Monday, April 06, 2026

SIRI 157


KEWAJIPAN AMAL SYARI'AT DAN TORIQAT RASULULLAH ﷺ


بِسْــــــــــــــــــمِ ﷲ الرَّحْمَنِ الرحيم

اَلسَّلاَمُ عَلَيْكُمْ وَرَحْمَةُ اللهِ وَبَرَكَاتُهُ


Bab 3: Sistem Tarbiyyah dan Tazkiyyah Jalan Ma'rifat


Fasal 6: Matlamat Pendidikan Jalan Ma'rifat


(1) Matlamat Utama Pendidikan Jalan Ma'rifat.

Sambungan...



Terkait dengan Perintah Allah ini, terdapat dua perkara yang menjadi kekeliruan Ummat Islam sehingga sebahagian daripada mereka ghurur (tertipu) dan sebahagian lagi menjadi fasiq (berdosa besar) dan sebahagian lagi jatuh kepada Firqah-firqah sesat.  Wal Iyazubillah. 


Kekeliruan Pertama: Gagal Memahami Pengertian Tauhid

Menurut pendirian Ahlus Sunnah, orang beriman terbahagi kepada beberapa tingkatan.  Sebahagiannya beriman berdasarkan pemikiran aqal, iaitu berdasarkan dalil dan bukti yang mampu difahami aqal.  Ini adalah tingkatan Iman orang awam. 

Tauhid “orang awam” ini tidak tetap, sebaliknya terumbang-ambing di antara keimanan dan kesyirikan (syirik khafi).  Mereka amat sukar untuk memperoleh khusyu’ di dalam solat.  Mereka tak mampu untuk mencapai “Ikhlas” di dalam erti kata yang sebenar.  Mereka sentiasa bergelumang di dalam ‘ujub, riya’, sum’ah, takabbur dan lain-lain.  Kebanyakan orang Islam berada pada tingkatan ini. 


Sebahagian hamba Allah yang lain beriman kepada Allah dengan penghayatan hati dan ruh.  Iaitu hati dan ruh mereka menyaksikan Kewujudan Allah tanpa sebarang syarat atau kaifiyyat yang mampu dihuraikan.  Ia semata-mata pancaran Cahaya Ketuhanan di dalam hati mereka.  Dan inilah Tauhid yang sebenarnya sebagaimana tuntutan Allah yang disebut Tauhid hakiki atau Iman Sejati atau Ma’rifat.


Tauhid peringkat ini adalah Kurnia Allah khusus bagi mereka yang berbai’at dengan Mursyid Pewaris Nabi yang Siddiq dan sungguh-sungguh Mujahadah pada Jalan-Nya, iaitu Jalan Ma’rifat yang diwarisi oleh sekalian Masyaikh Ahlus Sunnah turun-temurun daripada Rasulullah ﷺ sebagaimana yang telah disebut berulangkali di dalam Risalah ini. 


Tiada siapa mampu mencapai Tauhid yang hakiki, Iman sejati, Ma’rifat, mengenal Allah dan menyempurnakan Ubudiyyah ini melainkan dia melalui proses penyucian hati dan ruh menurut “Jalan Ma’rifat” yang dipimpin oleh Mursyid Pewaris Nabi yang Siddiq. 


Kekeliruan Kedua: Pengertian Ubudiyyah

Kebanyakan orang Islam memahami perkataan “Ubudiyyah” sebagai ibadah.  Kefahaman ini tidak menepati pendirian Ahlus Sunnah yang benar.

Ungkapan Ubudiyyah itu pada hakikatnya adalah "Perhambaan" dan bukan semata-mata ibadah.  Pengertian "ibadah" membawa maksud umum kerana pekerjaan "ibadah" dikerjakan juga oleh manusia-manusia lain yang menganut agama lain, atau tegasnya orang kafir dan Musyrik.  Berbeza dengan Ubudiyyah, kerana ia membawa pengertian yang amat suci dan mulia — Memperhambakan diri - penyerahan diri sebagai hamba yang faqir di Hadapan Allah. 


Oleh yang demikian pengertian "Ma'rifat" (Mengenal Allah dengan sebenar kenal) dan "Ubudiyyah" (Perhambaan sempurna) itulah sebenarnya yang di-Kehendaki oleh Allah Ta'ala ke atas manusia, (tujuan penciptaan manusia), BUKAN pengertian sempit "ibadah".  


Bagaimanakah cara untuk Mengenal Allah....  "يعرفون" ?

Bagaimanakah cara sebenar Ubudiyyah?

Bagaimanakah cara menyempurnakan tuntutan Allah di dalam ayat tersebut?


Bersambung siri 158 اِ نْ شَآ ءَ اللّه

_____________________________

MAJLIS TAZKIRAH JILANI

   🌳🍁🕌🕌🕌🍁🌳

No comments:

Post a Comment

SIRI 161 KEWAJIPAN AMAL SYARI'AT DAN TORIQAT RASULULLAH ﷺ بِسْــــــــــــــــــمِ ﷲ الرَّحْمَنِ الرحيم اَلسَّلاَمُ عَلَيْكُمْ وَرَحْمَة...