ الرَّحْمَنِ الرحيم

اَلسَّلاَمُ عَلَيْكُمْ وَرَحْمَةُ اللهِ وَبَرَكَاتُهُ


7.17  Dosa Besar ke-16:   Hubbud-dunya (  حُبُّ الدُّنْيَا  ) — cinta dunia:

sambungan....


Keterangan ketiga : Rumah kediaman yang lapang dan kenderaan yang kuat TIDAK tercela:


Rumah kediaman yang luas dan kenderaan yang kuat adalah di antara perkara "dunia" yang sangat manfaat untuk Akhirat apabila memenuhi syarat2nya. 


Di antara kelebihan rumah yang luas (bukan sempit) adalah :

(1) Memudahkan melakukan solat berjemaah dengan anak isteri 

(2) Kelapangan melakukan ibadah Zikrullah secara berjemaah

(3) Keluasan melakukan 'uzlah sendirian di rumah

(4) Kemudahan untuk menjamu makan orang2 Islam / jiran2 / faqir miskin

(5) Kemudahan untuk berkumpul sanak saudara bersilatur-rahim


Di antara kelebihan kenderaan yang baik dan kuat adalah :

(1) Kenderaan yang baik dan kuat akan mempermudahkan urusan da'wah dan jihad menyampaikan Agama ke tempat2 jauh.


(2) Rasulullah  ﷺ sendiri mempunyai kuda tunggangan yang sangat kuat dan pantas yang Baginda gunakan untuk da'wah dan Jihad Fi Sabilillah. Demikian juga para Sahabat Baginda masing2 mempunyai kuda yang sangat pantas dan kuat.  


(3) Kenderaan yang elok mendatangkan keamanan kepada pengguna jalan raya yang lain.  Jika kenderaan tersebut bermasalah, banyak kemungkinan terjadi kerosakan yang akhirnya mengganggu pengguna2 lain.


(4) Kenderaan yang elok dan kuat akan mempermudahkan dan mempercepatkan urusan berbanding dengan kenderaan yang bermasalah.


(5) Kelapangan hati ketika menaiki kenderaan. Dapat menumpukan kepada Zikrullah sepanjang perjalanan.  Jika kenderaan tersebut selalu rosak tentu datang berbagai kebimbangan hati yang akan terganggu Zikrullah.


Dalil bagi keterangan diatas adalah Sabda Junjungan:


Rasulullah ﷺ  bersabda

مِنْ سَعَادَةِ الْمَرْءِ الْمَسْكَنُ الْوَاسِعُ ، وَالْجَارُ الصَّالِحُ ، وَالْمَرْكَبُ الْهَنِيءُ

” Antara (tanda) kebahagiaan seseorang ialah rumah yang luas, jiran yang soleh dan kenderaan tunggangan yang elok (kuat, teguh, selamat).”

[Imam Bukhari]


Dengan demikian memiliki rumah yang luas dan lapang serta kenderaan yang hebat BUKANLAH dunia yang dicela sebaliknya "dunia yang terpuji".  Manfaatnya sangat besar untuk Akhirat — jalan mencapai Keredhaan Ilahi apabila digunakan untuk fisabilillah dan termasuklah di dalamnya untuk tujuan mencari rezeki, berniaga, berulang alik ke tempat kerja, bersilatur-rahim sanak saudara, menziarahi orang tua dsb.


Sebahagian anak2 yang baru mengenal Ilmu Tasawwuf, cuba  mempertikaikan para Masyaikh Ahlus Sunnah menggunakan kenderaan2 yang hebat sewaktu mereka pergi berda'wah. Menurut mereka, para Masyaikh ini tidak zuhud dan tidak ikut Sunnah. Golongan muda ini sebenarnya tidak faham apa pun berkenaan zuhud , hakikat zuhud, pengertian dunia dan bahagian2nya. Mereka perlu berguru lagi dan menempuh sendiri jalan kepada-Nya dengan penuh kesungguhan.


Lain halnya jika seseorang menyalahgunakan rumah kediaman besar untuk berpoya2 dengan dunia, habiskan masa dengan permainan2 yang sia2,  apa lagi untuk perhimpunan2 yang diharamkan oleh Syara', maka semua ini termasuk dunia yang tercela, BUKAN terpuji.    Demikian juga jika dia gunakan kenderaan yang hebat untuk menunjuk2, bermegah, atau ke tempat2 haram, maka semua ini TIDAK termasuk di dalam kategori dunia terpuji, bahkan perbuatan2 seperti ini termasuk kufur Ni'mat. Wal Iyazubillah


Bersambung siri  126  اِ نْ شَآ ءَ اللّهُ

________________________  

MAJLIS TAZKIRAH JILANI     

     

No comments:

Post a Comment

■■■■■■■■■■■■■■■■ PENYAKIT HATI BAHAYA YANG TIDAK DISEDARI (Siri 527) ■■■■■■■■■■■■■■■■■ بِسْــــــــــــــــــمِ ﷲ الرَّحْمَنِ الرحيم اَلسَّل...