SIRI 147
KEWAJIPAN AMAL SYARI'AT DAN TORIQAT RASULULLAH ﷺ
بِسْــــــــــــــــــمِ ﷲ الرَّحْمَنِ الرحيم
اَلسَّلاَمُ عَلَيْكُمْ وَرَحْمَةُ اللهِ وَبَرَكَاتُهُ
Bab 3: Sistem Tarbiyyah dan Tazkiyyah Jalan Ma'rifat
Fasal 3: Fakta-Fakta Penting Ma'rifat
sambungan....
Fakta 15: Alim Kitab, Alim Fiqh, Alim Usuluddin wajib berguru kepada Mursyid Pewaris Nabi yang Siddiq
Hal ini telah disebut beberapa kali sebelum ini. Setiap orang Alim Fiqh yang sudah memahami selok-belok Ilmu fiqh, meskipun sudah sampai ribuan kitab, atau Alim Usuluddin yang sangat hebat mensyarahkan Sifat 20 atau orang Alim yang sangat mahir hafal Hadith dan sangat bagus hafalannya, kesemua mereka wajib berguru kepada Mursyid Pewaris Nabi yang Siddiq untuk menyucikan batin mereka daripada berbagai syirik khafi, mazmumah, ghaflah dan aghyar. Dan seterusnya memperoleh Tauhid yang hakiki, Iman Sejati, Ma’rifat dan Ubudiyyah yang suci murni.
Fakta 16:Tanpa menempuh Jalan Ma'rifat, Ulama akan kekal sebagai orang awam
Tanpa menempuh jalan Ma’rifat dengan bimbingan Mursyid Pewaris Nabi yang Siddiq sehingga mencapai Tauhid hakiki ini, orang Alim fiqh atau Alim Usuluddin yang paling hebat sekalipun akan tetap berada pada tahap Iman orang awam, iaitu hatinya berbolak-balik di antara keimanan dan kesyirikan (syirik khafi) dan bercampur aduk dengan nifaq (nifaq kecil). Mereka akan sentiasa bergelumang dengan ‘ujub, riya’, sum’ah, takabbur dan sifat-sifat mazmumah. Bahkan mereka di dalam bahaya terjatuh kepada golongan-golongan sesat Aqidah atau sesat di dalam keruhanian.
Fakta 17:Dua bukti kesesatan orang alim kitab
Kami kemukakan dua bukti kesesatan orang alim kitab:
Pertama:
Pelopor dan pengasas bagi fahaman-fahaman sesat berjumlah 72 golongan adalah terdiri daripada orang-orang Alim fiqh dan cerdik pandai Agama. Mereka adalah penghafal Qur’an dan Hadith. Mereka hebat berpidato dan kalahkan lawan di dalam berhujjah.
Kedua:
Bukti paling kukuh bagi kenyataan ini adalah jalan hidup Imam Ghazali Radhiallahu anhu yang telah masyhur kisahnya, sebagaimana yang telah dinukilkan kisah beliau di dalam Risalah ini dan beberapa Risalah kami yang lain. Pada awal perjalanan hidup beliau, Imam Ghazali merupakan orang yang sangat alim di dalam hukum-hakam Agama dan mampu mengalahkan lawan di dalam perdebatan Agama. Tetapi beliau tak mampu keluar daripada sifat riya’ dan kecenderungan pada kemasyhuran duniawi.
Berkata Al-Imam Sulton Auliya Shaikh Abdul Qodir Jilani Radhiallahu anhu:
“Sesiapa tidak memperoleh ilmu ini (Ma’rifat mengenal Allah – Tauhid Hakiki) tidak akan menjadi bijaksana dan ‘Arif walaupun dia membaca seribu kitab”.
[Sirrul Asrar]
Beliau berkata lagi:
“Walau bagaimanapun tinggi dan sempurna ilmu Zahir (Syari’at) seseorang itu tidak akan membantunya untuk masuk ke Majlis Ketuhanan, iaitu Hadratul Quddus, berserta Allah.”
[Sirrul Asrar]
Berkata Tajul Arifin Shaikh Yahya Al-Kholidi Radhiallahu anhu:
“Pendapat ini (Ahli Usuluddin) hanya 70 peratus yaqin (zonn) kerana yaqin peringkat ini sebagai khabar jua (fikir aqal). Adapun ‘Ainul Yaqin itu iaitu tiap-tiap Ma’rifat yang dapat dilihat dengan mata hati, keadaan yaqin 100 peratus.”
[Risalah Ma’rifat]
Berkata Imam Ghazali Radhiallahu anhu:
“Pendeknya barangsiapa yang belum di-Kurnia Tuhan mengalaminya (Mengenal Allah melalui Sistem pendidikan Ahli Sufi) belumlah ia mengenal haqiqat Kenabian, lebih dari namanya sahaja.”
[Muqiz Min-adh-dholal]
Bersambung siri 148 اِ نْ شَآ ءَ اللّه
____________________________
MAJLIS TAZKIRAH JILANI
🌳🍁🕌🕌🕌🍁🌳
No comments:
Post a Comment