Monday, April 06, 2026

SIRI 161


KEWAJIPAN AMAL SYARI'AT DAN TORIQAT RASULULLAH ﷺ


بِسْــــــــــــــــــمِ ﷲ الرَّحْمَنِ الرحيم

اَلسَّلاَمُ عَلَيْكُمْ وَرَحْمَةُ اللهِ وَبَرَكَاتُهُ


Bab 3: Sistem Tarbiyyah dan Tazkiyyah Jalan Ma'rifat


Fasal 7: Silibus Pendidikan Jalan Ma'rifat


Pengenalan:

Sebagai peringatan semula:  

Matlamat Jalan Ma'rifat dan Mursyid adalah memimpin manusia Mengenal Allah, iaitu bertauhid kepada Allah dengan Tauhid yang hakiki dan Ubudiyyah kepada-Nya dengan tulus hati, yang juga disebut Ma’rifat, sehingga menjadi hamba Allah yang benar-benar Bertaqwa, di-Redhai dan di-Kasihi Allah.


Yang dimaksudkan dengan "Jalan Ma'rifat" adalah "Jalan Rasulullah",  "Manhaj Pendidikan Al-Qur'an dan Sunnah Rasulullah ﷺ " yang diwarisi turun-temurun oleh sekalian Masyaikh Ahlus Sunnah daripada Junjungan Nabi ﷺ, tanpa putus atau cacat cela, yang benar-benar terpelihara keaslian dan kesuciannya. 


Proses pencapaiannya adalah melalui “penyucian hati” daripada sekalian kekotoran ma'nawiyyah            (Syirik khafi, Mazmumah, Ghaflah, Aghyar). Pembinaan jiwa-jiwa murni yang bercahaya dengan cahaya Ketuhanan, sehingga akhirnya mencapai Ma'rifat (tauhid yang hakiki, keimanan sejati) dan Ubudiyyah (perhambaan) setulus hati. 


Sistem Pendidikan Mursyid Pewaris Nabi yang Siddiq dengan kaedah Jalan Ma'rifat jauh beza dengan sekalian sistem Pendidikan ciptaan aqal manusia – perbezaannya bagaikan langit dan bumi.  Ini kerana Sistem Pendidikan Jalan Ma'rifat bersumber dari _Nur Nubuwwah_ (Cahaya Kenabian — Warisan Rasululullah ﷺ kepada para Sahabat Ridhwanullah) dan dipindahkan kepada Pewaris-pewaris Nabi seterus dan seterusnya dengan kaedah yang terpelihara keaslian dan kesuciannya sebagaimana kami huraikan sebelumnya.


Setelah kamu memahami hal demikian, maka fahamilah bahawa seluruh Manhaj Pendidikan Mursyid pada Jalan Ma'rifat sentiasa berdiri teguh di atas Syari’at dan Toriqat Rasulullah ﷺ serta di dalam Limpahan Cahaya Rabbaniyyah dan pimpinan Ruhaniyyah Rasulullah ﷺ.  Ertinya mereka tidaklah melakukan sesuatu melainkan setiap langkah mereka di dalam pimpinan Allah dan Rasul-Nya. 


Silibus Pendidikan Mursyid Pewaris Nabi yang Siddiq meliputi kaedah dan latihan-latihan khusus yang diwarisi dari Nabi ﷺ (Zahir dan Batin) bagi menyempurnakan matlamat tersebut.  Sebahagian daripada kaedah-kaedah tersebut disuratkan (ditulis di dalam kitab-kitab) tetapi sebahagian besar daripadanya tidak ditulis tetapi di dalam dada mereka (Mursyid Pewaris Nabi yang Siddiq).  


Jika engkau bertanya mengapakah demikian? 

Maka jawapannya adalah : Sebahagian besar daripadanya tiada Bahasa untuk disuratkan kerana ia bersifat Haqiqat.  Ia semata-mata limpahan keruhanian dari dada Pewaris Nabi ke dalam dada Salikin. 


Sementara sebahagian lagi boleh disuratkan tetapi dilarang untuk menulisnya kerana rahsia Ketuhanan adalah haram disebarkan pada umum dan akhir sekali untuk mengelakkan daripada manusia awam menyalahgunakan ilmu tersebut untuk tujuan-tujuan jahat. 


Tiga Bentuk Latihan Khusus:


Kaedah dan latihan khusus pada Jalan Ma'rifat tertumpu kepada 3 bentuk yang juga merupakan 3 tingkatan Latihan:


Pertama  :  Zikrullah (berserta Solawat dan Taubat)

Kedua  :  Muraqabah

Ketiga  :  Musyahadah


Silibus bagi ketiga-tiga bentuk Latihan ini tersusun lengkap bermula dari peringkat Mubtadi (tingkatan permulaan), Mutawassit (pertengahan) dan Muntahi (tingkatan kesudahan).  Keseluruhan sistem ini hanya wujud pada Jalan Ma'rifat di tangan Mursyid Warisatul Anbiya yang Siddiq,  sebahagiannya disuratkan (ditulis di dalam kitab-kitab atau risalah-risalah) dan sebahagian lagi hanya wujud di dalam dada Pewaris Nabi (tidak disuratkan atau ditulis), sebagai suatu rahsia Ketuhanan yang menjadi Amanah terbesar atas Pewaris Nabi.  


Rahsia-rahsia Ketuhanan ini hanya akan dilimpahkan kepada manusia-manusia Terpilih khusus oleh Allah, yang benar-benar layak menerimanya. 


Bersambung siri 162 اِ نْ شَآ ءَ اللّه

____________________________

MAJLIS TAZKIRAH JILANI

     🌳🍁🕌🕌🕌🍁🌳

SIRI 160


KEWAJIPAN AMAL SYARI'AT DAN TORIQAT RASULULLAH ﷺ


بِسْــــــــــــــــــمِ ﷲ الرَّحْمَنِ الرحيم

اَلسَّلاَمُ عَلَيْكُمْ وَرَحْمَةُ اللهِ وَبَرَكَاتُهُ


Bab 3: Sistem Tarbiyyah dan Tazkiyyah Jalan Ma'rifat


Fasal 6: Matlamat Pendidikan Jalan Ma'rifat


(2) Matlamat Cabang Pendidikan Jalan Ma'rifat.

sambungan....



Perhatian dan amaran:

Pada zaman ini berbagai pendapat dan pendirian Ummat Islam berhubung dengan istilah “Ma’rifat”.  Sebahagiannya memandang sinis atau curiga.  Sebahagian lagi menganggap ia hanya sesuai untuk orang-orang tua.  Ada yang mengatakan ia terlalu tinggi untuk dibicarakan.  Bahkan ada juga yang terlalu jahil sehingga menuduhnya sebagai ajaran sesat.  Wal Iyazubillah.  Sedangkan menurut pendirian Ahlus Sunnah turun-temurun, semua istilah-istilah ini (Syari’at, Toriqat, Haqiqat, Ma’rifat, Tasawwuf, Ihsan, Taqwa) dan beberapa istilah yang sering digunakan oleh sekalian Masyaikh Ahlus Sunnah adalah saling berkait dan bersumber dari Al-Qur’an, Sunnah Rasulullah ﷺ dan Ijma’ Qias Ulama Mu’tabar.  Itulah keseluruhan Agama yang wajib dipegang dan disempurnakan oleh setiap orang yang mengaku beriman.


Malangnya pada zaman ini, istilah “Ma’rifat” yang merupakan Matlamat insan dijadikan oleh Allah Ta’ala dipandang remeh dan kehinaan.  Mereka memperolok-olok istilah Ma’rifat dan sekalian yang berkait dengannya. Sesungguhnya mereka inilah pendusta-pendusta Agama, meskipun mereka ini bergelar Professor, Kiyai, Mufti, Qadhi atau lainnya.  Mereka ini serupa dengan golongan kafir yang mengejek-ngejek Rasulullah ﷺ.  Imam Ghazali menyebutkan hal ini di dalam kitab “Munqiz-Min-Adh-Dholal”.


Berkata Imam Ghazali Radhiallahu Anhu:

“Di luar mereka (iaitu orang Islam yang ingkar akan segala hal ehwal Ma’rifat) adalah orang-orang jahil menolak semua itu dari dasarnya dan merasa hairan mendengar kisahnya.  Mendengar sambil mengejek dan menganggapnya sebagai omong kosong.  Tentang mereka itu Allah Taala berfirman:


وَمِنۡہُم مَّن يَسۡتَمِعُ إِلَيۡكَ حَتَّىٰٓ إِذَا خَرَجُواْ مِنۡ عِندِكَ قَالُواْ لِلَّذِينَ أُوتُواْ ٱلۡعِلۡمَ مَاذَا قَالَ ءَانِفًا‌ أُوْلَـٰٓٮِٕكَ ٱلَّذِينَ طَبَعَ ٱللَّهُ عَلَىٰ قُلُوبِہِمۡ وَٱتَّبَعُوٓاْ أَهۡوَآءَهُمۡ


"Dan di antara mereka yang mendengar ajaran-mu (dengan sambil lewa), sehingga apabila mereka keluar dari sisi-mu berkatalah mereka (secara mengejek-ejek) kepada orang-orang yang diberi ilmu;  Apa yang dikatakan oleh Muhammad tadi?  Mereka itu ialah orang-orang yang telah dimeteraikan Allah atas hati mereka dan ialah orang-orang yang menurut hawa nafsunya.”

[Muhammad (47) : Ayat 16]


أُوْلَـٰٓٮِٕكَ ٱلَّذِينَ لَعَنَهُمُ ٱللَّهُ فَأَصَمَّهُمۡ وَأَعۡمَىٰٓ أَبۡصَـٰرَهُمۡ


“(Orang-orang yang melakukan perkara yang tersebut) merekalah yang dilaknat oleh Allah serta ditulikan pendengaran mereka dan dibutakan penglihatannya.”

[Muhammad (47) : Ayat 23]

[Tamat Nukilan dari  KItab Munqiz Ala-Adh Dholal]


Bersambung siri 161 اِ نْ شَآ ءَ اللّه

_____________________________

MAJLIS TAZKIRAH JILANI

   🌳🍁🕌🕌🕌🍁🌳

SIRI 159


KEWAJIPAN AMAL SYARI'AT DAN TORIQAT RASULULLAH ﷺ



بِسْــــــــــــــــــمِ ﷲ الرَّحْمَنِ الرحيم

اَلسَّلاَمُ عَلَيْكُمْ وَرَحْمَةُ اللهِ وَبَرَكَاتُهُ


Bab 3: Sistem Tarbiyyah dan Tazkiyyah Jalan Ma'rifat


Fasal 6: Matlamat Pendidikan Jalan Ma'rifat


(2) Matlamat Cabang Pendidikan Jalan Ma'rifat

Selain dari Matlamat pokok dari segala Pendidikan Jalan Ma'rifat, terdapat beberapa matlamat cabang yang kesemuanya kembali kepada Matlamat pokok tadi, iaitu:


(1)   Memperoleh hati yang benar-benar suci bersih. 

(2)   Memperoleh hati yang sentiasa Zikir mengingat Allah setiap masa. 

(3)   Mencapai Khusyu’ di dalam solat (dan ibadah yang lain). 

(4)   Mencapai Ikhlas yang hakiki di dalam setiap pekerjaan dan Ibadah.

(5)   Mengenal Ahlus Sunnah yang benar dan jauhi firqah-firqah sesat.

(6)   Mencapai sifat-sifat mahmudah (kepujian) dan terhapus sifat mazmumah (kekejian).

(7)   Memperoleh hati yang benar-benar bersih dari Syirik khafi (syirik tersembunyi).

(8)   Memperoleh hati bercahaya sehingga terhapus hijab-hijab hati menghalang manusia dari Taqarrub Ilallah, iaitu hampir kepada Allah. 

(9)   Mencapai ketenangan di dalam kehidupan. 

(10) Selamat dari bisikan dan gangguan jinn syaitan. 


Apabila diperhatikan secara mendalam, setiap satu daripada matlamat cabang ini adalah Perintah Allah Ta’ala.  Dan kesemuanya kembali kepada matlamat utama, iaitu Ma’rifat (Tauhid, Iman) dan Ubudiyyah (perhambaan Mutlaq) kepada Allah Ta’ala, menjadi hamba Allah yang benar-benar Bertaqwa, di-Redhai dan di-Kasihi Allah.


Bersambung siri 160 اِ نْ شَآ ءَ اللّه

_____________________________

MAJLIS TAZKIRAH JILANI

   🌳🍁🕌🕌🕌🍁🌳

SIRI 158


KEWAJIPAN AMAL SYARI'AT DAN TORIQAT RASULULLAH ﷺ



بِسْــــــــــــــــــمِ ﷲ الرَّحْمَنِ الرحيم

اَلسَّلاَمُ عَلَيْكُمْ وَرَحْمَةُ اللهِ وَبَرَكَاتُهُ


Bab 3: Sistem Tarbiyyah dan Tazkiyyah Jalan Ma'rifat


Fasal 6: Matlamat Pendidikan Jalan Ma'rifat


_1) Matlamat Utama Pendidikan Jalan Ma'rifat.

Sambungan...



Al-Imam Sulton Auliya Shaikh Abdul Qodir Jilani Radhiallahu Anhu menjelaskan darihal ayat ini:


"Ada dua macam ilmu yang diturunkan kepada kita.  

Pertama Ilmu Zahir, disebut Syari'at.     

Kedua Ilmu Batin, disebut Ma'rifat atau Toriqat. 

Syari'at untuk jasad kita dan Ma'rifat (yang terbit dari Toriqat) adalah untuk batin.  Kedua-duanya WAJIB dipadu dan dari perpaduannya membuahkan Haqiqat.  Seperti halnya pohon dan daunnya yang menghasilkan buah.  Sebagaimana Firman-Nya di dalam Surah Ar Rahman: ayat 19 (مَرَجَ ٱلۡبَحۡرَيۡنِ يَلۡتَقِيَانِ).  Dengan ilmu zahir sahaja, manusia tidak akan mencapai Haqiqat dan tidak akan sampai kepada Matlamat Ubudiyyah.  Ubudiyyah yang benar dan sempurna hanya akan wujud oleh perpaduan antara Ilmu Zahir (Syari'at Rasulullah ﷺ) dan Ilmu Batin (Toriqat Rasulullah ﷺ).  Dengan ini dapat menyempurnakan tuntutan Ma'rifat dan Ubudiyyah sebagaimana Firman Allah "وَمَا خَلَقْتُ الْجِنَّ وَالْإِنْسَ إِلَّا لِيَعْبُدُونِ". 

[Tamat Nukilan dari Kitab Sirrul Asrar]


Di dalam bahasa yang mudah difahami:

Tujuan Penciptaan manusia adalah untuk Mengenal Allah dengan sebenarnya, yakni Ma'rifat.  Untuk memperoleh "Ma'rifat" dan seterusnya "Ubudiyyah" yang hakiki, setiap orang beriman wajib mempelajari dan amalkan kedua-dua Ilmu yang diterima dari Junjungan Besar Rasulullah ﷺ, iaitu Ilmu Zahir (Syari'at) dan Ilmu Batin (Toriqat) dengan pimpinan Mursyid yang Siddiq.


Jika seseorang hanya amalkan Ilmu Zahir (Syari'at) sahaja dan tinggalkan Ilmu Batin (Toriqat) atau dia hanya amalkan Ilmu Batin (Toriqat) sahaja dan abaikan Ilmu Zahir (Syari'at), maka dia sama sekali tidak akan dapat Mengenal Allah dengan sebenar dan tidak mungkin dapat Ubudiyyah (perhambaan diri) di dalam erti kata yang sebenar sebagaimana yang dituntut oleh Allah.  Bahkan orang-orang seperti ini di dalam bahaya kebinasaan Iman. 


Ringkasnya:

Matlamat pokok Pendidikan Mursyid Pewaris Nabi yang Siddiq tidak lain melainkan menyempurnakan tujuan Allah Ta’ala menciptakan manusia atas muka bumi, iaitu Ma’rifat dan Ubudiyyah kepada Allah Ta’ala setulus hati.


Bersambung siri 159 اِ نْ شَآ ءَ اللّه

_____________________________

MAJLIS TAZKIRAH JILANI

   🌳🍁🕌🕌🕌🍁🌳

SIRI 157


KEWAJIPAN AMAL SYARI'AT DAN TORIQAT RASULULLAH ﷺ


بِسْــــــــــــــــــمِ ﷲ الرَّحْمَنِ الرحيم

اَلسَّلاَمُ عَلَيْكُمْ وَرَحْمَةُ اللهِ وَبَرَكَاتُهُ


Bab 3: Sistem Tarbiyyah dan Tazkiyyah Jalan Ma'rifat


Fasal 6: Matlamat Pendidikan Jalan Ma'rifat


(1) Matlamat Utama Pendidikan Jalan Ma'rifat.

Sambungan...



Terkait dengan Perintah Allah ini, terdapat dua perkara yang menjadi kekeliruan Ummat Islam sehingga sebahagian daripada mereka ghurur (tertipu) dan sebahagian lagi menjadi fasiq (berdosa besar) dan sebahagian lagi jatuh kepada Firqah-firqah sesat.  Wal Iyazubillah. 


Kekeliruan Pertama: Gagal Memahami Pengertian Tauhid

Menurut pendirian Ahlus Sunnah, orang beriman terbahagi kepada beberapa tingkatan.  Sebahagiannya beriman berdasarkan pemikiran aqal, iaitu berdasarkan dalil dan bukti yang mampu difahami aqal.  Ini adalah tingkatan Iman orang awam. 

Tauhid “orang awam” ini tidak tetap, sebaliknya terumbang-ambing di antara keimanan dan kesyirikan (syirik khafi).  Mereka amat sukar untuk memperoleh khusyu’ di dalam solat.  Mereka tak mampu untuk mencapai “Ikhlas” di dalam erti kata yang sebenar.  Mereka sentiasa bergelumang di dalam ‘ujub, riya’, sum’ah, takabbur dan lain-lain.  Kebanyakan orang Islam berada pada tingkatan ini. 


Sebahagian hamba Allah yang lain beriman kepada Allah dengan penghayatan hati dan ruh.  Iaitu hati dan ruh mereka menyaksikan Kewujudan Allah tanpa sebarang syarat atau kaifiyyat yang mampu dihuraikan.  Ia semata-mata pancaran Cahaya Ketuhanan di dalam hati mereka.  Dan inilah Tauhid yang sebenarnya sebagaimana tuntutan Allah yang disebut Tauhid hakiki atau Iman Sejati atau Ma’rifat.


Tauhid peringkat ini adalah Kurnia Allah khusus bagi mereka yang berbai’at dengan Mursyid Pewaris Nabi yang Siddiq dan sungguh-sungguh Mujahadah pada Jalan-Nya, iaitu Jalan Ma’rifat yang diwarisi oleh sekalian Masyaikh Ahlus Sunnah turun-temurun daripada Rasulullah ﷺ sebagaimana yang telah disebut berulangkali di dalam Risalah ini. 


Tiada siapa mampu mencapai Tauhid yang hakiki, Iman sejati, Ma’rifat, mengenal Allah dan menyempurnakan Ubudiyyah ini melainkan dia melalui proses penyucian hati dan ruh menurut “Jalan Ma’rifat” yang dipimpin oleh Mursyid Pewaris Nabi yang Siddiq. 


Kekeliruan Kedua: Pengertian Ubudiyyah

Kebanyakan orang Islam memahami perkataan “Ubudiyyah” sebagai ibadah.  Kefahaman ini tidak menepati pendirian Ahlus Sunnah yang benar.

Ungkapan Ubudiyyah itu pada hakikatnya adalah "Perhambaan" dan bukan semata-mata ibadah.  Pengertian "ibadah" membawa maksud umum kerana pekerjaan "ibadah" dikerjakan juga oleh manusia-manusia lain yang menganut agama lain, atau tegasnya orang kafir dan Musyrik.  Berbeza dengan Ubudiyyah, kerana ia membawa pengertian yang amat suci dan mulia — Memperhambakan diri - penyerahan diri sebagai hamba yang faqir di Hadapan Allah. 


Oleh yang demikian pengertian "Ma'rifat" (Mengenal Allah dengan sebenar kenal) dan "Ubudiyyah" (Perhambaan sempurna) itulah sebenarnya yang di-Kehendaki oleh Allah Ta'ala ke atas manusia, (tujuan penciptaan manusia), BUKAN pengertian sempit "ibadah".  


Bagaimanakah cara untuk Mengenal Allah....  "يعرفون" ?

Bagaimanakah cara sebenar Ubudiyyah?

Bagaimanakah cara menyempurnakan tuntutan Allah di dalam ayat tersebut?


Bersambung siri 158 اِ نْ شَآ ءَ اللّه

_____________________________

MAJLIS TAZKIRAH JILANI

   🌳🍁🕌🕌🕌🍁🌳

SIRI 156


KEWAJIPAN AMAL SYARI'AT DAN TORIQAT RASULULLAH ﷺ


بِسْــــــــــــــــــمِ ﷲ الرَّحْمَنِ الرحيم

اَلسَّلاَمُ عَلَيْكُمْ وَرَحْمَةُ اللهِ وَبَرَكَاتُهُ


Bab 3: Sistem Tarbiyyah dan Tazkiyyah Jalan Ma'rifat


Fasal 6: Matlamat Pendidikan Jalan Ma'rifat


Matlamat Pendidikan Jalan Ma'rifat

Matlamat pendidikan Jalan Ma'rifat terbahagi dua:

(1) Matlamat Utama

(2) Matlamat Cabang



(1) Matlamat Utama Pendidikan Jalan Ma'rifat

Matlamat Utama Pendidikan Mursyid dan jalan Ma'rifat tiada lain melainkan mencapai Matlamat manusia di-Ciptakan oleh Allah, iaitu Ma’rifat dan Ubudiyyah, menjadi hamba Allah yang benar-benar Bertaqwa, di-Redhai dan di-Kasihi Allah. 


Allah Ta’ala menciptakan manusia untuk Mengenal Allah dengan Pengenalan yang sempurna menurut tuntutan-Nya.  Pengertian “Mengenal Allah dengan Pengenalan yang sempurna” disebut sebagai Tauhid yang hakiki, Keimanan Sejati atau Ma’rifat dan Ubudiyyah yang suci murni.  Ketiga-tiga pengertian ini mendokong maksud yang sama tetapi dibincangkan oleh Ulama di dalam bentuk berbeza-beza menurut pendekatan Ilmiyyah. 


Matlamat ini yang tertulis dengan tinta emas di dalam Kitabullah, sebagaimana Kalam-Nya Yang Maha Tinggi:


Firman Allah:


وَمَا خَلَقْتُ الْجِنَّ وَالْإِنْسَ إِلَّا لِيَعْبُدُونِ


“Dan tidaklah Aku ciptakan Jin dan Manusia kecuali untuk beribadah kepada-Ku.” 

[Adz-Dzaariyaat (51) : Ayat 56]


Berkata Ibnu Abbas Radhiallahu Anhu:

Makna "يَعْبُدُونِ"   (Ya'budun) pada ayat di atas adalah "يعرفون"  (ya'rifun) iaitu Mengenal Allah (di dalam Pengertian mendalam di sebut Ma'rifat).   Sekalian Ulama Arif Billah sepakat dengan pengertian ini. 

[Tafsir Ibn Abbas]


Maka maksud Perintah Allah di atas adalah :

"Tidaklah Allah Ta'ala ciptakan jinn dan manusia melainkan untuk mengenal Allah dengan sebenar kenal (Ma'rifat) dan kemudian beribadah kepada-Nya  dengan tulus ikhlas ('Ubudiyyah). 


Ungkapan "يَعْبُدُونِ" (Ya'budun) itu pada hakikatnya adalah "Perhambaan" dan bukan semata-mata ibadah.  Pengertian "ibadah"   membawa maksud umum kerana perlakuan "ibadah" dibuat juga oleh manusia-manusia lain yang menganut agama lain,  atau tegasnya orang kafir dan Musyrik.   


Oleh yang demikian pengertian "Ma'rifat"  (Mengenal Allah dengan sebenar kenal)  dan "ubudiyyah" (Perhambaan sempurna) itulah sebenarnya yang dikehendaki oleh Allah Ta'ala ke atas manusia, (tujuan penciptaan manusia), BUKAN pengertian sempit "ibadah".  Di sini kita dapat faham Ibn Abbas adalah Ahli Ma'rifat yang sangat tinggi ilmunya dan sangat Arif mengenal Ta'wil dan Tafsir ayat-ayat Qur'an, sesuai dengan doa Nabi kita agar beliau dikurniakan Ilmu Ta'wil Al Qur'an.


Perintah Allah yang kelihatan ringkas ini meliputi seluruh matlamat Penciptaan insan, iaitu Mengenal Allah (dengan sebenar kenal — Ma'rifat) dan ubudiyyah (perhambaan sempurna) kepada Allah.  


Berkata Sulton Auliya Shaikh Abdul Qodir Jilani Radhiallahu Anhu:


"Manusia tidak akan mampu beribadah secara sempurna kepada Allah tanpa Ma'rifat yang sebenar.  Ma'rifat dapat terwujud setelah hilangnya segala sesuatu yang menghalangi cermin hati dengan terus sungguh-sungguh membersihkannya sehingga manusia dapat melihat indahnya sesuatu yang terpendam dan tertutup di dalam rasa di lubuk hati.  Firman Allah di dalam Haidth Qudis:

"Aku adalah "Kanzun Makhfiyyun"  (perbendaharaan yang tertutup), Aku ingin dikenali, maka Aku Ciptakan makhluq agar mereka mengenali-Ku".  Maka jelaslah bahawa tujuan penciptaan manusia adalah agar menusia Ma'rifat kepada Allah"

[Sirrul Asrar Fi-Ma-Yahtaju Ilayhil-Abrar]


Bersambung siri 157 اِ نْ شَآ ءَ اللّه

_____________________________

MAJLIS TAZKIRAH JILANI

   🌳🍁🕌🕌🕌🍁🌳

SIRI 155


KEWAJIPAN AMAL SYARI'AT DAN TORIQAT RASULULLAH ﷺ


بِسْــــــــــــــــــمِ ﷲ الرَّحْمَنِ الرحيم

اَلسَّلاَمُ عَلَيْكُمْ وَرَحْمَةُ اللهِ وَبَرَكَاتُهُ


Bab 3: Sistem Tarbiyyah dan Tazkiyyah Jalan Ma'rifat


Fasal 5: Keistimewaan Mursyid, Pemimpin Jalan Ma'rifat

sambungan....



Ulama sehebat Imam Ghazali Radhiallahu anhu saja merendahkan diri berguru kepada Mursyid Pewaris Nabi yang Siddiq (Benar) untuk memperoleh kesucian hati dan keluar dari sekalian kesyirikan dan kekejian hati, apa lagi Profesor atau Kiyai yang ilmu mereka cuma sebesar “debu” di kaki Imam Ghazali?  


Imam Ghazali yang sedemikian hebat ilmu syari’at beliau, mengakui bahawa haqiqat Iman dan Islam tidak akan dicapai melainkan dengan Sistem Pendidikan Ahli Sufi atau disebut Mursyid Pewaris Nabi yang Siddiq.  


Berkata Imam Ghazali Radhiallahu anhu:

“Pendeknya barangsiapa yang belum di-Kurnia Tuhan mengalaminya (mencapai Keimanan sejati melalui Sistem Pendidikan Mursyid Pewaris Nabi) belumlah ia mengenal Haqiqat Kenabian, lebih dari namanya sahaja.”

[Muqiz Min-adh-dholal]


Sepatutnya manusia “cerdik” yang beraqal sihat mampu memahami sekalian penjelasan kami ini dengan mudah, jika mereka jujur dan Amanah di dalam menjalankan Agama Allah.  Sebaliknya hati yang keras, penuh ego kesombongan tidak akan menerimanya bahkan akan menentangnya.  Wal Iyazubillah.


Ringkasnya penegasan kami di sini adalah:

Asas Sistem Pendidikan Mursyid Pewaris Nabi yang Siddiq yang mereka warisi daripada Junjungan Rasulullah ﷺ adalah jauh berbeza, bagaikan langit dan bumi dengan Sistem Pendidikan buatan aqal fikir manusia.  Pendekatannya juga berbeza. Hasilnya pun juga jauh berbeza. 


Apabila kamu Berbaiat dan berpegang teguh kepada Pimpinan Mursyid, kamu akan memperoleh keberuntungan dunia Akhirat.  Kamu akan Mengenal Allah dengan sebenarnya menurut tuntutan Allah Ta’ala, iaitu Tauhid hakiki, Iman Sejati.  Hati kamu akan bersih dari segala syirik yang membelenggu hati kamu. Kamu akan selamat dari ‘ujub, riya’, sum’ah, Takabbur dan lain-lain.  Kamu akan memperoleh keikhlasan sejati di dalam setiap ibadah (bukan buat-buat Ikhlas seperti orang awam).  Kamu akan memperoleh khusyu’ yang sebenar (bukan buat-buat khusyu’).  Semua itu terhasil setelah kamu mujahadah sungguh-sungguh dengan penuh keikhlasan menurut segala peraturan, syarat dan adab-adabnya sebagaimana kami huraikan sebelum ini.


Sedangkan Sistem Pendidikan ciptaan aqal manusia awam dipenuhi nafsu, kepentingan duniawi yang berebut-rebut pangkat dan kedudukan.  Bahkan orang yang lahir dari Sistem Pendidikan moden penuh dengan kesombongan, berbangga-bangga dengan pencapaian diri dan lupakan Ni’mat Allah. Sebahagian daripada kepincangan dan kebinasaan ini kami sudah huraikan di dalam risalah-risalah kami.  Selebihnya kamu dapat melihat sendiri di hadapan mata kamu!


Bersambung siri 156 اِ نْ شَآ ءَ اللّه

_____________________________

MAJLIS TAZKIRAH JILANI

   🌳🍁🕌🕌🕌🍁🌳

SIRI 154


KEWAJIPAN AMAL SYARI'AT DAN TORIQAT RASULULLAH ﷺ


بِسْــــــــــــــــــمِ ﷲ الرَّحْمَنِ الرحيم

اَلسَّلاَمُ عَلَيْكُمْ وَرَحْمَةُ اللهِ وَبَرَكَاتُهُ


Bab 3: Sistem Tarbiyyah dan Tazkiyyah Jalan Ma'rifat


Fasal 5: Keistimewaan Mursyid, Pemimpin Jalan Ma'rifat

sambungan....



Ahli-ahli politik ini menamakan diri mereka sebagai “Khalifah”, “Amirul Mu’minin” atau lain-lain yang sedap didengari tetapi mereka memerintah dengan kezaliman dan kefasikan.  Mereka habiskan masa berfoya-foya dengan muzik, wanita, arak dan lain-lain yang jelas berlawanan dengan sifat-sifat pemimpin Islam yang diamanahkan oleh Rasulullah ﷺ.                         

Wal Iyazubillah.


Inilah sebabnya sekalian Mursyid Pewaris Nabi yang Siddiq menjauhkan diri dari Sultan-sultan yang zalim dan “Ulama As-su” ini.  Mereka membentuk Sistem dan Peradaban sendiri menepati Kehendak Allah dan Rasul-Nya yang kemudian dinamakan “Jalan Ma’rifat”.  


Sesungguhnya Jalan Ma’rifat inilah Manhaj Ahlus Sunnah Wal Jama’ah yang benar, yang menjadi pegangan sekalian Masyaikh Ahlus Sunnah sepanjang zaman.  Dari Jalan suci inilah lahirnya Mursyid Pewaris Nabi yang terdiri dari berbagai disiplin Ilmu - Ahli Tafsir, Ahli Hadith bahkan sekalian Mujtahid dan Mujaddid, kesemua ulama Pilihan Allah ini adalah lahir dari Institusi Mursyid, Madrasah Ahli Sufi, Jalan Ma’rifat.  Ertinya sekalian Mufassir dan Muhaddith dan juga Mujtahid dan Mujaddid adalah juga merupakan Mursyid Pewaris Nabi yang Siddiq.  Mereka juga Ahli Sufi dan Ahli Ma’rifat yang tinggi. 

Jika kamu benar-benar memahami apa yang kami perkatakan ini, kamu akan melihat jurang perbezaan yang amat luas antara Sistem Pendidikan Mursyid Pewaris Nabi yang Siddiq ini dengan Sistem-sistem buatan manusia berdasarkan aqal pemikiran semata-mata tanpa Petunjuk Allah ke dalam hati mereka.  Meskipun mereka yang membuat berbagai sistem moden ini terdiri dari pakar-pakar - “alim fiqh” atau “pakar motivasi” atau “pakar psikologi” dan sebagainya, mereka akan sentiasa gagal.  Mereka takkan mampu membangunkan insan-insan bertaqwa sebagaimana dibangunkan oleh Mursyid Pewaris Nabi yang Siddiq yang mewarisi Rasulullah ﷺ.  


Bahkan bijak pandai yang cuba mencipta sistem-sistem moden itu sendiri pun bergelumang dengan berbagai penyakit hati.  Mereka bergelar “Ustaz”, “Muallim”, “Kiyai”, “Professor” dan sebagainya mengajar manusia berkenaan kesucian hati, Ikhlas, khusyu’ dan nilai-nilai kesucian yang lain, namun mereka sendiri bergelumang dengan berbagai kesyirikan - syirik khafi, mazmumah, ghaflah,  aghyar.  Mereka sendiri tidak “ikhlas” di dalam erti kata yang sebenar.  Mereka sendiri lalai di dalam mengerjakan Solat dan ibadah lain.  Maka mana mungkin mereka mencipta jalan untuk sucikan hati dan mencapai nilai-nilai murni sebagaimana tuntutan Allah?


Hal yang kami gambarkan di atas adalah  contoh keadaan yang telah dialami oleh Hujjatul Islam Imam Ghazali sebelum beliau masuk ke Jalan Ma’rifat sebagaimana kami kisahkan di dalam lembaran-lembaran terdahulu. Meskipun beliau menjadi Guru Besar Universiti Nizamiyyah dan terkenal sebagai Ulama Besar dunia, namun beliau belum mampu Ikhlas di dalam melakukan ketaatan kepada Allah dan tak mampu khusyu’ di dalam solat beliau.  Sehingga beliau meninggalkan segala kebesaran beliau dan masuk kepada Jalan Ma’rifat, merendahkan diri berkhidmat kepada Mursyid beliau selama 11 tahun, barulah beliau mencapai Keimanan dan Ketaqwaan sejati, sebagaimana kami kisahkan sebelum ini.



Bersambung siri 155 اِ نْ شَآ ءَ اللّه

___________________________

MAJLIS TAZKIRAH JILANI

   🌳🍁🕌🕌🕌🍁🌳

SIRI 153


KEWAJIPAN AMAL SYARI'AT DAN TORIQAT RASULULLAH ﷺ


بِسْــــــــــــــــــمِ ﷲ الرَّحْمَنِ الرحيم

اَلسَّلاَمُ عَلَيْكُمْ وَرَحْمَةُ اللهِ وَبَرَكَاتُهُ


Bab 3: Sistem Tarbiyyah dan Tazkiyyah Jalan Ma'rifat


Fasal 5: Keistimewaan Mursyid, Pemimpin Jalan Ma'rifat

sambungan....


Dalil-dalil ini adalah menjadi bukti  kepimpinan seorang Mursyid Pewaris Nabi yang Siddiq yang sentiasa terikat kepada Petunjuk Allah dan Rasul-Nya, sekaligus membezakan antara sumber ilmu dan kepimpinan mereka (Mursyid Pewaris Nabi yang Siddiq) dengan orang alim biasa dan pemimpin-pemimpin dunia lainnya.  Ini yang dimaksudkan oleh Al-Imam Sulton Auliya Shaikh Abdul Qodir Jilani Radhiallahu anhu ketika beliau berkata:


Berkata Al-Imam Shaikh Abdul Qodir Jilani Radhiallahu anhu:

“Seseorang tidak dapat dikatakan Sufi (Mursyid Pewaris Nabi yang sebenar) sehingga dia sampai ke maqam di mana dia di-Anugerahi pandangan kepada Rasulullah ﷺ di dalam mimpinya dan diberi arahan dan tegahan.  Jika keadaan ini terjadi maka hatinya akan dinaikkan ke maqam lebih tinggi serta disucikan batinnya.  Beliau seterusnya akan memperoleh kehampiran dengan Allah Ta'ala sementara tangannya di dalam pimpinan tangan Rasulullah ﷺ .”

[Fath-Ar-Rabbaniy Wa Faidh Ar-Rahmaniy]


Berkata Imam Al-Jilani Radhiallahu anhu lagi:

"Dalam semua itu mereka mengikut teladan daripada pengikut-pengikut Rasulullah  ﷺ yang terkenal sebagai Ahli Sufi yang memakai pakaian bulu yang telah meninggalkan semua urusan keduniaan untuk berdiri di pintu Rasulullah ﷺ dan berada hampir dengan baginda.  Mereka menyampaikan khabar sebagaimana mereka menerimanya secara langsung daripada mulut Rasulullah ﷺ ". 

[Sirrul Asrar Fi ma Yahtaju Ilaihil Abrar]


Daripada Mutiara kata Imam Jilani dan Imam Ghazali Radhiallahu anhu, kamu tentu dapat memahami sekarang bahawa Manhaj Pendidikan Mursyid Pewaris Nabi yang Siddiq adalah Sistem Pendidikan Rabbani – yang sentiasa di dalam Pimpinan Allah dan Rasul-Nya, yang benar-benar membawa manusia Mengenal Allah dan Ubudiyyah dengan tulus hati, menjadi hamba Allah yang benar-benar bertaqwa serta di-Redhai Allah. 


Ini kerana Mursyid Pewaris Nabi adalah insan-insan Pilihan Allah yang istimewa yang menjadi “Wakil Allah” atas muka bumi.  Mereka menjalankan Amanah Allah dan Rasul-Nya.  Mereka TIDAK sesekali membawa manusia kepada kesesatan.  Mereka TIDAK sesekali cenderung kepada golongan sesat (72 golongan sesat),  apa lagi menyertai mereka …jauh sekali.  


Mursyid Pewaris Nabi yang Siddiq juga TIDAK sesekali masuk ke dalam kelompok-kelopok parti politik yang wujud pada zaman ini, yang menipu Ummat dengan memutarbelitkan Ayat Qur’an.  Di kalangan mereka, ada yang bergelar “Ulama” dan “pejuang Islam” menjual Ayat-ayat Allah dan menjadikannya barang dagangan politik.  Perangai mereka tidak ubah seperti pendeta-pendeta Yahudi dan Nasrani yang mengubah kandungan Kitab Allah demi keuntungan dunia yang hina.  Wal Iyazubillah.


Ahli-ahli politik fasiq seperti ini bukan baru muncul.  Mereka ini sudah wujud pada zaman pemerintahan zalim yang disebut oleh Rasulullah ﷺ sebagai Mulkan Addhan - zaman pemerintahan “menggigit” ertinya “zalim”.  Golongan Ulama dunia, Ulama Nafsu dan Ulama politik jahat ini bangkit setelah tamatnya pemerintahan Sayyidina Ali Radhiallahu anhu sebagai Khalifah terakhir dari kalangan Khulafa Ar-Rasyidin. 


Golongan Ulama dunia, Ulama Nafsu dan Ulama politik jahat ini bangkit setelah tamatnya pemerintahan Sayyidina Ali Radhiallahu anhu sebagai Khalifah terakhir dari kalangan Khulafa Ar-Rasyidin. 



Bersambung siri 154  اِ نْ شَآ ءَ اللّه

___________________________

MAJLIS TAZKIRAH JILANI

   🌳🍁🕌🕌🕌🍁🌳

SIRI 152


KEWAJIPAN AMAL SYARI'AT DAN TORIQAT RASULULLAH ﷺ


بِسْــــــــــــــــــمِ ﷲ الرَّحْمَنِ الرحيم

اَلسَّلاَمُ عَلَيْكُمْ وَرَحْمَةُ اللهِ وَبَرَكَاتُهُ


Bab 3: Sistem Tarbiyyah dan Tazkiyyah Jalan Ma'rifat


Fasal 5: Keistimewaan Mursyid, Pemimpin Jalan Ma'rifat

sambungan....


Dalil (7): Rasulullah ﷺ bersabda:

“Takutilah firasat orang Mu'min kerana mereka melihat dari cahaya Allah.” 

[Imam  Tirmizi]


Dalil (8): Rasulullah ﷺ bersabda:

“Barang siapa yang beramal dengan ilmu yang dia tahu, Allah akan pusakakan padanya ilmu yang dia tidak tahu.” 

[Imam Abu Nuaim]


Dalil (9):  Rasulullah ﷺ  bersabda:


مَا صَبَّ اللهُ فِى صَدْرِىْ إِلاَّ صَبَبْتُ فِى صَدْرِ أَبِى بَكـْرٍ


“Apa-apa yang Allah tuangkan ke dalam dada-ku, aku tuangkannya ke dada Abu Bakr”

[Imam Bukhari]


Dalil (10):  Rasulullah ﷺ bersabda:


مَثَلُ الْجَلِيسِ الصَّالِحِ وَالسَّوْءِ كَحَامِلِ الْمِسْكِ وَنَافِخِ الْكِيرِ ، فَحَامِلُ الْمِسْكِ إِمَّا أَنْ يُحْذِيَكَ ، وَإِمَّا أَنْ تَبْتَاعَ مِنْهُ ، وَإِمَّا أَنْ تَجِدَ مِنْهُ رِيحًا طَيِّبَةً ، وَنَافِخُ الْكِيرِ إِمَّا أَنْ يُحْرِقَ ثِيَابَكَ ، وَإِمَّا أَنْ تَجِدَ رِيحًا خَبِيثَة


“Perbandingan teman duduk yang soleh dan buruk adalah seperti penjual minyak wangi dan tukang  besi.  Adapun penjual minyak wangi, boleh jadi dia akan memberikan kamu minyak wangi, atau kamu akan membeli darinya atau kamu akan mendapat bau harum darinya.  Adapun tukang pandai besi, boleh jadi dia akan membuat pakaianmu terbakar, atau kamu akan mendapat bau yang tidak sedap darinya.” 

[Imam Bukhari dan Imam  Muslim ]


Dalil (11): Rasulullah   ﷺ  bersabda:

“Teman yang paling baik adalah apabila kamu melihat wajahnya, kamu teringat akan Allah, mendengar kata-katanya menambahkan ilmu agama, melihat gerak-gerinya teringat mati.” 

[Imam Hakim]


Bersambung siri 153 اِ نْ شَآ ءَ اللّه

___________________________

MAJLIS TAZKIRAH JILANI

   🌳🍁🕌🕌🕌🍁🌳

SIRI 151


KEWAJIPAN AMAL SYARI'AT DAN TORIQAT RASULULLAH ﷺ



بِسْــــــــــــــــــمِ ﷲ الرَّحْمَنِ الرحيم

اَلسَّلاَمُ عَلَيْكُمْ وَرَحْمَةُ اللهِ وَبَرَكَاتُهُ


Bab 3: Sistem Tarbiyyah dan Tazkiyyah Jalan Ma'rifat


Fasal 5: Keistimewaan Mursyid, Pemimpin Jalan Ma'rifat

sambungan....


Dalil (3): Hadith Qudsi:


عَنْ أَبِي هُرَيْرَةَ رَضِيَ اللهُ عَنْهُ قَالَ : قَالَ رَسُوْلُ اللهِ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ : إِنَّ اللهَ تَعَالَى قَالَ : مَنْ عَادَى لِيْ وَلِيًّا فَقَدْ آذَنْتُهُ بِالْحَرْبِ، وَمَا تَقَرَّبَ إِلَيَّ عَبْدِيْ بِشَيْءٍ أَحَبَّ إِلَيَّ مِمَّا افْتَرَضْتُهُ عَلَيْهِ، وَلاَ يَزَالُ عَبْدِيْ يَتَقَرَّبُ إِلَيَّ بِالنَّوَافِلِ حَتَّى أُحِبَّهُ، فَإِذَا أَحْبَبْتُهُ كُنْتُ سَمْعَهُ الَّذِيْ يَسْمَعُ بِهِ وَبَصَرَهُ الَّذِيْ يُبْصِرُ بِهِ، وَيَدَهُ الَّتِيْ يَبْطِشُ بِهَا، وَرِجْلَهُ الَّتِيْ يَمْشِيْ بِهَا، وَلَئِنْ سَأَلَنِيْ لأُعْطِيَنَّهُ، وَلَئِنِ اسْتَعَاذَنِيْ لأُعِيْذَنَّهُ


Dari Abu Hurairah Radhiallhu anhu beliau berkata, bahawa Rasulullah ﷺ  bersabda : “Sesungguhya Allah Ta’ala berfirman:

"‘Barangsiapa yang memusuhi Wali-Ku maka Aku telah mengisytihar perang dengannya. Tidak ada taqarrubnya seorang hamba kepada-Ku yang lebih aku cintai kecuali dengan  beribadah dengan apa yang telah Aku fardhukan kepadanya. Dan hamba-Ku yang selalu mendekatkan diri kepada-Ku dengan nawafil (perkara-perkara sunnat) maka Aku akan mencintainya dan apabila  Aku telah mencintainya maka Aku adalah pendengarannya yang dia gunakan untuk mendengar, penglihatannya yang dia gunakan untuk melihat, tangannya yang digunakannya untuk memukul dan kakinya yang digunakan untuk berjalan.  Jika dia meminta kepada-Ku niscaya akan Aku berikan dan jika dia minta perlindungan dari-Ku niscaya akan Aku lindungi.’ ” 

[Imam Bukhari]


Dalil (4) ;  Firman Allah:

وَعَلَّمۡنَـٰهُ مِن لَّدُنَّا عِلۡمً۬ا 

"....dan Kami telah mengajarnya sejenis ilmu; dari sisi Kami." 

[Al-Kahfi (18 ) : Ayat 65] 


Dalil (5):  Firman Allah:

وَاتَّقُواْ اللَّهَ وَيُعَلِّمُكُمُ اللَّهُ 

Bertaqwalah kepada Allah, nescaya Allah akan mengajar kamu.” 

[Al-Baqarah(2) : Ayat 282] 


Dalil (6): Rasulullah   ﷺ  bersabda:

"Sesungguhnya di antara hamba-hamba Allah terdapat beberapa manusia (yang istimewa) yang mereka bukan para Nabi dan bukan pula Syuhada, Namun Nabi dan para Syuhada merasa cemburu atas kedudukan mereka di sisi Allah Ta'ala pada hari Qiamat.  Lalu para Sahabat bertanya: "Ya Rasulullah, sudilah kiranya khabarkan kepada kami siapa mereka ini. Rasulullah ﷺ menjawab: "Mereka adalah kaum yang saling mencintai dengan ruh Allah padahal mereka tak memiliki hubungan kekerabatan di antara mereka dan mereka pun (saling mencintai karena Allah) bukan karena mereka saling memberikan harta. Demi Allah, sesungguhnya wajah mereka adalah cahaya dan mereka di atas cahaya. Mereka ) tidak takut saat manusia lainnya merasa takut dan tak akan sedih saat manusia lainnya bersedih. Selanjutnya Rasulullah ﷺ membaca Firman Allah ini :

أَلَا إِنَّ أَوْلِيَاءَ اللَّهِ لَا خَوْفٌ عَلَيْهِمْ وَلَا هُمْ يَحْزَنُونَ

"Ingatlah, sesungguhnya wali-wali Allah itu tak ada kekhuatiran terhadap mereka dan tidak (pula) mereka bersedih hati." 

[Imam Abu Dawud]


Bersambung siri 152 اِ نْ شَآ ءَ اللّه

_____________________________

MAJLIS TAZKIRAH JILANI

   🌳🍁🕌🕌🕌🍁🌳

SIRI 150


KEWAJIPAN AMAL SYARI'AT DAN TORIQAT RASULULLAH ﷺ


بِسْــــــــــــــــــمِ ﷲ الرَّحْمَنِ الرحيم

اَلسَّلاَمُ عَلَيْكُمْ وَرَحْمَةُ اللهِ وَبَرَكَاتُهُ


Bab 3: Sistem Tarbiyyah dan Tazkiyyah Jalan Ma'rifat


Fasal 5: Keistimewaan Mursyid, Pemimpin Jalan Ma'rifat

sambungan....



Dalil (2): Firman Allah:


يَرۡفَعِ ٱللَّهُ ٱلَّذِينَ ءَامَنُواْ مِنكُمۡ وَٱلَّذِينَ أُوتُواْ ٱلۡعِلۡمَ دَرَجَـٰتٍ۬‌


"....supaya Allah meninggikan darjat orang-orang yang beriman di antara kamu dan orang-orang yang diberi ilmu pengetahuan agama (dari kalangan kamu) beberapa darjat ...."

[Al Mujadalah (58) : Ayat 11]


Menurut Imam Ghazali, isyarat dari Ayat Qur'an ini ditujukan kepada Mursyid yang siddiq — Pewaris Nabi yang sebenarnya.  Allah Ta'ala Kurniakan mereka Ilmu yang khusus serta mengangkat darjat mereka melebihi manusia lain.   Mereka dilimpahi  Cahaya Nubuwwah ke dalam batin mereka sehingga dengan cahaya itu mereka mampu membezakan haq dan batil serta memimpin manusia kepada kesucian dan kebenaran mutlaq. 


Berkata Imam Ghazali Radhiallahu 'Anhu:

"Selama waktu  khilwah (uzlah) itu terbukalah bagiku rahsia yang tak terhitung jumlahnya,tak mungkin diistiqsa (membahas sesuatu sejauh-jauhnya dan sedalam-dalamnya )    Yang kukatakan untuk mengambil manfaatnya – ialah aku benar-benar yaqin, Ahli  Sufi  (Mursyid, Ahli Ma'rifat)  itulah yang benar-benar telah menempuh jalan yang dikehendaki Allah Ta’ala.  Merekalah  golongan yang paling utama cara-cara hidupnya, paling tepat tindak lakunya dan paling tinggi budi pekertinya.  

Bahkan andaikata aqal para  uqala,  hikmah para  hukama dan ilmu para ulama yang tahu rahsia syara’,  semua itu dihimpun untuk menciptakan suatu cara yang lebih utama dari cara  Ahli Sufi  itu, tiada akan memberi hasil;  sebab segala gerak-geri mereka (ahli Sufi) baik zahir maupun batin, diterangi  Nur Nubuwwah (cahaya Kenabian) sebagaimana Firman Allah:

يَرۡفَعِ ٱللَّهُ ٱلَّذِينَ ءَامَنُواْ مِنكُمۡ وَٱلَّذِينَ أُوتُواْ ٱلۡعِلۡمَ دَرَجَـٰتٍ۬‌


"....supaya Allah meninggikan darjat orang-orang yang beriman di antara kamu dan orang-orang yang diberi ilmu pengetahuan agama (dari kalangan kamu) beberapa darjat ...."

[Al Mujadalah (58) : Ayat 11]



Bersambung siri 151 اِ نْ شَآ ءَ اللّه

____________________________

MAJLIS TAZKIRAH JILANI

   🌳🍁🕌🕌🕌🍁🌳

SIRI 149


KEWAJIPAN AMAL SYARI'AT DAN TORIQAT RASULULLAH ﷺ


بِسْــــــــــــــــــمِ ﷲ الرَّحْمَنِ الرحيم

اَلسَّلاَمُ عَلَيْكُمْ وَرَحْمَةُ اللهِ وَبَرَكَاتُهُ


Bab 3: Sistem Tarbiyyah dan Tazkiyyah Jalan Ma'rifat


Fasal 5: Keistimewaan Mursyid, Pemimpin Jalan Ma'rifat


Ketika kita memperkatakan berkenaan Sistem Pendidikan Jalan Ma'rifat, maka ia berkait rapat dengan Pemimpin yang membawa Sistem ini kepada Ummat, iaitu Mursyid Pewaris Nabi yang Siddiq.


Sebagaimana kita katakan, Mursyid menanggung Amanah Allah dan Rasulullah ﷺ. Mereka memperoleh beberapa ilmu khusus dari Allah yang menjadikan mereka hamba-hamba Alllah lebih istimewa dan lebih utama dari manusia lain. Mereka mendapat Kurnia kebijaksanaan. Perkataan dan perbuatan mereka sentiasa menepati Keredhaan Allah disebabkan hubungan keruhanian mereka dengan Allah. Pada setiap waktu mereka di dalam Perhatian dan Pimpinan Allah Ta'ala.


Ianya jauh berbeza dengan pemimpin-pemimpin Sistem Pendidikan Ciptaan manusia, meskipun mereka menamakan diri mereka sebagai Jemaah Islam, Perkumpulan Islam, Institusi Islam, namun Pemimpin-pemimpin ini sentiasa terdedah kepada kesalahan dan kesesatan lantaran tiada hubungan dengan Allah Ta'ala.  Sedangkan Iblis dan kuncu-kuncu sentiasa mengintai peluang menarik kepada kesesatan. 


Buktinya Pemimpin 72 Golongan sesat adalah cerdik pandai Agama yang terkenal hebat dengan ilmu syariat mereka. Namun mengapa mereka sesat?


Demikian lagi Pemimpin-pemimpin Islam awam zaman ini. Ternyata ramai yang menjadi fasiq, zalim dan mengejar dunia.



Bukti kecemerlangan Pimpinan Mursyid Pewaris Nabi yang Siddiq

Berikut kami persembahkan beberapa dalil dan bukti yang mengisyaratkan kelebihan-kelebihan yang di-Kurniakan oleh Allah kepada Mursyid Pewaris Nabi yang Siddiq sebagai wasail (cara) untuk memimpin Ummat dengan selamat. 


Dalil (1): Firman Allah:

 

ثُمَّ أَوۡرَثۡنَا ٱلۡكِتَـٰبَ ٱلَّذِينَ ٱصۡطَفَيۡنَا مِنۡ عِبَادِنَاۖ فَمِنۡهُمۡ ظَالِمٌ۬ لِّنَفۡسِهِۦ وَمِنۡہُم مُّقۡتَصِدٌ۬ وَمِنۡہُمۡ سَابِقُۢ بِٱلۡخَيۡرَٲتِ بِإِذۡنِ ٱللَّهِۚ ذَٲلِكَ هُوَ ٱلۡفَضۡلُ ٱلۡڪَبِيرُ


“Kemudian Kami jadikan Al-Kitab (Al-Quran) itu diwarisi oleh orang-orang yang Kami pilih dari kalangan hamba-hamba Kami; maka di antara mereka ada yang berlaku zalim kepada dirinya sendiri (dengan tidak mengindahkan ajaran Al-Quran) dan di antaranya ada yang bersikap sederhana dan di antaranya pula ada yang mendahului (orang lain) dalam berbuat kebaikan dengan izin Allah. Yang demikian itu ialah limpah kurnia yang besar (dari Allah semata-mata)

[Faathir (35) : Ayat 32]


Menurut  tafsiran Ulama Ahlus Sunnah  yang dimaksudkan dengan “Kitab”   adalah Al-Qur’an, dan maksud ayat Allah  “yang Kami pilih dari kalangan hamba-hamba Kami” adalah di tujukan kepada   Mursyid,  Ahli Ma’rifat, Ulama Arif Billah  yang benar-benar kenal Allah dan mencapai martabat Tauhid yang hakiki pada Maqam Tauhid Maqam Mukasyafah Zat. 

 

Berkata Al Imam Sulton Auliya Shaikh Abdul Qodir  Jilani Radhiallahu 'Anhu:

“Orang-orang yang berilmu dan hikmah  (Mursyid, Ahli Sufi, Ahli Ma'rifat) adalah hamba Allah yang sejati yang dipilih-Nya untuk menerima “Risalah-Risalah dari pengajaran-Nya”.   Allah melimpahkan mereka ilmu dan hikmah dan dengan ilmu hikmah itulah mereka menjadi manusia yang lebih tinggi darjatnya dari manusia lain. Mereka berhubung dengan Nabi melalui perasaan yang halus dan dengan aqal yang bijaksana. (baca : Kehalusan Ma’rifat Ilahiyyah atau disebut juga  kasyaf  Ilahiyyah)

Allah memuji mereka yang memiliki ilmu Hikmah dengan Firman Nya:


ثُمَّ أَوۡرَثۡنَا ٱلۡكِتَـٰبَ ٱلَّذِينَ ٱصۡطَفَيۡنَا مِنۡ عِبَادِنَاۖ فَمِنۡهُمۡ ظَالِمٌ۬ لِّنَفۡسِهِۦ وَمِنۡہُم مُّقۡتَصِدٌ۬ وَمِنۡہُمۡ سَابِقُۢ بِٱلۡخَيۡرَٲتِ بِإِذۡنِ ٱللَّهِۚ ذَٲلِكَ هُوَ ٱلۡفَضۡلُ ٱلۡڪَبِيرُ

 [Sirrul-Asrar Fi-ma-Yahtaju Iyahil-Abrar]



Bersambung siri 150 اِ نْ شَآ ءَ اللّه

_______________________________

MAJLIS TAZKIRAH JILANI

   🌳🍁🕌🕌🕌🍁🌳

SIRI 148


KEWAJIPAN AMAL SYARI'AT DAN TORIQAT RASULULLAH ﷺ


بِسْــــــــــــــــــمِ ﷲ الرَّحْمَنِ الرحيم

اَلسَّلاَمُ عَلَيْكُمْ وَرَحْمَةُ اللهِ وَبَرَكَاتُهُ


Bab 3: Sistem Tarbiyyah dan Tazkiyyah Jalan Ma'rifat

Fasal 4: Sumber dan Dasar Jalan Ma'rifat


DASAR dan SUMBER Pendidikan pada Jalan Ma'rifat  terbina dari 7 (tujuh) sumber utama:


Pertama: 

Al-Qur’an 


Kedua:

Sunnah Rasulullah ﷺ


Ketiga:

Ijma’ dan Qias Ulama


Keempat:     

Limpahan Cahaya Ketuhanan yang terpancar ke dalam hati, ruh dan sirr beliau.  


Kelima:

Limpahan Nur Muhammad dari Junjungan Rasulullah ﷺ


Keenam:

Limpahan Cahaya Rabitah dari Guru beliau sendiri. 


Ketujuh:

Pengalaman keruhanian sendiri.  Mutiara-mutiara rahsia Ketuhanan yang tidak ternilai yang didapati beliau sepanjang perjalanan beliau kepada Allah dengan bimbingan Guru beliau yang juga merupakan Pewaris Nabi yang Siddiq.


Inilah 7 (tujuh) Gedung Ilmu yang menjadi sumber bagi Tarbiyyah dan Tazkiyyah seorang Mursyid Pewaris Nabi yang Siddiq.  Iaitu Sistem Pendidikan Istimewa Warisan Nabi ﷺ ini sentiasa terikat dengan Petunjuk Allah dan Pimpinan ruhaniyyah Rasulullah ﷺ.


Bersambung siri 149 اِ نْ شَآ ءَ اللّه

____________________________

MAJLIS TAZKIRAH JILANI

   🌳🍁🕌🕌🕌🍁🌳

SIRI 147


KEWAJIPAN AMAL SYARI'AT DAN TORIQAT RASULULLAH ﷺ


بِسْــــــــــــــــــمِ ﷲ الرَّحْمَنِ الرحيم

اَلسَّلاَمُ عَلَيْكُمْ وَرَحْمَةُ اللهِ وَبَرَكَاتُهُ


Bab 3: Sistem Tarbiyyah dan Tazkiyyah Jalan Ma'rifat

Fasal 3: Fakta-Fakta Penting Ma'rifat

sambungan....


Fakta 15: Alim Kitab, Alim Fiqh, Alim Usuluddin wajib berguru kepada Mursyid Pewaris Nabi yang Siddiq

Hal ini telah disebut beberapa kali sebelum ini.  Setiap orang Alim Fiqh yang sudah memahami selok-belok Ilmu fiqh, meskipun sudah sampai ribuan kitab, atau Alim Usuluddin yang sangat hebat mensyarahkan Sifat 20 atau orang Alim yang sangat mahir hafal Hadith dan sangat bagus hafalannya, kesemua mereka wajib berguru kepada Mursyid Pewaris Nabi yang Siddiq untuk menyucikan batin mereka daripada berbagai syirik khafi, mazmumah, ghaflah dan aghyar.  Dan seterusnya  memperoleh Tauhid yang hakiki, Iman Sejati, Ma’rifat dan Ubudiyyah yang suci murni. 


Fakta 16:Tanpa menempuh Jalan Ma'rifat, Ulama akan kekal sebagai orang awam

Tanpa menempuh jalan Ma’rifat dengan bimbingan Mursyid Pewaris Nabi yang Siddiq sehingga mencapai Tauhid hakiki ini, orang Alim fiqh atau Alim Usuluddin yang paling hebat sekalipun akan tetap berada pada tahap Iman orang awam, iaitu hatinya berbolak-balik di antara keimanan dan kesyirikan (syirik khafi) dan bercampur aduk dengan nifaq (nifaq kecil).  Mereka akan sentiasa bergelumang dengan ‘ujub, riya’, sum’ah, takabbur dan sifat-sifat mazmumah.  Bahkan mereka di dalam bahaya terjatuh kepada golongan-golongan sesat Aqidah atau sesat di dalam keruhanian. 


Fakta 17:Dua bukti kesesatan orang alim kitab

Kami kemukakan dua bukti kesesatan orang alim kitab:

Pertama: 

Pelopor dan pengasas bagi fahaman-fahaman sesat berjumlah 72 golongan adalah terdiri daripada orang-orang Alim fiqh dan cerdik pandai Agama. Mereka adalah penghafal Qur’an dan Hadith.  Mereka hebat berpidato dan kalahkan lawan di dalam berhujjah. 


Kedua: 

Bukti paling kukuh bagi kenyataan ini adalah jalan hidup Imam Ghazali Radhiallahu anhu yang telah masyhur kisahnya, sebagaimana yang telah dinukilkan kisah beliau di dalam Risalah ini dan beberapa Risalah kami yang lain.  Pada awal perjalanan hidup beliau, Imam Ghazali merupakan orang yang sangat alim di dalam  hukum-hakam Agama dan mampu mengalahkan lawan di dalam perdebatan Agama.  Tetapi beliau tak mampu keluar daripada sifat riya’ dan kecenderungan pada kemasyhuran duniawi. 


Berkata Al-Imam Sulton Auliya Shaikh Abdul Qodir Jilani Radhiallahu anhu:

“Sesiapa tidak memperoleh ilmu ini (Ma’rifat mengenal Allah – Tauhid Hakiki) tidak akan menjadi bijaksana dan ‘Arif walaupun dia membaca seribu kitab”.

[Sirrul Asrar]


Beliau berkata lagi:

“Walau bagaimanapun tinggi dan sempurna ilmu Zahir (Syari’at) seseorang itu tidak akan membantunya untuk masuk ke Majlis Ketuhanan, iaitu Hadratul Quddus,  berserta Allah.”

[Sirrul Asrar]


Berkata Tajul Arifin Shaikh Yahya Al-Kholidi Radhiallahu anhu:

“Pendapat ini (Ahli Usuluddin) hanya 70 peratus yaqin (zonn) kerana yaqin peringkat ini sebagai khabar jua (fikir aqal).  Adapun ‘Ainul Yaqin itu iaitu tiap-tiap Ma’rifat yang dapat dilihat dengan mata hati, keadaan yaqin 100 peratus.”

[Risalah Ma’rifat]


Berkata Imam Ghazali Radhiallahu anhu:

“Pendeknya barangsiapa yang belum di-Kurnia Tuhan mengalaminya (Mengenal Allah melalui Sistem pendidikan Ahli Sufi) belumlah ia mengenal haqiqat Kenabian, lebih dari namanya sahaja.”

[Muqiz Min-adh-dholal]


Bersambung siri 148 اِ نْ شَآ ءَ اللّه

____________________________

MAJLIS TAZKIRAH JILANI

   🌳🍁🕌🕌🕌🍁🌳

Friday, April 03, 2026

SIRI 146


KEWAJIPAN AMAL SYARI'AT DAN TORIQAT RASULULLAH ﷺ


بِسْــــــــــــــــــمِ ﷲ الرَّحْمَنِ الرحيم

اَلسَّلاَمُ عَلَيْكُمْ وَرَحْمَةُ اللهِ وَبَرَكَاتُهُ


Bab 3: Sistem Tarbiyyah dan Tazkiyyah Jalan Ma'rifat

Fasal 3: Fakta-Fakta Penting Ma'rifat

sambungan....



Fakta 6: Proses Penyucian jiwa

Ma'rifat terhasil setelah seseorang hamba Allah melalui proses Penyucian Jiwanya, hatinya, ruhnya di dalam Madrasah Ahli Ma'rifat.   Madrasah ini dikenali juga sebagai "Jalan Ma'rifat",  "jamaah Ahli Ma'rifat"     atau  "Toriqat Ahli Sufi"   yang menggabungkan kedua-dua ilmu zahir dan ilmu batin —  Ilmu Syari'at dan Toriqat Rasulullah  ﷺ  di dalam suatu Sistem Pendidikan yang tersusun lengkap bagi mencapai Tauhid yang suci murni, menjadi Mukmin Sejati —  Mencapai Keredhaan Ilahi.  


Fakta 7: Ma'rifat adalah mengEsakan Allah

Ma'rifat adalah Tauhid mengesakan Allah yang suci murni dan yang bersih dari sekalian syirik khafi (syirik tersembunyi) mazmumah  (sifat keji),  ghaflah (kelalaian) dan aghyar (segala suatu selain Allah.


Fakta 8: Ma'rifat bukan teori yang diulang-ulang

Ma'rifat BUKAN ilmu teori, Ma'rifat BUKAN ilmu perdebatan,  Ma'rifat BUKAN ilmu Falsafah, Ma'rifat BUKAN Ilmu Silat dan tiada kaitan dengan ilmu silat, Ma'rifat BUKAN ilmu Hakikat palsu atau Ilmu kebatinan yang menyeleweng dari Ahlus Sunnah.


Fakta 9: Ma'rifat bukan fikir aqal

Ma'rifat tidak terhasil dengan pemikiran aqal. Tidak terhasil semata-mata dengan membaca buku. Tidak terhasil semata-mata dengan diskusi, seminar atau kursus ilmiah. Tidak terhasil semata-mata dengan hafalan yang banyak..


Fakta 10: Anugerah Allah yang khusus

Sesungguhnya Ma'rifat  adalah Anugerah Allah ke dalam hati  hamba-Nya yang sungguh-sungguh mencari-Nya.


Fakta 11: Permulaan Ma'rifat adalah Tauhid Af'al

Permulaan Tingkatan Ma'rifat  (tingkatan paling rendah) adalah Tauhid Af'al (mengenal perbuatan Allah secara hakiki — dari dalam hati)  sementara Tingkatan Tertinggi adalah Mukasyafah — melihat Zat Allah di dalam hati.   


Fakta 12: Mujahadah pada waktu yang lama

Sesungguhnya pencapaian Ma'rifat memerlukan ketekunan dan istiqamah. Mereka perlu mujahadah sungguh-sungguh menyucikan batinnya dari sekalian kekotoran ma'nawiyyah,  mengerjakan  zikrullah terus-menerus dan ibadah lain menurut Disiplin Ma'rifat pada waktu yang panjang dengan pimpinan Mursyid yang siddiq,   sehingga hatinya benar-benar bercahaya.  


Fakta 13: Warid (datang) Cahaya Ketuhanan)

Apabila hatinya mula bersinar dengan cahaya zikrullah, kemudian cahaya itu melimpah memenuhi seluruh tubuhnya, kemudian memenuhi antara langit dan bumi,  maka akan datang cahaya Ketuhanan menyinari 

hatinya serta meliputinya dirinya zahir dan batin.  


Fakta 14: Mencapai Ma'rifat pertama — Tauhid Af'al

Ketika itu akan terpandanglah  si salik (murid pada Jalan Ma'rifat) kepada Tuhan Rabbul Jalil yang menciptakan sekalian sesuatu.   Ketika itu hilanglah segala daya upayanya secara nyata sehingga dia berkata dalam hati,  "Tiada daya upaya melainkan Allah".  Hanya dilihat ketika itu sekalian ahwal dan perbuatan makhluq adalah pada haqiqatnya perbuatan Allah.


Bersambung siri 147 اِ نْ شَآ ءَ اللّه

____________________________

MAJLIS TAZKIRAH JILANI

   🌳🍁🕌🕌🕌🍁🌳

SIRI 145


KEWAJIPAN AMAL SYARI'AT DAN TORIQAT RASULULLAH ﷺ


بِسْــــــــــــــــــمِ ﷲ الرَّحْمَنِ الرحيم

اَلسَّلاَمُ عَلَيْكُمْ وَرَحْمَةُ اللهِ وَبَرَكَاتُهُ


Bab 3: Sistem Tarbiyyah dan Tazkiyyah Jalan Ma'rifat

Fasal 3: Fakta-Fakta Penting Ma'rifat


Berikut adalah fakta-fakta penting berkenaan Jalan Ma'rifat.


Fakta 1:  Ma'rifat — Mengenal Allah adalah kewajipan setiap Muslim

Ma'rifat — mengenal Allah dari dalam hati itu yang dituntut daripada orang Islam, bukan pengertian sempit yang terhenti pada lisan dan aqal fikir. Ertinya Tauhid yang benar itu bukan berdebat-debat tentang Ketuhanan, tetapi keimanan dan keyakinan yang teguh dalam hati.


Rasulullah  ﷺ bersabda:

Bertanya sahabat kepada Baginda Rasulullah ﷺ: "Apakah amal yang paling afdhal ya Rasulullah?" Sabda Baginda  ﷺ ; “Ma'rifatullah”.  

Bertanya lagi sahabat kepada Baginda  ﷺ: "Amal apakah yang terlebih afdhal pahalanya ya Rasulullah? Jawab Baginda ﷺ ; “Makrifatullah”. 

Bertanya lagi para sahabat, bertanya buat kali ketiga oleh sahabat itu, bukan lagi sekadar bertanya tetapi membangkang. “Kami bertanya dari segi amal, kenapa engkau menjawab dari segi ilmu ya Rasulullah?

Jawab Baginda Rasulullah ﷺ ; “Sedikit beramal dengan mengenal Allah (Ma'rifatullah) itu, terlebih memanfaat manakala banyak beramal dengan tidak Ma'rifatullah tiada memanfaat”.

[Imam Ibnu Barr]


Fakta 2: Ma'rifat adalah Tauhid Hakiki — Tauhid Penghayatan hati dan ruh

Sesungguhnya Tauhid yang benar adalah Tauhid yang terbit dari hati yang suci bersih daripada kesyirikan atau kekejian.  Inilah sebenar Tauhid yang tiada waham, syak atau zonn di dalamnya.  Salikin yang di-Kurniakan oleh Allah "Tauhid yang suci murni" menghayatinya dari dalam hati dan ruhnya, bukan sekadar mengulang-ulangi teori aqal tentang Ketuhanan, dan bukan sekadar orang yang petah berhujjah sedangkan batinnya kosong. 


Fakta 3: Pimpinan Mursyid Pewaris Nabi yang Siddiq

Setiap orang yang ingin mencapai Ma'rifat, masuk ke Hadrat Ketuhanan perlu berbai'at kepada Musryid Pewaris Nabi yang Siddiq. Di dalam perkataan yang tegas, seseorang hamba tidak sesekali sampai Ke Hadrat Ketuhanan, mencapai Tauhid suci murni kecuali dia berpegang kepada Mursyid Pewaris Nabi yang Siddiq.


Fakta 4: Mujahadah pada Jalan Ma'rifat

Tauhid yang suci murni ini hanya terhasil setelah seseorang Islam mujahadah sungguh-sungguh pada Jalan Ma'rifat dengan mematuhi sekalian syarat dan adab-adabnya dengan pimpinan Mursyid pewaris Nabi yang Siddiq.  Belajar menyucikan hati dan menundukkan nafsu-nafsu kerendahan, berusaha merawat penyakit batinnya yang amat berat — ego takabbur, 'ujub, riya', sum'ah dan lain-lain.


Fakta 5: Ma'rifat adalah penghayatan hati dan ruh

Ma'rifat adalah Penghayatan qalb (hati) dan ruh (roh) dan sirr (rahsia yang sangat dalam) yang terhasil dari penyucian jiwa yang sungguh-sungguh oleh hamba-hamba Allah yang menuntut Jalan Ma'rifat di bawah bimbingan Guru yang Arif --  Mursyid Pewaris Nabi yang siddiq.


Bersambung siri 146 اِ نْ شَآ ءَ اللّه

____________________________

MAJLIS TAZKIRAH JILANI

   🌳🍁🕌🕌🕌🍁🌳

SIRI 144


KEWAJIPAN AMAL SYARI'AT DAN TORIQAT RASULULLAH ﷺ


بِسْــــــــــــــــــمِ ﷲ الرَّحْمَنِ الرحيم

اَلسَّلاَمُ عَلَيْكُمْ وَرَحْمَةُ اللهِ وَبَرَكَاتُهُ


Bab 3: Sistem Tarbiyyah dan Tazkiyyah Jalan Ma'rifat

Fasal 2: Definisi Ma'rifat


Definisi Ma'rifat


Dari segi bahasa:

Ma'rifat (مَعْرِفَة) berasal dari perkataan عَرَفَ bermaksud tahu, kenal


Dari segi istilah:

Ma'rifat (مَعْرِفَة)  adalah pengetahuan yang mendalam tentang Ketuhanan, iaitu beriman kepada Allah dengan melihat Allah dengan _Qalb_ (mata hati)  _Ruh_ (mata roh), _Sirriyah_ (mata rahsia yang sangat mendalam). Ia diperoleh dengan cara menempuh Jalan Ma'rifat dengan pimpinan Mursyid Pewaris Nabi yang Siddiq.


Penjelasan Ringkas:

(1) Kebanyakan orang Islam pada zaman ini (dan juga zaman dahulu) mempertikaikan istilah Ma'rifat. Sebahagian mereka berkata istilah Ma'rifat tidak ada dalam Islam. Sebahagian lagi memperolok-olok dengan kata-kata sindiran yang keji. Sebahagian lain menuduhnya sesat. Dan bermacam-macam tuduhan batil dan jahat daripada orang Islam sendiri.  


(2) Sesungguhnya semua kata-kata biadab itu menunjukkan kejahilan mereka berkenaan Agama Allah. Bahkan mereka tidak memahami asas Agama sekalipun. 


(3) Menurut pegangan Ahlus Sunnah Wal Jama'ah, Ma'rifat adalah Tingkatan Tauhid peringkat tinggi —  Keimanan, Keyakinan teguh yang mencengkam jiwa yang tak mungkin digoncangkan.  


(4) Atau kamu menyebutnya : Ma'rifat adalah Mengenal Allah dengan sebenar kenal dari dalam hati, ruh dan _Sirri_ (rahsia hati yang sangat dalam)  sehingga timbul keyakinan teguh yang tak mungkin tergoncang.  


(5) Pada peringkat asas (kanak-kanak) kamu di ajar mengenal Allah dengan mengetahui Sifat-sifat Allah, Asma' Allah dan Af'al Allah berdasarkan fikir aqal didalam pengajian Sifat 20 (atau sifat 40 atau sifat 60) 


(6) Pada peringkat tinggi kamu mesti mengenal Allah dari dalam hati, bukan lagi mengenal Allah dengan aqal fikiran kamu kerana aqal fikiran manusia tak mungkin kenal Allah secara hakiki. Aqal fikir manusia hanya mengenal Allah pada nama saja tidak meresap dalam hati.


Firman Allah:


 قَالَتِ ٱلأَعْرَابُ آمَنَّا قُل لَّمْ تُؤْمِنُواْ وَلَـٰكِن قُولُوۤاْ أَسْلَمْنَا وَلَمَّا يَدْخُلِ ٱلإِيمَانُ فِي قُلُوبِكُمْ وَإِن تُطِيعُواْ ٱللَّهَ وَرَسُولَهُ لاَ يَلِتْكُمْ مِّنْ أَعْمَالِكُمْ شَيْئاً إِنَّ ٱللَّهَ غَفُورٌ رَّحِيمٌ


Orang-orang " Aaraab" berkata: Kami telah beriman. Katakanlah (wahai Muhammad): Kamu belum beriman, (janganlah berkata demikian), tetapi sementara iman belum lagi meresap masuk ke dalam hati kamu berkatalah sahaja: Kami telah Islam dan (ingatlah), jika kamu taat kepada Allah RasulNya (zahir dan batin), Allah tidak akan mengurangkan sedikitpun dari pahala amal-amal kamu, kerana sesungguhnya Allah Maha Pengampun, lagi Maha Mengasihani.

[Al-Hujurat (49) : Ayat 14]


(7) Allah Ta'ala Memerintahkan manusia agar kenal Allah dengan sesungguhnya melalui Kalam-Nya yang Maha Tinggi.


Firman Allah:

وَمَا خَلَقْتُ الْجِنَّ وَالْإِنْسَ إِلَّا لِيَعْبُدُونِ

Dan tidaklah Aku ciptakan jinn dan manusia kecuali untuk berubudiyyah kepada-Ku” 

[Adz-Dzaariyaat (51) : Ayat 56]


Berkata Ibnu Abbas Radhiallahu anhu:

"Pengertian  "  يَعْبُدُونِ  "   (Ya'budun) pada ayat ini adalah  " يعرفون "  (Ya'rifun), iaitu Mengenal Allah dan berubudiyyah kepada-Nya,  (bukan dengan maksud fahaman ibadah yang sempit)".

[Tafsir Ibnu Abbas]


Berkata Sulton Auliya Shaikh Abdul Qodir Jilani Radhiallahu anhu:

"Manusia tidak akan mampu beribadah secara sempurna kepada Allah tanpa Ma'rifat yang sebenar.  Ma'rifat dapat terwujud setelah hilangnya segala sesuatu yang menghalangi cermin hati dengan terus sungguh-sungguh membersihkannya sehingga manusia dapat melihat indahnya sesuatu yang terpendam dan tertutup di dalam rasa di lubuk hati."

[Sirrul Asrar Fi-Ma-Yahtaju Ilayhil-Abrar]


Bersambung siri 145 اِ نْ شَآ ءَ اللّه

____________________________

MAJLIS TAZKIRAH JILANI

   🌳🍁🕌🕌🕌🍁🌳

SIRI 143


KEWAJIPAN AMAL SYARI'AT DAN TORIQAT RASULULLAH ﷺ


بِسْــــــــــــــــــمِ ﷲ الرَّحْمَنِ الرحيم

اَلسَّلاَمُ عَلَيْكُمْ وَرَحْمَةُ اللهِ وَبَرَكَاتُهُ


Bab 3: Sistem Tarbiyyah dan Tazkiyyah Jalan Ma'rifat

Fasal 1: Pengenalan

sambungan....



Pengajaran penting kisah Imam Ghazali adalah:


Imam Ghazali Radhiallahu Anhu mengisytiharkan kepada seluruh dunia bahawa satu-satunya Manhaj yang di-Redhai Allah adalah Jalan Ma’rifat yang dipimpin oleh Mursyid Pewaris Nabi yang Siddiq, yang dinamakan juga sebagai Ahli Sufi atau Ahli Ma’rifat.  Ini kerana Mursyid yang Siddiq adalah Pewaris Nabi yang sebenar-benar mewarisi Rasulullah ﷺ.  Manhaj mereka adalah satu-satunya Manhaj yang benar-benar menepati Kehendak Allah Ta’ala. 


Malangnya hakikat ini tidak dipedulikan oleh orang-orang Islam sendiri.  Cerdik pandai Agama dan pemimpin Islam lebih utamakan Sistem Pendidikan ciptaan mereka sendiri.  Akibatnya mereka gagal membawa manusia mengenal Allah dan melakukan Ubudiyyah sebagaimana tuntutan Allah.  Sebaliknya sekalian sistem ciptaan aqal manusia melahirkan manusia-manusia sombong, tamak dunia, adu domba, berbuat fitnah dan zalim.  Sebahagian manusia yang lahir dari sistem Pendidikan ini terjerumus kepada firqah-firqah sesat Syi’ah (Rafidhi), Khawarij (Wahhabiyyah), Sekular, Liberal dan lainnya.


Bersambung siri 144 اِ نْ شَآ ءَ اللّه

____________________________

MAJLIS TAZKIRAH JILANI

   🌳🍁🕌🕌🕌🍁🌳

SIRI 142


KEWAJIPAN AMAL SYARI'AT DAN TORIQAT RASULULLAH ﷺ


بِسْــــــــــــــــــمِ ﷲ الرَّحْمَنِ الرحيم

اَلسَّلاَمُ عَلَيْكُمْ وَرَحْمَةُ اللهِ وَبَرَكَاتُهُ


Bab 3: Sistem Tarbiyyah dan Tazkiyyah Jalan Ma'rifat

Fasal 1: Pengenalan

sambungan....



Amat menghairankan!


Adakah kamu hairan Ulama sebesar Imam Ghazali terperangkap dalam jaringan nafsu dunia dan tidak ikhlas?  Sebenarnya itulah pengakuan Imam Ghazali sendiri di dalam auto-biografi beliau, sebagai pengajaran kepada Ummat kemudian.  Keadaan kejiwaan yang melanda Imam Ghazali tidak menghairankan kerana beliau waktu itu hanya "Ulama fekah atau awam".  Orang alim fiqh semata-mata diselubungi Syirik khafi (Syirk tersembunyi), mazmumah dan berbagai penyakit hati.


Dan keadaan itulah berlaku kepada pensyarah-pensyarah akhir zaman yang mempunyai berbagai gelaran hebat; PhD. Profesor, Masters dan lain-lain terperangkap di dalam riya, ujub, sum'ah dan takabbur serta sifat mazmumah lain yang menggugat keimanan.


Sambung kisah Imam Ghazali, ketika beliau sedang dilanda kegelisahan akibat dari penentangan di dalam jiwa beliau sendiri, datang Petunjuk Allah Ta’ala kepada beliau agar mencari Mursyid Pewaris Nabi yang Siddiq dan berkhidmat kepada beliau kerana merekalah Pewaris Nabi yang sebenar yang mampu menjernihkan jiwa manusia yang kotor dan keji. 


Hanya mereka (Mursyid Pewaris Nabi yang Siddiq) memiliki ubat dan penawar bagi sekalian penyakit hati manusia.  Hanya mereka mampu membimbing manusia kepada Allah sehingga mencapai Tauhid yang hakiki, Iman sejati, Ma’rifat dan Ubudiyyah suci murni. 


Diringkaskan kisah, Setelah 6 bulan beliau berhempas pulas di antara kemahuan untuk mengikuti Jalan Ma’rifat dengan bimbingan Mursyid Pewaris Nabi yang Siddiq, dengan bisikan nafsu yang menghalang beliau daripada meninggalkan segala kebesaran sebagai Rektor Universiti Nizamiyyah…. Akhirnya beliau berhasil meninggalkan Kota Baghdad dan berbai’at dengan Mursyid Pewaris Nabi yang Siddiq.  


Beliau bersuluk selama 11 tahun sehingga Allah Ta’ala Mengurniakan  beliau Maqam Ma’rifat yang tinggi (Tauhid hakiki), Maqam Ihsan dan Maqam Taqwa yang tinggi. 


Setelah kembali daripada Mujahadah beliau selama 11 tahun pada Jalan Ma’rifat, beliau akui satu-satunya Jalan Kebenaran yang di-Redhai Allah adalah Jalan Ahli Sufi (Mursyid Pewaris Nabi yang Siddiq). 


Berkata Imam Ghazali Radhiallahu Anhu:

"Selama waktu khilwah (uzlah mengikut disiplin Ahli Sufi atau Ahli Ma’rifat) itu terbukalah bagiku rahsia yang tak terhitung jumlahnya, tak mungkin di-istiqsa (membahas sesuatu sejauh-jauhnya dan sedalam-dalamnya).  Yang kukatakan untuk mengambil manfaatnya – ialah aku benar-benar yaqin, kaum Sufi (Mursyid Pewaris Nabi yang Siddiq) itulah yang benar-benar telah menempuh jalan yang dikehendaki Allah Ta’ala.  Merekalah golongan yang paling utama cara-cara hidupnya, paling tepat tindak lakunya dan paling tinggi budi pekertinya.  Bahkan andaikata aqal para uqala, hikmah para hukama, dan ilmu para ulama yang tahu rahsia syara’, semua itu dihimpun untuk menciptakan suatu cara yang lebih utama dari cara Ahli Sufi itu, tiada akan memberi hasil sebab segala gerak-geri mereka (Mursyid, Ahli Sufi) baik zahir maupun batin, diterangi cahaya Kenabian.”

[Munqiz Min-Adh-Dholal]


Bersambung siri 143 اِ نْ شَآ ءَ اللّه

_____________________________

MAJLIS TAZKIRAH JILANI

   🌳🍁🕌🕌🕌🍁🌳

SIRI 141


KEWAJIPAN AMAL SYARI'AT DAN TORIQAT RASULULLAH ﷺ


بِسْــــــــــــــــــمِ ﷲ الرَّحْمَنِ الرحيم

اَلسَّلاَمُ عَلَيْكُمْ وَرَحْمَةُ اللهِ وَبَرَكَاتُهُ


Bab 3: Sistem Tarbiyyah dan Tazkiyyah Jalan Ma'rifat

Fasal 1: Pengenalan

sambungan....


Sebelum kami jelaskan hal tersebut, setiap orang Islam wajib memahami bahawa Sistem Warisan Rasulullah ﷺ ini jauh berbeza dengan Sistem Pendidikan yang dikenali oleh manusia dari Timur maupun Barat, kuno atau moden, orang ‘Arab atau ‘Ajam.  Termasuk di dalam perkataan kami ini adalah golongan cerdik pandai Agama yang moden atau Pemimpin berbagai Jemaah Islam yang mencipta Sistem Pendidikan baru, namun semuanya gagal membentuk jiwa-jiwa manusia yang bertaqwa.  Sebaliknya sekalian sistem yang mereka cipta melahirkan manusia-manusia angkuh, megah, cinta dunia, cinta pangkat dan kedudukan,  utamakan nafsu kepentingan diri.  Sistem ini juga melahirkan Ahli politik dan Pemimpin-pemimpin yang rakus, tamak, gemar fitnah memfitnah, adu domba sehingga bunuh berbunuhan kerana menagih pangkat, kedudukan dan kemewahan dunia.  


Ketahuilah,

Sistem Warisan Rasulullah ﷺ yang ada pada tangan Mursyid Pewaris Nabi yang Siddiq adalah satu-satunya Sistem Rabbani yang sempurna bagi membangunkan jiwa manusia yang benar-benar Taqwa dan membangunkan Masyarakat dan Negara yang di-Redhai Allah. Sekalian Masyaikh Ahlus Sunnah yang mewarisi Nabi ﷺ mengakui hakikat ini. 


Di antara fatwa Ulama Mu’tabar yang sangat masyhur dan menarik adalah kata-kata Imam Ghazali Radhiallahu Anhu.  Beliau menempuh sendiri jalan orang awam kemudian Jalan Ma’rifat dan bersuluk selama 11 tahun. 


Fatwa beliau amat terkenal di kalangan Ulama Ahlus Sunnah kerana beliau telah menempuh dua fasa kehidupan dan perjuangan: 


Fasa Pertama: 

Kehidupan dan Sistem Pendidikan awam, iaitu berdasarkan pemikiran manusia.


Fasa Kedua:  

Kehidupan dan Sistem Pendidikan khusus berdasarkan Jalan Ma’rifat Warisan Rasulullah ﷺ.


Pada fasa awal perjuangan hidup, beliau sudah terkenal sebagai Ulama Besar, memegang jawatan sebagai Rektor Universiti Nizamiyyah, Baghdad.  Pelajar-pelajar dari seluruh dunia datang belajar dengan beliau.  Nama beliau harum di kalangan Ummat sebagai Ulama terulung. 


Ketika nama beliau dijulang tinggi setinggi-tingginya, berlaku suatu keadaan luar biasa di dalam kehidupan beliau.  Beliau merasakan apa saja yang beliau sedang lakukan (mendidik dan mengajar manusia) adalah dipenuhi dengan riya’ dan bercita-cita kepada dunia, bukan kerana Allah, ertinya tidak ikhlas.  Begini pengakuan beliau sendiri:


Berkata Imam Ghazali Radhiallahu Anhu:

“Aku lihat diriku tenggelam dalam samudera godaan dan rintangan.  Segala pekerjaanku dan yang terbaik ialah mengajar dan mendidik kutinjau sedalam-dalamnya.  Jelas, aku sedang memperhatikan beberapa ilmu yang tidak penting untuk perjalanan ke akhirat.  Apa niat dan tujuanku dengan mengajar dan mendidik, nyatalah tidak sebenarnya ikhlas yang murni kerana Allah Ta'ala, melainkan dicampuri oleh pengaruh ingin kepada kedudukan dan kemasyhuran.  Maka terasalah kepadaku bahawa aku sedang berdiri di pinggir jurang yang curam, di atas tebing yang hampir gugur.  Aku akan jatuh ke Neraka jika tidak segera merubah sikap. "

[Munqiz Min-Adh-Dholal]


Amat menghairankan!


Bersambung siri 142 اِ نْ شَآ ءَ اللّه

____________________________

MAJLIS TAZKIRAH JILANI

   🌳🍁🕌🕌🕌🍁🌳

SIRI 161 KEWAJIPAN AMAL SYARI'AT DAN TORIQAT RASULULLAH ﷺ بِسْــــــــــــــــــمِ ﷲ الرَّحْمَنِ الرحيم اَلسَّلاَمُ عَلَيْكُمْ وَرَحْمَة...