Friday, April 03, 2026

SIRI 144


KEWAJIPAN AMAL SYARI'AT DAN TORIQAT RASULULLAH ﷺ


بِسْــــــــــــــــــمِ ﷲ الرَّحْمَنِ الرحيم

اَلسَّلاَمُ عَلَيْكُمْ وَرَحْمَةُ اللهِ وَبَرَكَاتُهُ


Bab 3: Sistem Tarbiyyah dan Tazkiyyah Jalan Ma'rifat

Fasal 2: Definisi Ma'rifat


Definisi Ma'rifat


Dari segi bahasa:

Ma'rifat (مَعْرِفَة) berasal dari perkataan عَرَفَ bermaksud tahu, kenal


Dari segi istilah:

Ma'rifat (مَعْرِفَة)  adalah pengetahuan yang mendalam tentang Ketuhanan, iaitu beriman kepada Allah dengan melihat Allah dengan _Qalb_ (mata hati)  _Ruh_ (mata roh), _Sirriyah_ (mata rahsia yang sangat mendalam). Ia diperoleh dengan cara menempuh Jalan Ma'rifat dengan pimpinan Mursyid Pewaris Nabi yang Siddiq.


Penjelasan Ringkas:

(1) Kebanyakan orang Islam pada zaman ini (dan juga zaman dahulu) mempertikaikan istilah Ma'rifat. Sebahagian mereka berkata istilah Ma'rifat tidak ada dalam Islam. Sebahagian lagi memperolok-olok dengan kata-kata sindiran yang keji. Sebahagian lain menuduhnya sesat. Dan bermacam-macam tuduhan batil dan jahat daripada orang Islam sendiri.  


(2) Sesungguhnya semua kata-kata biadab itu menunjukkan kejahilan mereka berkenaan Agama Allah. Bahkan mereka tidak memahami asas Agama sekalipun. 


(3) Menurut pegangan Ahlus Sunnah Wal Jama'ah, Ma'rifat adalah Tingkatan Tauhid peringkat tinggi —  Keimanan, Keyakinan teguh yang mencengkam jiwa yang tak mungkin digoncangkan.  


(4) Atau kamu menyebutnya : Ma'rifat adalah Mengenal Allah dengan sebenar kenal dari dalam hati, ruh dan _Sirri_ (rahsia hati yang sangat dalam)  sehingga timbul keyakinan teguh yang tak mungkin tergoncang.  


(5) Pada peringkat asas (kanak-kanak) kamu di ajar mengenal Allah dengan mengetahui Sifat-sifat Allah, Asma' Allah dan Af'al Allah berdasarkan fikir aqal didalam pengajian Sifat 20 (atau sifat 40 atau sifat 60) 


(6) Pada peringkat tinggi kamu mesti mengenal Allah dari dalam hati, bukan lagi mengenal Allah dengan aqal fikiran kamu kerana aqal fikiran manusia tak mungkin kenal Allah secara hakiki. Aqal fikir manusia hanya mengenal Allah pada nama saja tidak meresap dalam hati.


Firman Allah:


 قَالَتِ ٱلأَعْرَابُ آمَنَّا قُل لَّمْ تُؤْمِنُواْ وَلَـٰكِن قُولُوۤاْ أَسْلَمْنَا وَلَمَّا يَدْخُلِ ٱلإِيمَانُ فِي قُلُوبِكُمْ وَإِن تُطِيعُواْ ٱللَّهَ وَرَسُولَهُ لاَ يَلِتْكُمْ مِّنْ أَعْمَالِكُمْ شَيْئاً إِنَّ ٱللَّهَ غَفُورٌ رَّحِيمٌ


Orang-orang " Aaraab" berkata: Kami telah beriman. Katakanlah (wahai Muhammad): Kamu belum beriman, (janganlah berkata demikian), tetapi sementara iman belum lagi meresap masuk ke dalam hati kamu berkatalah sahaja: Kami telah Islam dan (ingatlah), jika kamu taat kepada Allah RasulNya (zahir dan batin), Allah tidak akan mengurangkan sedikitpun dari pahala amal-amal kamu, kerana sesungguhnya Allah Maha Pengampun, lagi Maha Mengasihani.

[Al-Hujurat (49) : Ayat 14]


(7) Allah Ta'ala Memerintahkan manusia agar kenal Allah dengan sesungguhnya melalui Kalam-Nya yang Maha Tinggi.


Firman Allah:

وَمَا خَلَقْتُ الْجِنَّ وَالْإِنْسَ إِلَّا لِيَعْبُدُونِ

Dan tidaklah Aku ciptakan jinn dan manusia kecuali untuk berubudiyyah kepada-Ku” 

[Adz-Dzaariyaat (51) : Ayat 56]


Berkata Ibnu Abbas Radhiallahu anhu:

"Pengertian  "  يَعْبُدُونِ  "   (Ya'budun) pada ayat ini adalah  " يعرفون "  (Ya'rifun), iaitu Mengenal Allah dan berubudiyyah kepada-Nya,  (bukan dengan maksud fahaman ibadah yang sempit)".

[Tafsir Ibnu Abbas]


Berkata Sulton Auliya Shaikh Abdul Qodir Jilani Radhiallahu anhu:

"Manusia tidak akan mampu beribadah secara sempurna kepada Allah tanpa Ma'rifat yang sebenar.  Ma'rifat dapat terwujud setelah hilangnya segala sesuatu yang menghalangi cermin hati dengan terus sungguh-sungguh membersihkannya sehingga manusia dapat melihat indahnya sesuatu yang terpendam dan tertutup di dalam rasa di lubuk hati."

[Sirrul Asrar Fi-Ma-Yahtaju Ilayhil-Abrar]


Bersambung siri 145 اِ نْ شَآ ءَ اللّه

____________________________

MAJLIS TAZKIRAH JILANI

   🌳🍁🕌🕌🕌🍁🌳

No comments:

Post a Comment

MENCARI MURSYID PEWARIS NABI YANG SEBENAR - FASAL 9

بِسْــــــــــــــــــمِ ﷲ الرَّحْمَنِ الرحيم اَلسَّلاَمُ عَلَيْكُمْ وَرَحْمَةُ اللهِ وَبَرَكَاتُهُ FASAL 9: SISTEM TARBIYYAH dan TAZKIYYAH ...