SIRI 232
KEWAJIPAN AMAL SYARI'AT DAN TORIQAT RASULULLAH ﷺ
بِسْــــــــــــــــــمِ ﷲ الرَّحْمَنِ الرحيم
اَلسَّلاَمُ عَلَيْكُمْ وَرَحْمَةُ اللهِ وَبَرَكَاتُهُ
Bab 4: Tingkatan Iman
Fasal 3: Iman Orang Awam
Fakta-fakta Iman Orang Awam
Fakta ke-9: Perincian Syirik khafi ke-3: Sum'ah ( سُمْعَة )
Perincian Syirik khafi ke-3: Sum'ah ( سُمْعَة )
Syirik khafi (tersembunyi) seterusnya adalah Sum'ah ( سُمْعَة ) iaitu memperdengarkan kebaikan dirinya agar mendapat pujian manusia.
Definisi Sum'ah ( سُمْعَة )
==================
Dari segi bahasa:
Sum'ah ( سُمْعَة ) berasal dari perkataan " سمع " (sama' ) bererti "dengar" atau "diperdengarkan".
Dari segi istilah:
Maka makna Sum'ah ( سُمْعَة ) adalah memperdengarkan amal kebaikan dirinya kepada manusia serta senang hati mendengar pujian mereka kepadanya, sedangkan pada awalnya dia telah melakukan amal kebaikan tersebut secara sembunyi-sembunyi.
Penjelasan:
=========
(1) Sum'ah adalah perbuatan memperdengarkan amal kebaikan kepada orang lain; sama ada ianya ibadah khusus seperti solat, puasa dan lain-lain atau sesuatu berkaitan ibadah umum seperti sedekah, da'wah, membantu orang lain.
(2) Sama seperti Takabbur dan Riya', Sum'ah ini adalah Syirik tersembunyi yang kebanyakan orang yang rajin beribadah atau rajin melakukan kebajikan tidak menyedarinya.
(3) Kebiasaan yang terjadi kepada abid (ahli ibadah), dia melakukan amal ibadah di luar pengetahuan manusia (dia lakukan secara sembunyi-sembunyi dan tidak diketahui oleh manusia) namun esoknya dia menceritakan segala ibadahnya kepada manusia. Maka tahulah orang yang mendengarnya bahawa dia seorang yang banyak melakukan kebaikan lalu memujinya.
(4) Sama seperti Riya', orang yang melakukan Sum'ah rugi dunia akhirat. Zahirnya kelihatan amal ibadah yang banyak, namun menjadi sia-sia, hangus musnah segala amal kebaikannya kerana memperdengarkan segala kebaikannya kepada manusia lain untuk mendapat pujian mereka.
(5) Perbezaan antara Sum'ah dan Riya' adalah: Riya' "memperlihatkan amal" kepada manusia sementara Sum'ah adalah "memperdengarkan amal" kepada manusia.
(6) Sum'ah mempunyai banyak persamaan dengan Riya'. Antaranya: Kedua-duanya merupakan Syirik khafi, maka akibatnya juga sama. Kedua-duanya merupakan penyakit hati yang menghinggapi orang yang gemar beramal tetapi tidak menyedari akan tipu daya nafsu dan syaitan. Bentuk-bentuk perbahasan, akibat dan kesan-kesan yang terjadi juga sama, maka kami tidak ulangi lagi.
Bersambung siri 233 اِ نْ شَآ ءَ اللّهُ
_________________________________
MAJLIS TAZKIRAH JILANI
🌳🍁🕌🕌🕌🍁🌳
No comments:
Post a Comment