SIRI 204
KEWAJIPAN AMAL SYARI'AT DAN TORIQAT RASULULLAH ﷺ
بِسْــــــــــــــــــمِ ﷲ الرَّحْمَنِ الرحيم
اَلسَّلاَمُ عَلَيْكُمْ وَرَحْمَةُ اللهِ وَبَرَكَاتُهُ
Bab 4: Tingkatan Iman
Fasal 3: Iman Orang Awam
Fakta-fakta Iman Orang Awam
Fakta ke 9: Perincian Syirik khafi
Perincian Syirik khafi 1: Takabbur
sambungan....
Dalil-dalil dosa besar Takabbur — Ancaman Keras Allah Ta'ala kepada Orang Takabbur, sombong, megah.
Berikut adalah keterangan Al-Qur'an dan Hadith berkenaan ancaman keras terhadap orang-orang di dalam hatinya ada sifat Takabbur. Dan lebih bahaya lagi apabila sifat terpendam itu terzahir di dalam tutur kata dan tingkah laku.
(1) Makhluq yang awal-awal di-Laknat Allah kerana sifat Takabbur.
Firman Allah :
وَإِذْ قُلْنَا لِلْمَلَـئِكَةِ اسْجُدُواْ لاًّدَمَ فَسَجَدُواْ إِلاَّ إِبْلِيسَ أَبَى وَاسْتَكْبَرَ وَكَانَ مِنَ الْكَـفِرِينَ
Dan (ingatlah) ketika Kami berfirman kepada malaikat: Tunduklah (beri hormat) kepada Nabi Adam. Lalu mereka sekaliannya tunduk memberi hormat melainkan Iblis; dia enggan dan takabbur dan menjadilah dia dari golongan yang kafir.
[Al-Baqarah (2) : Ayat 34]
(2) Takabbur adalah sifat Iblis, Fir’aun,Namrud serta penguasa yang menyombongkan diri.
Firman Allah :
إِلَى فِرْعَوْنَ وَمَلَئِهِ فَاسْتَكْبَرُواْ وَكَانُواْ قَوْماً عَـلِينَ
"Kepada Firaun dan kaumnya; lalu mereka menentang (seruan Nabi-nabi Allah itu) dengan sombong takabbur, serta menjadi kaum yang membesarkan diri.
[Al-Mu’minoon (23) : Ayat 46]
(3) Takabbur menyebabkan pintu hati tertutup.
Firman Allah :
كَذَلِكَ يَطْبَعُ اللَّهُ عَلَى كُـلِّ قَلْبِ مُتَكَبِّرٍ جَبَّارٍ
“Begitulah Allah memeterai (menutup) setiap hati orang yang sombong dan sewenang-wenang.”
[Al-Mu’min (40) : Ayat 35]
(4) Takabbur Sifat Kebesaran Allah, hanya Allah Ta'ala layak Takabbur.
Firman Allah di dalam Hadis Qudsi:
“Takabbur itu selendang-Ku dan kebesaran itu kain sarung-Ku. Maka barang siapa bertengkar dengan Aku pada salah satu dari yang dua itu, nescaya Aku campakkan dia dalam Neraka Jahannam. Dan Aku tidak pedulikan.”
[Imam Muslim]
(5) Takabbur binasakan pahala amal ibadah.
Firman Allah :
يأَيُّهَا الَّذِينَ ءامَنُواْ لاَ تُبْطِلُواْ صَدَقَـتِكُم بِالْمَنّ” وَالاْذَى……”
"Wahai orang-orang yang beriman! Jangan rosakkan (pahala amal) sedekah kamu dengan kebanggaan dan cercaan."
[Al-Baqarah (2) : Ayat 264]
(6) Takabbur yang berterusan boleh menjerumuskan seseorang kepada kekafiran.
Firman Allah :
بَلَىٰ قَدْ جَاءَتْكَ آيَاتِي فَكَذَّبْتَ بِهَا وَاسْتَكْبَرْتَ وَكُنْتَ مِنَ الْكَافِرِينَ
”(Bukan demikian) sebenarnya telah datang keterangan-keterangan-Ku kepadamu lalu kamu mendustakannya dan kamu menyombongkan diri dan adalah kamu termasuk orang-orang yang kafir.”
[Az-Zumar (39) : Ayat 59]
(7) Takabbur mengheret ke Neraka, jauh dari Syurga.
Rasulullah ﷺ bersabda:
“Tidak akan masuk Syurga orang yang ada di dalam hatinya, seberat biji sawi dari takabbur.”
[Imam Muslim]
Perhatikanlah sungguh-sungguh segala ancaman adalah ditujukan kepada orang Islam beramal yang mempunyai sifat Takabbur, membesarkan diri, menunjuk kemegahan. Sesungguhnya kesombongan dan bermegah-megah diri menghilangkan pahala kebajikan sekalian amal ibadah, mencerai-beraikan Imannya dan menjadi sebab dicampak ke Neraka Jahannam. Wal Iyazubillah
Akan datang penjelasan :
■ Jenis-jenis Takabbur.
■ Takabbur batin yang terzahir dalam perbuatan, perkataan.
■ Punca Mendorong kepada Takabbur.
■ Tanda-tanda terlihat sifat Takabbur pada seseorang.
■ Taubat Nasuha dari sifat Takabbur.
■ Cara orang awam melawan sifat Takabbur.
■ Larangan menuduh orang lain Takabbur tanpa hak.
■ Takabbur yang dibenarkan.
Bersambung siri 205 اِ نْ شَآ ءَ اللّهُ
_______________________________
MAJLIS TAZKIRAH JILANI
🌳🍁🕌🕌🕌🍁🌳
No comments:
Post a Comment