Sunday, March 08, 2026

SIRI 107


KEWAJIPAN AMAL SYARI'AT DAN TORIQAT RASULULLAH ﷺ


بِسْــــــــــــــــــمِ ﷲ الرَّحْمَنِ الرحيم

اَلسَّلاَمُ عَلَيْكُمْ وَرَحْمَةُ اللهِ وَبَرَكَاتُهُ


Bab 2: Syari'at dan Toriqat Rasulullah ﷺ

Fasal 11: Punca kesesatan orang awam dan salikin


Punca 5: Bersekutu dengan Jinn syaitan

Punca ke-5 kesesatan orang awam, salikin dan juga Mursyid PALSU adalah bersekutu, meminta pertolongan atau bersahabat dengan jinn syaitan sedangkan Allah Ta'ala memerintahkan supaya jauhi jinn syaitan, jangan sesekali dengar nasihat dan bisikan jinn syaitan kerana golongan jinn syaitan musuh yang nyata bagi orang beriman dan dia tiada tujuan lain melainkan menipu daya kamu dan menarik kamu kepada kesesatan dan kekafiran.


Kami telah pun menjelaskan hal ini di dalam risalah kami bertajuk:

Mengapa Orang  Alim Hafiz Quran Imam Solat Terkena Gangguan Jinn & Syaitan


Di sini kami hanya menjelaskan beberapa poin penting sebagai i'tibar dan panduan sebagai langkah keselamatan daripada makhluq terkutuk iblis dan anak cucunya syaitan dan sekutu-sekutunya:



Poin 1: Definisi Al-Jinnu (jinn):


Menurut Bahasa :

Al Jinnu (  اَلجِنُّ  ) berasal dari kata: Janana (  جَنَنَ  ) bermaksud suatu yang tersembunyi atau suatu yang ditutupi, terlindung dari pandangan mata kasar.


Menurut Syara':

Jinn adalah makhluq halus yang tersembunyi atau ditutupi dari pandangan manusia umumnya, sifat biologi hampir serupa seperti manusia (mempunyai anggota tubuh — tangan, kaki, kepala, mulut, hidung, telinga dan lain-lain), tetapi mempunyai tubuh yang boleh berubah-ubah bentuknya, bernafas, makan, minum dan beranak pinak seperti manusia.  


Jinn terdiri dari jinn Islam, jinn fasiq, jinn sesat, jinn kafir sama seperti manusia. Jinn yang benar-benar beriman sedikit saja selebihnya menjadi pengikut iblis menjadi jinn kafir. 


Manusia (umumnya) tidak dapat mengetahui hal-hal bersangkutan dengan jinn, kecuali orang tertentu yang diberi izin oleh Allah melihatnya.



Poin 2: Definisi Iblis:


Dari segi bahasa:

Iblis (  إِبۡلِيسَ ) adalah dari perkataan al-iblaas yang bermakna  “putus"  iaitu putus asa dari Rahmat Allah.


Dari segi istilah:

Iblis adalah bangsa jinn yang kafir, kafir mutlaq yang terlaknat, dicampakkan ke muka bumi akibat penderhakaannya kepada Allah, akan masuk Neraka tanpa hisab bersama pengikut-pengikutnya dari kalangan jinn dan manusia.


Maka dikatakan iblis kerana dia telah berputus asa dari Rahmat Allah sejak Allah Ta’ala melaknat dan mengusir dia dari Syurga akibat penderhakaannya.  


Nama asalnya Azazil (bahasa Ibrani) atau Haris (bahasa Arab).  Ini nama dia ketika dia beribadah bersama Malaikat di Syurga.  Sebaik sahaja dia ingkar perintah Allah dengan penuh takabbur, maka dia digelar iblis, iaitu yang berputus asa dari Rahmat Allah.  Dia di-La'nat oleh Allah dan dicampak keluar dari Syurga.  Iblis dan seluruh keturunannya adalah kafir semuanya dan akan dimasukkan ke dalam Neraka tanpa hisab.


Poin 3: Kerja Iblis:

Kerja iblis tiada lain melainkan membisikkan kesesatan kepada manusia.  Dia sentiasa berusaha menjadikan manusia ingkar kepada Allah Ta'ala.  


Poin 4: Tentera Iblis:

Tentera iblis terdiri dari tiga golongan:  

Pertama:   Syaitan — anak cucu keturunannya sendiri. 

Kedua:    Bangsa jinn yang kafir, fasiq dan sesat 

Ketiga:     Bangsa manusia yang kafir, fasiq dan sesat.


Bersambung siri 108 اِ نْ شَآ ءَ اللّه

____________________________

MAJLIS TAZKIRAH JILANI

   🌳🍁🕌🕌🕌🍁🌳

No comments:

Post a Comment

SIRI 127 KEWAJIPAN AMAL SYARI'AT DAN TORIQAT RASULULLAH ﷺ بِسْــــــــــــــــــمِ ﷲ الرَّحْمَنِ الرحيم اَلسَّلاَمُ عَلَيْكُمْ وَرَحْمَة...