Sunday, January 19, 2025

■■■■■■■■■■■■■■■■■

PENYAKIT HATI

BAHAYA YANG TIDAK DISEDARI

(Siri 604)

■■■■■■■■■■■■■■■■■


بِسْــــــــــــــــــمِ ﷲ الرَّحْمَنِ الرحيم

اَلسَّلاَمُ عَلَيْكُمْ وَرَحْمَةُ اللهِ وَبَرَكَاتُهُ



Dosa besar 69:

Tafsir Al-Qur'an dengan

pendapat aqal, nafsu

.... sambungan.....



Contoh 4: Tafsirkan Taqdir  (Qadha dan Qadar) menurut pendapat aqal, nafsu


Pentafsiran yang salah terhadap Taqdir (Qadha Qadar), Af'al Allah (Perbuatan Allah) dan af'al makhluq (perbuatan makhluq) menyebabkan ramai orang Islam jatuh kepada kesesatan.  


Hal ini bukan suatu yang baru tetapi sudah berlaku sejak zaman Tabiin lagi.  Mereka tidak menuntut Ilmu dari Mursyid Pewaris Nabi yang Siddiq, tetapi  mentafsirkan Al-Qur'an menurut pendapat sendiri atau mengambil tafsiran dari "ulama sesat", maka jatuhlah mereka ke dalam kelompok-kelompok sesat.  Wal Iyazubillah.


Daripada sekian banyak golongan yang jatuh kepada kesesatan akibat mentafsirkan "Qadha dan Qadar"  menurut pendapat aqal, terdapat dua golongan yang menonjol pertentangan dengan pendirian Ahlus Sunnah, iaitu:


1. Golongan Mu'tazilah:

Menurut Mu'tazilah manusia mencipta taqdirnya sendiri, sama ada baik atau jahat adalah pilihannya sendiri, tiada kaitan apa pun dengan Taqdir yang Allah Ta'ala tetapkan.  Menurut mereka jika manusia melakukan kebaikan, mereka akan masuk syurga dengan sebab kebaikan yang telah mereka lalukan, tiada kaitan apa pun dengan Ketentuan Allah.  Ertinya mereka ingkar Af'al Allah (perbuatan Allah) dan ingkar Taqdir Allah keseluruhannya.


2. Golongan Jabariyyah:

Menurut fahaman Jabariyyah, setiap perbuatan manusia adalah dari Allah semata-mata dan menafikan perbuatan bagi manusia secara mutlaq.  Menurut mereka (Jabariyyah), manusia hanyalah bagaikan bulu yang berterbangan menurut arah angin yang meniup atau bagaikan mainan yang digerakkan oleh pemiliknya.  Pendapat mereka : Syurga atau Neraka adalah paksaan Allah terhadap manusia kerana manusia tiada usaha ikhtiar apa pun.  Ertinya mereka menafikan _af'al_ (perbuatan) makhluq secara mutlaq sedangkan Allah Ta'ala telah menetapkan perbuatan makhluq pada Azali.


Menurut Ahlus Sunnah Wal Jamaah:

Kedua-dua golongan ini (Mu'tazilah dan Jabariyyah) adalah golongan bid'ah sesat, sama seperti khawarij (Wahhabiyyah). Syi'ah (rafidh), Mujassimah dan lain-lain berjumlah 72 golongan yang terkeluar dari Saf Ummat Ahlus Sunnah kerana mentafsirkan "Qadha dan Qadar" secara batil. 


Walaupun golongan Mu'tazilah dan Jabariyyah telah pupus, namun awas, kerana 'nama' tersebut hanyalah perlambangan.  Hakikatnya yang menjadikan mereka sesat adalah pegangan hati iaitu i'tiqad mereka berhubung Ketuhanan khususnya di dalam perbicaraan ini darihal Qadha dan Qadar.  Unsur yang menjadikan mereka sesat adalah sifat mereka.  Dengan demikian sesiapa saja memiliki sifat dan i'tiqad mereka, maka tidak syak lagi mereka akan menyimpang dari kebenaran dan terjatuh kepada kesesatan! Wal Iyazubillah!


Setiap Muslim wajib menghalusi perkara ini agar selamat dunia akhirat.  Perhatikanlah baik-baik....ianya cuma satu garisan halus yang memisahkan di antara Aqidah Ahlus Sunnah dengan aqidah-aqidah batil.


In shaa Allah kami akan sisipkan sedikit penjelasan darihal Taqdir, kemudian hubungannya dengan Af'al Allah (Perbuatan Allah) dan af'al makhluq (perbuatan makhluq) menurut I'tiqad Ahlus Sunnah wal Jama'ah. 


Namun oleh kerana tajuk yang dibicarakan tidak khusus Bab Taqdir, kami hanya menyebutkan beberapa poin penting.  Untuk mendapat penjelasan yang terperinci, tepat dan sempurna, kamu perlu merujuk kepada Mursyid Pewaris Nabi yang Siddiq, yang benar-benar Arif.


Bersambung siri 605 اِ نْ شَآ ءَ اللّهُ

=======================

MAJLIS TAZKIRAH JILANI  

🌳🍁🕌🕌🕌🍁🌳

No comments:

Post a Comment

■■■■■■■■■■■■■■■■■ PENYAKIT HATI BAHAYA YANG TIDAK DISEDARI (Siri 661) ■■■■■■■■■■■■■■■■■ بِسْــــــــــــــــــمِ ﷲ الرَّحْمَنِ الرحيم اَلسَّ...