SIRI 165
KEWAJIPAN AMAL SYARI'AT DAN TORIQAT RASULULLAH ﷺ
بِسْــــــــــــــــــمِ ﷲ الرَّحْمَنِ الرحيم
اَلسَّلاَمُ عَلَيْكُمْ وَرَحْمَةُ اللهِ وَبَرَكَاتُهُ
Bab 3: Sistem Tarbiyyah dan Tazkiyyah Jalan Ma'rifat
Fasal 7: Silibus Pendidikan Jalan Ma'rifat
sambungan...
Zikir Allah Allah
sambungan....
Fakta-Fakta Penting Zikir Allah
Berikut adalah Fakta-fakta penting berhubung dengan Zikrullah, iaitu Zikir Allah Allah atau maksudnya : Ingat Allah terus-menerus di dalam hati.
Fakta 1: Perintah Allah yang Mutlaq
Allah Ta'ala Perintahkan orang beriman supaya Zikir kepada Allah dengan Zikir yang sebanyak-banyaknya, ertinya Ingat Allah dalam hati tanpa putus. (Akan datang penjelasan)
Fakta 2: Ingat Allah terus-menerus di dalam hati
Menurut pendirian Ahlus Sunnah, yang dikehendaki dengan "Zikrullah" atau "Zikir Allah Allah" adalah : "Mengingat Allah terus-menerus di dalam hati".
Fakta 3: Tanda Mu'min
Telah Ijma' Ulama bahawa di antara tanda-tanda orang beriman adalah melakukan Zikrullah yang banyak, sedangkan orang yang malas berzikir atau sedikit zikirnya adalah tanda-tanda kemunafikan. Wal Iyazubillah.
Fakta 4: Tradisi Ahlus Sunnah turun-temurun
Berdasarkan kenyataan sejarah, sekalian Ahli Silsilah Rasulullah ﷺ amalkan Zikir Allah Allah, selain daripada Zikir _La Ilaha Illallah_ serta zikir lain.
Fakta 5: Zikir Allah Allah — Ibadah Teragung
Zikir Allah Allah, Ingat Allah di dalam Hati terus- menerus merupakan Ibadah teragung kerana selain dari menjadi Ibadah yang tersendiri, ia meresap ke dalam setiap Ibadah dan menjadikannya "hidup". Ibadah yang tiada Zikir (Ingat Allah Allah) di dalamnya adalah Ibadah yang kosong hampa, tiada nilai di Sisi Allah.
Fakta 6: Orang yang Zikir Allah orang yang hidup
Orang yang berzikir Allah adalah orang yang hidup (hatinya hidup menghadap Allah) sedangkan orang yang lalai dari Zikrullah adalah bagaikan orang yang mati (mati hatinya).
Fakta 7 : Zikir Allah sucikan hati
Zikir Allah Allah yang teguh di dalam hati menyucikan hati dari daripada sekalian kekotoran dan kekejian, terutama Syirik khafi dan sifat mazmumah yang menjadi punca kebinasaan orang islam. Zikrullah adalah pencuci bagi hati yang telah berkarat dengan dosa-dosa.
Fakta 8 : Zikirullah membuahkan khusyu’ di dalam Solat
Zikir Allah terus-menerus menurut disiplin Toriqat atau Jalan Ma'rifat akan menghidupkan hati dan menjadikan seseorang khusyu’ di dalam Solat.
Fakta 9 : Zikrullah Sampai kepada Allah
Telah sepakat Ulama Ahlus Sunnah, seseorang tidak akan sampai kepada Allah (sampai kepada Tauhid hakiki) melainkan melazimkan Zikrullah yang banyak menurut disiplin Jalan Ma'rifat.
Fakta 10: Silsilah pengambilan sampai Rasulullah ﷺ
Fakta ini adalah di antara hujjah-hujjah terkuat menjadi bukti Zikir Allah. Sekalian Mursyid, Pewaris Nabi yang hidup masa ini mempunyai Silsilah pengambilan "talqin Zikir Allah Allah" diterima daripada Gurunya, dan daripada Gurunya kepada Gurunya sampai kepada Sayyidina Abu Bakar atau Sayyidina Ali Ridhwanullah dan akhirnya sampai kepada Junjungan Besar Rasulullah ﷺ yang Baginda menerima dari Sahibul Wahi Jibril Alahis Salam dan Jibril menerima Perintah Allah Jalla Jalaluh.
Ertinya khabarnya mutawathir, yang tidak boleh diingkari kerana wujudnya banyak sekali Mursyid-Mursyid, Pewaris Nabi yang Siddiq seluruh dunia, yang terpercaya, dan tak mungkin mereka berpakat untuk menipu.
Sekalian fakta-fakta ini akan dijelaskan pada lembaran akan datang. In shaa Allah. Baca dengan teliti dan cuba memahaminya.
Bersambung siri 166 اِ نْ شَآ ءَ اللّه
______________________________
MAJLIS TAZKIRAH JILANI
🌳🍁🕌🕌🕌🍁🌳
No comments:
Post a Comment