Friday, March 06, 2026

SIRI 86


KEWAJIPAN AMAL SYARI'AT DAN TORIQAT RASULULLAH ﷺ



بِسْــــــــــــــــــمِ ﷲ الرَّحْمَنِ الرحيم

اَلسَّلاَمُ عَلَيْكُمْ وَرَحْمَةُ اللهِ وَبَرَكَاتُهُ


Bab 2: Syari'at dan Toriqat Rasulullah ﷺ

Fasal 9: Syarat Mursyid Pewaris Nabi yang Siddiq (benar)



Syarat ke-7 : Tidak mencintai dunia:


Seorang Mursyid Pewaris Nabi mencontohi keperibadian Nabi ﷺ, kurang dunianya, iaitu tidak mencintai dunia atau mengejar dunia.  Hidup beliau penuh di dalam kesederhanaan.  Beliau bukan seorang yang mengejar pangkat, kemewahan atau kedudukan.  Sebaliknya hidup beliau menjauhkan segala urusan yang menghambatnya kepada keduniaan.  


Pandangan dan perjuangan beliau adalah seperti perjuangan Nabi ﷺ, bersifat sederhana dan memadai dengan pemberian Allah dan tiada berhenti menyeru manusia kepada Kalimah Tauhid!  Demikianlah mereka mencontohi kehidupan Rasulullah ﷺ dalam kepimpinan mereka dan seluruh kehidupan dan di dalam pendidikan mereka.


Seseorang yang mengaku Mursyid tetapi mengumpul-ngumpul kekayaan atau hidup mewah di atas harta yang ditagih dari murid-muridnya, tidak boleh dikatakan Mursyid yang haq, sebaliknya dia adalah hamba dunia dan nafsu!


Berkata Imam Asy-Sya'rani Radhiallahu anhu berkata:

“Di antara tanda benarnya seorang Mursyid adalah; Tidak menyalah-gunakan amanah para muridnya, tidak menggunakan harta benda mereka dalam bentuk dan kesempatan apa pun dan juga tidak menginginkan apa yang ada pada mereka.”

[Lawaqihul Anwaar al-Qudsiyah].


Perhatian dan Penjagaan:

Jika engkau bertanya bagaimana halnya beberapa orang Wali Allah hidup mewah, mempunyai rumah yang besar mewah? 


Maka ini jawapannya:


(1)  Jika seorang Mursyid itu memperoleh kemudahan-kemudahan berupa kebendaaan atau lain-lain dari sumbangan ikhlas muridnya atau dari orang-orang lain, maka ini tidak menjadi kesalahan.  Walau bagaimanapun seseorang Mursyid yang Siddiq TIDAK  sama sekali terpengaruh dengan kekayaan yang Allah Melimpahkan padanya.  Beliau akan tetap dan terus ubudiyyah dan khidmat kepada Ummat, tanpa henti.  Bagi mereka ada atau tiadanya dunia sama sahaja.  Jika Allah Ta’ala Kurniakan kepada mereka harta yang banyak, mereka melihat Allah lalu bersyukur dan segera sedekahkannya kepada faqir miskin.  Jika tiada harta mereka tetap melihat Allah dan Redha dengan Ketentuan-Nya.


(2)  Setengah Auliya Allah yang menduduki Maqam yang sangat tinggi, mungkin kelihatan pada zahirnya hidup mewah dengan kediaman yang besar dan pakaian yang hebat-hebat.  Namun semua bentuk kemewahan yang terlihat tidak sedikit pun menyebabkan kelalaian hati mereka, sebaliknya mereka sentiasa di Hadratul Quddus menyaksikan Wajah Zat Yang Maha Agung.  


(3) Sesetengah Auliya Allah mempunyai rumah kediaman yang besar.  Rumah Kediaman besar adalah digunakan untuk Majlis-majlis Ilmu atau Majlis Zikir mereka, bukan untuk kepentingan mereka.  Wang ringgit mereka sekaliannya disedekahkan kepada faqir miskin.  Hati mereka tidak sedikit pun terikat dengan harta duniawi.  Oleh yang demikian, murid pada Jalan Ma’rifat hendaklah sentiasa sangka baik kepada Masyaikh kita ketika dihadapkan hal-hal demikian. 


Contohnya Al-Imam Shaikh Abdul Qodir Jilani Radhiallahu anhu mempunyai rumah kediaman besar namun ia digunakan untuk Majlis-majlis beliau yang dipenuhi ribuan orang.  Setiap kali waktu makan tiba, beliau tidak makan sendirian tetapi beliau menyuruh budak-budak beliau untuk menjemput sesiapa yang lalu lalang datang makan bersama Shaikh. 


Bersambung siri 87 اِ نْ شَآ ءَ اللّه

____________________________

 MAJLIS TAZKIRAH JILANI

   🌳🍁🕌🕌🕌🍁🌳

No comments:

Post a Comment

SIRI 450 KEWAJIPAN AMAL SYARI'AT DAN TORIQAT RASULULLAH  بِسْــــــــــــــــــمِ ﷲ الرَّحْمَنِ الرحيم اَلسَّلاَمُ عَلَيْكُمْ وَرَحْمَةُ...