Friday, November 04, 2022

■■■■■■■■■■■■■■■■■■■■■■■■■■■■■■■■■■■■■■■■■

PENYAKIT HATI BAHAYA YANG TIDAK DISEDARI

(Siri 54)

■■■■■■■■■■■■■■■■■■■■■■■■■■■■■■■■■■■■■■■■■


بِسْــــــــــــــــــمِ ﷲ الرَّحْمَنِ الرحيم

اَلسَّلاَمُ عَلَيْكُمْ وَرَحْمَةُ اللهِ وَبَرَكَاتُهُ


7.7  Dosa Besar ke-6:   Jahat Sangka kepada Allah

sambungan......


Kelapan : Orang kafir dan fasiq kaya-raya:

Jika kamu melihat orang yang kafir dan orang Islam yang fasiq sering melakukan kemungkaran, ma'siat dan menzalimi orang lain namun mereka hidup mewah dan kaya-raya, maka ketahuilah itu BUKAN Anugerah Allah, sebaliknya itu adalah istidraj, iaitu kelangsungan Allah Ta'ala membiarkan mereka tenggelam di dalam kekufuran.  Maka tak perlu bagi kamu teruja atau hairan dengan kekayaan orang kafir atau orang fasiq..... sebaliknya hendaklah kamu mohon perlindungan dari Allah Ta'ala daripada demikian.


Rasulullah   ﷺ  bersabda:


إِذَا رَأَيْتَ اللهَ تَعَالَى يُعْطِي الْعَبْدَ مِنَ الدُّنْيَا مَا يُحِبُّ وَهُوَ مُقِيمٌ عَلَى مَعَاصِيْهِ فَإِنَّمَا ذَلِكَ مِنهُ اسْتِدْرَاجٌ

“Apabila kamu melihat Allah Ta'ala Memberi kepada hamba daripada (perkara) dunia yang diinginkannya, sedangkan dia terus melakukan ma'siat kepada-Nya, maka (ketahuilah) bahawa yang demikian itu adalah istidraj (dari Allah)”

[Imam Ahmad, Imam At-Thabarani, Imam Baihaqi]


Kesembilan :  Hidup miskin walaupun ta'at:

Jika kamu termasuk orang yang ta'at kepada Allah dan telah berusaha sungguh2 dengan berbagai cara yang halal, dan kamu juga sentiasa berdoa agar dimurahkan rezeki tetapi belum diqabulkan oleh Allah Ta'ala, hidup tetap di dalam kemiskinan, tiada harta, tiada kenderaan yang baik seperti orang lain... maka  ketahuilah yang demikian itu setengah dari Kasih Sayang Allah untuk Kurniakan kamu kelebihan2 Akhirat.  Dan juga suatu bentuk kasih sayang dari Allah Ta'ala untuk jauhkan kamu dari berbagai ma'siat.   Boleh jadi,  jika Allah Ta'ala Kurniakan kamu kekayaan, kamu lupa diri, lalai dari zikrullah, abaikan ibadah2 fardhu.... maka Allah Ta'ala Yang Maha Mengetahui keadaan demikian Kurniakan hidup kamu dengan kekurangan harta.


Dari sudut lain, apa jua Yang Allah Ta'ala Taqdirkan kepada seorang yang beriman, sama ada miskin dan susah hidupnya atau kaya dan mewah hidupnya..  maka semua itu adalah kebaikan baginya.   


Rasulullah ﷺ bersabda :


عَجَبًا لأَمْرِ الْمُؤْمِنِ إِنَّ أَمْرَهُ كُلَّهُ خَيْرٌ وَلَيْسَ ذَاكَ لأَحَدٍ إِلاَّ لِلْمُؤْمِنِ إِنْ أَصَابَتْهُ سَرَّاءُ شَكَرَ فَكَانَ خَيْرًا لَهُ وَإِنْ أَصَابَتْهُ ضَرَّاءُ صَبَرَ فَكَانَ خَيْرًا لَهُ

“Sungguh menakjubkan keadaan seorang Mukmin. Seluruh urusannya itu baik. Ini tidaklah didapati kecuali pada seorang Mukmin. Jika mendapatkan kesenangan, maka dia bersyukur. Itu baik baginya. Jika mendapatkan kesusahan, maka dia bersabar. Itu pun baik baginya.” 

[Imam Muslim]


Perhatikanlah!

Renungilah semua keterangan ini dari hati yang benar2 terbuka, maka di sana akan terpancar cahaya kebenaran bahawa jahat sangka kepada Allah adalah sebesar2 kerugian dan kecelakaan. Sebaliknya sentiasa baik sangka atas apa jua Kurniaan Allah dan tetap berusaha kepada kebaikan dunia akhirat menurut Petunjuk Allah, Rasul-Nya dan panduan Ulama Mu'tabar, Ulama Pewaris Nabi yang sebenar.


Bersambung siri  55   اِ نْ شَآ ءَ اللّهُ

_________________________  

MAJLIS TAZKIRAH JILANI    

No comments:

Post a Comment

■■■■■■■■■■■■■■■■ PENYAKIT HATI BAHAYA YANG TIDAK DISEDARI (Siri 527) ■■■■■■■■■■■■■■■■■ بِسْــــــــــــــــــمِ ﷲ الرَّحْمَنِ الرحيم اَلسَّل...