Saturday, August 26, 2023

■■■■■■■■■■■■■■■■■■■■■■■■■■■■■■■■■■

PENYAKIT HATI BAHAYA YANG TIDAK DISEDARI

( Siri 272)

■■■■■■■■■■■■■■■■■■■■■■■■■■■■■■■■■■


بِسْــــــــــــــــــمِ ﷲ الرَّحْمَنِ الرحيم

اَلسَّلاَمُ عَلَيْكُمْ وَرَحْمَةُ اللهِ وَبَرَكَاتُهُ


Dosa Besar 35 :

Muzik, Nyanyian,  yang melalaikan

□□□□□□□□□□□□□□□□□□□□□□□□


Definisi 

======


Muzik ( مِعْزَفَةُ ) — Bunyi-bunyian berirama yang keluar dari alat muzik seperti gitar, biola, piano, gendang dll yang dibuat oleh manusia. 


Nyanyian ( غِنَاء ) — Mengeluarkan suara yang mempunyai susunan kata dan alunan tertentu yang boleh menyentuh hati dan menggerakkan perasaan.


Sya'ir, Gurindam, Sajak atau lain-lain yang mempunyai melodi dan irama tertentu termasuk di dalam kategori nyanyian dan lagu. 


Muzik dan Nyanyian yang dilarang serta mengakibatkan berbagai penyakit hati adalah Muzik dan Nyanyian yang melalaikan, leka, asyik dengan muzik dan yang akhirnya menimbulkan sifat nifaq (sifat munafiq).


Penjelasan

========


Pertama : Muzik dan Nyanyian berkait rapat dengan hati. 

Muzik dan nyanyian dimasukkan di dalam bicara "Penyakit Hati", meskipun ianya berbentuk perbuatan fizikal, kerana kedua-duanya mempunyai hubungan erat dengan "hati" dan boleh membawa kepada "penyakit hati yang amat serius", iaitu menumbuhkan sifat Nifaq (sifat-sifat munafiq).


Ke-2 : Ulama berbeza pendapat

Ulama Ahlus Sunnah berbeza pendapat berhubung dengan hukum muzik, lagu dan nyanyian.  Sebahagian mengharamkan dan sebahagian lagi menghukumnya halal tetapi dengan syarat-syarat tegas yang tertentu. 


Ke-3 : Jumhur Ulama haramkan muzik dan nyanyian.

Jumhur Ulama mengharamkan muzik dan nyanyian kerana tiga sebab utama: 


1.    Menurut tradisi manusia, Ia merupakan perlakuan golongan fasiq yang gemar berhimpun dan berhibur dengan nyanyian berserta alat muzik, arak dan wanita. 


2.  Muzik dan nyanyian yang berpanjangan membawa kepada kelalaian dari mengingat Allah serta mendorong nafsu kepada perbuatan mungkar dan keji. 


3. Muzik dan nyanyian menumbuhkan sifat nifaq dalam hati.


Ke-4 :  Keharusan Muzik dan Nyanyian

Ulama Ahlus Sunah yang mengharuskan Muzik dan nyanyian menyebut syarat-syarat tegas yang wajib ditepati: 


1. Mengandungi ungkapan memuji Allah dan Mengagungkan-Nya.

                                                                                                                                                                    2. Mengandungi ungkapan Solawat atau memuji Rasulullah ﷺ                                                                                                                                                                   

3. Menyeru kepada persaudaraan sesama Muslim dan berbuat baik kepada sekalian makhluq.


4. Semarakkan semangat untuk jihad fi sabilillah di medan perang


5. Di dalam perhimpunan Nasyid atau Solawat, lelaki dan wanita wajib dipisahkan. Dilarang wanita membuat persembahan di hadapan lelaki ajnabi, meskipun berunsur Nasyid kerana suara wanita yang lemah gemalai adalah haram diperdengarkan kepada lelaki ajnabi.


6. Alat muzik yang diharuskan adalah gendang, rebana, Tabla dsb. Alat muzik yang dilarang adalah: Alat muzik bertali seperti gitar, biola dsb d larang.


Ke-5 : Muzik dan nyanyian DIHARAMKAN apabila mengandungi unsur-unsur berikut:


1. Ungkapan memuja makhluk - manusia, jinn atau memuja syaitan.


2. Ungkapan memuji-muji kecantikan wanita yang mendorong  kekejian atau kemungkaran.  


3. Ungkapan menyebut hubungan laki-wanita yang menarik kepada zina atau kekejian lain. 


4. Ungkapan menyeru kepada ma'siat khususnya arak, judi, zina dll.


5.  Ungkapan yang membawa makna kufur / syirik.


6. Ungkapan meremehkan Al Qur'an, Sunnah dan hukum-hakam Agama.


7. Ungkapan menentang Allah dan Rasul-Nya atau Ulama Pewaris Nabi yang siddiq. 



Ke-6 : Hukum Muzik dan Menyanyi seorang diri.  

Menyanyi sendirian di rumah  (lelaki atau wanita)  harus  selama TIDAK mengandungi unsur-unsur ma'siat atau kekufuran seperti tersebut di atas.



Bersambung siri   273 اِ نْ شَآ ءَ اللّهُ

=====================

MAJLIS TAZKIRAH JILANI

   🌳🍁🕌🕌🕌🍁🌳

■■■■■■■■■■■■■■■■■■■■■■■■■■■■■■■

PENYAKIT HATI BAHAYA YANG TIDAK DISEDARI

■■■■■■■■■■■■■■■■■■■■■■■■■■■■■■■


SIRI 271 :


بِسْــــــــــــــــــمِ ﷲ الرَّحْمَنِ الرحيم

اَلسَّلاَمُ عَلَيْكُمْ وَرَحْمَةُ اللهِ وَبَرَكَاتُهُ


Dosa Besar 34 : 

Berkata-kata yang batil

sambungan.....


Batas ucapan batil

=================


Batas menentukan suatu ucapan (atau perbuatan atau i'tiqad) itu batil adalah setiap perkataan yang bertentangan dengan pegangan Ahlus Sunnah Wal Jama'ah, maka ia batil.    Ini kerana satu-satunya "Jalan Lurus", "Jalan kebenaran" dan "Jalan yang di Redhai Allah hanyalah  "Ahlus Sunnah Wal Jama'ah" sedangkan selain Ahlus Sunnah adalah firqah-firqah yang sesat dan menyesatkan.


Cara-cara mengenali Ahlus Sunnah wal Jamaah dan membezakannya dengan fahaman-fahaman yang menyimpang telah dihuraikan sebelum ini.


Punca jatuh kepada kebatilan

=====================


(1) Kejahilan

Mereka tidak menuntut Ilmu Agama atau mereka mungkin menuntut Ilmu Agama tetapi bukan daripada Mursyid Pewaris Nabi yang siddiq, iaitu Guru yang mewarisi Nabi zahir dan batin, yang benar2 berpegang kepada Ahlus Sunnah, sebaliknya Guru mereka adalah Ulama as-su' (ulama jahat), Ustad2 Wahhabiyyah (khawarij) atau Syi'ah (rafdhi) atau Sekular (liberal) atau lain2 yang telah  difatwakan sesat.  


(2) Gemar bergaul dengan pendokong kebatilan

Apabila seseorang selalu bergaul dengan pendokong-pendokong kebatilan dan kefasikan, maka sedikit sebanyak dia akan terkena penyakit mereka. 


(3) Ingin habuan dunia

Mereka yang diberi amanah sebagai Ketua, Pemimpin, Raja, Sultan, Amir condong kepada dunia dan perhiasannya Mereka sibuk mencari dan mengaut keuntungan duniawi sehingga lupakan Jalan Allah, Jalan Rasulullah yang sebenar. 


(4) Mencipta Jalan sendiri

Sebahagian cerdik pandai Agama (Prof, PhD, Drs dan lainnya) memperkenalkan berbagai sistem pendidikan ciptaan mereka berdasarkan pemikiran aqal mereka yang sempit. Setengahnya memperkenalkan berbagai kaedah falsafah jelas bertentangan dengan Tauhid. 


Rawatan dan Penjagaan:

=======================

Rawatan dan penjagaan bagi hal yang telah disebutkan di sini sama sahaja dengan penjelasan berkenaan ucapan dan kata-kata yang membawa kerosakan kepada diri dan keluarga sesebuah masyarakat.  Sila rujuk.



Bersambung siri   272 اِ نْ شَآ ءَ اللّهُ

=====================

MAJLIS TAZKIRAH JILANI

   🌳🍁🕌🕌🕌🍁🌳

Wednesday, May 24, 2023

 ■■■■■■■■■■■■■■■■■

PENYAKIT HATI

BAHAYA YANG TIDAK DISEDARI

( Siri 270)

■■■■■■■■■■■■■■■■■



بِسْــــــــــــــــــمِ ﷲ الرَّحْمَنِ الرحيم

اَلسَّلاَمُ عَلَيْكُمْ وَرَحْمَةُ اللهِ وَبَرَكَاتُهُ



Dosa Besar 34 : Berkata-kata yang batil

sambungan.....



Contoh kata2 kebatilan :

====================


Contoh kebatilan dan perkataan kebatilan amat banyak. Kita cuma sebut sebahagiannya.


Contoh 1

========

Mereka mengatakan Allah mempunyai tangan, kaki, mata, duduk, turun, naik seperti manusia. Ini adalah i'tiqad batil Golongan Mujassimah dan Wahhabiyyah (khawarij).  I'tiqad batil ini lebih kurang sama seperti kata2 batil orang kafir yang mengatakan "Allah mempunyai anak". 


Contoh 2

========

Seseorang mengatakan tak perlu solat, puasa, zakat dan lain2 kewajipan apabila seseorang sudah menjadi Wali. Ini dakwaan batil golongan batiniah atau haqiqat PALSU atau kaum zindiq. Mereka mengolok2 dan menyelewengan Ilmu Tasawwuf dan Ilmu Haqiqat murni warisan Rasulullah ﷺ kepada kebatilan. 


Contoh 3:

========

Mereka mendakwa untuk mencapai kejayaan cemerlang di dunia, seseorang mesti yakin pada diri sendiri, mesti mengulang2 perkataan "aku boleh", "aku kuat", "aku hebat" dan ungkapan2 lain seumpamanya. Ini adalah pegangan ahli falsafah moden yang menjadi pakar motivasi dan kaunseling. Mereka mendakwa inilah cara untuk membangkitkan semangat juang dan kejayaan mencapai dunia. Semua ungkapan tersebut adalah ungkapan batil yang jelas berlawanan dengan Tauhid. Orang beriman diperintah berpegang kepada Allah, Tawakkal kepada Allah sepenuhnya setelah berusaha mengikut kemampuan. Orang beriman diperintah Agungkan Allah setiap waktu dan merendah diri kepada Allah dan sesama manusia, BUKAN mengungkap kata2 Takabbur.  Apabila kamu berkata dalam hati : "aku hebat", "aku kuat", "aku mampu" dan seumpamanya maka kamu telah menentang Kalimah Tauhid "La Hawla Wala Quwwata Illa Billah".  Pakar motivasi dan ahli falasafah seperti ini membawa manusia kepada kekufuran. 


Contoh 4 :

========

Mereka mengatakan undang2 Allah itu ketinggalan zaman, zalim dan tak berperikemanusiaan.  Ungkapan seperti ini bukan sahaja batil tetapi juga mejerumuskan kepada kekafiran. Wal Iyazubillah. 


Contoh 5:

========

Ada di kalangan pemimpin2 bernama Islam menghina Jubah Nabi, Serban Nabi dan Janggut Baginda. Mereka berkata ianya bukan ajaran islam tetapi tradisi Arab.Mereka ini bukan sahaja pendokong kebatilan tetapi pendokong kekafiran. Wal Iyazubillah


Contoh 6:

========

Mereka mengatakan Ilmu Toriqat, Tasawwuf, Haqiqat, Ma'rifat dan sekalian yang berhubung dengannya adalah bid'ah sesat.  Mereka engkar dan menafikan terus ianya dari Rasulullah ﷺ.  Ungkapan2 ini adalah kata2 batil golongan wahhabiyyah (khawarij). 



Sebagaimanan kami sebut pada awal, contoh2 kata2 kebatilan tersangat banyak sehingga tidak terhitung banyaknya. Duduk berserta dengan golongan batil meskipun tanpa berkata apa2 akan menerima La'nat Allah. Apa lagi seseorang menyambung lidah kebatilan. Apa lagi menjadi pendokong dan penyokong mereka.


Bersambung siri   271 اِ نْ شَآ ءَ اللّهُ

=====================

MAJLIS TAZKIRAH JILANI

   🌳🍁🕌🕌🕌🍁🌳

 ■■■■■■■■■■■■■■■■■

PENYAKIT HATI

BAHAYA YANG TIDAK DISEDARI

( Siri 269)

■■■■■■■■■■■■■■■■■



بِسْــــــــــــــــــمِ ﷲ الرَّحْمَنِ الرحيم

اَلسَّلاَمُ عَلَيْكُمْ وَرَحْمَةُ اللهِ وَبَرَكَاتُهُ



Dosa Besar 34 : Berkata-kata yang batil

sambungan.....


Dalil-Dalil :

=========


Firman Allah:


وَكُنَّا نَخُوضُ مَعَ ٱلُخَآئِضِينَ


 "(Berkata orang yang dimasukkan ke Neraka Saqar) : Dan kami dahulu selalu mengambil bahagian memperkatakan perkara yang batil, bersama-sama orang-orang yang memperkatakannya."

[Al-Muddathir (72) : ayat 45]


Kata Ibn Abbas Radhiallahu anhu:

"(Sebahagian dari sebab-sebab manusia menjadi Penghuni Neraka Saqar) adalah kerana mereka bicarakan perkara2 yang batil bersama orang yang membicarakannya dari kalangan penganut-penganut kebatilan."

[Tafsir Ibnu Abbas]


Kata Imam Qurtubi Radhiallahu anhu

"Ya'ni, bergaul dengan orang-orang yang selalu berbuat kebatilan dan ikut dalam kebatilan mereka."

Ibnu Zaid Radhiallahu anhu mengatakan:

"Yang dimaksud dengan ayat di atas adalah :  ikut serta bersama orang-orang yang mengejek Nabi, dan menggelar Baginda dengan gelaran buruk dan jahat seperti  gila, penyair, ahli sihir"

As-Suddi Radhiallahu anhu mengatakan:

"Makna ayat ini adalah: kami selalu menyebarkan kebohongan bersama dengan para pembohong."

Qatadah Radhiallahu anhu menafsirkan :

"Makna ayat ini adalah: setiap kali orang-orang yang sesat melakukan kesesatannya maka kami ikut bersama dengan mereka."

[Tamat nukilan Kitab Tafsir Qurtubi]


Firman Allah :


وَقَدۡ نَزَّلَ عَلَيۡڪُمۡ فِى ٱلۡكِتَـٰبِ أَنۡ إِذَا سَمِعۡتُمۡ ءَايَـٰتِ ٱللَّهِ يُكۡفَرُ بِہَا وَيُسۡتَہۡزَأُ بِہَا فَلَا تَقۡعُدُواْ مَعَهُمۡ حَتَّىٰ يَخُوضُواْ فِى حَدِيثٍ غَيۡرِهِۦۤ‌ۚ إِنَّكُمۡ إِذً۬ا مِّثۡلُهُمۡ‌ۗ 


"Dan sesungguhnya Allah telahpun menurunkan kepada kamu (perintah-Nya) di dalam Kitab (Al-Quran), iaitu: Apabila kamu mendengar ayat-ayat keterangan Allah diingkari dan diejek-ejek, maka janganlah kamu duduk (bergaul) dengan mereka sehingga mereka masuk kepada memperkatakan soal yang lain; kerana sesungguhnya (jika kamu melakukan yang demikian), tentulah kamu sama seperti mereka."

[An-Nisa (4) : ayat 140]


Sabda Rasulullah ﷺ

"Manusia yang paling besar dosanya pada Hari Qiamat adalah orang yang paling banyak turut campur (terjerumus) ke dalam hal yang batil."

[Imam Ath-Thabrani]


Amaran Allah dan Rasul-Nya di dalam keterangan diatas sudah cukup untuk menggambarkan balasan buruk yang bakal menimpa mereka yang duduk berserta dengan golongan Batil dan bercakap2 dengan ungkapan2 kebatilan, pembohongan dan penghinaan terhadap Agama Allah. 


Pada zaman hayat Rasulullah ﷺ, tentu yang dimaksudkan adalah pendeta2 Yahudi, Nasrani dan pembesar2 Kafir Quraisy yang memusuhi Allah dan Rasul-Nya.  Pada zaman2 kemudian, mereka yang mendokong kebatilan bukan sahaja terdiri dari Muballigh2 Kristian dan Yahudi, tetapi juga orang2 Islam sendiri yang menyeleweng dari Jalan kebenaran, iaitu mereka yang menyeleweng dari Manhaj Ahlus Sunnah yang benar2 mewarisi Baginda.  Mereka jatuh kepada penganut2 kebatilan tanpa mereka sedari. Mereka tertipu dengan tipu daya halus Syaitan. Maka sesiapa sahaja duduk berserta golongan batil ini adalah termasuk di dalam ancaman Allah dan Rasul-Nya.


Bersambung siri   270 اِ نْ شَآ ءَ اللّهُ

=====================

MAJLIS TAZKIRAH JILANI

   🌳🍁🕌🕌🕌🍁🌳

■■■■■■■■■■■■■■■■■

PENYAKIT HATI

BAHAYA YANG TIDAK DISEDARI

( Siri 268)

■■■■■■■■■■■■■■■■■



بِسْــــــــــــــــــمِ ﷲ الرَّحْمَنِ الرحيم

اَلسَّلاَمُ عَلَيْكُمْ وَرَحْمَةُ اللهِ وَبَرَكَاتُهُ



Dosa Besar 34 : Berkata-kata yang batil

□□□□□□□□□□□□□□□□□□



Definisi Batil

===========


Definisi Batil Menurut bahasa:

Batil berasal dari istiilah arab ( بَطَل، يَبْطُلُ، باَطِلً  ) yang membawa beberapa pengertian :  kosong, lompong, batal, sesat, palsu, rosak, salah jalan, tidak sah, cacat, tidak terpakai, tak laku, berlawanan dengan kebenaran, menyeleweng dari jalan lurus. 


Definisi Batil Menurut istilah :

Batil adalah setiap sesuatu yang berlawanan dengan yang haq (kebenaran), menyeleweng dari jalan lurus, terkeluar dari Ahlus Sunnah Wal Jama'ah yang benar (tulen).



Penjelasan:

==========


(1) Telah menjadi Ijma' Ulama Mu'tabar, bahawa satu2nya Jalan yang benar yang di Redhai Allah adalah Ahlus Sunnah Wal Jama'ah yang yang tetap berpegang teguh pada Jalan Allah dan Rasul-Nya. Dengan demikian setiap golongan atau puak atau ajaran atau doktrin yang bertentangan dengan Ahlus Sunnah adalah golongan batil yang membawa ajaran batil. 


(2) Termasuk ke dalam penganut kebatilan adalah :


Pertama :  Penganut Agama2 ciptaan manusia. (Hindu, Budha, Kristian, Yahudi, Majusi dll)


Kedua :  Penganut Aliran, Ajaran, doktrin, falsafah yang tercipta daripada aqal fikir dan nafsu manusia yang jelas bertentangan dengan Al-Qur'an, Sunnah dan Ijma' Qias Ulama Mu'tabar.  


Ketiga :  Kelompok2 Islam yang yang terkeluar dari Aqidah Ahlus Sunnah berjumlah 72 golongan — Syi'ah (rafidhi), Khawarij (Wahhabiyyah), Mujassimah, Mu'tazlilah,  Jabbariyyah dll. 


Keempat :   Golongan kelompok keruhanian (haqiqat batil) yang sesat. (Menurut Fatwa Al-Imam Sulton Auliya Shaikh Abdul Qodir Jilani Radhiallahu anhu 11 kelompok)


Kelima : Golongan yang memperolok2, mengejek2, menghina Allah dan Rasul-Nya dan Ulama Billah.


Keenam : Tukang sihir dan ahli nujum atau sesiapa sahaja bersubahat dengan jinn syaitan.


(3) Penganut2 kebatilan seringkali berkumpul, berbincang dan merencanakan berbagai kejahatan terhadap Ummat Islam. Mereka merencanakan cara2 untuk melakukan fitnah, penindasan, kezaliman dan pembunuhan terhadap orang2 beriman. Sebahagian lagi memperolok2 dan mengejek2 Allah dan Rasul-Nya. Sebahagian lagi mengejek2 Sunnah Nabi. Sebahagian lagi mempertikaikan undang2 Allah.  Kesemua ungkapan dan kata2 ini termasuk "Berkata2 dengan kebatilan"


(4) Orang yang mengungkapkan kata2 kebatilan dan duduk berserta dengan pembuat kebatilan diancam dengan Neraka Saqar, ertinya larangan dan ancaman keras.  


(5) Duduk berserta dengan golongan2 batil dan menyokong kata2 mereka sahaja pun sudah termasuk dosa besar. Ini kerana subahat kepada kejahatan sama seperti berbuat kejahatan meskipun dia sendiri sekadar mendengar dan saksikannya.  


(6) Menurut Imam Ghazali Radhiallahu anhu berkata2 mengenai kecantikan wanita yang menggiurkan nafsu, cerita keadaan minuman keras, tempat berkumpul orang-orang fasiq, keperkasaan Raja2 (fasiq), sebarkan pembohongan, umpatan, dan kekejian adalah termasuk di dalam berkata2 yang batil yang menjerumuskan kepada dosa besar.


Berkata Imam Ghazali Radhiallahu anhu:

"Berkata2 pada perkara2 ma'siat seperti menceritakan keadaan wanita, hal keadaan tempat minuman khamar, tempat orang fasiq, kesenangan orang-orang kaya, keperkasaan Raja-Raja, tempat resmi mereka yang tercela dan hal ehwal mereka yang tidak disukai. Maka semua itu haram. Dan masuk pula yang demikian bercakap bohong pada perkara-perkara bid'ah (sesat) dan aliran2 yang sesat."

[Ihya Ulumuddin]


Bersambung siri   269 اِ نْ شَآ ءَ اللّهُ

=====================

MAJLIS TAZKIRAH JILANI

   🌳🍁🕌🕌🕌🍁🌳

Thursday, March 09, 2023

■■■■■■■■■■■■■■■■■

PENYAKIT HATI

BAHAYA YANG TIDAK DISEDARI

(Siri 267)

■■■■■■■■■■■■■■■■■


بِسْــــــــــــــــــمِ ﷲ الرَّحْمَنِ الرحيم

اَلسَّلاَمُ عَلَيْكُمْ وَرَحْمَةُ اللهِ وَبَرَكَاتُهُ


Dosa Besar 33 : Bercakap yang sia-sia

sambungan....


Rawatan dan Penjagaan

===================


Sesungguhnya memelihara lidah daripada ucapan2 yang membawa kepada dosa2 besar amat sukar.... sama ada yang berupa ucapan terang-terangan maupun yang berupa samar2 seperti ucapan sia-sia yang sedang dibincangkan sekarang. Namun kesan daripada yang samar-samar itu lebih sulit dan lebih bahaya.  Ini kerana kebanyakan orang akan menganggapnya remeh.  Tiada yang selamat daripada bahaya ucapan2 yang berbentuk samar2 ini  melainkan mereka yang benar2 memperoleh Rahmat dan Pertolongan Allah.


Berikut adalah beberapa langkah penjagaan berserta rawatan sebagai ikhtiar menjauhkan segala kesamaran ini. 


(1) Tuntut Ilmu berkenaan bahaya penyakit2 hati dari Guru yang benar2 Arif

Ini di antara yang terpenting bagi orang beriman. Pelajari ucapan yang boleh menjerumuskan seseorang kepada kefasikan, kesesatan atau kekufuran, terutama ucapan2 yang sifatnya samar-samar, yang mengheret seseorang kepada kepada kefasikan, kesesatan atau kekufuran walaupun pada asalnya ia cuma sebuah ucapan biasa.


(2) Waspada dengan ucapan bersifat gurauan dan pujian 

Sentiasa waspada dengan ucapan berbentuk gurauan, pujian berlebihan, pujian tanpa Tauhid, ucapan yang membuat orang lain ketawa (kecuali dengan cara yang benar). Ini kerana ucapan2 demikian mengandungi racun kekufuran.


(3) Jauhi pergaulan sia-sia

Jauhkan pergaulan yang tiada bermanfaat pada Akhirat atau pada dunia (yang terpuji) kerana kebanyakan ucapan sia-sia yang membawa dosa besar bermula dengan pergaulan yang sia-sia.


(4) Jauhi perdebatan

Tinggalkan orang2 awam (walaupun dia bertaraf Profesor) yang suka berdebat berkenaan Ketuhanan atau hal hukum- hakam sedangkan dia bukan Ulama Mujtahid.


(5) Berkata yang baik-baik atau diam

Bercakap apabila benar2 perlu sahaja, hal-hal yang berhubung dengan Akhirat atau hal dunia yang sangat diperlukan untuk kesinambungan kehidupan.  Di antara yang sangat dituntut adalah Mengajar suatu ilmu yang bermanfaat, dirikan Amr bil Ma'ruf nahyi anil Mungkar, atau hal-hal mendatangkan kebaikan kepada Ummat dan seluruh manusia.


✨🕌✨ Rasulullah ﷺ bersabda: 

“Barang siapa beriman pada Allah dan hari Akhirat hendaklah berkata baik atau diam [Imam Bukhari dan Imam Muslim]


(6) Lazimkan berserta ahli Zikir

Langkah bijak orang beriman adalah sentiasa berserta ahli zikir, iaitu mereka yang kekalkan hati berzikir kepada Allah dan mereka yang mengingatkan manusia kepada Allah dan hari Akhirat.


✨🕌✨ Rasulullah ﷺ bersabda :

مَثَلُ الْجَلِيسِ الصَّالِحِ وَالسَّوْءِ كَحَامِلِ الْمِسْكِ وَنَافِخِ الْكِيرِ ، فَحَامِلُ الْمِسْكِ إِمَّا أَنْ يُحْذِيَكَ ، وَإِمَّا أَنْ تَبْتَاعَ مِنْهُ ، وَإِمَّا أَنْ تَجِدَ مِنْهُ رِيحًا طَيِّبَةً ، وَنَافِخُ الْكِيرِ إِمَّا أَنْ يُحْرِقَ ثِيَابَكَ ، وَإِمَّا أَنْ تَجِدَ رِيحًا خَبِيثَة

“Perbandingan teman duduk yang soleh dan buruk adalah seperti penjual minyak wangi dan tukang  besi. Adapun penjual minyak wangi, boleh jadi dia akan memberikan kamu minyak wangi, atau kamu akan membeli darinya atau kamu akan mendapat bau harum darinya. Adapun tukang pandai besi, boleh jadi dia akan membuat pakaianmu terbakar, atau kamu akan mendapat bau yang tidak sedap darinya.” 

[Imam Bukhari dan Imam  Muslim]


✨🕌✨ Rasulullah   ﷺ  bersabda :

“Teman yang paling baik adalah apabila kamu melihat wajahnya, kamu teringat akan Allah, mendengar kata-katanya menambahkan ilmu agama, melihat gerak-gerinya teringat mati."

[Imam Hakim]


Pada zahirnya Hadith2 ini kelihatan merujuk kepada siapa saja orang berzikir. Tetapi hakikatnya ia merujuk kepada Mursyid Pewaris Nabi yang siddiq. Ini kerana tiada manusia mampu berzikir sepanjang masa melainkan Mursyid Pewaris Nabi yang siddiq, yang telah di Kurniakan Rahmat oleh Allah Ta'ala.


Bersambung siri 268  اِ نْ شَآ ءَ اللّهُ


--------------------------

MAJLIS TAZKIRAH JILANI

    🌳🍁🕌🕌🕌🍁🌳

■■■■■■■■■■■■■■■■■

PENYAKIT HATI

BAHAYA YANG TIDAK DISEDARI

(Siri 266)

■■■■■■■■■■■■■■■■■


بِسْــــــــــــــــــمِ ﷲ الرَّحْمَنِ الرحيم

اَلسَّلاَمُ عَلَيْكُمْ وَرَحْمَةُ اللهِ وَبَرَكَاتُهُ


Dosa Besar 33 : Bercakap yang sia-sia

sambungan....



(7) Suami isteri berbual untuk kasih sayang

Suami isteri yang sering berbual dan meluahkan kata-kata manis dengan tujuan kasih sayang, TIDAK termasuk ucapan sia-sia. Sebaliknya terpuji.  Rasulullah ﷺ sendiri adalah contoh terbaik di dalam hal ini. 


(8) Guru yang Arif berkata2 banyak bertujuan mendidik

Seorang Guru yang Arif (Pewaris Nabi yang siddiq) berkata2 banyak untuk tujuan mendidik dan membimbing manusia kepada Allah, tidak terlarang dan bukan sia-sia. Ini kerana seorang Pewaris Nabi yang siddiq sememangnya diamanahkan untuk bercakap menyampaikan Risalah Rasul kepada Ummat manusia dan diamanahkan mendidik serta membimbing mereka kepada Allah Ta'ala dengan selamat. Sedangkan murid diperintahkan banyak diam, mendengar dan ta'at.


(9) Bertanya kepada ahli zikir jika kamu tak tahu

Bertanya suatu hukum Agama atau bertanya cara mengerjakan suatu ibadah kepada ahlinya TIDAK dikatakan sia-sia. Adapun yang sia-sia dan larang keras adalah sengaja bertanya banyak sedangkan dia sudah tahu cara2nya. Atau dia sengaja mengulang2 suatu pertanyaan tanpa keperluan pada Agama, maka ini yang tercela sebagaimana yang telah dihuraikan pada awal bab ini.


Allah Ta'ala Perintahkan kepada ummat manusia supaya "bertanya" kepada orang yang Arif (ahli zikir) — ertinya mempelajari Agama atau apabila kamu menghadapi suatu kesulitan dan tiada jalan keluar, maka bertanyalah kepada mereka... In shaa Allah mereka akan menunjukki jalannya.


Ahli Ma'rifat adalah hamba2 Pilihan Allah yang sentiasa menghadap Allah dan di dalam Pimpinan Ruhaniyyah Rasulullah ﷺ.  Dengan demikian bertanya kepada mereka soal hukum-hakam Agama dan penyelesaian bagi suatu masalah rumit yang sedang dihadapi adalah terpuji sesuai dengan Perintah Allah.


✨🕌✨ Firman Allah تَعَالَى :

فَٱسْأَلُواْ أَهْلَ ٱلذِّكْرِ إِن كُنْتُم لاَ تَعْلَمُونَ


“Bertanyalah kepada ahli Zikir (ahli Ma'rifat atau orang yang memiliki pengetahuan) jika kamu tidak tahu."

[Al-Nahl (16) : ayat 43]


Kemudian keizinan untuk "bertanya"  dibatasi dengan hal-hal yang perlu pada Agama, atau perlu pada urusan dunia yang terpuji (yang menghubung kepada Akhirat), atau hal2 yang menghubungkan persaudaraan, atau untuk berbuat kebajikan kepada manusia. 


Perkara yang tidak berkaitan dengan Agama (tiada manfaat pada Akhirat dan tidak manfaat pada sisi dunia yang terpuji) dan tiada kaitan dengan persaudaraan dan tiada kaitan dengan kebajikan untuk ummat manusia...  semua ini perlu dijauhkan. Apa lagi ucapan2 yang terang2 membawa kepada sia-sia, permusuhan, pergaduhan atau kesesatan, inilah yang terlarang terkandung didalam Amaran Nabi ﷺ.


✨🕌✨ Sabda Rasulullah ﷺ :

   فَإِنَّمَا أَهْلَكَ الَّذِيْنَ مَنْ قَبْلَكُمْ كَثْرَةُ مَسَائِلِهِمْ وَاخْتِلاَفُهُمْ عَلَى أَنْبِيَائِهِمْ

“Sesungguhnya orang-orang sebelum kamu binasa kerana banyak bertanya dan berselisih dengan para Nabi” 

[Imam Bukhari dan Imam Muslim]


Bersambung siri 267  اِ نْ شَآ ءَ اللّهُ


--------------------------

MAJLIS TAZKIRAH JILANI

   🌳🍁🕌🕌🕌🍁🌳

SIRI 450 KEWAJIPAN AMAL SYARI'AT DAN TORIQAT RASULULLAH  بِسْــــــــــــــــــمِ ﷲ الرَّحْمَنِ الرحيم اَلسَّلاَمُ عَلَيْكُمْ وَرَحْمَةُ...