Thursday, April 30, 2026

SIRI 406


KEWAJIPAN AMAL SYARI'AT DAN TORIQAT RASULULLAH 



بِسْــــــــــــــــــمِ ﷲ الرَّحْمَنِ الرحيم

اَلسَّلاَمُ عَلَيْكُمْ وَرَحْمَةُ اللهِ وَبَرَكَاتُهُ


Bab 5:  Mursyid Pewaris Nabi yang Siddiq

Fasal 4: Dalil-Dalil Mursyid di dalam Al-Qur'an, Sunnah Rasulullah ﷺ dan Ulama

sambungan.....


Dalil 27: Analogi Ubat dan Doktor Pakar

sambungan....


Seorang Mursyid yang benar-benar 'Arif mengetahui penyakit setiap muridnya dan beliau akan berikan “ubat dan penawar” sesuai dengan penyakit mereka masing-masing sehingga akhirnya hati mereka sembuh dan suci bersih daripada sekalian penyakit yang merosak dan membinasakan Iman mereka.  Apabila hati mereka sembuh dari berbagai penyakit kronik yang mencengkam hati mereka, barulah Cahaya Ketuhanan akan masuk ke dalam hati mereka dan melimpah sehingga menjadi Mukmin yang sebenar.  (Untuk keterangan penuh sila baca Risalah bertajuk: “Suluk Menurut Ahlus Sunnah”)


Firman Allah:


هُوَ ٱلَّذِى بَعَثَ فِى ٱلۡأُمِّيِّـۧنَ رَسُولاً۬ مِّنۡہُمۡ يَتۡلُواْ عَلَيۡہِمۡ ءَايَـٰتِهِۦ وَيُزَكِّيہِمۡ وَيُعَلِّمُهُمُ ٱلۡكِتَـٰبَ وَٱلۡحِكۡمَةَ وَإِن كَانُواْ مِن قَبۡلُ لَفِى ضَلَـٰلٍ۬ مُّبِينٍ۬


“Dia-lah yang mengutus kepada kaum yang buta huruf seorang Rasul di antara mereka, yang membacakan ayat-ayat-Nya kepada mereka, menyucikan mereka dan mengajarkan kepada mereka Kitab dan Hikmah (Ilmu rahsia dan pengetahuan mendalam).  Dan sesungguhnya mereka sebelumnya benar-benar dalam kesesatan yang nyata.”

[Al-Jumu’ah (62) :  Ayat 2]


Rasulullah ﷺ bersabda:


أَلَا وَإِنَّ فِي الْجَسَدِ مُضْغَةً، إِذَا صَلَحَتْ، صَلَحَ الْجَسَدُ كُلُّهُ، وَإِذَا فَسَدَتْ، فَسَدَ الْجَسَدُ كُلُّهُ، أَلَا وَهِيَ الْقَلْبُ


“Ketahuilah, dan sesungguhnya dalam tubuh jasad anak Adam itu ada seketul daging, apabila baik ia nescaya baiklah seluruh anggota tubuhnya dan apabila jahat ia nescaya jahatlah seluruh anggota tubuhnya.  Ketahuilah!  Iaitulah Qalb (hati).”

[Imam Bukhari]


Mana-mana Muslim yang tidak mengikut Mursyid Pewaris Nabi yang Siddiq, dan tidak berusaha sungguh-sungguh menyucikan batinnya (hatinya) melalui jalan yang ditunjukki oleh mereka, maka hatinya akan kekal di dalam kekotoran Ma’nawiyyah – Syirik Khafi, Mazmumah, Ghaflah, Aghyar, iaitu menanggung dosa besar, bahkan dikhuatiri menjadi sesat atau mati Su-ul Khatimah (jahat kesudahan) dan sebahagian Ahli Ma’rifat memandang, lidah mereka terkekang dari menyebut Kalimah Allah ketika Sakratul-maut.  Wal Iyazubillah.


Imam Abu Hassan Asy-Syazili Radhiallahu Annu berkata: 

“Barang siapa yang tiada masuk dan mengetahui akan Ilmu ini yakni Ilmu Tasawwuf (melalui seorang Shaikh Sufi), nescaya dia mati di dalam keadaan mengekalkan dosa-dosa besar tanpa diketahuinya.” 

[Nukilan oleh Imam Ghazali Radhiallahu Anhu di dalam Ihya]


Imam Ghazali Radhiallahu Anhu berkata:

(Mujaddid Kurun ke-5 Hijriyyah)

“Sesiapa yang tidak mendapat bahagian di dalam Ilmu Qaum Sufi, maka ditakuti mati terkekang lidah (tiada dapat mengucap Kalimah).”

[Ihya Ulumuddin]


Berkata Imam Fakhruddin Ar-Razi Radhiallahu Anhu:

(Mujaddid Kurun ke-6 Hijriyyah)

“Seorang murid tidak memiliki jalan untuk sampai ke maqam-maqam Hidayah dan Mukasyafah, kecuali dia mengikuti Mursyidnya (Shaikh Sufi atau Ahli Sufi) yang menunjukkannya ke Jalan yang lurus serta menghindarkannya dari titik-titik kesalahan dan jalan yang sesat.” 

[Tafsir Mafatih Al-Ghaib]


Amaran para Auliya Allah ini benar-benar terjadi ke atas Ummat ini.  Mereka yang tidak berpegang kepada Mursyid Pewaris Nabi yang Siddiq, akhirnya jatuh kepada Golongan sesat – Syi’ah (Rafidhi), Wahhabiyyah (Khawarij), Mujassimah dan lain-lain yang jumlahnya 72 golongan.  Atau mereka menjadi sesat di dalam keruhanian berjumlah 11 golongan (menurut Fatwa Al-Imam Sulton Auliya Shaikh Abdul Qodir Jilani Radhiallahu Anhu).  Atau mereka menjadi pemerintah dan ahli politik yang fasiq.  Wal Iyazubillah. 


Bersambung siri 407 اِ نْ شَآ ءَ اللّهُ

_______________________

MAJLIS TAZKIRAH JILANI

     🌳🍁🕌🕌🕌🍁🌳

No comments:

Post a Comment

SIRI 420 KEWAJIPAN AMAL SYARI'AT DAN TORIQAT RASULULLAH  بِسْــــــــــــــــــمِ ﷲ الرَّحْمَنِ الرحيم اَلسَّلاَمُ عَلَيْكُمْ وَرَحْمَةُ...