Thursday, April 30, 2026

SIRI 408


KEWAJIPAN AMAL SYARI'AT DAN TORIQAT RASULULLAH 


بِسْــــــــــــــــــمِ ﷲ الرَّحْمَنِ الرحيم

اَلسَّلاَمُ عَلَيْكُمْ وَرَحْمَةُ اللهِ وَبَرَكَاتُهُ


Bab 5:  Mursyid Pewaris Nabi yang Siddiq

Fasal 5: Syarat Mursyid yang Siddiq

sambungan.....



Syarat 1: Mempunyai Silsilah Sehingga Rasulullah ﷺ


Beliau termasuk di dalam 'rantaian' Pewaris Nabi iaitu yang dipanggil Silsilah Rasulullah ﷺ.  Maksudnya beliau telah menerima Ijazah kebesaran Shaikh daripada Shaikhnya yang telah menerima daripada Shaikhnya dan seterusnya ke atas dan ke atas sehingga bertemu Rahmat-Al-lameen, Sayyidina Wa Maulana Muhammad ﷺ.


Ini merupakan satu dari tanda-anda BENARNYA seorang Shaikh Pewaris Nabi.  Sebagaimana kami menyebutnya berulangkali, “Cahaya Silsilah Rasulullah ﷺ” bukan rekaan atau buat-buatan manusia tetapi ia adalah pancaran “Nur Muhammad” yang memancar ke dalam hati para Pewaris Nabi.  Dengan pancaran Nur inilah mereka memimpin manusia lain kepada Allah Ta'ala.


Seseorang Guru yang tidak mempunyai Cahaya Nur Muhammad atau Cahaya Silsilah Keruhanian ini tidak akan mampu memimpin manusia kepada Hadrat Ketuhanan kerana mereka sendiri tidak pernah Di-Pimpin dan tidak pernah sampai ke Hadrat Ketuhanan, bagaimana mungkin mereka boleh memimpin orang lain..!


Seluruh Pewaris Nabi yang Siddiq, yang terkenal dan diakui seluruh Ahlus Sunnah Wal Jama’ah adalah mereka itu dari  Silsilah Keruhanian tertentu yang akhirnya sampai kepada Rasulullah ﷺ.  Dengan demikian  Silsilah yang benar ini akan tetap terpelihara sehingga akhir zaman dan orang-orang yang menentangnya akan binasa.  Wal Iyazubillah !


Sementara itu seseorang Guru yang mengaku Mursyid tetapi tidak dapat membuktikan kelayakannya sebagai Mursyid Pewaris Nabi yang Siddiq dengan menunjukkan Silsilahnya sampai kepada Rasulullah ﷺ, maka pengakuan ini tidak dapat diterima.  Kemungkinan orang ini adalah pendusta yang berpura-pura menjadi Guru Mursyid.


Berkata Al-Imam Sulton Auliya Shaikh Muhyiddin Abdul Qodir Jilani Radhiallahu Anhu:

“Seseorang yang menjadi Shaikh kerohanian (Mursyid yang Siddiq) mesti memiliki lima syarat, jika tidak dia adalah penipu yang hanya memimpin kepada kebodohan.  Dia mesti sangat mahir di dalam Syari'at, sementara sangat dalam pengetahuannya di dalam haqiqat.  Dia mestilah sangat lemah lembut dalam perkataan dan tingkah lakunya kepada yang berhajat, selalu memuliakan tetamu-tetamu yang datang kepadanya dengan penuh kasih sayang.  Dia juga mestilah sangat 'alim dalam halal dan haram.  Dia memimpin si Salik pada Jalan Ma'rifat, sebagaimana dia sendiri telah dipimpin oleh Shaikhnya, sempurna di dalam kemurahan hatinya.”

[Qala'id Al-Jawahir]


Berkata Shaikh Muhammad An-Nazili Radhiallahu Anhu:

“Orang yang Silsilahnya tidak bersambung ke Hadrat Nabi ﷺ, itu terputus dari Pancaran Ruhaniyyah dan bukanlah ia Pewaris Rasulullah ﷺ (bukan Mursyid) serta tidak boleh membai'at dan tidak boleh memberi Ijazah.”

[Khazinah Al-Asrar]


Berkata Shaikh Syeikh Ahmad Al-Kamashkhanawi Radhiallahu Anhu:

“Semua Ulama salaf sepakat bahawa orang yang Silsilahnya tidak bersambung kepada Guru-guru Toriqah sehingga Rasulullah ﷺ dan tidak mendapat izin untuk memimpin Ummat di majlis Toriqah, tidak boleh menjadi Mursyid, tidak boleh membai'at dan tidak boleh mengajarkan zikir dan amalan-amalan lain di dalam Toriqah.”

[Jami' Usul Fil Aulia]


Demikianlah jelasnya setiap Guru Mursyid wajib mempunyai Silsilahnya sampai Rasulullah ﷺ dan beliau sendiri pernah dipimpin oleh Mursyidnya yang Siddiq sehingga wusul (sampai) kepada Allah.  Maka sesiapa mengaku Shaikh Mursyid atau Pewaris Nabi TIDAK dapat buktikan Silsilah Keilmuan sampai Rasulullah ﷺ dan dia sendiri tak pernah menempuh sendiri jalan kepada Allah, maka dia BUKAN Warisatul Anbiya.


Bersambung siri 409 اِ نْ شَآ ءَ اللّهُ

___________________________

MAJLIS TAZKIRAH JILANI     

     🌳🍁🕌🕌🕌🍁🌳

No comments:

Post a Comment

SIRI 420 KEWAJIPAN AMAL SYARI'AT DAN TORIQAT RASULULLAH  بِسْــــــــــــــــــمِ ﷲ الرَّحْمَنِ الرحيم اَلسَّلاَمُ عَلَيْكُمْ وَرَحْمَةُ...