SIRI 170
KEWAJIPAN AMAL SYARI'AT DAN TORIQAT RASULULLAH ﷺ
بِسْــــــــــــــــــمِ ﷲ الرَّحْمَنِ الرحيم
اَلسَّلاَمُ عَلَيْكُمْ وَرَحْمَةُ اللهِ وَبَرَكَاتُهُ
Bab 3: Sistem Tarbiyyah dan Tazkiyyah Jalan Ma'rifat
Fasal 7: Silibus Pendidikan Jalan Ma'rifat
Zikir Allah Allah
sambungan....
Dalil 4: Firman Allah:
وَلَذِكۡرُ ٱللَّهِ أَڪۡبَرُ
"...dan Zikir Allah itu sebesar-besar ibadah ..... "
[Al-Ankabut (29) : Ayat 45]
Menurut Tafsiran Ibnu Abbas dan Ulama Ahlus Sunnah lainnya, Ayat tersebut membawa beberapa pengertian :
(1) Zikrullah (Ingat Allah, sebut Nama Allah, tafakkurkan Nama Allah) adalah sebesar-besar Ibadah. Orang yang tekun mengerjakan ibadah Zikrullah siang malam tanpa berhenti dgn penuh ikhlas dan menurut adab, hukum dan kaifiyyatnya, maka dia akan memperoleh darjat kedudukan paling tinggi di Sisi Allah.
(2) Setiap ibadah yang dikerjakan dengan Zikrullah (ingat Allah) di dalamnya, maka ibadah tersebut adalah ibadah yang terlebih baik, sempurna yang memperoleh Redha Allah. Ibadah yang tiada Zikir di dalamnya adalah "kosong" dan "kerugian".
(3) Ingatan Allah terhadap hamba-hamba-Nya yang Zikrullah (mengingat Allah) adalah lebih utama. Ertinya Limpahan Rahmat dan Inayah (pertolongan Allah) terhadap hamba-hamba-Nya yang Zikrullah adalah jauh lebih hebat dari ingatan hamba kepada Tuhannya. Hamba cuma buat sedikit tetapi Allah Taala melimpahkan Rahmat yang banyak.
Tafsiran-tafsiran tersebut menepati Hadith-Hadith berikut:
Firman Allah di dalam Hadith Qudsi:
Sayyidina Abu Hurairah رضي الله عه berkata; Rasulullah ﷺ bersabda : Allah Ta’ala berfirman;
“Sesungguhnya Aku adalah sebagaimana yang disangkakan oleh hamba-Ku terhadap-Ku, adalah Aku bersamanya apabila dia mengingati Aku, jika dia mengingati Aku di dalam dirinya maka Aku mengingatinya di dalam Diri Ku dan jika dia mengingati Aku dalam jemaah maka Aku ingati dia dalam jemaah yang lebih baik ( jemaah para malaikat ). Apabila hamba-Ku mendekati-Ku sejengkal maka Aku dekati dia sehasta. Apabila dia mendekati Aku sehasta maka Aku dekati dia sedepa, dan apabila dia datang mendekati Aku dengan berjalan maka Aku dekati dia dengan berlari.”
[ Imam Al-Bukhari, Muslim, Ahmad, Tirmizi]
dan Hadith ini...
Rasulullah ﷺ bersabda:
Abu Darda Radhiallahu Anhu meriwayatkan bahawa Rasulullah ﷺ bertanya kepada para Sahabatnya: “Mahukah daku khabarkan kepada kamu mengenai sebaik-baik amalanmu yang amat suci di Sisi Allah yang meninggikan darjatmu ke peringkat yang tertinggi sekali, yang lebih mulia daripada menafkahkan emas dan perak di Jalan Allah, yang lebih utama daripada menghadapi musuh di tengah- tengah medan jihad, maka kamu tanggalkan lehernya atau mereka menanggalkan lehermu? Para Sahabat berkata, “Bahkan, apakah itu Ya Rasulullah?” Nabi ﷺ bersabda : “Zikrullah.”
[Riwayat Imam Ahmad, Tirmizi]
Peringatan:
Tetapi Zikrullah bagaimana yang Rasulullah ﷺ maksudkan itu ? Sudah tentu Zikrullah itu adalah Zikir darjat iaitu Zikir yang mempunyai kaifiyyat, (cara) peraturan, syarat dan adab-adab tertentu yang diwarisi dari Junjungan besar Rasulullah ﷺ.
Semua ini, iaitu Kaifiyyat, peraturan, syarat dan adab-adab ini ada di tangan Sekalian Pewaris Rasulullah ﷺ — Mursyid Pewaris Nabi yang Siddiq. Ianya diwarisi dengan cara yang amat seni dan selamat dan terpelihara kesucian serta keasliannya.
Bersambung siri 171 اِ نْ شَآ ءَ اللّه
___________________________
MAJLIS TAZKIRAH JILANI
🌳🍁🕌🕌🕌🍁🌳
No comments:
Post a Comment