Friday, November 04, 2022

■■■■■■■■■■■■■■■■■■■■■■■■■■■■■■■■■■■■■■■■■

PENYAKIT HATI BAHAYA YANG TIDAK DISEDARI

(Siri 55)

■■■■■■■■■■■■■■■■■■■■■■■■■■■■■■■■■■■■■■■■■


بِسْــــــــــــــــــمِ ﷲ الرَّحْمَنِ الرحيم

اَلسَّلاَمُ عَلَيْكُمْ وَرَحْمَةُ اللهِ وَبَرَكَاتُهُ


7.8  Dosa Besar ke-7:   Putus Asa dari Rahmat Allah


Putus asa dari Rahmat Allah adalah terkait rapat kepada penyakit "Jahat Sangka kepada Allah" sebagaimana bicara pada Siri yang lalu. Seseorang yang sering jahat sangka kepada Allah atas sesuatu yang menimpa dirinya, lama kelamaan akan terbawa2 kepada menyalahkan Allah Ta'ala sehingga akhirnya menjadi "putus asa dari Rahmat Allah" dan ini adalah kebinasaan yang amat berat.


Firman Allah :

قُلۡ يَـٰعِبَادِىَ ٱلَّذِينَ أَسۡرَفُواْ عَلَىٰٓ أَنفُسِهِمۡ لَا تَقۡنَطُواْ مِن رَّحۡمَةِ ٱللَّهِ‌ۚ إِنَّ ٱللَّهَ يَغۡفِرُ ٱلذُّنُوبَ جَمِيعًا‌ۚ إِنَّهُ ۥ هُوَ ٱلۡغَفُورُ ٱلرَّحِيمُ

"Katakanlah (wahai Muhammad): Wahai hamba-hambaKu yang telah melampaui batas terhadap diri mereka sendiri (dengan perbuatan-perbuatan maksiat), janganlah kamu berputus asa dari Rahmat Allah, kerana sesungguhnya Allah mengampunkan segala dosa; sesungguhnya Dialah jua Yang Maha Pengampun, lagi Maha Mengasihani."

[Az-Zumar (39) : Ayat 53]


Manusia umumnya tidak terlepas dari melakukan dosa.  Setengahnya melampau batas sehingga melakukan dosa yang tidak terhitung banyaknya. Ketika seseorang Islam itu sedar dosanya yang banyak, timbul perasaan kecewa dan mengutuk dirinya sendiri atas keterlanjurannya.  Setengah manusia yang terkena bisikan syaitan akan menjadi putus asa.   Syaitan akan membisik, "Engkau sudah membuat dosa yang banyak, engkau sudah hina, engkau tak mungkin dapat keampunan Tuhan dsb."  sehingga pendosa itu menjadi putus asa. 


Maka di sini,  Allah Ta'ala Yang Maha Pemurah dan Yang Maha Pengampun menawarkan keampunan bagi dosa2 hamba-Nya yang telah melampau batas.  Meskipun dosa sebanyak buih di lautan atau dosa setinggi gunung, Allah Ta'ala akan maafkannya.   Inilah kemurahan ALlah Ta'ala yang amat luas.


Jalan2 yang membawa putus Asa, Cara Merawat penyakit Putus Asa:


Huraian lanjut berkenaan cara2 seseorang terkena penyakit "Putus Asa dari Rahmat Allah", punca sebenar terjadi demikian dan cara2 merawatnya adalah sama seperti pada Tajuk "Jahat Sangka kepada Allah".  Dengan demikian tidak diulangi lagi di sini....  kecuali ada satu perkara yang dikaitkan secara khusus dengan "musibah" yang membawa kepada putus asa dari Rahmat Allah.


Firman Allah :

 وَإِن مَّسَّهُ ٱلشَّرُّ فَيَـُٔوسٌ۬ قَنُوطٌ۬ 

"Dan jika manusia mendapat kecelakaan, maka (tiba2) menjadi putus asa dan putus harapan".

[Fussilat (41) : ayat 49]


Selain daripada seseorang menjadi putus asa dari Rahmat Allah kerana dosa2nya yang lalu, terdapat hal lain dalam kehidupan manusia membawa kepada "putus asa", iaitu "musibah".   Orang yang terkena berbagai musibah seperti penyakit berat, kehilangan harta, kemusnahan sawah ladang, kemusnahan gedung perniagaan,  kehilangan harta perniagaan dsb akan menyangka Allah Ta'ala tidak adil.  Dalam hatinya berbisik mengapa dia terkena berbagai musibah sedangkan orang lain sihat dan kaya-raya.  Permainan di dalam jiwanya akan lebih menyala2 dengan bisikan Syaitan, maka jadilah dia orang yang putus asa dari Rahmat Allah.


Bersambung siri  56   اِ نْ شَآ ءَ اللّهُ

_________________________  

MAJLIS TAZKIRAH JILANI    

No comments:

Post a Comment

■■■■■■■■■■■■■■■■ PENYAKIT HATI BAHAYA YANG TIDAK DISEDARI (Siri 527) ■■■■■■■■■■■■■■■■■ بِسْــــــــــــــــــمِ ﷲ الرَّحْمَنِ الرحيم اَلسَّل...