■■■■■■■■■■■■■■■■■
PENYAKIT HATI
BAHAYA YANG TIDAK DISEDARI
(Siri 579)
■■■■■■■■■■■■■■■■■
بِسْــــــــــــــــــمِ ﷲ الرَّحْمَنِ الرحيم
اَلسَّلاَمُ عَلَيْكُمْ وَرَحْمَةُ اللهِ وَبَرَكَاتُهُ
Dosa besar 68
Menyumpah Musibah
….sambungan…..
Penjelasan ringkas :
Musibah ke atas orang Kafir, Munafiq dan Fasiq.
Sesungguhnya musibah yang terkena kepada orang kafir, munafiq dan fasiq, sama ada yang terkena secara khusus kepada diri mereka sendiri seperti penyakit misteri atau musibah secara umum yang menimpa dunia seperti gempa bumi, taufan, kebakaran dan sebagainya ... maka semua macam Musibah ini merupakan bala Kemurkaan Allah dan Penghinaan Allah ke atas kekufuran mereka.
Siapakah yang dimaksudkan dengan orang kafir, munafiq dan fasiq dan apakah perbezaannya? Kita menyebut secara ringkas :
Kafir — orang yang terang-terang mengingkari Allah dan Rasul, enggan beriman kepada Allah dan Rasul dan melakukan penentangan terhadap Agama Islam yang suci.
Munafiq — Orang yang menzahirkan keislamannya dan menyembunyikan kekafirannya. Ertinya dia menamakan dirinya Islam, berpakaian Islam dan mengikut adat kebiasaan orang Islam namun hatinya kafir. Orang ini hanya pura-pura Islam dengan niat-niat yang menyimpang — boleh jadi dia ingin mendapat habuan duniawi atau mengambil kesempatan atas kelemahan orang Islam atau dia benar-benar bertujuan memusnahkan orang Islam dari dalam (gunting di dalam lipatan atau api di dalam sekam).
Fasiq — Orang Islam yang melakukan dosa besar (minum arak, judi, tenung nasib, melakukan kezaliman ke atas manusia, khianati amanah Allah dan lain-lain) atau dia kekalkan dosa kecil tanpa Taubat. Orang fasiq tidak kafir, tetapi masih Islam namun keislamannya di tebing bahaya, boleh jatuh kekafiran jika tidak berhati-hati dan terus- menerus di dalam kefasikan.
Bagi ketiga-tiga golongan ingkar ini, musibah merupakan bala Kemurkaan Allah, BUKAN Rahmat Allah. Meskipun mereka hidup mewah, memiliki kekayaan melimpah-ruah, berpangkat tinggi serta mempunyai kedudukan yang istimewa pada pandangan dunia... namun sia-sialah sekalian perbuatan mereka dan mereka adalah manusia yang merugi dunia Akhirat. Mereka akan bergembira sementara waktu kemudian akan ditimpakan azab di dunia lagi, kemudian Azab lebih besar di Akhirat. Wal Iyazubillah
Firman Allah :
وَلَنُذِيقَنَّهُمْ مِنَ الْعَذَابِ الْأَدْنَى دُونَ الْعَذَابِ الْأَكْبَرِ
“Dan Sesungguhnya Kami (Allah) akan merasakan kepada mereka sebahagian Azab yang dekat (di dunia) sebelum Azab yang lebih besar (di Akhirat)."
[As-Sajadah (32) : Ayat 21]
Firman Allah :
أُوْلَـٰٓٮِٕكَ ٱلَّذِينَ لَيۡسَ لَهُمۡ فِى ٱلۡأَخِرَةِ إِلَّا ٱلنَّارُۖ وَحَبِطَ مَا صَنَعُواْ فِيہَا وَبَـٰطِلٌ۬ مَّا ڪَانُواْ يَعۡمَلُونَ
“Itulah orang-orang yang tidak memperoleh di Akhirat, kecuali 'Azab Neraka dan lenyaplah di Akhirat itu apa yang telah mereka usahakan (di dunia) dan sia-sialah apa yang telah mereka kerjakan.”
[Huud (11) : Ayat 16]
Firman Allah :
وَالَّذِينَ كَذَّبُوا بِآيَاتِنَا سَنَسْتَدْرِجُهُمْ مِنْ حَيْثُ لا يَعْلَمُونَ
“Dan orang-orang yang mendustakan ayat-ayat Kami, nanti Kami akan _Istidraj_ mereka (menarik mereka dengan beransur-ansur ke arah kebinasaan), dengan cara yang tidak mereka ketahui.”
[Al A'raf (7) : Ayat 182]
Rasulullah ﷺ bersabda:
”Apabila kamu melihat bahawa Allah Taala memberikan Nikmat kepada hamba-Nya yang selalu membuat maksiat (derhaka), ketahuilah bahawa orang itu telah di istidraj oleh Allah Ta’ala.”
[Imam At-Thabrani, Imam Ahmad, Imam Al-Baihaqi)
Adakah kamu kagum dengan orang kafir, munafiq dan fasiq hidup mewah, hidup di dalam keriangan, sedangkan mereka terus-menerus memusuhi Agama dan melakukan berbagai kerosakan dan kezaliman di atas muka bumi?
Sesungguhnya yang demikian ... Kekayaan, kemewahan, pangkat dan kedudukan yang mereka menikmati BUKAN dari Kemurahan Allah Ta'ala sebaliknya ia merupakan Istidraj, iaitu Allah Ta'ala biarkan mereka di dalam kekufuran mereka sehingga sampai suatu masa Allah Ta'ala menyentap ruh mereka dengan rentapan yang keras.
Bersambung siri 580 اِ نْ شَآ ءَ اللّهُ
=======================
MAJLIS TAZKIRAH JILANI
🌳🍁🕌🕌🕌🍁🌳
No comments:
Post a Comment