Wednesday, December 21, 2022

■■■■■■■■■■■■■■■■■■■■■■■■■■■■■■■■■■■■■■■■

PENYAKIT HATI BAHAYA YANG TIDAK DISEDARI

(Siri 123)

■■■■■■■■■■■■■■■■■■■■■■■■■■■■■■■■■■■■■■■■


بِسْــــــــــــــــــمِ ﷲ الرَّحْمَنِ الرحيم

اَلسَّلاَمُ عَلَيْكُمْ وَرَحْمَةُ اللهِ وَبَرَكَاتُهُ


7.17  Dosa Besar ke-16:   Hubbud-dunya (  حُبُّ الدُّنْيَا  ) — cinta dunia:

sambungan....


Pengecualian — Dunia yang membawa manfaat / Dunia yang terpuji


Meskipun hampir keseluruhan "Dunia" itu dicela kerana membawa kepada kebinasaan, namun tidak semuanya tercela, sebahagian daripadanya tidak tercela atau dilaknat, sebaliknya  terpuji.  


Berdasarkan pendirian Ahlus Sunnah,  sebahagian "dunia" adalah harus diambil atau dimanfaatkan untuk kehidupan di dunia. Bahkan sebahagian daripadanya menjadi ibadah dan kebajikan apabila menepati syarat2nya.


Persoalannya?

Bagaimanakah cara membezakan antara "dunia yang dicela atau dilaknat" dengan "dunia yang terpuji"? 

Apakah garis ukuran dan batasannya?

Apakah penentuannya?  

Apakah tanda2nya?


Sesungguhnya hal ini amat rumit. 

Kebanyakan orang awam tidak dapat memahaminya dengan benar. Ada kalanya seseorang menyangka sesuatu hal dunia yang diperbuatnya itu benar dan terpuji, sedangkan ianya bertentangan dengan Kehendak Allah.  Pada ketika yang lain dia menyangka sesuatu hal itu sebagai dunia yang dicela sedangkan ianya terpuji.  Mari kita melihat sebahagian dari keterangan berkenaan dengan hal ini.


Keterangan Pertama : Syarat bagi sesuatu perkara "dunia" menjadi ibadah atau perkara terpuji  yang Di Redhai Allah:


Ketahuilah : Setiap perkara yang asalnya berupa "keduniaan" boleh menjadi Ibadah dan kebajikan yang diRedhai Allah apabila menepati syarat2nya:


(1) Niat ikhlas kerana Allah, mencari Keredhaan-Nya.

Ini syarat utama dan pertama. Setiap perkara berupa "dunia" atau "keduniaan" akan menjadi ibadah dan kebajikan apabila dilakukan semata2 ikhlas mencari Keredhaan-Nya.  Walau bagaimanapun waspada!  Tidaklah memadai niat yang baik ini terhenti di dalam hati semata2, melainkan perlakuan dan tindakannya juga wajib menepati Kehendak dan Ketentuan Allah Ta'ala. (lihat syarat no.2 ). 


Ertinya jika seseorang ikhlas melakukan sesuatu kerana Allah tetapi pada masa yang sama perlakuannya bertentangan dengan Kehendak Allah, maka ini batil.  Tindakan seperti ini BUKAN Ibadah sebaliknya kembali kepada "dunia yang tercela".  (lihat beberapa contoh akan datang In-Shaa Allah)


(2) Digunakan / dilaksanakan sesuai dengan hukum Syara' / tuntutan Syari'at.  Ini bermaksud "setiap niat yang baik / ikhlas" WAJIB disertai dengan "cara" atau "kaedah" yang menepati hukum Syari'at.


(3) Syukur kepada Allah yang Mengurniakan berbagai Ni'mat dan Rahmat dari Sisi-Nya. Ertinya setiap hamba Allah hendaklah melihat dari dalam hati bahawa semua kebaikan yang diperbuatnya itu adalah Kurnia dan Rahmat Ilahi kepadanya.... BUKAN kerana kebaikan dirinya atau kerana kebijaksanaannya atau kerana kehebatannya. 


(4) Hasil daripada apa yang diperbuatnya itu dapat dimanfaatkan untuk kebaikan kehidupan di dunia yang membawa kepada Akhirat. 


(5) Tidak abaikan kewajipan2 fardhu ketika perlaksanaan sepanjang  urusannya.


Jika seseorang menepati syarat2 tersebut di atas ketika membangun, mengolah, memakai perkara2 yang bersifat duniawi, maka ia tidaklah dikatakan "dunia" tetapi tergolong perkara "Akhirat" yang terpuji yang membawa kepada Keredhaan Ilahi.


Berkata Sulton Auliya Shaikh Abdul Qodir Jilani Radhiallahu anhu:

"Jika engkau melihat dunia (perhiasannya), palingkanlah pandanganmu dari keindahannya. Tutuplah hidungmu dari semerbak syahwat dan kelazatannya, agar engkau selamat dari malapetaka yang akan ditimpakannya. Dengan demikian engkau akan dapat bahagian duniamu tanpa membuatmu terpedaya"

[Adab As-Suluuk]


Bersambung siri  124  اِ نْ شَآ ءَ اللّهُ

________________________  

MAJLIS TAZKIRAH JILANI     

       

No comments:

Post a Comment

■■■■■■■■■■■■■■■■ PENYAKIT HATI BAHAYA YANG TIDAK DISEDARI (Siri 527) ■■■■■■■■■■■■■■■■■ بِسْــــــــــــــــــمِ ﷲ الرَّحْمَنِ الرحيم اَلسَّل...