Tuesday, October 10, 2023

 ■■■■■■■■■■■■■■■■■

PENYAKIT HATI

BAHAYA YANG TIDAK DISEDARI

(Siri 303)

■■■■■■■■■■■■■■■■■



بِسْــــــــــــــــــمِ ﷲ الرَّحْمَنِ الرحيم

اَلسَّلاَمُ عَلَيْكُمْ وَرَحْمَةُ اللهِ وَبَرَكَاتُهُ




Dosa besar 39:

Puji makhluq tanpa haq

sambungan.......



Pengecualian:

Pujian yang harus dan Sunnat:

======================


Sebagaimana kami katakan pada awal tajuk ini, pujian makhluq kepada makhluq tidaklah semuanya haram.  Sebahagiannya harus, bahkan ada yang sunnat.


Pujian yang harus:

_______________

Pujian yang harus adalah pujian seorang kepada seseorang yang lain dengan yang berserta Tauhid di dalamnya.  Ertinya ketika kamu memuji seseorang,  wajib atas kamu i'tiqad bahawa sekalian pujian itu kembali kepada Allah kerana Dia Maha Kuasa Mengurniakan kelebihan-kelebihan pada makhluq.  Apa sahaja keistimewaan yang ada pada makhluq adalah Kurniaan Allah dan bukan milik mutlaq orang yang dipuji. 


Sebaliknya pujian kepada makhluq tanpa sandarkan kelebihan itu kepada Allah, maka jadilah syirik (syirik khafi) yang mengakibatkan berbagai dosa besar sebagaimana sudah dijelaskan.


Sementara itu orang yang dipuji mempunyai tanggungjawab menjaga hati daripada jatuh kepada kesyirikan (syirik khafi), iaitu jauhkan daripada 'ujub, 'riya, atau besarkan diri. 


Berkata Imam al-Nawawi Radhiallahu anhu:

"Dan pada hadith ini (Hadith pujian Malaikat penjaga pintu langit kepada Rasulullah ﷺ ketika peristiwa Mi'raj),  terdapatnya keharusan untuk memuji seseorang secara berhadapan, sekiranya dia berasa aman dari perasaan ‘ujub dan selamat bagi orang lain daripada sebab-sebab yang boleh mendatangkan fitnah."

[Syarah Sahih Muslim]



Pujian yang sunnat

___________________

Pujian yang sunnat adalah Memuji-muji Rasulullah ﷺ atau para Auliya Allah yang telah masyhur nama mereka di kalangan Ahlus Sunnah dan orang mu'min sejati.  Contoh-contoh pujian yang disunnatkan ini amat banyak di dalam Hadith Rasulullah ﷺ yang menyebut berkenaan pujian Rasulullah ﷺ kepada Sahabat-sahabat Baginda.


Hadith-hadith tersebut menjadi dasar bagi memuji-muji sekalian Auliya Allah yang ternama seperti Imam Ja'afar Siddiq, Imam Hasan Al-Basri, Imam Sufyan Ath-Thawri, Imam Ma'ruf Al-Karhi, Imam Musa Kazim,  Imam Junaid Al-Baghdadi, Imam Abu Yazid Al-Bustami,  Imam Abu Hanifah, Imam Malik, Imam Syafi'e, Imam Ahmad Ibn Hanbal, Imam Sulton Auliya Shaikh Abdul Qodir Jilani, Imam Asy-Syazili, Imam Rifa'ie, Imam Rofie, Imam Ghazali, Imam Fakhruddin Ar-Razi, Imam Nawawi, Imam Sayuthi, Imam Abdullah Al-Haddad, Imam Al-Haythami... ringkasnya sekalian Ahli Silsilah Pewaris Nabi yang Siddiq adalah mereka itu semuanya kekasih Allah yang disunnatkan memuji mereka, itba'  kepada Sunnah Rasulullah ﷺ memuji-muji para Sahabat Ridhwanullah. 


Mereka adalah hamba-hamba Allah yang telah diangkat oleh Allah ke Maqam Quddus (maqam kesucian).  Mereka menghadap Allah pada setiap waktu, maka tidaklah wujud pada diri mereka sedikitpun dari syirik (syirik khafi), kesombongan atau kebanggaan.  Semua sifat-sifat kekejian telah musnah.  Pada mereka pujian manusia atau kutukan manusia sama sahaja, mereka tidak meninggi diri kerana pujian dan tidak kebimbangan ketika dilemparkan kutukan.


Namun kesan pujian atau kejian akan dituai oleh orang yang memuji atau mengeji.  Barangsiapa memuji mereka (Auliya Allah), maka pujian itu mendatangkan kebaikan bagi orang yang memuji, dan sebaliknya barangsiapa mengeji atau memusuhi mereka, maka orang yang menentang ini menjadi musuh Allah.  


Hadith Qudsi :

Dari Abu Hurairah Radhiallahu anhu beliau berkata, bahawa Rasulullah ﷺ  bersabda : “Sesungguhnya Allah Ta’ala berfirman :

"‘Barangsiapa yang memusuhi Wali-Ku maka Aku telah mengisytihar perang dengannya. 

[Imam Bukhari]


Bersambung siri 304 اِ نْ شَآ ءَ اللّهُ

=====================

MAJLIS TAZKIRAH JILANI

  🌳🍁🕌🕌🕌🍁🌳

No comments:

Post a Comment

■■■■■■■■■■■■■■■■■ PENYAKIT HATI BAHAYA YANG TIDAK DISEDARI (Siri 392) ■■■■■■■■■■■■■■■■■ بِسْــــــــــــــــــمِ ﷲ الرَّحْمَنِ الرحيم اَلسَّ...