SIRI 410
KEWAJIPAN AMAL SYARI'AT DAN TORIQAT RASULULLAH
بِسْــــــــــــــــــمِ ﷲ الرَّحْمَنِ الرحيم
اَلسَّلاَمُ عَلَيْكُمْ وَرَحْمَةُ اللهِ وَبَرَكَاتُهُ
Bab 5: Mursyid Pewaris Nabi yang Siddiq
Fasal 5: Syarat Mursyid yang Siddiq
sambungan.....
Syarat ke-4: Berpegang Teguh dengan Syari’at
Sebahagian daripada Syarat yang wajib ada pada seorang Mursyid Pewaris Nabi adalah: Tetap berpegang teguh dengan Syari’at. Sifat ini merupakan satu lagi penjagaan yang amat penting.
Seorang Mursyid wajib mematuhi hukum-hukum yang termaktub di dalam Al-Qur'an, Sunnah Nabi ﷺ dan Ijma’ Qias Ulama. Beliau sama sekali tidak boleh melanggar hukum Syari’at sewenang-wenangnya sama ada pelanggaran tersebut dilakukan oleh dirinya sendiri secara terang-terangan atau mengadakan atau menganjurkan perkara-perkara yang bertentangan dengan hukum Islam. Atau terlibat di dalam menyokong Majlis Mungkar. Semua ini TIDAK layak bagi Mursyid.
[Perhatian: Maksud pelanggaran hukum Syari’at, adalah hukum-hukum yang telah disepakati oleh Ulama-ulama Mu'tabar sebagai haram, dan bukan masalah khilafiyah. Jika suatu hukum masih di dalam perselisihan Ulama, iaitu wujud beberapa pendapat Ulama, lalu seorang Mursyid pegang pada satu pendapat, maka ini TIDAK boleh dihukum melanggar hukum Syari’at.]
Jika seorang Shaikh melakukan perkara ma'siat terang-terangan atau menggalakkan muridnya melakukan ma'siat atau merelakan mereka melakukan perkara-perkara mungkar, atau dia menyokong perkara-perkara mungkar yang telah disepakati oleh Ulama Ahlus Sunnah sebagai Haram, maka orang seperti ini tidak layak diikuti sebagai Shaikh. Bahkan para Imam kita menggelarkan mereka sebagai penipu dan pengikut iblis dan terkena Istidraj ! Wal Iyazubillah !
Berkata Shaikh Hujweri Radhiallahu Anhu:
“Seorang Mursyid (Shaikh) wajib mematuhi hukum Syari’at dengan tegas tanpa berbelah bahagi. Tugas beliau adalah untuk menerangi jalan mereka yang telah tersesat kepada kebenaran dan pimpinan yang haq. Seorang Mursyid (Shaikh) yang tidak menghormati hukum Syari’at serta tidak mematuhinya adalah diri sendirinya dalam kegelapan dan mustahil dapat menerangi jalan orang yang dipimpinnya. Orang seperti ini bukanlah Mursyid (Shaikh) tetapi pengikut syaitan dan musuh Islam.”
[Kashful Mahjoob]
Dengan demikian WAJIB seorang Murid menjauhkan diri daripada orang yang mengaku Mursyid tetapi melakukan pelanggaran Syari’at terang-terangan. Bahkan HARAM mengikutinya lagi. Umpamanya ada orang menyamar menjadi Mursyid, mengaku boleh melakukan zina, minum arak atau dosa-dosa lain dengan alasan kononnya dia telah sampai maqam tinggi, atau seseorang yang mengaku Mursyid berkata: Dia tak perlu solat, puasa, zakat dan lain-lain kewajipan kerana dia telah sampai Maqam Tuhan, maka tidak syak lagi dia adalah orang yang Zindiq. Wal Iyazubillah.
Al-Imam Sulton Auliya Shaikh Abdul Qodir Jilani Radhiallahu Anhu menyenaraikan 11 Golongan yang mendakwa diri mereka sebagai Ahli Sufi pada zaman beliau sedangkan mereka adalah Sufi PALSU yang tertipu dengan angan-angan dan bisikan syaitan. Mereka hanya berpegang kepada hakikat dan melanggar Syari’at sewenang-wenangnya.
Pada zaman ini terdapat lebih 10 kelompok mendakwa diri mereka sebagai Ahli Sufi, Mursyid, Ahli Ma’rifat dan sebagainya. Tetapi mereka terang-terangan melanggar Syari’at Nabi ﷺ. Mereka campur adukkan falsafah orang kafir, haqiqat palsu, ajaran bathiniah, sihir dan lain-lain lalu mendakwa mereka sebagai Ahli Sufi. Mereka menunjuk-nunjuk berbagai keajaiban lalu mendakwanya sebagai karomah. Mereka terpedaya dengan bisikan syaitan. Wal Iyazubillah.
Bersambung siri 411 اِ نْ شَآ ءَ اللّهُ
___________________________
MAJLIS TAZKIRAH JILANI
🌳🍁🕌🕌🕌🍁🌳
No comments:
Post a Comment