SIRI 84
بِسْــــــــــــــــــمِ ﷲ الرَّحْمَنِ الرحيم
اَلسَّلاَمُ عَلَيْكُمْ وَرَحْمَةُ اللهِ وَبَرَكَاتُهُ
Bab 2: Syari'at dan Toriqat Rasulullah ﷺ
Fasal 9: Syarat Mursyid Pewaris Nabi yang Siddiq (benar)
sambongan...
Syarat ke-5 : Da'wah - Amr Bil-Ma'ruf Nahyi Anil Mungkar
Mursyid Pewaris Nabi yang Siddiq adalah penyambung Risalah Rasulullah ﷺ, maka sudah semestinya beliau menjunjung tinggi amanah ini. Seorang Mursyid sangat terlatih untuk menyeru manusia kepada kebaikan dan mencegah daripada kemungkaran melalui nasihat-nasihat, teguran-teguran dan amaran-amaran kepada murid-muridnya, masyarakat dan juga terhadap penguasa-penguasa negeri.
Sepanjang sejarah Islam, Mursyid Pewaris Nabi ini telah terkenal dengan Da'wah mereka kepada Ummat Islam. Mereka sering memberi amaran-amaran kepada semua manusia, termasuk pemerintah-pemerintah yang melakukan pelbagai kezaliman.
Firman Allah:
لُعِنَ ٱلَّذِينَ ڪَفَرُواْ مِنۢ بَنِىٓ إِسۡرَٲٓءِيلَ عَلَىٰ لِسَانِ دَاوُ ۥدَ وَعِيسَى ٱبۡنِ مَرۡيَمَ ذَٲلِكَ بِمَا عَصَواْ وَّڪَانُواْ يَعۡتَدُونَ (٧٨)ڪَانُواْ لَا يَتَنَاهَوۡنَ عَن مُّنڪَرٍ۬ فَعَلُوهُ لَبِئۡسَ مَا ڪَانُواْ يَفۡعَلُونَ (٧٩)
“ Telah dilaknati orang-orang kafir dari Bani Israel dengan lisan Daud dan ‘Isa putera Maryam. Yang demikian itu disebabkan mereka derhaka dan selalu melampaui batasan. Mereka satu sama lain tidak melarang tindakan mungkar yang mereka perbuat itu. Sesungguhnya amat buruklah apa yang selalu mereka lakukan itu.”
[Al-Ma’idah (5) : ayat 78-79]
Firman Allah:
وَٱتَّقُواْ فِتۡنَةً۬ لَّا تُصِيبَنَّ ٱلَّذِينَ ظَلَمُواْ مِنكُمۡ خَآصَّةً۬ وَٱعۡلَمُوٓاْ أَنَّ ٱللَّهَ شَدِيدُ ٱلۡعِقَابِ
“Dan peliharalah diri kamu dari fitnah yang tidak hanya menimpa orang-orang yang zalim saja di antara kamu secara khusus, (akan tetapi menimpa secara umum) dan ketahuilah bahawa Allah Amat Keras seksaan-Nya.”
[ Al-Anfaal (8) : Ayat 25]
Rasulullah ﷺ bersabda:
"Demi Allah yang jiwaku ada di tangan-Nya, kamu wajib menganjurkan kebaikan dan mencegah kemungkaran, atau kalau tidak pasti Allah akan menurunkan seksa kepadamu, kemudian kamu berdoa, maka tidak diterima doa dari kamu”.
[Imam Tirmizi]
Rasulullah ﷺ bersabda:
“Sesungguhnya jika manusia melihat seseorang melakukan kezaliman, kemudian mereka tidak mencegah orang itu, maka Allah akan meratakan azab kepada mereka semua.
[Imam Dawud, Imam At-Tirmizi]
Contoh keperibadian Al-Imam Sulton Auliya Shaikh Abdul Qodir Jilani Radhiallahu anhu:
Di antara keunggulan peribadi mulia, Sulton Auliya Shaikh Abdul Qadir Jilani Radhiallahu Anhu adalah : Sentiasa berpegang teguh dengan Syari'at Nabi ﷺ, menyuruh kepada Ma'ruf (kebaikan) dan mencegah kemungkaran. Beliau sedikit pun tidak gentar kepada siapa pun termasuk pemerintah.
Apabila Khalifah yang memerintah melakukan penyelewengan atau kezaliman beliau segera berikan amaran dan peringatan yang wajar.
Walaupun Shaikh Abdul Qodir Jilani adalah seorang Ahli Sufi — Mursyid Pewaris Nabi yang unggul, yang telah mencapai Ma'rifat yang amat tinggi serta mengekalkan sifat lemah lembut kepada seluruh Ummat, namun apabila Hukum Allah Ta'ala tercabar atau Syari'at Allah dipermainkan, beliau TIDAK akan tolak ansur. Beliau akan segera "memotong" tangan-tangan yang cuba merobek hukum-hakam Syari'at.
Suatu ketika Khalifah yang memerintah di Baghdad melantik Menteri yang tidak layak menduduki posisi sebagai Hakim. Maka segera Shaikh berkhutbah dari mimbar,
"Engkau telah melantik pegawai yang paling zalim sebagai "hakim" atas orang beriman. Apakah jawapan engkau nanti apabila engkau di hadapkan kepada "Hakim Maha Agung" yang Memiliki Semesta alam?"
Mendengar amaran tersebut, Khalifah menangis ketakutan dan terus memecat Hakim yang telah dilantiknya.
[Qala'id Al Jawahir]
Bersambung siri 85 اِ نْ شَآ ءَ اللّه
____________________________
MAJLIS TAZKIRAH JILANI
🌳🍁🕌🕌🕌🍁🌳
No comments:
Post a Comment