SIRI 218
KEWAJIPAN AMAL SYARI'AT DAN TORIQAT RASULULLAH ﷺ
بِسْــــــــــــــــــمِ ﷲ الرَّحْمَنِ الرحيم
اَلسَّلاَمُ عَلَيْكُمْ وَرَحْمَةُ اللهِ وَبَرَكَاتُهُ
Bab 4: Tingkatan Iman
Fasal 3: Iman Orang Awam
Fakta-fakta Iman Orang Awam
Fakta ke 9: Perincian Syirik khafi
Perincian Syirik khafi ke-2: Riya'
Setelah kita bicarakan dosa besar pertama Takabbur yang merupakan syirik dalam hati yang paling besar, kini kita beralih kepada dosa besar ke-2 Syirik Khafi iaitu "Riya' ". Dosa riya' tidak kurang dahsyatnya daripada takabbur, kerana ia menggugurkan ganjaran amal kebaikan. Ikutilah perbincangan ini dengan tekun. Perhatikanlah sungguh-sungguh dan ambillah panduan dan pedoman.
Definisi Riya' ( الرِّيَاء )
Dari segi bahasa Riya' ( الرِّيَاء ) adalah:
memperlihatkan, mempamerkan, melihat, memandang,
Dari segi istilah:
Riya' ( الرِّيَاء ) adalah: Mempamerkan amal kebaikan agar dipuji orang atau berpura-pura melakukan amal kebaikan agar dipuji orang, tidak ikhlas, tidak jujur, bersifat munafiq.
Penjelasan:
(1) Riya' adalah perbuatan memperlihatkan amal kebaikan kepada orang lain; sama ada ianya ibadah khusus seperti solat, puasa dan lain-lainnya atau sesuatu berkaitan ibadah umum seperti sedekah, da'wah, membantu orang lain dan lain-lain. Riya' juga boleh berlaku pada perkara-perkara berkait dengan gaya berpakaian, cara percakapan, cara berjalan, gaya tubuh badan dan sebagainya.
(2) Sifat Riya' ini tersangat halus serta tersangat rumit dikenali kerana pada sangkaannya ia tiada apa-apa sedangkan pada Sisi Allah, ianya termasuk perbuatan yang membinasakan manusia. Akibatnya ramai sekali orang alim (alim di dalam Ilmu fiqh semata-mata) yang banyak ilmunya dan abid (ahli ibadah) yang banyak ibadahnya seringkali tertipu dengan segala amal mereka.
(3) Mengapa orang ‘alim Fiqh atau 'alim Usuluddin atau 'alim di dalam Al-Qur'an atau lain-lain bidang Syari'at yang lain tidak terlepas dari dugaan ini? Jawabnya: Riya' mempunyai banyak sisi.
(i) Riya' boleh terkena ketika seseorang sedang beramal banyak atau boleh juga terkena ketika amal dia kurang.
(ii) Riya' boleh terjadi ketika seseorang buat kebajikan yang banyak atau dia hindarkan diri dari berbuat kebajikan.
(iii) Riya' boleh terjadi ketika berpakaian hebat atau juga ketika dia memakai pakaian lusuh seperti orang Zahid.
(iv) Riya' boleh berlaku ketika dia sedang bertutur dengan ucapan hebat atau boleh juga terjadi ketika dia bicara lemah lembut dan sopan.
(v) Riya boleh terjadi kepada Qori yang membaca Al-Qur'an dengan suara merdu atau boleh juga terjadi kepada mereka yang membaca secara biasa.
(vi) Riya' boleh terjadi kepada pensyarah, muallim, juru da'wah yang bersyarah dengan ucapan-ucapan hebat atau boleh juga terjadi kepada mereka yang tidak demikian.
(vii) Riya' boleh terjadi kepada ahli ilmu Kalam yang bahaskan sifat 20 dengan amat hebat dan boleh juga terjadi kepada ahli ilmu Kalam yang tidak hebat bicaranya.
(viii) Riya' boleh terjadi kepada mereka yang ramai pengikutnya atau juga kepada mereka yang sedikit pengikutnya.
(ix) Riya' boleh terjadi kepada mereka yang memperbaguskan tubuh dan penampilan dan boleh juga terkena kepada mereka yang kelihatan lekeh, muka cengkung dan rambut kusut.
(x) Riya boleh terjadi meskipun pada awalnya dia berniat ikhlas, namun di pertengahan ibadah atau kebajikan yang dilakukannya terjadi Riya'.
Berkata Imam Ghazali Radhiallahu Anhu:
"Maka sesungguhnya Riya' itu pokoknya : Mencari tempat (kedudukan) pada hati manusia, dengan memperlihatkan kepada mereka hal-hal kebajikan."
[Ihya Ulumuddin — bab Rubu' yang membinasakan]
Bersambung siri 219 اِ نْ شَآ ءَ اللّهُ
________________________________
MAJLIS TAZKIRAH JILANI
🌳🍁🕌🕌🕌🍁🌳
No comments:
Post a Comment