SIRI 149
KEWAJIPAN AMAL SYARI'AT DAN TORIQAT RASULULLAH ﷺ
بِسْــــــــــــــــــمِ ﷲ الرَّحْمَنِ الرحيم
اَلسَّلاَمُ عَلَيْكُمْ وَرَحْمَةُ اللهِ وَبَرَكَاتُهُ
Bab 3: Sistem Tarbiyyah dan Tazkiyyah Jalan Ma'rifat
Fasal 5: Keistimewaan Mursyid, Pemimpin Jalan Ma'rifat
Ketika kita memperkatakan berkenaan Sistem Pendidikan Jalan Ma'rifat, maka ia berkait rapat dengan Pemimpin yang membawa Sistem ini kepada Ummat, iaitu Mursyid Pewaris Nabi yang Siddiq.
Sebagaimana kita katakan, Mursyid menanggung Amanah Allah dan Rasulullah ﷺ. Mereka memperoleh beberapa ilmu khusus dari Allah yang menjadikan mereka hamba-hamba Alllah lebih istimewa dan lebih utama dari manusia lain. Mereka mendapat Kurnia kebijaksanaan. Perkataan dan perbuatan mereka sentiasa menepati Keredhaan Allah disebabkan hubungan keruhanian mereka dengan Allah. Pada setiap waktu mereka di dalam Perhatian dan Pimpinan Allah Ta'ala.
Ianya jauh berbeza dengan pemimpin-pemimpin Sistem Pendidikan Ciptaan manusia, meskipun mereka menamakan diri mereka sebagai Jemaah Islam, Perkumpulan Islam, Institusi Islam, namun Pemimpin-pemimpin ini sentiasa terdedah kepada kesalahan dan kesesatan lantaran tiada hubungan dengan Allah Ta'ala. Sedangkan Iblis dan kuncu-kuncu sentiasa mengintai peluang menarik kepada kesesatan.
Buktinya Pemimpin 72 Golongan sesat adalah cerdik pandai Agama yang terkenal hebat dengan ilmu syariat mereka. Namun mengapa mereka sesat?
Demikian lagi Pemimpin-pemimpin Islam awam zaman ini. Ternyata ramai yang menjadi fasiq, zalim dan mengejar dunia.
Bukti kecemerlangan Pimpinan Mursyid Pewaris Nabi yang Siddiq
Berikut kami persembahkan beberapa dalil dan bukti yang mengisyaratkan kelebihan-kelebihan yang di-Kurniakan oleh Allah kepada Mursyid Pewaris Nabi yang Siddiq sebagai wasail (cara) untuk memimpin Ummat dengan selamat.
Dalil (1): Firman Allah:
ثُمَّ أَوۡرَثۡنَا ٱلۡكِتَـٰبَ ٱلَّذِينَ ٱصۡطَفَيۡنَا مِنۡ عِبَادِنَاۖ فَمِنۡهُمۡ ظَالِمٌ۬ لِّنَفۡسِهِۦ وَمِنۡہُم مُّقۡتَصِدٌ۬ وَمِنۡہُمۡ سَابِقُۢ بِٱلۡخَيۡرَٲتِ بِإِذۡنِ ٱللَّهِۚ ذَٲلِكَ هُوَ ٱلۡفَضۡلُ ٱلۡڪَبِيرُ
“Kemudian Kami jadikan Al-Kitab (Al-Quran) itu diwarisi oleh orang-orang yang Kami pilih dari kalangan hamba-hamba Kami; maka di antara mereka ada yang berlaku zalim kepada dirinya sendiri (dengan tidak mengindahkan ajaran Al-Quran) dan di antaranya ada yang bersikap sederhana dan di antaranya pula ada yang mendahului (orang lain) dalam berbuat kebaikan dengan izin Allah. Yang demikian itu ialah limpah kurnia yang besar (dari Allah semata-mata)
[Faathir (35) : Ayat 32]
Menurut tafsiran Ulama Ahlus Sunnah yang dimaksudkan dengan “Kitab” adalah Al-Qur’an, dan maksud ayat Allah “yang Kami pilih dari kalangan hamba-hamba Kami” adalah di tujukan kepada Mursyid, Ahli Ma’rifat, Ulama Arif Billah yang benar-benar kenal Allah dan mencapai martabat Tauhid yang hakiki pada Maqam Tauhid Maqam Mukasyafah Zat.
Berkata Al Imam Sulton Auliya Shaikh Abdul Qodir Jilani Radhiallahu 'Anhu:
“Orang-orang yang berilmu dan hikmah (Mursyid, Ahli Sufi, Ahli Ma'rifat) adalah hamba Allah yang sejati yang dipilih-Nya untuk menerima “Risalah-Risalah dari pengajaran-Nya”. Allah melimpahkan mereka ilmu dan hikmah dan dengan ilmu hikmah itulah mereka menjadi manusia yang lebih tinggi darjatnya dari manusia lain. Mereka berhubung dengan Nabi melalui perasaan yang halus dan dengan aqal yang bijaksana. (baca : Kehalusan Ma’rifat Ilahiyyah atau disebut juga kasyaf Ilahiyyah)
Allah memuji mereka yang memiliki ilmu Hikmah dengan Firman Nya:
ثُمَّ أَوۡرَثۡنَا ٱلۡكِتَـٰبَ ٱلَّذِينَ ٱصۡطَفَيۡنَا مِنۡ عِبَادِنَاۖ فَمِنۡهُمۡ ظَالِمٌ۬ لِّنَفۡسِهِۦ وَمِنۡہُم مُّقۡتَصِدٌ۬ وَمِنۡہُمۡ سَابِقُۢ بِٱلۡخَيۡرَٲتِ بِإِذۡنِ ٱللَّهِۚ ذَٲلِكَ هُوَ ٱلۡفَضۡلُ ٱلۡڪَبِيرُ
[Sirrul-Asrar Fi-ma-Yahtaju Iyahil-Abrar]
Bersambung siri 150 اِ نْ شَآ ءَ اللّه
_______________________________
MAJLIS TAZKIRAH JILANI
🌳🍁🕌🕌🕌🍁🌳
No comments:
Post a Comment