SIRI 87
KEWAJIPAN AMAL SYARI'AT DAN TORIQAT RASULULLAH ﷺ
بِسْــــــــــــــــــمِ ﷲ الرَّحْمَنِ الرحيم
اَلسَّلاَمُ عَلَيْكُمْ وَرَحْمَةُ اللهِ وَبَرَكَاتُهُ
Bab 2: Syari'at dan Toriqat Rasulullah ﷺ
Fasal 9: Syarat Mursyid Pewaris Nabi yang Siddiq (benar)
Syarat ke-8: Lemah Lembut Kasih Sayang kepada orang beriman
Di antara syarat Mursyid Pewaris Nabi yang Siddiq (benar) adalah, lemah lembut dan penyayang kepada Orang Beriman. Beliau memiliki sifat kasih sayang dan lemah lembut kepada manusia di dalam pergaulan serta mencontohi segala akhlaq Rasulullah ﷺ. Beliau mencontohi Baginda di dalam mendidik Ummat kepada ketuhanan. Beliau sangat penyabar dan lemah lembut di dalam pergaulan sesama manusia tanpa mengira pangkat atau darjat manusia. Walau bagaimanapun beliau sangat tegas di dalam mendirikan hukum agama. Beliau tidak akan tolak ansur ketika Agama Allah di-Permainkan atau hukum Allah dipersendakan.
Firman Allah:
مُحَمَّدٌ رَسُولُ اللَّهِ وَالَّذِينَ مَعَهُ أَشِدَّاءُ عَلَى الْكُفَّارِ رُحَمَاءُ بَيْنَهُمْ
"Muhammad itu adalah utusan Allah dan orang-orang yang bersama dengan dia adalah keras terhadap orang-orang kafir, tetapi berkasih sayang sesama mereka...."
[Al-Fath (48) : Ayat 29]
Segelintir orang yang baru berjinak-jinak dengan dunia tasawwuf menganggap seorang Mursyid itu mestilah seorang yang pendiam, lemah, diam, jalan tunduk walaupun orang memijak Agama. Bagi mereka Ahli Sufi itu tak patut marah-marah — sebab menurut pendapat mereka konon itu berlawanan dengan Tasawwuf. Pendapat dan pendirian ini adalah pegangan orang yang dangkal ilmu dan aqalnya.
Sedarilah : Mursyid Pewaris Nabi yang Siddiq adalah acuan dari Qur'an dan Sunnah. Mereka bertindak sesuai yang dicontohkan oleh Rasulullah ﷺ. Berdasarkan Sirah, Rasulullah ﷺ bertindak mengikut aqal seseorang dan keadaan sekitar— ada kalanya Baginda lemah lembut, memujuk dan pada ketika lain Baginda merah matanya, marah kepada perkara-perkara mungkar dan sesat.
Demikianlah akhlaq Rasulullah ﷺ dicontohi oleh sekalian Mursyid Perwaris Nabi yang Siddiq. Beliau mungkin memarahi seseorang yang melanggar hukum Agama, ataupun seseorang yang sangat keras hati, atau seseorang yang suka menyombong diri — semua ini bertujuan mendidik, bukan kemarahan kerana nafsu. Namun beliau bukanlah orang yang selalu di dalam keadaan demikian. Inilah yang disebut oleh Imam Jailani Radhiallahu anhu dengan kata beliau:
Berkata Al-Imam Sulton Auliya Shaikh Abdul Qodir Jilani Radhiallahu anhu:
"Dia (Mursyid) mestilah sangat lemah lembut dalam perkataan dan tingkah lakunya kepada yang berhajat, selalu memuliakan tetamu-tetamu yang datang kepadanya dengan penuh kasih sayang."
[Qala’id Al-Jawahir]
Al Imam Sulton Auliya Shaikh Abdul Qodir Jilani Radhiallahu anhu, benar-benar mencontohi keperibadian dan Akhlaq Rasulullah ﷺ. Beliau terkenal dengan sifat lemah lembut kepada tetamu dan orang-orang beriman. Beliau sangat pemurah kepada yang memerlukan. Beliau sering makan bersama faqir miskin dan muliakan hamba-hamba Allah yang dipandang hina. Namun ketika hukum Allah di-Permainkan, beliau tidak akan tolak ansur tanpa mengira pangkat atau kedudukannya termasuk Khalifah yang memerintah.
Bersambung siri 88 اِ نْ شَآ ءَ اللّه
____________________________
MAJLIS TAZKIRAH JILANI
🌳🍁🕌🕌🕌🍁🌳
No comments:
Post a Comment