Thursday, March 05, 2026

SIRI 78



بِسْــــــــــــــــــمِ ﷲ الرَّحْمَنِ الرحيم

اَلسَّلاَمُ عَلَيْكُمْ وَرَحْمَةُ اللهِ وَبَرَكَاتُهُ


Bab 2: Syari'at dan Toriqat Rasulullah ﷺ

Fasal 7: Wahyu Pertama Iqra' dan Hubungannya dengan Syari'at dan Toriqat (Tasawwuf)

sambungan...


Kenyataan 6:

Wahyu Pertama Iqra' dan Ma'rifat

sambungan....



Penjelasan 6: Dalil-Dalil Lain Ma'rifat


Sebagaimana dijelaskan Ma'rifat adalah pada haqiqatnya "Tauhid peringkat tinggi" yang merupakan curahan Ilmu Allah ke dalam dada hamba-hamba-Nya yang benar-benar beriman dan yang mujahadah sungguh-sungguh pada Jalan Ma'rifat dengan pimpinan Mursyid Pewaris Nabi yang Siddiq.


Firman Allah:


 وَعَلَّمۡنَـٰهُ مِن لَّدُنَّا عِلۡمً۬ا 

"....dan Kami telah mengajarnya sejenis ilmu; dari sisi Kami." 

[Al-Kahfi (18 ) : Ayat 65] 


Firman Allah:


  وَاتَّقُواْ اللَّهَ وَيُعَلِّمُكُمُ اللَّهُ

"Bertaqwalah kepada Allah, nescaya Allah akan Mengajar kamu.” 

[Al-Baqarah(2) : Ayat 282] 


Rasulullah ﷺ  bersabda:

“Takutilah firasat orang mu' min kerana mereka melihat dari Cahaya Allah.” 

[Imam  Tirmizi]



Rasulullah ﷺ  bersabda:

“Barang siapa yang beramal dengan ilmu yang dia tahu, Allah akan pusakakan padanya ilmu yang dia tidak tahu.” 

[Imam Abu Nuaim] 


Sebagaimana kami sebut berulangkali sebelum ini, Ma'rifat (Tauhid seperti ini) dicapai dengan mematuhi Disiplin Ilmu Toriqat dan mematuhi hukum Syari'at dengan pimpinan Guru yang arif  — Mursyid Pewaris Nabi yang Siddiq (benar). Perkara ini telah disentuh sepintas lalu di beberapa bahagian Risalah sebelum ini. Di sini kita mengkhususkan kaitannya dengan Wahyu Pertama "Iqra' ".


Fahamilah dengan penjelasan ringkas ini bahawa berusaha sungguh-sungguh mencapai Ma'rifat, iaitu mencapai Tauhid suci murni, mencapai Tauhid Penghayatan Hati dan Ruh,  Mengenal Allah dengan sebenar kenal dari dalam hati dan ruh adalah WAJIB — Fardhu Ain atas setiap orang yang benar-benar beriman.


Adapun pengajian sifat 20 di dalam Usuluddin adalah permulaan mengenal Allah pada pemahaman aqal.  Ia bukan kesudahan pencapaian Tauhid.  Ini kerana pemahaman Tauhid pada aqal tidak sunyi dari waham, syak dan zonn.  Setiap amal ibadahnya tidak akan sunyi dari kemasukan Syirik tersembunyi — 'ujub, riya', sum'ah, takabbur dan pergantungan hati kepada makhluq.


Seseorang wajib menempuh perjalanannya kepada Allah melalui Jalan Ma'rifat dengan Pimpinan Mursyid Pewaris Nabi yang Siddiq (benar) untuk sucikan hatinya dari sekalian Syirik khafi (syirik tersembunyi), mazmumah (kecelaan hati), ghaflah dan aghyar (segala sesuatu selain Allah) dan seterusnya mencapai Tauhid haqiqi,  Tauhid Sejati, Tauhid suci murni.


Berkata Al Imam Sulton Auliya Shaikh Abdul Qodir Jilani Radhiallahu Anhu:

"Dengan ilmu zahir sahaja, manusia tidak akan mencapai Haqiqat dan tidak akan sampai kepada Matlamat Ubudiyyah.  Ubudiyyah yang benar dan sempurna hanya akan wujud oleh perpaduan antara ilmu zahir (Syari'at Rasulullah ﷺ) dan ilmu batin (Toriqat Rasulullah ﷺ).  Dengan ini dapat menyempurnakan  tuntutan Ma'rifat dan Ubudiyyah sebagaimana Firman Allah  "وَمَا خَلَقْتُ الْجِنَّ وَالْإِنْسَ إِلَّا لِيَعْبُدُونِ ". 

[Tamat Nukilan dari Kitab Sirrul Asrar]


Bersambung siri 79 اِ نْ شَآ ءَ اللّه

____________________________

 MAJLIS TAZKIRAH JILANI

   🌳🍁🕌🕌🕌🍁🌳

No comments:

Post a Comment

SIRI 450 KEWAJIPAN AMAL SYARI'AT DAN TORIQAT RASULULLAH  بِسْــــــــــــــــــمِ ﷲ الرَّحْمَنِ الرحيم اَلسَّلاَمُ عَلَيْكُمْ وَرَحْمَةُ...