Thursday, June 18, 2026

MENCARI MURSYID PEWARIS NABI YANG SEBENAR

بِسْــــــــــــــــــمِ ﷲ الرَّحْمَنِ الرحيم

اَلسَّلاَمُ عَلَيْكُمْ وَرَحْمَةُ اللهِ وَبَرَكَاتُهُ


FASAL 2 :

FAKTA-FAKTA PENTING BERKENAAN MURSYID


sambungan.....


Fakta 17 :  Mursyid dan Karomah

 

Rasul dan Nabi diteguhkan kedudukan mereka oleh Allah Ta’ala dengan Mu’jizat sedangkan Mursyid Pewaris Nabi diteguhkan kedudukan mereka oleh Allah Ta’ala dengan Karomah.  Fahami haqiqat ini.  Mu’jizat dan Karomah yang haq, kedua-duanya daripada Allah Ta’ala.  Ertinya perkara luar biasa yang terjadi kepada mereka serta melemahkan orang-orang yang membuat sepertinya…. ini semata-mata daripada Allah Ta’ala dan BUKAN dari usaha ikhtiar mereka.

 

Allah Ta’ala Kurniakan berbagai Mu’jizat kepada Rasul dan Nabi untuk menunjukkan kebenaran mereka bahawa mereka adalah sebenar-benar Utusan Allah dan sebagai Pertolongan Allah kepada mereka bagi mengalahkan orang kafir.  Demikian juga Allah Ta’ala Kurniakan kepada sekalian Mursyid Pewaris Nabi berbagai Karomah bagi memperteguhkan kedudukan mereka dan menunjukkan kepada manusia kebenaran bahawa mereka sememangnya Pewaris Nabi yang menyambung Risalah Nabi dan bukan pendusta.

 

Maksud di sini, Karomah bukan suatu yang dibuat-buat oleh Mursyid Pewaris Nabi, tetapi ianya benar-benar merupakan Kurnia Allah kepada mereka pada saat-saat tertentu bagi memperteguhkan kedudukan mereka dan sebagai penunjuk kepada Ummat Islam bahawa mereka adalah Pewaris Nabi yang Benar dan bukan pendusta.

 

Hal ini berbeza (jauh bezanya) dengan Ahli Sihir, Ahli Nujum, Bomoh dan seangkatannya yang melakukan berbagai keajaiban dengan menggunakan bantuan iblis dan tentera-tenteranya.  Fahami hakikat ini sungguh-sungguh supaya kamu tidak terpedaya dengan iblis dan kuncu-kuncu dia dari kalangan jinn dan manusia. 

 

Demikian lagi kebenaran ini wajib diperhatikan sungguh-sungguh agar tidak terpedaya dengan Mursyid PALSU, Sufi PALSU, ahli Ma’rifat PALSU yang menyamar di sebalik perbuatan-perbuatan sihir.  Mereka menyamar sebagai Mursyid dan menunjuk-nunjuk berbagai keajaiban dan kesaktian seperti kemampuan untuk memegang api dengan tangan, tetak tangan dengan parang tajam, menyelam di dalam air berjam-jam, menunjuk-nunjuk kemampuan terbang sana sini, kemampuan untuk hilang dari pandangan dan lain-lain perkara yang membuat manusia tercengang dan terpesona.  Mereka tertipu dan menipu daya Ummat.

 

Penjelasan lebih lanjut berkenaan istilah “Karomah”, Pembahagian Karomah, Karomah yang haq dan batil akan dihuraikan lebih lanjut pada bahagian-bahagian akan datang.  In Shaa Allah.

 

 Fakta 18 :  Tingkatan Mursyid

 

Setiap Mursyid Pewaris Nabi mempunyai Maqam dan Martabat masing-masing, tidaklah sama semuanya.  Ketinggian seseorang Mursyid bergantung kepada ketinggian keruhanian yang Allah Ta’ala Kurniakan kepada beliau.  Berikut kami sebutkan secara ringkas, 4 tingkatan Mursyid.


 (1)  Mursyid Maqam Asma’

·         Ini serendah-rendah tingkatan Mursyid.

·         Telah menerima pancaran Cahaya Asma’ - mencapai Maqam Tauhid  Asma'.

·         Diizinkan memimpin Jamaah Suluk selama 10 hari Sahaja.

·         Mampu memimpin murid sampai kepada Maqam Tauhid Af'al atau setinggi-tingginya kepada Maqam Tauhid Asma' Sahaja.


 (2) Mursyid Maqam Sifat

·         Ini adalah Mursyid tingkatan ke-2.

·         Telah menerima pancaran cahaya Sifat – Mencapai Maqam Tauhid Sifat.

·         Diizinkan memimpin Jamaah suluk selama 20 hari.

·         Mampu memimpin murid sampai kepada Maqam Tauhid Sifat.

 

 

(3) Mursyid Maqam Zat

·         Ini adalah Mursyid tingkatan ke-3.

·     Telah menerima pancaran cahaya Zat Allah - Mencapai Maqam musyahadah Zat.

·         Diizinkan memimpin Jamaah suluk selama 40 hari.

·      Mampu memimpin murid sampai Maqam Tauhid Zat (mengikut tingkatannya).

 

(4) Mursyid Kamil Mukaamil

·       Ini adalah Maqam Mursyid yang tertinggi, iaitu Mursyid yang mencapai maqam kesempurnaan pada Ma'rifat.

·       Memperoleh Maqam Tajalli Zat.

·       Boleh Memimpin Jama’ah suluk selama 40 hari.

·       Boleh memimpin manusia sehingga penghabisan Maqam Tauhid Zat atau Tajalli Zat.

·       Bilangan yang sampai ke Maqam Kaamil (sempurna) ini amat sedikit pada satu-satu zaman.  Tetapi pasti wujud, pada setiap zaman sampai Qiamat.

 

 

 Catitan Penting:

 

(1)    Tingkatan tersebut di atas adalah pembahagian menurut Maqam Tauhid, iaitu empat macam Tauhid.  Pada setiap tingkatan itu terdapat pecahan-pecahan Tingkatan lagi.

 

(2)    Setiap orang Mursyid yang Siddiq (Benar) yang dizahirkan oleh Allah mempunyai tanggungjawab dan amanah yang berat.  Beliau bukan saja perlu memelihara keluarga sendiri, tetapi lebih dari itu perlu korban masa, tenaga, wang ringgit demi memelihara Ummat ini.

 

(3)    Setiap Mursyid yang Siddiq (Benar) akan tetap istiqomah mematuhi hukum-hukum dan Syari'at dan adab-adab Ma'rifat.

 

(4)    Maqam-maqam Mursyid ini tidak boleh diminta-minta dan tidak boleh ditolak apabila mendapat isyarat pelantikan.

 

(5)    Untuk mengenali Mursyid yang Siddiq (Benar) seseorang perlu mengetahui syarat dan sifat-sifat yang wajib ada pada seseorang yang digelar Mursyid.  Di samping itu mereka perlu istikharah mohon petunjuk Allah.

 

  (6)    Setiap Mursyid yang Siddiq adalah di dalam pemeliharaan Allah Ta'ala (mahfuz).            Ertinya mereka berpegang teguh dengan hukum Syari'at dan adab Toriqat.  Walau             bagaimanapun kemungkinan terjadi kesilapan-kesilapan kecil padanya, namun                 beliau akan Taubat pada ketika itu juga.

 

(7)    Setiap Muslim wajib berusaha mencari Mursyid yang akan membimbingnya kepada Hidayah Allah dan keimanan.

 

 

 Fakta 19 :  Berpegang Teguh Dengan Syari’at dan Toriqat Rasulullah  ﷺ

Sesungguhnya fakta ini merupakan sebahagian dari sifat Mursyid yang Benar, terbeza dari Mursyid PALSU.  In shaa Allah akan datang penjelasan lanjut.

 

Sebagaimana kami sebutkan pada Muqaddimah kitab ini, setiap Mursyid adalah Pilihan Allah Ta’ala, BUKAN pilihan manusia, BUKAN pilihan pemerintah Negara, BUKAN pilihan Jabatan Agama, BUKAN pilihan parti-parti politik atau lain-lain – mereka ini semua tiada kaitan dan tiada kuasa apa pun di dalam pemilihan dan perlantikan seorang Mursyid Pewaris Nabi.  Bahkan Guru mereka (yang merupakan Mursyid Pewaris Nabi yang mempunyai silsilah perguruan sampai Rasulullah ) juga tiada kuasa apa-apa untuk menentukan seseorang sebagai Pewaris Nabi.  Ia semata-mata Pilihan Allah yang di-Ilhamkan oleh Allah kepada Gurunya yang arif.

 

Oleh yang demikian Mursyid BUKAN Ulama politik kotor dunia, Mursyid BUKAN guru silat,  Mursyid BUKAN ahli hakikat palsu, Mursyid BUKAN perawat sakti, Mursyid BUKAN ahli silap mata, Mursyid BUKAN guru ilmu abjad, Mursyid BUKAN Ahli Petapa  (reiki, budi suci, kundalini, cakra dan lain-lain yang jelas berlawanan dengan Ahlus Sunnah).  Sebaliknya Mursyid Pewaris Nabi yang Siddiq adalah semata-mata hamba Pilihan Allah yang mewarisi Rasulullah , berpegang teguh kepada Al-Qur’an, Sunnah dan Ijma Qias Ulama.

 

Mereka adalah Ulama Billah, Kekasih Allah yang berpegang teguh kepada hukum-hakam Syari’at dan adab-adab Ma’rifat.  Mereka bersungguh-sungguh mempertahankan Syari’at dan Toriqat Rasulullah .  Mereka tidak sewenang-wenang melanggar Syari’at sebaliknya merekalah yang menanggung dan mempertahankan Syari’at Rasulullah dengan nyawa mereka.  Mereka tidak akan “menjual Agama” dengan harga yang murah sepertimana yang dilakukan oleh “Ulama” politik dunia yang keji.  Mereka tidak sesekali memutarbelitkan ayat Qur’an demi sesuap dunia yang hina.

 

Mana-mana Guru yang mendakwa diri dia Mursyid atau orang lain mengangkat dia sebagai Mursyid tetapi TIDAK memenuhi syarat-syarat seorang Mursyid, TIDAK mematuhi Peraturan dan Adab Ma’rifat, TIDAK berpegang kepada hukum Syari’at atau adab Toriqat yang telah ditetapkan oleh Masyaikh terdahulu, maka dia BUKAN Mursyid Pewaris Nabi yang sebenar.  Sebaliknya dia adalah Mursyid PALSU atau Sufi PALSU atau Pendusta Agama.

 

Menurut Al-Imam Sulton Auliya Shaikh Abdul Qodir Jilani Radhiallahu Anhu, sufi PALSU dan Guru PALSU lebih merbahaya dari Guru sesat kerana Guru yang tersesat jalan sudah dikenali orang ramai sebagai sesat, maka manusia akan menjauhinya.  Sedangkan Mursyid PALSU atau sufi PALSU adalah di dalam penyamaran sehingga orang awam tertipu dan masuk perangkap iblis.  Akan datang penjelasan lanjut bab ini pada halaman-halaman akan datang.  In shaa Allah.



Fakta 20 :  Mursyid dan Maqam Kewalian

 

Setiap seorang Mursyid menduduki Maqam Kewalian, iaitu Kekasih Allah sebagaimana Allah Ta’ala menyebut berkenaan para Auliya Allah.  Mereka tiada takut apa pun, melainkan Allah.  Mereka sentiasa di dalam keadaan Mukasyafah - melihat Zat Allah Yang Maha Suci di Hadratul Quddus (Hadrat Ketuhanan Yang Maha Suci) tanpa kaifiyyat apa pun mampu menyatakan keberadaan-Nya.

 

Firman Allah Ta'ala:

 

أَلاۤ إِنَّ أَوْلِيَآءَ ٱللَّهِ لاَ خَوْفٌ عَلَيْهِمْ وَلاَ هُمْ يَحْزَنُونَ.  ٱلَّذِينَ آمَنُواْ وَكَانُواْ يَتَّقُونَ.  لَهُمُ ٱلْبُشْرَىٰ فِي ٱلْحَياةِ ٱلدُّنْيَا وَفِي ٱلآخِرَةِ لاَ تَبْدِيلَ لِكَلِمَاتِ ٱللَّهِ ذٰلِكَ هُوَ ٱلْفَوْزُ ٱلْعَظِيمُ

 

"Ketahuilah! Sesungguhnya para Auliya Allah itu, tidak ada ketakutan (dari sesuatu yang tidak baik) terhadap mereka dan mereka pula tidak akan berdukacita.  Mereka (Wali-wali Allah itu ialah) orang-orang yang beriman (Mu'min sejati) serta mereka pula sentiasa bertaqwa (sebenar-benar Taqwa).  Bagi mereka diberi berita gembira di dalam kehidupan dunia dan di Akhirat; tidak ada sebarang perubahan pada janji-janji Allah yang demikian itulah kejayaan yang besar.”

[Yunus (10) : Ayat 62-64]

 

Kata Ibn Abbas Radhiallahu Anhu:

Sesungguhnya mereka yang benar-benar beriman (mencapai Keimanan Sejati) adalah Auliya Allah (Kekasih Allah) yang tiada takut apa pun terhadap sesuatu yang mendatang, dan tiada dukacita terhadap suatu yang mereka tinggalkan di belakang.  Kemudian Allah tegaskan lagi bahawa mereka yang dimaksudkan adalah orang-orang yang beriman (benar-benar beriman) dan bertaqwa    (sebenar Taqwa)     kepada      Allah.         Kalimat

ٱلْبُشْرَىٰ "  (Al-Busyra), khabar gembira bermaksud dua macam kebahagiaan ; Pertama :  kebahagiaan di dunia dengan mendapat mimpi-mimpi benar.  Kedua : jaminan masuk syurga (tanpa hisab).  Yang demikian itu adalah jaminan Allah kepada mereka.  Dan itulah sebesar-besar kemenangan.

[Tafsir Ibn Abbas]

 

Maksud perkataan Ibn Abbas “benar-benar beriman” adalah :  Orang-orang yang telah mencapai Keimanan sejati, Tauhid yang hakiki  yang suci bersih  daripada segala macam syirik (syirik khafi), Mazmumah (sifat keji).  Mereka telah mencapai Tingkatan Maqam Tauhid Af’al yang suci bersih daripada sekalian syirik khafi (syirik tersembunyi) - Takabbur, ‘Ujub, Riya’, Sum’ah, dan Tawakkal bi Ghairillah.  Mereka juga suci bersih daripada segala macam kekejian seperti khianat, dusta, adu domba, fitnah, mengumpat dan lain-lain.  Allah Ta’ala memilih mereka dan Anugerahkan mereka beberapa banyak kelebihan mengatasi manusia-manusia lainnya.

 

Semua macam kemuliaan, kelebihan dan kebaikan ini tidak akan tercapai melainkan seseorang mujahadah menurut Jalan Ma’rifat – satu-satunya Jalan Suci Rasulullah , menurut Syarat-syarat dan adab-adabnya, dengan penuh keikhlasan mencari Wajah Allah semata-mata dengan pimpinan Guru yang benar-benar ‘Arif, iaitu Mursyid Pewaris Nabi yang Siddiq.

 

Kalimah " ٱلْبُشْرَىٰ  " (khabar gembira) ditafsirkan oleh Ibn Abbas dengan dua macam kebahagiaan.  Maksud beliau dengan dua macam kebahagiaan adalah dua macam “Syurga”, iaitu :  Syurga pertama adalah Syurga di Akhirat (setelah kematian).  Syurga kedua adalah “Syurga yang disegerakan” di dunia ini lagi, iaitu “Syurga melihat Allah” atau disebut ‘Syurga berserta Allah” atau disebut “Syurga berkasih-kasih dengan Allah” sehingga mereka tiada cita-cita apa pun selain Allah.  Mereka tiada takut apa pun ketika hayat mereka di dunia ini, hanya Allah semata-mata.

 

Mereka inilah Kekasih Allah yang sentiasa mendapat Rahmat Perlindungan dan Keselamatan.  Mereka sentiasa di dalam Pemeliharaan Allah daripada kesesatan atau kesalahan-kesalahan.  Mereka dipelihara oleh Allah daripada terjerumus kepada dosa-dosa besar atau kefasikan.  Tetapi kemungkinan terjadi kesalahan-kesalahan kecil yang di-Taqdirkan oleh Allah ke atas mereka.  Walau bagaimanapun, mereka akan bertaubat pada seketika itu juga. Bagi Rasul dan Nabi, hal ini dinamakan  Ma'sum dan bagi Auliya Allah yang lain, ia dinamakan Mahfuz. 


Berkata Al-Imam Sulton Auliya Shaikh Abdul Qodir Jilani Radhiallahu anhu:

"Para Nabi dan Wali Allah tidak luput dari kegelinciran.  Hanya para Nabi adalah Ma'sum terpelihara dari dosa besar setelah diangkat menjadi Nabi dan Rasul.  Sedangkan para Wali Allah tidaklah ma'sum tetapi mereka adalah di sebut Mahfuz, dipelihara oleh Allah daripada dosa-dosa besar setelah darjat kewaliannya sempurna."

[Sirrul Asrar]

 

Sekalian hamba Allah yang di-Pilih oleh Allah menjadi Mursyid Pewaris Nabi yang Siddiq, adalah Auliya Allah.  Namun mereka tidak dimasyhurkan sebagai Auliya Allah ketika mereka masih hidup.  Gelaran Auliya Allah hanya dimasyhurkan ke atas mereka setelah kewafatan mereka.  Ini adalah penjagaan agar istilah “Auliya Allah” tidak digunakan sewenang-wenang oleh Guru PALSU.  Sufi PALSU atau Mursyid PALSU gemar menggunakan gelaran-gelaran kewalian untuk mengaut keuntungan duniawi atau kerana ingin masyhur pada pandangan manusia.

 

Masyaikh Ahlus Sunnah sangat tegas di dalam hal ini kerana Sufi PALSU atau Mursyid PALSU menipu ummat Islam dan membawa mereka kepada kesesatan. Walau bagaimanapun terdapat pengecualian di dalam hal ini.  Iaitu seorang Mursyid yang telah mencapai Maqam Kewalian yang luar biasa tingginya mungkin mengisytiharkan akan kewalian beliau apabila beliau menerima isyarat Petunjuk Allah.  Namun perkara ini amat jarang terjadi.  Di dalam Sejarah Ummat, di antara Mursyid yang mengisytiharkan kewalian beliau (setelah menerima Petunjuk Allah) adalah: 

 

Al-Imam Sulton Auliya Shaikh Abdul Qodir Jilani Radhiallahu anhu, kata beliau:

“  قدمی ھذه علی رقبة کل ولی الله  “ 

(Tapak kakiku berada di atas tengkuk sekalian Auliya Allah).

 

Sememangnya terbukti beliau telah mencapai Maqam Kewalian yang amat tinggi.  Bukti kebenaran kata-kata beliau adalah :  Ketika beliau isytiharkan demikian di Kota Baghdad, maka seketika itu juga sekalian Mursyid-mursyid satu dunia dapat mendengar suara beliau lalu mereka menundukkan kepala mereka tanda mereka akur kepada Ketinggian beliau sebagai Mahkota Auliya.

[Nukilan: Kitab Qala'id Al-Jawahir - Shaikh Yahya Tadhifi]

 

Demikianlah 20 Fakta Agung berkenaan Mursyid Pewaris Nabi yang Siddiq yang sempat kami nukil berdasarkan Al-Qur’an, Sunnah berserta Tafsir Ulama Ahlus Sunnah yang Mu’tabar …. Di antaranya Ulama-ulama Agung yang harum nama mereka sepanjang zaman; Ibn Abbas, Al-Imam Sulton Auliya Shaikh Abdul Qodir Jilani, Imam Ghazali, Imam Fahruddin Ar-Razi dan lainnya yang tiada siapa pun layak mempertikaikannya.

 

Adapun mereka yang seringkali mempertikaikan kewujudan Pewaris Nabi yang Siddiq (Benar), serta mempertikaikan berbagai kemuliaan yang Allah Ta’ala Kurniakan kepada mereka, hanyalah Golongan Wahhabiyyah (Khawarij), Syi’ah (Rafidhi), Sekular dan lain-lain yang telah buta dari melihat kebenaran.  Wal IyazuBillah.  Sesungguhnya yang buta itu bukanlah buta mata kepala, tetapi yang buta itu adalah buta “mata hati”.  Hati mereka telah menjadi kelam, gelap, buta dan mati.  Wal Iyazubillah.

 

Firman Allah:

 

وَمَن كَانَ فِى هَـٰذِهِۦٓ أَعْمَىٰ فَهُوَ فِى ٱلْـَٔاخِرَةِ أَعْمَىٰ وَأَضَلُّ سَبِيلًۭا

“Barangsiapa yang  buta (Hatinya) di dunia ini, niscaya di Akhirat (nanti) ia akan lebih buta (pula) dan lebih tersesat dari jalan (yang benar).”

[Al-Isra’ (17) : Ayat 72]

 

Firman Allah:

 

 فَاِنَّهَا لَا تَعْمَى الْاَبْصَارُ وَلٰكِنْ تَعْمَى الْقُلُوْبُ الَّتِيْ فِى الصُّدُوْرِ

 

"Sesungguhnya bukan mata (kepala) itu yang buta, tetapi yang buta ialah hati yang di dalam dada."

[Al-Hajj (22) : Ayat 46]

 

Fasal 2 - Selesai



 ......bersambung ke Fasal 3....... اِ نْ شَآ ءَ اللّه


  

No comments:

Post a Comment

MENCARI MURSYID PEWARIS NABI YANG SEBENAR

بِسْــــــــــــــــــمِ ﷲ الرَّحْمَنِ الرحيم اَلسَّلاَمُ عَلَيْكُمْ وَرَحْمَةُ اللهِ وَبَرَكَاتُهُ FASAL 2 : FAKTA-FAKTA PENTING BERKENAAN ...