■■■■■■■■■■■■■■■■■
PENYAKIT HATI
BAHAYA YANG TIDAK DISEDARI
(Siri 601)
■■■■■■■■■■■■■■■■■
بِسْــــــــــــــــــمِ ﷲ الرَّحْمَنِ الرحيم
اَلسَّلاَمُ عَلَيْكُمْ وَرَحْمَةُ اللهِ وَبَرَكَاتُهُ
Dosa besar 69:
Tafsir Al-Qur'an dengan
pendapat aqal, nafsu
.... sambungan.....
Penjelasan 8: Pandangan Ahli Ma'rifat
........................................................................
Selain dari keterangan Al-Qur’an dan Hadith Rasulullah ﷺ penjelasan yang diberikan oleh Ahli-Ahli Ma’rifat berhubung dengan Arasy adalah sangat menarik untuk dijadikan I’tibar dan panduan.
Sebagaimana telah maklum, Ahli Ma’rifat adalah hamba-hamba Allah yang mu’min yang telah sampai Hadrat Tuhan Yang Maha Suci tanpa sebarang hijab. Mereka diperlihatkan oleh Allah Ta’ala akan Zat-Nya Yang Maha Quddus, yang Laisa Kamithlihi Syai’un — tiada umpama sesuatu seperti-Nya.
Di atas Kemurahan-Nya, mereka juga diperlihatkan oleh Allah Ta’ala akan perbendaharaan-Nya yang tersembunyi… mereka dapat melihat dengan nyata akan keadaan dan hakikat Arasy, Kursi, Qalam, Luh Mahfuz bahkan sekalian alam ghaib, tanpa sebarang keraguan sedikit pun.
(1) Arasy adalah Tempat paling Indah, paling suci dan paling agung dari sekalian tempat yang diciptakan oleh Allah Ta’ala. Ianya dihiasi dengan cahaya Ketuhanan Yang Gilang Gemilang. Sesiapa yang melihatnya pasti terpesona, kerana tiada kata2 yang dapat mengungkapkan kehebatan dan keindahannya.
(2) Luasnya Arasy sejauh mata memandang, seolah-olah tiada penghujung. Apabila dilihat pada semua arah, depan belakang, kanan kiri, yang terlihat adalah lapangan luas yang tidak terjangkau oleh pandangan. Tiada yang mengetahui keluasannya melainkan Allah dan mereka yang diberi pengetahuan berkenaan dengannya.
(3) Arasy adalah Pusat Pemerintahan Allah Ta’ala memerintah makhluk-Nya. Allah Ta’ala menurunkan Perintah, Larangan dan Hukuman ke atas makhluk-Nya menurut Ilm (Ilmu), Iradah (Kehendak) dan Qudrah (Kekuasaan) Nya. Iaitu sekalian Taqdir yang tertulis pada Luh Mahfuz.
(4) Arasy adalah di antara makhluq Allah yang tidak dibinasakan. Ketika berlaku Hari Qiamat, sekalian makhluq akan binasa dan hancur lebur kecuali beberapa makhluq yang dimuliakan oleh Allah Ta’ala dan tidak dibinasakan.
Di antaranya:
Nur Muhammad, Ruh Ruhani, Arasy, Kursi, Luh Mahfuz, Qalam, Syurga dan Neraka.
(5) Arasy adalah tempat kemuliaan bagi hamba-hamba Allah yang mencapai Darjat Keimanan yang tertinggi. Orang Mu’min yang sampai ke martabat kesucian Tauhid yang sempurna, iaitu Maqam Ihsan, Maqam Taqwa, Maqam Shuhud yang sempurna… akan dipakaikan oleh Allah Ta’ala dengan pakaian kemuliaan “Raja-Raja” dan menjemput mereka (ruh mereka) ke Arasy-Nya yang Agung. Mereka adalah tetamu Allah yang amat istimewa. Walaupun jasad mereka di dunia, namun ruh mereka terbang tinggi merentasi sekalian alam untuk bertemu kekasih mereka, Rabbul Jalil.
Siapakah mereka ini?
Merekalah para Rasul-Rasul, Nabi-Nabi dan Ahli Ma’rifat pewaris Nabi yang sebenar…!
Semua Rasul, Nabi dan Ahli Ma’rifat sampai ke Hadrat Tuhan dengan ruh sahaja. Kecuali Junjungan Besar Nabi Muhammad yang diberi kemuliaan yang mengatasi segala kemuliaan makhluq, hadir di atas Arasy yang mulia dengan jasad berserta ruh Baginda… sehingga hal ini menjadi suatu pengkhususan dan Mu’jizat yang istimewa bagi Junjungan kita. Dan karomah (kemuliaan) bagi Auliya Allah.
Bersambung siri 602 اِ نْ شَآ ءَ اللّهُ
=======================
MAJLIS TAZKIRAH JILANI
🌳🍁🕌🕌🕌🍁🌳
No comments:
Post a Comment