SIRI 129
KEWAJIPAN AMAL SYARI'AT DAN TORIQAT RASULULLAH ﷺ
بِسْــــــــــــــــــمِ ﷲ الرَّحْمَنِ الرحيم
اَلسَّلاَمُ عَلَيْكُمْ وَرَحْمَةُ اللهِ وَبَرَكَاتُهُ
Bab 2: Syari'at dan Toriqat Rasulullah ﷺ
Fasal 11: Punca kesesatan orang awam dan salikin
Punca 5: Bersekutu dengan Jinn syaitan
Poin 15: Contoh-Contoh Iblis menarik kepada kefasikan
sambungan....
Contoh 6: Jatuh Fasiq kerana abaikan Toriqat (Tasawwuf)
Menurut pendirian Ahlus Sunnah Wal Jama'ah, sesungguhnya Syari'at dan Toriqat itu …kedua-duanya datang dari Wahyu Allah Ta'ala. Ia terkandung di dalam Wahyu pertama " اقْرَأْ " (Iqra) kepada Junjungan Besar Nabi Muhammad ﷺ.
Syari'at zahir (disebut Syari'at sahaja atau Fiqh) membicarakan ilmu dan amal zahir yang wajib atas hamba. Syari'at batin (disebut Toriqat dan Tasawwuf) membicarakan Ilmu dan amal batin (hati) yang wajib atas hamba. Kedua-dua bahagian Syari'at ini (zahir dan batin) WAJIB (Fardhu Ain) atas setiap Muslim yang beriman. (Bukan sunnat dan Bukan harus sepertimana sangkaan setengah " cerdik pandai Agama " yang juga merupakan pendokong Ahlus Sunnah tetapi jahil).
Al-Imam Sulton Auliya Shaikh Abdul Qodir Jilani Radhiallahu anhu berkata:
"Ada dua macam ilmu yang diturunkan kepada kita. Pertama Ilmu Zahir, disebut Syari'at. Kedua Ilmu batin, disebut Ma'rifat ( Toriqat ). Syari'at untuk jasad kita dan Ma'rifat (yang terbit dari Toriqat) adalah untuk batin. Kedua-duanya WAJIB dipadu dan dari perpaduannya membuahkan Haqiqat (Tauhid yang hakiki). Seperti halnya pohon dan daunnya yang menghasilkan buah. Sebagaimana Firman Allah Ta'ala di dalam Surah Ar-Rahman, ayat 19 dan 20 :
مَرَجَ ٱلۡبَحۡرَيۡنِ يَلۡتَقِيَانِ بَيۡنَہُمَا بَرۡزَخٌ۬ لَّا يَبۡغِيَا.
(Dia biarkan air dua lautan mengalir, sedang keduanya pula bertemu. Di antara keduanya ada batas yang memisahkannya, masing-masing tidak melampaui sempadannya.)
Dengan ilmu zahir sahaja, manusia tidak akan mencapai Haqiqat (Tauhid hakiki atau Tauhid yang sebenar) dan tidak akan sampai kepada Matlamat Ubudiyyah. Ubudiyyah yang benar dan sempurna hanya akan wujud oleh perpaduan antara ilmu zahir (Syari'at Rasulullah ﷺ) dan ilmu batin (Toriqat Rasulullah ﷺ). Dengan ini dapat menyempurnakan tuntutan Ma'rifat dan Ubudiyyah sebagaimana Firman Allah :
"وَمَا خَلَقْتُ الْجِنَّ وَالْإِنْسَ إِلَّا لِيَعْبُدُونِ "
(Tidak Aku Ciptakan jinn dan manusia melainkan supaya menjadi Ubudiyyah (Ma'rifat) kepada-Ku.)
[Nukilan kitab : Sirrul Asrar Fima Yahtaju Ilaihil Abrar]
Maksud Al-Imam Jilani adalah setiap orang yang mengaku mereka itu Muslim, wajib tanpa kecuali mempelajari dan sungguh-sungguh amalkan kedua-dua bahagian Agama iaitu : Syari'at dan Toriqat Junjungan Besar Nabi Muhammad ﷺ. Dengan amalkan kedua-duanya barulah mereka akan mencapai Tauhid yang sebenar (Tauhid hakiki) dan Ubudiyyah (perhambaan) kepada Allah Ta'ala dengan tulus ikhlas tanpa sebarang sekutu di dalamnya.
Bersambung siri 130 اِ نْ شَآ ءَ اللّه
____________________________
MAJLIS TAZKIRAH JILANI
🌳🍁🕌🕌🕌🍁🌳
No comments:
Post a Comment