Saturday, June 28, 2025

■■■■■■■■■■■■■■■■■

PENYAKIT HATI

BAHAYA YANG TIDAK DISEDARI

(Siri 668)

■■■■■■■■■■■■■■■■■


بِسْــــــــــــــــــمِ ﷲ الرَّحْمَنِ الرحيم

اَلسَّلاَمُ عَلَيْكُمْ وَرَحْمَةُ اللهِ وَبَرَكَاتُهُ



Dosa besar 70:

Mufaraqah dari Saf Ummat

sambungan....




Cabang: Penegasan Terpenting:

Ahlus Sunnah yang benar dan Ahlus Sunnah yang palsu


Fatwa Al-Imam Sulton Auliya Shaikh Abdul Qadir Jilan رضي الله عنه:

“Seseorang tidak dapat dikatakan Sufi (Mursyid Pewaris Nabi yang Siddiq) sehingga dia sampai ke Maqam di mana dia di-Anugerahi pandangan kepada Rasulullah ﷺ di dalam mimpinya dan diberi arahan dan tegahan.  Jika keadaan ini terjadi maka hatinya akan dinaikkan ke Maqam lebih tinggi serta disucikan batinnya.  Beliau seterusnya akan memperoleh kehampiran dengan Allah Ta’ala sementara tangannya di dalam pimpinan tangan Rasulullah ﷺ.” 

[Sirrul Asrar]



Fatwa Imam Al-Ghazali  رضي الله عنه:

“Bergabung dengan kalangan Sufi (Mursyid Pewaris Nabi) adalah fardhu ‘ain.  Sebab tidak seorang pun terbebas dari ‘aib atau kesalahan kecuali para Nabi.” 

[Khulasah At-Tasannif fi-Tasawwuf]


Beliau berkata lagi:

"Jalan agama sangatlah samar, (tak dapat bezakan haq dan batil) dan jalan-jalan syaitan sangat banyak dan jelas (terbuka luas untuk dimasuki oleh siapa sahaja).  Oleh kerana itu, jika seseorang yang tidak mempunyai Shaikh yang membimbingnya, maka pasti syaitan akan menggiringnya (memimpinnya) menuju jalannya (kepada kesesatan).  Barang siapa berjalan di jalan yang berbahaya tanpa petunjuk, maka dia telah menjerumuskan dan membinasakan dirinya.”

[Ihya Ulumuddin]



Fatwa Imam Fakhruddin Ar-Razi رضي الله عنه:

“Seorang murid tidak memiliki jalan untuk sampai ke maqam-maqam hidayah (Iman, Taqwa, Tauhid  yang murni) dan Mukashafah, kecuali dia mengikuti Mursyidnya yang menunjukkannya ke jalan yang lurus serta menghindarkannya dari titik-titik kesalahan dan jalan yang sesat.” 

[Tafsir Mafatih Al-Ghaib]



Fatwa Imam Ath-Tayyibi   رضي الله عنه:

“Tidak patut bagi seorang yang alim – meskipun dia memiliki ilmu pengetahuan yang luas, sehingga dia menjadi salah seorang cendikiawan pada masanya – untuk merasa puas dengan apa yang diketahuinya. Adalah wajib baginya untuk bergabung dengan para Ahli Toriqat Sufiyyah, agar mereka menunjukki jalan yang lurus sehinggalah dia menjadi salah seorang yang diajak berbicara oleh Allah di dalam hati mereka kerana kesucian batin mereka, dan dibebaskan dari sifat-sifat tercela.

[Hasyiah Al-Kasyaf]


Kesimpulan ringkas:

Dari penjelasan ringkas ini fahamilah hakikat Ahlus Sunnah dan keselamatan Ummat daripada terjebak ke dalam kesesatan. 


1. Khulafa Ar-Rasyidin adalah pelopor Ahlus Sunnah. 


2. Agama yang benar mengalir dari mereka turun-temurun kepada Ummat melalui hamba Allah dan Kekasih-Nya yang dikenali Mursyid Pewaris Nabi yang Siddiq. (Silsilah Rasulullah ﷺ)


3. Sekalian Mursyid Pewaris Nabi yang Siddiq adalah pemimpin Ummat Ahlus Sunnah wal Jamaah yang tidak akan sesat kerana mereka sentiasa di dalam pemeliharaan Allah. 


4. Setiap orang Islam wajib mencari Mursyid dan berpegang teguh dengan mereka untuk keselamatan dunia Akhirat.


Bersambung siri 669 اِ نْ شَآ ءَ اللّه

______________________________

    MAJLIS TAZKIRAH JILANI    

           🌳🍁🕌🕌🕌🍁🌳

■■■■■■■■■■■■■■■■■

PENYAKIT HATI

BAHAYA YANG TIDAK DISEDARI

(Siri 667)

■■■■■■■■■■■■■■■■■


بِسْــــــــــــــــــمِ ﷲ الرَّحْمَنِ الرحيم

اَلسَّلاَمُ عَلَيْكُمْ وَرَحْمَةُ اللهِ وَبَرَكَاتُهُ



Dosa besar 70:

Mufaraqah dari Saf Ummat

sambungan....




Cabang: Penegasan Terpenting:

Ahlus Sunnah yang benar dan Ahlus Sunnah yang palsu


Menurut Ahli Ma'rifat, awal-awal lagi Allah dan Rasul-Nya telah memberikan kunci ini kepada Ummat, kunci paling berharga, kunci Agung, kunci yang mampu bezakan antara kebenaran dan kebatilan serta tetap selamat di bawah Naungan Kasih Ilahi dan Kasih Rasulullah ﷺ.


Firman Allah:


قُلْ هَذِهِ سَبِيلِي أَدْعُو إِلَى اللَّهِ عَلَى بَصِيرَةٍ أَنَا وَمَنِ اتَّبَعَنِي وَسُبْحَانَ اللَّهِ وَمَا أَنَا مِنَ الْمُشْرِكِينَ


“Katakanlah: ‘Inilah jalan-ku, yang aku dan orang-orang yang mengikuti daku menyeru (manusia) kepada Allah dengan basirah (penyaksian yang jelas).  Maha Suci Allah! Dan bukanlah aku dari golongan musyrikin”. 

[Surah Yusuf (12) : Ayat 108]


Tafsiran Al-Imam Sulton Auliya Shaikh Abdul Qodir Jilani Radhiallahu anhu:

"Dalam ayat ini yang dimaksud dengan "orang yang mengikuti daku" adalah manusia sempurna, Guru Kerohanian yang sebenar (iaitu Pewaris Nabi yang muhaqqiq) yang akan datang selepas Nabi Muhamamd ﷺ,  yang akan mewarisi ilmu batin baginda dan kebijaksanaan Baginda dan yang akan berada hampir dengan Allah. (mereka dikenali sebagai Mursyid,  Ahli Sufi, Ahli Ma'rifat) 

Manusia yang demikian digambarkan sebagai   ۥ  وَلِيًّا مُّرۡشِدً۬ (Wali Mursyid - pelindung dan pembimbing sebenar)

[Surah al-Kahfi (18) : ayat 17 ] "

[Tamat nukilan kitab : Sirrul Asrar]


Syarahan:

…………


Kalimat Agung Allah di atas serta tafsirannya oleh Sulton Auliya memberikan gambaran jelas berkenaan beberapa  Pengisytiharan Mutlaq   berhubung dengan Mursyid dan Jalan Rasulullah ﷺ :


(1) Rasulullah ﷺ sebagai Wakil Allah dan Pemimpin Agung yang membawa manusia kepada kebenaran, iaitu bawa manusia mengenal Allah dan ubudiyyah kepada-Nya dengan tulus ikhlas.


(2) Ungkapan  " هَذِهِ سَبِيلِي "   (Inilah Jalan-ku) adalah isyarat kepada "Jalan Ma'rifat" ,  " Jalan Rasulullah ﷺ yang sebenar", iaitu 

" Jalan Menuju Allah yang sebenar" yang membawa kepada Allah, mengenal Allah dan ubudiyyah kepada-Nya dengan tulus ikhlas.


(3) Ungkapan "عَلَى بَصِيرَةٍ " (penyaksian mata hati yang amat jelas ) itu adalah isyarat kepada Tauhid yang suci murni,  iaitu mentauhidkan Allah dengan pandangan mata hati yang jernih.  Pencapaian Tauhid yang suci murni ini hanya mampu diperoleh oleh seseorang dengan menyucikan batinnya dari sekalian kekejian dan kekotoran _ma'nawiyah_ dengan pimpinan Guru  yang Arif, Wakil Rasulullah ﷺ .


(4)   Ungkapan  "  أَنَا وَمَنِ اتَّبَعَنِي    "    (aku dan pengikut-ku)  adalah isyarat kepada seluruh Angkatan "Pengikut Khusus" Baginda  ﷺ  yang terpilih, iaitu Mursyid, Ahli Ma'rifat, Ahli Sufi yang  menerima, beramal dan memindahkan Ilmu zahir batin sampai Qiamat.  


Apabila diperincikan maksudnya adalah:

Para Sahabat Ridhwanullah dan mereka yang mengikuti mereka (sahabat) dan mereka yang mengikuti mereka lagi  — sambung- menyambung sampai Qiamat.  


Ini yang dipanggil Silsilah Rasulullah ﷺ .  Ertinya maksud   "pengikut-ku"  itu TIDAK semata-mata terhenti pada Sahabat yang hidup secara fizikal bersama Rasulullah ﷺ  tetapi pengertian luasnya menjangkau kepada Seluruh Angkatan Pimpinan Mursyid  atau Ahli Ma'rifat atau Ahli Sufi sehingga Qiamat.   


Maksud dari semua ini adalah:

Seorang Mursyid yang Siddiq adalah Mukmin yang dipilih khusus oleh Allah mewarisi Rasulullah ﷺ , dianugerahi Maqam Nubuwwah, diberi keteguhan hati untuk menanggung Amanah Allah atas muka bumi.  Mereka mewarisi keseluruhan Agama ~ Pemimpin Ahlus Sunnah Wal Jamaah sampai Qiamat. Mereka tidak akan tersesat kerana mereka sentiasa di dalam Pemeliharaan Allah Ta'ala serta pimpinan tangan Rasulullah ﷺ.


Bersambung siri 668 اِ نْ شَآ ءَ اللّه

______________________________

     MAJLIS TAZKIRAH JILANI     

           🌳🍁🕌🕌🕌🍁🌳

■■■■■■■■■■■■■■■■■

PENYAKIT HATI

BAHAYA YANG TIDAK DISEDARI

(Siri 666)

■■■■■■■■■■■■■■■■■


بِسْــــــــــــــــــمِ ﷲ الرَّحْمَنِ الرحيم

اَلسَّلاَمُ عَلَيْكُمْ وَرَحْمَةُ اللهِ وَبَرَكَاتُهُ



Dosa besar 70:

Mufaraqah dari Saf Ummat

sambungan....



Cabang: Penegasan Terpenting:

Ahlus Sunnah yang benar dan Ahlus Sunnah yang palsu


Daripada keterangan Al-Qur'an, Hadith dan Ulama Ahlus Sunnah terpercaya sepanjang zaman, amat jelas segala rahsia keselamatan Ummat ini; Golongan yang benar-benar selamat serta dijamin Syurga adalah Golongan yang berdiri teguh dengan pendirian Rasulullah ﷺ dan pegangan para Sahabat ; khususnya Khulafa Ar-Rasyidin.  Inilah Ahlus Sunnah wal Jama'ah sedangkan kelompok-kelompok yang faraq (memisahkan diri) dari Saf Ummat telah terjerumus ke dalam kesesatan!  Wal Iyazubillah!


Hal tersebut sudah terang bagaikan matahari. Di samping itu, wujud satu persoalan lain yang meruncing berhubung dengan perpecahan Ummat ini, iaitu bagaimana menentukan Ahlus-Sunnah yang benar dengan palsu. Ini kerana selain daripada golongan yang terang-terang sesat dari Jalan Ahlus Sunnah (seperti Syi'ah (rafidhi), Khawarij (wahhabiyyah), Mujassimah, Mu'tazilah dan lain-lain,  terdapat beberapa lagi masalah yang besar Ummat ini berhubung dengan menentukan siapakah sebenar Ahlus Sunnah, apakah tanda-tanda mereka, bagaimanakah mengenali mereka, bagaimanakah mengenali golongan penyamar yang bersembunyi, golongan munafiq yang pura-pura dan bagaimanakah untuk mengenali 11 golongan sufi palsu (sebagaimana fatwa Al-Imam Jilani Radhiallahu anhu)?  Kemudian wujud lagi golongan sufi palsu zaman ini berjumlah lebih dari 10 kelompok yang mencampur-adukkan fahaman aqal dan cara-cara moden ke dalam Ilmu Tasawwuf serta cuba hidangkan kepada Ummat bahawa ianya Ahlus Sunnah sedangkan ianya pendirian batil. 


Orang awam tercari-cari kebenaran kerana semua kelompok yang wujud mengaku merekalah Ahlus Sunnah serta menafikan golongan lain.  Sehinggakan setengah Golongan Wahhabiyyah (khawarij) dan Syi'ah (rafidhi) juga mengaku merekalah Ahlus Sunnah yang benar dan lain-lain sebagai batil. 


Kepincangan masalah ini tambah meruncing apabila golongan terpelajar tidak ketinggalan dalam kekeliruan ini termasuk Profesor, PhD, Drs, Kiyai pondok, orang alim dan pegawai Agama.  Mereka terpengaruh dengan dakyah-dakyah musuh Islam sehingga menjadi sebahagian daripada Golongan yang membawa  suara batil dan bertentangan dengan Ahlus Sunnah.


Bagaimanakah cara kamu melepaskan diri dari semua kekeliruan ini?


Bersambung siri 667 اِ نْ شَآ ءَ اللّه

______________________________

     MAJLIS TAZKIRAH JILANI     

           🌳🍁🕌🕌🕌🍁🌳

Friday, June 27, 2025

■■■■■■■■■■■■■■■■■

PENYAKIT HATI

BAHAYA YANG TIDAK DISEDARI

(Siri 665)

■■■■■■■■■■■■■■■■■


بِسْــــــــــــــــــمِ ﷲ الرَّحْمَنِ الرحيم

اَلسَّلاَمُ عَلَيْكُمْ وَرَحْمَةُ اللهِ وَبَرَكَاتُهُ



Dosa besar 70:

Mufaraqah dari Saf Ummat

sambungan....



Dalil 4: Rasulullah   ﷺ  bersabda:


عَنْ عَوْفِ بْنِ مَالِكٍ قَالَ: قَالَ رَسُوْلُ اللهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ: اِفْتَرَقَتِ الْيَهُوْدُ عَلَى إِحْدَى وَسَبْعِيْنَ فِرْقَةً فَوَاحِدَةٌ فِي الْجَنَّةِ وَسَبْعُوْنَ فِي النَّارِ وَافْتَرَقَتِ النَّصَارَى عَلَى ثِنْتَيْنِ وَسَبْعِيْنَ فِرْقَةً فَإِحْدَى وَسَبْعُوْنَ فِي النَّارِ وَوَاحِدَةٌ فِي الْجَنَّةِ وَالَّذِيْ نَفْسُ مُحَمَّدٍ بِيَدِهِ لَتَفْتَرِقَنَّ أُمَّتِيْ عَلَى ثَلاَثٍ وَسَبْعِيْنَ فِرْقَةً وَاحِدَةٌ فِيْ الْجَنَّةِ وَثِنْتَانِ وَسَبْعُوْنَ فِيْ النَّارِ، قِيْلَ: يَا رَسُوْلَ اللهِ مَنْ هُمْ؟ قَالَ: الْجَمَاعَةُ.


"Berkata Sayyidina ‘Auf Bin Malik Radhiallahu anhu, Sabda Rasulullah ﷺ :  “Yahudi terpecah menjadi 71 (tujuh puluh satu) firqah (golongan), satu masuk Syurga dan yang 70 (tujuh puluh) di Neraka.  Dan Nasrani terpecah menjadi 72 (tujuh puluh dua) firqah (golongan), yang 71 (tujuh puluh satu) golongan di Neraka dan yang satu di Syurga.  Dan demi Yang jiwa Muhammad berada di Tangan-Nya, ummatku benar-benar akan terpecah menjadi 73 (tujuh puluh tiga) firqah, yang satu di Syurga, dan yang 72 (tujuh puluh dua) golongan di Neraka,’ Ditanyakan kepada Baginda , "Siapakah mereka (satu golongan yang masuk Syurga itu) wahai Rasulullah?" Baginda menjawab, “Al-Jama’ah.”

[Imam Tirmizi]


Dalil 5: Rasulullah ﷺ  bersabda:


"إِنَّ بَنِي إِسْرَائِيْلَ تَفَرَّقَتْ عَلَى ثِنْتَيْنِ وَسَبْعِيْنَ مِلَّةً وَتَفْتَرِقُ أُمَّتِيْ عَلَى ثَلَاثٍ وَسَبْعِيْنَ مِلَّةً كُلُّهُمْ فِي النَّارِ إِلَّا مِلَّةً وَاحِدَةً  قَالُوْا وَمَنْ هِيَ يَا رَسُوْلَ اللهِ؟ قَالَ: مَا أَنَا عَلَيْهِ وَأَصْحَابِيْ".


 “Bahawasanya Bani Israil [Yahudi] berpecah kepada 72 golongan, dan ummatku pula berpecah kepada 73 golongan, semuanya masuk neraka kecuali satu golongan, sahabat-sahabat bertanya: Siapakah yang satu itu ya Rasulullah? Nabi bersabda: Golongan yang satu itu adalah mereka yang berpegang sebagaimana iktiqadku, dan iktiqad sahabat-sabahatku”.


Dalil 6: Rasulullah ﷺ  bersabda:


أُوْ سِيْكُمْ بِأَصْحَابِيْ ثُمَّ الَّذِيْنَ يَلُوْنَهُمْ، وَفِيْهِ عَلَيْكُمْ بِالْجَمَاعَةِ وَأِيَّاكُمْ وَالْفُرْقة فَأِنَّ الشَّيْطَانَ مَعَ الْوَا حِدِ وَهُوَ مِنَ الْأِثْنَيْنِ اَبْعَدُ فَمَنْ اَرَادَ بُحْبُوْحَة الْجَنَّةَ فَلْيَلْزَمِ الْجَمَاعَة (رواه التِرْمذِيُّ وَقَال حَسَنُ صَحِيْحٌ وَصَحَّحَهُ الحَاكِمُ)


 “Aku berwasiat kepada kamu untuk mengikuti sahabat-sahabatku, kemudian mengikuti orang-orang yang datang setelah mereka, kemudian mengikuti yang datang setelah mereka“.  Dan termasuk rangkaian hadith ini: “Tetaplah bersama al-Jama’ah dan jauhi perpecahan karena syaitan akan menyertai orang yang sendiri.  Dia (syaitan) dari dua orang akan lebih jauh, maka barang siapa menginginkan tempat lapang di Syurga hendaklah ia berpegang teguh pada al-Jama’ah”.

 [Imam Tirmizi,  Imam Al-Haakim - sahih]



Dalil 7: Rasulullah ﷺ  bersabda:


“وَالَّذِيْ نَفْسُ مُحَمَّدٍ بِيَدِهِ لَتَفْتَرِقُ أُمَّتِيْ عَلَى ثَلَاثٍ وَسَبْعِيْنَ فِرْقَةً فَوَاحِدٌ فِي الْجَنَّةِ وَثِنْتَانِ وَسَبْعُوْنَ فِي النَّارِ قِيْلَ مَنْ هُمْ يَا رَسُوْلَ اللهِ قَالَ: أَهْلُ السَّنَّةِ وَالْجَمَاعَةِ”.


“Demi Tuhan yang jiwa Muhammad di dalam kekuasaan-Nya, ummat-ku akan berpecah kepada 73 golongan, maka satu golongan masuk Syurga dan 72 golongan yang lain masuk Neraka, maka para sahabat bertanya siapakah mereka yang Rasulullah?  Nabi bersabda: Ahlus-Sunnah Wal al-Jama`ah”.

[Diriwayatkan oleh al-Tabarani]


Bersambung siri 666 اِ نْ شَآ ءَ اللّه

______________________________

     MAJLIS TAZKIRAH JILANI     

           🌳🍁🕌🕌🕌🍁🌳

■■■■■■■■■■■■■■■■■

PENYAKIT HATI

BAHAYA YANG TIDAK DISEDARI

(Siri 664)

■■■■■■■■■■■■■■■■■


بِسْــــــــــــــــــمِ ﷲ الرَّحْمَنِ الرحيم

اَلسَّلاَمُ عَلَيْكُمْ وَرَحْمَةُ اللهِ وَبَرَكَاتُهُ



Dosa besar 70:

Mufaraqah dari Saf Ummat

sambungan....



Dalil 3: Firman Allah:


قُلْ هَذِهِ سَبِيلِي أَدْعُو إِلَى اللَّهِ عَلَى بَصِيرَةٍ أَنَا وَمَنِ اتَّبَعَنِي وَسُبْحَانَ اللَّهِ وَمَا أَنَا مِنَ الْمُشْرِكِينَ


“Katakanlah: ‘Inilah jalanku, yang aku dan orang-orang yang mengikuti daku menyeru (manusia) kepada Allah dengan basirah (penyaksian yang jelas). Maha Suci Allah! Dan bukanlah aku dari golongan musyrikin”. 

[Surah Yusuf (12) : Ayat 108]


Tafsiran Al-Imam Sulton Auliya Shaikh Abdul Qodir Jilani Radhiallahu anhu:

"Dalam ayat ini yang dimaksud dengan "orang yang mengikuti daku" adalah manusia sempurna, Guru Kerohanian yang sebenar (iaitu Pewaris Nabi yang muhaqqiq) yang akan datang selepas Nabi Muhamamd ﷺ,  yang akan mewarisi ilmu batin baginda dan kebijaksanaan Baginda dan yang akan berada hampir dengan Allah. (mereka dikenali sebagai Mursyid,  Ahli Sufi, Ahli Ma'rifat).

Manusia yang demikian digambarkan sebagai   ۥ  وَلِيًّا مُّرۡشِدً۬ (Wali Mursyid - pelindung dan pembimbing sebenar)

[Surah al-Kahfi (18) : Ayat 17 ] "

[Tamat nukilan kitab : Sirrul Asrar]


Penjelasan tambahan:

Sesungguhnya detik permulaan Kepimpinan “Ahlus Sunnah Wal Jama’ah” adalah daripada Khulafa Ar-Rasyidin dan BUKAN pada kurun ke-3 Hijriyyah sebagaimana sangkaan sebahagian orang.  Ketika sebahagian orang Islam mula keluar dari Saf Ummat Islam dan membentuk firqah-firqah sendiri, yang menyalahi Al-Qur’an dan Sunnah, para Sahabat khususnya Khulafa Ar-Rasyidin tetap berpegang dengan Al-Qur’an dan Sunnah Rasulullah ﷺ.

Sebagaimana kami tegaskan: Satu-satunya golongan yang tetap berpegang kepada Al-Qur’an dan Sunnah Baginda dan tidak pernah berpisah dari Jalan Utama Wahyu hanyalah satu golongan, iaitu Ahlus Sunnah Wal Jama’ah yang dipelopori oleh para Sahabat Ridhwanullah yang memperoleh Petunjuk Allah, khususnya Khulafa Ar-Rasyidin, Sayyidina Abu Bakar, Sayyidina Umar, Sayyidina Uthman dan Sayyidina Ali Ridhwanullah Alayhi Ajma’in.  Merekalah Penunjuk Jalan Lurus dan Jalan Kebenaran. Merekalah Generasi Mursyid Pewaris Nabi yang pertama bagi Ummat ini.  Generasi Pewaris Nabi seterusnya dikenali sebagai Mursyid, Imam, Shaikh, Ahli Sufi, Ahli Ma'rifat yang Siddiq.


Khulafa Ar-Rasyidin diberi gelaran “Ar-Rasyidin” kerana merekalah yang menunjukki jalan lurus, jalan sebenar Kembali kepada Allah.  Daripada merekalah mengalir ilmu Agama yang suci murni, zahir dan batin, turun - temurun daripada satu Generasi Mursyid Pewaris Nabi yang Siddiq kepada Mursyid Pewaris Nabi berikutnya hingga saat ini dan akan berterusan sampai Qiamat.  Di dalam sebutan lain, Pewaris Nabi yang dinamakan “Mursyid Pewaris Nabi yang Siddiq” itulah pelopor Ahlus Sunnah dan peneraju Ahlus-Sunnah sepanjang zaman sampai Qiamat.


Allah Ta’ala memilih mereka sebagai Wakil Allah dan Rasul-Nya bagi memimpin Ummat kepada Jalan Lurus, Jalan kebenaran dan kesucian sampai Qiamat.


Firman Allah:


ثُمَّ أَوۡرَثۡنَا ٱلۡكِتَـٰبَ ٱلَّذِينَ ٱصۡطَفَيۡنَا مِنۡ عِبَادِنَاۖ 


“Kemudian Kami jadikan Al-Kitab (Al-Quran) itu diwarisi oleh orang-orang yang Kami pilih dari kalangan hamba-hamba Kami; 

[Faathir (35) : Ayat 32]


Bersambung siri 665 اِ نْ شَآ ءَ اللّه

______________________________

     MAJLIS TAZKIRAH JILANI     

           🌳🍁🕌🕌🕌🍁🌳

■■■■■■■■■■■■■■■■■

PENYAKIT HATI

BAHAYA YANG TIDAK DISEDARI

(Siri 663)

■■■■■■■■■■■■■■■■■


بِسْــــــــــــــــــمِ ﷲ الرَّحْمَنِ الرحيم

اَلسَّلاَمُ عَلَيْكُمْ وَرَحْمَةُ اللهِ وَبَرَكَاتُهُ



Dosa besar 70:

Mufaraqah dari Saf Ummat

sambungan....




Dalil 2: Firman Allah:


يَوْمَ تَبْيَضُّ وُجُوهٌ وَتَسْوَدُّ وُجُوهٌ ۚ فَأَمَّا الَّذِينَ اسْوَدَّتْ وُجُوهُهُمْ أَكَفَرْتُم بَعْدَ إِيمَانِكُمْ فَذُوقُوا الْعَذَابَ بِمَا كُنتُمْ تَكْفُرُونَ 


“(Ingatlah akan) hari (Qiamat yang padanya) ada muka (orang-orang) menjadi putih berseri, dan ada muka (orang-orang) menjadi hitam legam. Patutkah kamu kufur ingkar sesudah kamu beriman?   Adapun orang-orang yang telah hitam legam mukanya, (mereka akan ditanya secara menempelak): Oleh itu rasalah azab seksa Neraka disebabkan kekufuran kamu itu".

[Aali- Imran (3) : Ayat 106]


Tafsiran umum:

Firman Allah di atas BUKAN ditujukan kepada orang kafir tetapi kepada golongan orang Islam pada awalnya kemudian mereka berpaling menjadi kafir. Ini kerana ayat Allah : “Patutkah kamu kufur ingkar sesudah kamu beriman?” Ertinya di kalangan orang Islam sendiri yang mengaku beriman tetapi pada hakikatnya mereka sudah jatuh murtad atau kafir terang-terangan.  Wal Iyazubillah. 



Berkata Imam Qurtubi Radhiallahu anhu:

Menurut Ibn Abbas, wajah mereka yang putih berseri adalah pendokong Sunnah (Ahlus Sunnah wal Jamaah) dan muka mereka yang hitam legam adalah pendokong Bid’ah sesat [Khawarij (wahhabiyyah), Syi’ah (rafidhi), Mu’tazilah, Jabariyyah dan lain-lain berjumlah 72 golongan].

[Tafsir Qurtubi]


Berkata Imam Ibn Kathir Radhiallahu anhu:

"Pengikut-pengikut Ahlus Sunnah akan bersinar dengan cahaya putih dan pendokong Bid'ah dan perpecahan akan menjadi gelap."

[Tafsir Ibn Kathir]


Berkata Sayyidina Abu Umamah Radhiallahu anhu:

Mereka yang wajah mereka hitam legam (merujuk Firman Allah Aali-Imran ayat 106) adalah kaum Khawarij (golongan pemberontak paling awal) dan wajah mereka yang bercahaya adalah orang-orang yang mereka bunuh.

[Imam Tirmizi]


Bersambung siri 664 اِ نْ شَآ ءَ اللّه

______________________________

     MAJLIS TAZKIRAH JILANI    

           🌳🍁🕌🕌🕌🍁🌳

■■■■■■■■■■■■■■■■■

PENYAKIT HATI

BAHAYA YANG TIDAK DISEDARI

(Siri 662)

■■■■■■■■■■■■■■■■■


بِسْــــــــــــــــــمِ ﷲ الرَّحْمَنِ الرحيم

اَلسَّلاَمُ عَلَيْكُمْ وَرَحْمَةُ اللهِ وَبَرَكَاتُهُ



Dosa besar 70:

Mufaraqah dari Saf Ummat

sambungan....



Dalil-Dalil


Dalil 1: Firman Allah:


وَأَنَّ هَـٰذَا صِرَاطِي مُسْتَقِيمًا فَاتَّبِعُوهُ ۖ وَلَا تَتَّبِعُوا السُّبُلَ فَتَفَرَّقَ بِكُمْ عَن سَبِيلِهِ ۚذَٰلِكُمْ وَصَّاكُم بِهِ لَعَلَّكُمْ تَتَّقُونَ


“Dan sesungguhnya inilah jalan-Ku yang lurus, maka hendaklah kamu menurutnya; dan janganlah kamu menurut jalan-jalan (yang lain), kerana jalan-jalan (yang lain itu) mencerai-beraikan kamu dari jalan Allah.  Dengan yang demikian itulah Allah perintahkan kamu, supaya kamu bertaqwa.”

[Al-An’am (6) : Ayat 153]


Berkata Ibnu Abbas Radhiallahu anhu:

Ayat di atas dan yang seumpama dengannya di dalam al-Qur’an adalah merujuk kepada Perintah Allah  terhadap golongan Mukmin agar sentiasa berada dalam jamaah dan menegah mereka daripada perselisihan dan perpecahan yang menyesatkan. 

[Tafsir Ibn Abbas]


Berkata Imam Qurtubi Radhiallahu anhu:

Yang dikehendaki dengan Jalan Lurus adalah Ahlus Sunnah Wal Jamaah.  Dan yang dikehendaki dengan "jalan cerai-berai" adalah jalan kelompok-kelompok bid'ah sesat yang keluar dari Saf Ummat. [72 Golongan bid'ah sesat — Khawarij (wahhabiyyah), Syi'ah (rafidhi), Mu'tazilah, Jabariyyah dan lain-lainnya].  (Kemudian beliau menukil Hadith berkenaan perpecahan Ummat Islam kepada 73 golongan dan yang selamat hanya satu iaitu Ahlus Sunnah Wal Jama'ah).


Hadith Rasulullah ﷺ:


عَنْ عَوْفِ بْنِ مَالِكٍ قَالَ: قَالَ رَسُوْلُ اللهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ: اِفْتَرَقَتِ الْيَهُوْدُ عَلَى إِحْدَى وَسَبْعِيْنَ فِرْقَةً فَوَاحِدَةٌ فِي الْجَنَّةِ وَسَبْعُوْنَ فِي النَّارِ وَافْتَرَقَتِ النَّصَارَى عَلَى ثِنْتَيْنِ وَسَبْعِيْنَ فِرْقَةً فَإِحْدَى وَسَبْعُوْنَ فِي النَّارِ وَوَاحِدَةٌ فِي الْجَنَّةِ وَالَّذِيْ نَفْسُ مُحَمَّدٍ بِيَدِهِ لَتَفْتَرِقَنَّ أُمَّتِيْ عَلَى ثَلاَثٍ وَسَبْعِيْنَ فِرْقَةً وَاحِدَةٌ فِيْ الْجَنَّةِ وَثِنْتَانِ وَسَبْعُوْنَ فِيْ النَّارِ، قِيْلَ: يَا رَسُوْلَ اللهِ مَنْ هُمْ؟ قَالَ: الْجَمَاعَةُ.


"Berkata Sayyidina ‘Auf Bin Malik Radhiallahu anhu, Sabda Rasulullah ﷺ :  “Yahudi terpecah menjadi 71 (tujuh puluh satu) firqah (golongan), satu masuk Syurga dan yang 70 (tujuh puluh) di Neraka.  Dan Nasrani terpecah menjadi 72 (tujuh puluh dua) firqah (golongan), yang 71 (tujuh puluh satu) golongan di Neraka dan yang satu di Syurga.  Dan demi Yang jiwa Muhammad berada di Tangan-Nya, ummatku benar-benar akan terpecah menjadi 73 (tujuh puluh tiga) firqah, yang satu di Syurga, dan yang 72 (tujuh puluh dua) golongan di Neraka,’ Ditanyakan kepada Baginda , "Siapakah mereka (satu golongan yang masuk Syurga itu) wahai Rasulullah?" Baginda menjawab, “Al-Jama’ah.”

[Imam Tirmizi]


[Tamat nukilan dari kitab Tafsir Al-Jami' Al-Qur'an]



Bersambung siri 663 اِ نْ شَآ ءَ اللّه

______________________________

     MAJLIS TAZKIRAH JILANI     

           🌳🍁🕌🕌🕌🍁🌳

Thursday, June 26, 2025

■■■■■■■■■■■■■■■■■

PENYAKIT HATI

BAHAYA YANG TIDAK DISEDARI

(Siri 661)

■■■■■■■■■■■■■■■■■


بِسْــــــــــــــــــمِ ﷲ الرَّحْمَنِ الرحيم

اَلسَّلاَمُ عَلَيْكُمْ وَرَحْمَةُ اللهِ وَبَرَكَاتُهُ



Dosa besar 70:

Mufaraqah dari Saf Ummat

sambungan....




Poin 7

Di sini amat penting kami kaitkan Ahlus Sunnah dengan pimpinan Ummat yang bertukar tangan dari Sayyidina Ali Radhillahu Anhu. Berdasarkan amaran dan peringatan Baginda, pemerintahan Islam yang sebenar adalah Pemerintahan Baginda dan Khulafa Ar-Rasyidin.  Setelah itu pemerintahan berpindah kepada Pemerintahan fasiq dan zalim.  Pemerintahan fasiq dan zalim ini akan berterusan sehingga datangnya Imam Mahdi Alayhis salam mendirikan semula khilafah Islamiyyah berdasarkan pemerintahan Rasulullah ﷺ.


Lima fasa Pemerintahan Ummat Islam. 


Fasa Pertama: تَكُوْنُ النُّبُوَّةُ  

Period Pemerintahan Nubuwwah dan kasih sayang — Ini fasa Pemerintahan Rasulullah ﷺ sendiri. 


Fasa Kedua: تَكُوْنُ خِلآفَةً عَلَى مِنْهَاجِ النُّبُوَّةِ

Period Khilafah 'ala minhajin-Nubuwwah iaitu Pemerintahan Khalifah-Khalifah yang bersifat Mursyid atau Rasyid — Sayyidina Abu Bakar, Sayyidina Umar, Sayyidina Uthman, Sayyidina Ali dan Sayyidina Hasan Ridhwanullahi alaihim ajma'in


Fasa Ketiga: مُلْكًا عَاضًا

Period Pemerintahan Mulkan Addhan,  Kerajaan Zalim.  Iaitu mulai dari Kerajaan Umayyah sehingga runtuhnya Kerajaan Uthmaniyyah pada awal abad ke-20 Masihi. 


Fasa Keempat: مُلْكًا جَبَّرِيًّا

Period Pemerintahan Mulkan Jabriyyan atau Jabbabiratun iaitu period pemerintahan Pembesar-Pembesar (Menteri Besar, Pembesar, Orang kaya besar) yang memerintah sewenang-wenang tanpa panduan apa pun.  Mereka menggunakan apa saja sistem ikut nafsu seperti sistem demokrasi, sistem sosialis, kapitalis dan lain-lain. 

Period ini yang kita berada sekarang.


Fasa kelima: خِلآفَةً عَلَى مِنْهَاجِ النُّبُوَّةِ

Period Khilafah 'ala minhajin-Nubuwwah semula iaitu Pemerintahan atas Manhaj Kenabian yang akan didirikan oleh Imam Mahdi Alaihis Salam.

Sekalian Ummat sedang menunggu penzahiran diri beliau, zamannya sudah sangat hampir.



Rasulullah ﷺ bersabda:


تَكُوْنُ النُّبُوَّةُ فِيْكُمْ مَا شَاءَ ا للهُ أَنْ تَكُوْنَ ، ثُمَّ يَرْفَعُهَا إِذَا شَاءَ اَنْ يَرْفَعَهَا ، ثُمَّ تَكُوْنُ خِلآفَةً عَلَى مِنْهَاجِ النُّبُوَّةِ ، فَتَكُوْنُ مَا شَاءَ اللهُ اَنْ تَكُوْنَ ، ثُمَّ يَرْفَعُهَا إِذَا شَاءَ أَنْ يَرْفَعَهَا ، ثُمَّ تَكُوْنُ مُلْكًا عَاضًا ، فَتَكُوْنُ مَا شَاءَ اللهُ أَنْ تَكُوْنَ ، ثُمَّ يَرْفَعُهَا إِذَا شَاءَ أَنْ يَرْفَعَهَا ، ثُمَّ تَكُوْنُ مُلْكًا جَبَّرِيًّا ، فَتَكُوْنَ مَا شَاءَ اللهُ أَنْ تَكُوْنَ ، ثُمَّ يَرْفَعُهَا إِذَا شَاءَ أَنْ يَرْفَعَهَا ، ثُمَّ تَكُوْنُ خِلآفَةً عَلَى مِنْهَاجِ النُّبُوَّةِ ، ثُمَّ سَكَتَ


“Fasa Nubuwwah  (Pemerintahan Kenabian) akan berlangsung pada kalian, atas kehendak Allah (beberapa tahun).  Kemudian Allah mengangkatnya apabila Dia Kehendaki.  Kemudian pemerintahan Khilafah 'ala Minhaj-An-Nubuwwah  (Pemerintahan yang mengikuti jejak Baginda), yang ada atas Kehendak Allah.  Kemudian Allah mengangkatnya atas kehendak-Nya.  Kemudian _Mulkan Addhan_  (Kekuasaan menggigit) yang ada atas kehendak Allah.  Kemudian Allah mengangkatnya atas kehendak-Nya.  Kemudian akan ada Mulkan Jabriyyan (Pemerintahan memaksa, diktator, Pembesar-pembesar yang keras kepala) yang ada atas kehendak Allah.  Kemudian Allah mengangkatnya atas kehendak-Nya.  Kemudian akan ada Khilafah 'ala Minhaj-An-Nubuwwah (Pemerintahan yang menempuh jejak Kenabian), kemudian Nabi diam.”

[imam Ahmad]


Bersambung siri 662 اِ نْ شَآ ءَ اللّهُ

_________________________________

     MAJLIS TAZKIRAH JILANI     

            🌳🍁🕌🕌🕌🍁🌳

■■■■■■■■■■■■■■■■■

PENYAKIT HATI

BAHAYA YANG TIDAK DISEDARI

(Siri 660)

■■■■■■■■■■■■■■■■■


بِسْــــــــــــــــــمِ ﷲ الرَّحْمَنِ الرحيم

اَلسَّلاَمُ عَلَيْكُمْ وَرَحْمَةُ اللهِ وَبَرَكَاتُهُ



Dosa besar 70:

Mufaraqah dari Saf Ummat

sambungan....


Poin 6

Perhatikan sungguh-sungguh apa yang kami katakan pada poin No.5 — Sesungguhnya Ahlus Sunnah tidak pernah berpisah daripada Jalan Allah dan Rasul-Nya.  Yang dikatakan Ahlus Sunnah adalah golongan yang menerima pimpinan Pewaris Rasulullah ﷺ yang dikenali sebagai Mursyid.  Hal ini telah ditegaskan oleh sekalian Pewaris Nabi yang terpercaya sepanjang zaman.


Firman Allah:


قُلْ هَذِهِ سَبِيلِي أَدْعُو إِلَى اللَّهِ عَلَى بَصِيرَةٍ أَنَا وَمَنِ اتَّبَعَنِي وَسُبْحَانَ اللَّهِ وَمَا أَنَا مِنَ الْمُشْرِكِينَ


“Katakanlah: ‘Inilah jalan- ku yang aku dan orang-orang yang mengikuti daku menyeru (manusia) kepada Allah dengan basirah (penyaksian yang jelas).  Maha Suci Allah! Dan bukanlah aku dari golongan musyrikin”. 

[Surah Yusuf (12) : Ayat 108]


Tafsiran Al-Imam Sulton Auliya Shaikh Abdul Qodir Jilani Radhiallahu anhu:

"Dalam ayat ini yang dimaksud dengan "orang yang mengikuti daku" adalah manusia sempurna, Guru Kerohanian yang sebenar (iaitu Pewaris Nabi yang Muhaqqiq)  yang akan datang selepas Nabi Muhamamd ﷺ,  yang akan mewarisi ilmu batin baginda dan kebijaksanaan Baginda dan yang akan berada hampir dengan Allah, (mereka dikenali sebagai Mursyid, Ahli Sufi, Ahli Ma'rifat).

Manusia yang demikian digambarkan sebagai   ۥ  وَلِيًّا مُّرۡشِدً۬ (Wali Mursyid - pelindung dan pembimbing sebenar)

[Surah al-Kahfi (18) : Ayat 17 ] "

[Tamat nukilan kitab : Sirrul Asrar]


Maksud Al-Imam Sulton Auliya Shaikh Abdul Qodir Jilani Radhiallahu anhu adalah: 

Selepas kewafatan Rasulullah ﷺ yang sebenar-benar wakil Rasulullah ﷺ memimpin Ummat adalah Pewaris Nabi yang mendapat pancaran Cahaya Nubuwwah, pancaran Nur Muhammad.  Hal ini dikuatkan oleh Tafsiran Imam Jilani terhadap Ayat Qur'an berikut: 


Firman Allah:


سُوۡرَةُ فَاطِر


ثُمَّ أَوۡرَثۡنَا ٱلۡكِتَـٰبَ ٱلَّذِينَ ٱصۡطَفَيۡنَا مِنۡ عِبَادِنَاۖ فَمِنۡهُمۡ ظَالِمٌ۬ لِّنَفۡسِهِۦ وَمِنۡہُم مُّقۡتَصِدٌ۬ وَمِنۡہُمۡ سَابِقُۢ بِٱلۡخَيۡرَٲتِ بِإِذۡنِ ٱللَّهِۚ ذَٲلِكَ هُوَ ٱلۡفَضۡلُ ٱلۡڪَبِيرُ


“Kemudian Kami jadikan Al-Kitab (Al-Quran) itu diwarisi oleh orang-orang yang Kami pilih dari kalangan hamba-hamba Kami; maka di antara mereka ada yang berlaku zalim kepada dirinya sendiri (dengan tidak mengendahkan ajaran Al-Quran) dan di antaranya ada yang bersikap sederhana dan di antaranya pula ada yang mendahului (orang lain) dalam berbuat kebaikan dengan izin Allah.  Yang demikian itu ialah limpah kurnia yang besar (dari Allah semata-mata).”

[Faathir (35) : Ayat 32]


Menurut  tafsiran Ulama Ahlus Sunnah  yang dimaksudkan dengan “Kitab” adalah Al-Qur’an, dan maksud ayat Allah  “yang Kami pilih dari kalangan hamba-hamba Kami” adalah ditujukan kepada Mursyid, Warisatul Anibya, Ahli Ma’rifat, Ulama Arif Billah yang benar-benar kenal Allah dan mencapai martabat Tauhid yang hakiki pada Maqam Tauhid Maqam Mukasyafah Zat. 


Berkata Imam Jilani:


“Orang-orang yang berilmu dan hikmah (Ahli Ma’rifat atau Ahli Sufi) adalah hamba Allah yang sejati yang dipilih-Nya untuk menerima “Risalah-Risalah dari pengajaran-Nya”.   


Allah melimpahkan mereka ilmu dan hikmah dan dengan ilmu hikmah itulah mereka menjadi manusia yang lebih tinggi darjatnya dari manusia lain.  Mereka berhubung dengan Nabi melalui perasaan yang halus dan dengan aqal yang bijaksana. (Kehalusan Ma’rifat Ilahiyyah atau disebut juga kasyaf Ilahiyyah).


Allah memuji mereka yang memiliki ilmu Hikmah dengan Firman-Nya:


ثُمَّ أَوۡرَثۡنَا ٱلۡكِتَـٰبَ ٱلَّذِينَ ٱصۡطَفَيۡنَا مِنۡ عِبَادِنَاۖ فَمِنۡهُمۡ ظَالِمٌ۬ لِّنَفۡسِهِۦ وَمِنۡہُم مُّقۡتَصِدٌ۬ وَمِنۡہُمۡ سَابِقُۢ بِٱلۡخَيۡرَٲتِ بِإِذۡنِ ٱللَّهِۚ ذَٲلِكَ هُوَ ٱلۡفَضۡلُ ٱلۡڪَبِيرُ


[Sirrul-Asrar Fi-ma-Yahtaju Iyahil-Abrar]




Bersambung siri 661 اِ نْ شَآ ءَ اللّهُ

____________________________

     MAJLIS TAZKIRAH JILANI     

           🌳🍁🕌🕌🕌🍁🌳

■■■■■■■■■■■■■■■■■

PENYAKIT HATI

BAHAYA YANG TIDAK DISEDARI

(Siri 659)

■■■■■■■■■■■■■■■■■


بِسْــــــــــــــــــمِ ﷲ الرَّحْمَنِ الرحيم

اَلسَّلاَمُ عَلَيْكُمْ وَرَحْمَةُ اللهِ وَبَرَكَاتُهُ



Dosa besar 70:

Mufaraqah dari Saf Ummat

====================



Definisi-Definisi:

=============


Definisi saf ummat

...............................


Dari segi bahasa:

Saf (صف) adalah barisan, golongan


Dari segi istilah:

Saf Ummat adalah Jemaah Ummat Islam secara umum, iaitu Ahlus Sunnah Wal Jamaah.




Definisi Mufaraqah

................................


Dari segi bahasa:

Perkataan mufaraqah ( مفارقة ) berasal dari akar kata (فَرَقَ )  faraqa bermaksud pisah, pecah, asingkan diri.


Dari segi istilah:

Memisahkan diri dari Saf Ummat atau Jamaah kaum Muslimin iaitu keluar dari kelompok Ahlus Sunnah Wal Jamaah.



Penjelasan

========


Poin 1:

Berdasarkan keterangan Al-Qur'an, Hadith dan Ijma’ Ulama yang dikehendaki dengan Saf Ummat adalah Ahlus Sunnah Wal Jamaah.


Poin 2

Sebahagian kaum Muslimin mufaraqah (berpecah belah, memisahkan diri) daripada Saf Ummat, iaitu memisahkan diri daripada Ahlus Sunnah Wal Jamaah setelah kewafatan Rasulullah ﷺ. 


Poin 3

Golongan yang berpecah belah mufaraqah (berpecah belah, memisahkan diri) dari Ahlus Sunnah Wal Jamaah berjumlah 72 Golongan, iaitu Golongan Syi'ah (rafidhi), Khawarij (wahhabiyyah), Mu'tazilah, Jabariyyah, Mujassimah, Musyabbihah dan lain-lain berjumlah 72 golongan.


Poin 4

Pada haqiqatnya, satu-satunya Kelompok Ummat yang berpegang teguh dengan Ajaran Rasulullah ﷺ hanya Ahlus Sunnah Wal Jamaah... mereka tak pernah berpisah dari Cahaya Nubuwah, iaitu Silsilah Rasulullah ﷺ.  Ertinya inilah Ahlus Sunnah Wal Jamaah yang mempunyai warisan Nabi ﷺ turun-temurun sampai ke zaman ini tetap berdiri teguh dengan Prinsip Al-Qur'an dan Sunnah Nabi zahir dan batin.


Poin 5

Menurut sekalian Mursyid Pewaris Nabi yang muhaqqiq, Ahlus Sunnah yang benar berpegang teguh kepada Syari'at dan Toriqat Rasul ﷺ dan berjuang sampai Qiamat.


Berkata Sulton Auliya Shaikh Abdul Qodir Jilani Radhiallahu anhu:

"Golongan pertama adalah yang termasuk ke dalam kumpulan Ahlus Sunnah; iaitu mereka yang mengikuti sepenuhnya Syari’at dan Toriqat.  Mereka mematuhi peraturan Quran dan amalan serta peraturan yang berasal daripada kelakuan dan perbuatan Rasulullah ﷺ.   Mereka ikuti peraturan ini dalam perkataan, perbuatan, pemikiran dan perasaan, dan mereka mengikuti maksud batin Agama – iaitu mereka mengerti bukan ikut secara taqlid buta.  Mereka beramal dan hidup menurut peraturan Agama, merasainya dan menikmatinya, bukan semata-mata menanggung sesuatu yang dipaksakan ke atas mereka.  Inilah jalan keruhanian yang mereka ikut.  Inilah persaudaraan hamba-hamba Allah yang berkasih sayang.  Mereka adalah kaum pencinta Allah yang sebenar!

[Al-Ghunyah Li-Tolibi Toriqil-Haqq]


Bersambung siri 660 اِ نْ شَآ ءَ اللّهُ

__________________________________

    MAJLIS TAZKIRAH JILANI     

           🌳🍁🕌🕌🕌🍁🌳

Monday, June 23, 2025

■■■■■■■■■■■■■■■■■

PENYAKIT HATI

BAHAYA YANG TIDAK DISEDARI

(Siri 658)

■■■■■■■■■■■■■■■■■


بِسْــــــــــــــــــمِ ﷲ الرَّحْمَنِ الرحيم

اَلسَّلاَمُ عَلَيْكُمْ وَرَحْمَةُ اللهِ وَبَرَكَاتُهُ



Dosa besar 69:

Tafsir Al-Qur'an dengan

pendapat aqal, nafsu

.... sambungan.....



(6) Menurut Qawaid Fiqh, (qaidah fiqh) membantu menyebarkan suatu berita kesesatan (ilmu sesat), kebatilan, penipuan, fitnah dan lain-lainnya sama dosanya dengan orang mula-mula mencipta ilmu batil, ilmu sesat, tanpa mengurangi dosa pencipta Ilmu batil dan sesat itu.  


Tambah lagi dosa penyebaran tafsiran batil dan fatwa sesat akan berganda mengikut berapa banyak manusia yang tolong-menolong menyebarkannya kepada orang lain.  Lebih ramai orang yang tolong menyebarkannya maka lebih banyaklah dosa tertimpa atas kamu walaupun kamu cuma menekan butang copy and paste sekali saja....! 


Firman Allah:


ۘ وَتَعَاوَنُوا عَلَى الْبِرِّ وَالتَّقْوَىٰ ۖ وَلَا تَعَاوَنُوا عَلَى الْإِثْمِ وَالْعُدْوَانِ ۚ وَاتَّقُوا اللَّهَ ۖ إِنَّ اللَّهَ شَدِيدُ الْعِقَابِ


"Dan tolong-menolonglah kamu dalam (mengerjakan) kebajikan dan Taqwa, dan jangan tolong-menolong dalam berbuat dosa dan pelanggaran. Dan bertaqwalah kamu kepada Allah, sesungguhnya Allah amat berat siksa-Nya."

[Al-Maaidah (5) : Ayat 2]


Rasulullah ﷺ  bersabda:


مَنْ دَعَا إِلَى هُدًى كَانَ لَهُ مِنَ اْلأَجْرِ مِثْلُ أُجُورِ مَنْ تَبِعَهُ لاَ يَنْقُصُ ذَلِكَ مِنْ أُجُورِهِمْ شَيْئًا وَمَنْ دَعَا إِلَى ضَلاَلَةٍ كَانَ عَلَيْهِ مِنَ اْلإِثْمِ مِثْلُ آثَامِ مَنْ تَبِعَهُ لاَ يَنْقُصُ ذَلِكَ مِنْ آثَامِهِمْ شَيْئًا


“Barang siapa menyeru kepada petunjuk, maka dia mendapatkan pahala sebagaimana pahala-pahala orang yang mengikutinya, hal itu tidak mengurangi pahala mereka sedikit pun.  Dan barang siapa menyeru kepada kesesatan, maka dia mendapatkan dosa sebagaimana dosa-dosa orang yang mengikutinya, hal itu tidak mengurangi dosa mereka sedikit pun.”

[Imam Muslim]


(7) Untuk kamu memperoleh jalan selamat jauh daripada kesesatan, sebagaimana nasihat kami adalah: kamu wajib mencari Mursyid Pewaris Nabi yang Siddiq (benar), bai'at dan sungguh-sungguh mengikut nasihat mereka. Inilah wasiat dan nasihat sekalian Pewaris Nabi, Auliya Allah terdahulu.  Meskipun kamu sudah bergelar Profesor, Drs., Kiyai sekalipun kamu wajib berguru kepada Mursyid Pewaris Nabi yang Siddiq (benar).


Berkata Al-Imam Sulton Auliya Shaikh Abdul Qadir Jilani رضي الله عنه:

Takabbur, kemunafikan dan ego, adalah panah syaitan yang tertuju pada hati kamu.  Kamu perlu siapkan satu strategi mempertahankan diri dari serangan-serangan ini.  Formula strategi tersebut telah diterangkan dan telah di buktikan oleh Mashaa'ikh (guru-guru Mursyid).  Kamu perlu mendengar baik-baik  arahan mereka dan mematuhinya.  Mereka akan pimpin kamu pada Jalan Allah kerana mereka telah pun melalui jalan tersebut.  Mintalah pada mereka nasihat berkenaan nafsu-nafsu (yang rendah dan jahat), dan kelemahan-kelemahan lainnya kerana mereka juga pernah mengalami kesulitannya dan menghadapi kesan akibat darinya.  Mereka sangat sedar dan mengetahui bahaya dan ancaman dari nafsu kejahatan.   Mereka telah menempuh jalan yang panjang memerangi (nafsu-nafsu tersebut) dengan demikian mereka boleh menghalang, mengawal dan mengalahkan semua kejahatan itu.

[Fathur-Rabbaniy Wa Faid ar -Rahmaniy]


Berkata Imam Ghazali رضي الله عنه:

“Murid memerlukan seorang Mursyid atau guru keruhanian yang dapat diikutinya, agar dia menunjukkannya ke jalan yang lurus. (jalan benar yang di-Redhai Allah).  Jalan agama sangatlah samar, (tak dapat bezakan haq dan batil, benar atau salah) dan jalan-jalan syaitan sangat banyak dan jelas (terbuka luas untuk di masuki oleh siapa sahaja).  Oleh kerana itu, jika seseorang yang tidak mempunyai Shaikh ( Mursyid ) yang membimbingnya,maka pasti syaitan akan menggiringnya (memimpin dan memujuknya) menuju jalannya. 

[Ihya Ulumuddin Bab Ilmu]


Bersambung siri 659 اِ نْ شَآ ءَ اللّهُ

_____________________________

     MAJLIS TAZKIRAH JILANI     

           🌳🍁🕌🕌🕌🍁🌳

■■■■■■■■■■■■■■■■■

PENYAKIT HATI

BAHAYA YANG TIDAK DISEDARI

(Siri 657)

■■■■■■■■■■■■■■■■■


بِسْــــــــــــــــــمِ ﷲ الرَّحْمَنِ الرحيم

اَلسَّلاَمُ عَلَيْكُمْ وَرَحْمَةُ اللهِ وَبَرَكَاتُهُ



Dosa besar 69:

Tafsir Al-Qur'an dengan

pendapat aqal, nafsu

.... sambungan.....



Rawatan dan Penjagaan

===================


(1) Dosa ke-69 Mentafsir Al-Qur'an menurut aqal, pendapat sendiri, ikut nafsu atau menurut kehendak Pemerintah ini lebih banyak terkena kepada orang bergelar "Ulama", "Kiyai", Ustaz, Prof., Drs., Pegawai Agama yang terlibat di dalam mengeluarkan fatwa atau menerbitkan Tafsir yang kemudiannya menjadi ikutan Ummat.  Persoalannya mampukah kamu betulkan "tafsiran" kamu yang batil?  Mampukah kamu luruskan fahaman dan fatwa-fatwa sesat kamu yang sudah tersebar ke seluruh dunia?


Sebagaimana kami jelaskan sebelum ini, golongan cerdik pandai Agama yang mempunyai ijazah Universiti, ijazah pondok, ijazah Madrasah sekalipun belum layak mentafsir Al-Qur'an.  Mereka yang telah mentafsirkan Ayat Al-Qur'an menurut aqal dan nafsu mereka wajib Taubat Nasuha serta minta maaf kepada Ummat atas kesalahan mereka melakukan Tafsir yang batil dan sesat. 


(2) Golongan kedua yang terkena dosa besar ini adalah pendokong-pendokong mereka yang berjuang bersama mereka dan menyebarkan kebatilan dan kesesatan.  Meskipun mereka tidak mentafsir Al-Qur'an tetapi perbuatan mereka menyokong kebatilan dan kesesatan menjatuhkan mereka kepada mendapat saham dosa besar. Mereka juga wajib Taubat Nasuha dan luruskan kefahaman batil yang mereka sebarkan. 


(3) Golongan ketiga yang mendapat saham dosa besar ini adalah golongan orang yang jahil.  Mereka salin dan tampal  apa saja maklumat yang mereka terima dan sebarkan kepada Ummat.  Dalam sekelip mata sahaja Tafsiran batil dan sesat serta fatwa-fatwa sesat tersebar luas kepada Ummat. Sebagaimana kami syarah dahulu, pada zaman ini penyebaran maklumat kebatilan dan kesesatan ini tersangat mudah serta sepantas kilat kerana semuanya di "hujung jari" yang tersebar luas melalui Facebook, Tik tok, Instagram, WhatsApp dan Telegram.  Golongan ketiga ini juga wajib Taubat Nasuha serta betulkan fahaman batil yang mereka sebarkan. 


(4) Persoalan penting untuk direnungkan sedalam-dalamnya oleh mereka yang membuat tafsiran batil dan sesat:  Bagaimanakah kamu mampu membetulkan fahaman sesat yang kamu sebarkan kepada Ummat?  Bagaimanakah kamu mampu luruskan fatwa-fatwa yang sesat yang tersebar luas kepada Ummat? Mampukah kamu memastikan jutaan manusia yang mengikut fatwa kamu yang sesat mendapat maklumat yang benar yang kamu sudah bertaubat atas perbuatan kamu ? 


(5) Peringatan dan Amaran kami kepada Ummat terutama golongan muda yang ghairah copy and paste maklumat melalui internet.  Kamu wajib hati-hati sebarkan maklumat, jangan sebarkan secara buta.  Jika kamu belum pasti suatu tafsiran itu betul menurut Ahlus Sunnah atau suatu fatwa itu benar-benar daripada Masyaikh Ahlus Sunnah yang taqwa, jangan sebarkan dahulu.  Pastikan dahulu sekalian fatwa itu benar-benar daripada Masyaikh Ahlus Sunnah yang terpercaya. 


Bersambung siri 658 اِ نْ شَآ ءَ اللّهُ

_____________________________

     MAJLIS TAZKIRAH JILANI     

           🌳🍁🕌🕌🕌🍁🌳

Sunday, June 22, 2025

■■■■■■■■■■■■■■■■■

PENYAKIT HATI

BAHAYA YANG TIDAK DISEDARI

(Siri 656)

■■■■■■■■■■■■■■■■■


بِسْــــــــــــــــــمِ ﷲ الرَّحْمَنِ الرحيم

اَلسَّلاَمُ عَلَيْكُمْ وَرَحْمَةُ اللهِ وَبَرَكَاتُهُ



Dosa besar 69:

Tafsir Al-Qur'an dengan

pendapat aqal, nafsu

.... sambungan.....



Akibat Tafsir Al-Qur'an menurut aqal, nafsu

================================


Apakah akibat tafsir Al-Qur'an (dan Hadith Nabi ﷺ) menurut aqal pemikiran, nafsu?  Apakah kesannya kepada Ummat?


Jawapan:

Akibatnya amat dahsyat sekali... menjadi orang yang di-Laknat Allah sedangkan pengikut-pengikut mereka juga ditarik masuk golongan sesat, —  kefasikan dan kekafiran.  Wal Iyazubillah.


Akibat 1: Di-Laknat Allah

Akibat pertama adalah kesan buruk yang amat dahsyat kepada dirinya sendiri.  Mereka adalah pendusta Agama, menipu Allah dan menipu manusia.  Mereka diancam dengan Neraka Jahannam.  Walaupun mereka duduk di jabatan-jabatan Agama, memegang berbagai jawatan hebat-hebat, memakai berbagai gelaran dunia yang hebat-hebat.. tetapi mereka menerima Laknat Allah akibat perbuatan mereka.  Wal Iyazubillah


Akibat 2: Menyesatkan Ummat

Akibat daripada fatwa-fatwa sesat yang mereka keluarkan, Ummat Islam menjadi keliru dan menjadi sesat.  Ertinya mereka menjadi "Ulama", Profesor, Kiyai, Ustaz yang sesat dan menyesatkan.


Akibat 3: Terbentuk 72 firqah sesat

Sejarah Ummat saksikan malapetaka amat dahsyat sebaik sahaja Rasulullah ﷺ wafat, satu daripada malapetaka ini adalah munculnya pendusta Agama yang tafsirkan Al-Qur'an menurut aqal, nafsu serta bisikan iblis... sehingga akhirnya terbentuklah 72 golongan sesat.  Mereka bernama Islam, berpakaian Islam dan ibadah seperti orang Islam tetapi Iman mereka sudah binasa akibat menuruti fahaman sesat. 


Ajaibnya mereka yang pelopori kelompok-kelompok sesat ini bukan orang awam biasa tetapi orang bergelar Ulama, dikenali sebagai ahli ibadah tapi malang!  Mengapakah mereka menjadi sesat dan menyesatkan??



Allah Ta’ala berfirman:


وَلاَ تَقْفُ مَا لَيْسَ لَكَ بِهِ عِلْمٌ إِنَّ السَّمْعَ وَالْبَصَرَ وَالْفُؤَادَ كُلُّ أُوْلاَئِكَ كَانَ عَنْهُ مَسْئُولاً


“Dan janganlah kamu mengikuti apa yang kamu tidak mempunyai pengetahuan tentangnya.  Sesungguhnya pendengaran, penglihatan dan hati, semuanya itu akan diminta pertanggunganjawabnya.”

[Al-Isra’ (17) : Ayat 36]


Allah Ta’ala berfirman:


وَلاَ تَقُولُوا لِمَا تَصِفُ أَلْسِنَتُكُمُ الْكَذِبَ هَذَا حَلاَلٌ وَهَذَا حَرَامٌ لِّتَفْتَرُوا عَلَى اللهِ الْكَذِبَ إِنَّ الَّذِينَ يَفْتَرُونَ عَلَى اللهِ الْكَذِبَ لاَ يُفْلِحُونَ


“Dan janganlah kamu mengatakan terhadap apa yang disebut-sebut oleh lidahmu secara dusta “ini halal dan ini haram”, untuk mengada-adakan kebohongan terhadap Allah.  Sesungguhnya orang yang mengada-adakan kebohongan terhadap Allah tiadalah beruntung.”

[An-Nahl (16) : Ayat  116]


Rasulullah ﷺ bersabda:

"Barang siapa berkata-kata tentang Al-Qur'an (tafsir dan ta'wilkan Al-Qur'an) tanpa ilmu, maka hendaklah ia menempati tempat duduknya dari Neraka."

[Imam Tirmidzi]


Rasulullah ﷺ bersabda:

 “Barang siapa menguraikan Al Qur’an dengan aqal fikirannya sendiri dan merasa benar, maka sesungguhnya dia telah berbuat kesalahan”. 

[Imam Ahmad]


Rasulullah ﷺ bersabda:

"Takutlah kalian berbicara tentang sesuatu yang berasal dariku melainkan pada apa yang telah kalian ketahui.  Siapa yang berdusta atas namaku dengan sengaja, maka hendaklah ia menyimpan tempat duduknya di dalam Neraka, dan barang siapa yang menafsirkan Al-Qur'an dengan akal fikirannya, maka hendaklah ia menyiapkan tempat duduknya di dalam Neraka." 

[Imam Ahmad, Tirmizi, Nasai]


Bersambung siri 657 اِ نْ شَآ ءَ اللّهُ

_____________________________

      MAJLIS TAZKIRAH JILANI     

           🌳🍁🕌🕌🕌🍁🌳

■■■■■■■■■■■■■■■■■

PENYAKIT HATI

BAHAYA YANG TIDAK DISEDARI

(Siri 655)

■■■■■■■■■■■■■■■■■


بِسْــــــــــــــــــمِ ﷲ الرَّحْمَنِ الرحيم

اَلسَّلاَمُ عَلَيْكُمْ وَرَحْمَةُ اللهِ وَبَرَكَاتُهُ



Dosa besar 69:

Tafsir Al-Qur'an dengan

pendapat aqal, nafsu

.... sambungan.....



Punca orang Islam mentafsirkan Al-Qur'an menurut aqal, nafsu

==================================================


Punca seseorang atau satu kumpulan orang "alim", "cerdik pandai Agama", Profesor, Kiyai, Ustaz dan lain-lain seperti mereka mentafsirkan ayat-ayat Allah menurut aqal, pemikiran, nafsu amatlah banyak dan bercabang-cabang. Kami akan huraikan beberapa pokok penyimpangan dan kesesatan. 


Punca 1: Jahil

Boleh dikatakan inilah punca paling awal dan punca umum manusia mentafsirkan Al-Qur'an menurut nafsu, aqal, pemikiran mereka.  Mereka menyangka Al-Qur'an itu perkataan biasa seperti novel cerita-cerita manusia.  Mereka menyangka ianya kata-kata sama seperti kata-kata manusia.  Mereka lupa, lalai, tidak sedar ianya Kalimat Allah Yang Maha Agung.  Mereka jahil, tidak tahu, tidak sedari bahawa setiap kalimat Allah itu mengandungi makna-makna zahir dan makna tersembunyi. Mereka benar-benar jahil daripada pengetahuan bahawa setiap Kalimat Allah boleh membawa ribuan makna yang sangat rumit difahami oleh orang awam.  Yang benar-benar mengetahui rahsia-rahsia halus ini hanyalah Ahli Ma'rifat (Mursyid bertaraf Mujtahid).  Sebab itu setiap Mujtahid Ahlus Sunnah terdiri dari Ahli Ma'rifat, Auliya Allah yang tinggi yang terbuka kepada Ketuhanan.  Tidak ada Mujtahid Ahlus Sunnah melainkan mereka adalah Arif Billah yang benar-benar kenal Allah.  Ustaz -ustaz, kiyai-kiyai, Profesor, Prof. Madya moden zaman ini jahil akan hakikat ini!


Punca 2: Sangka Ilmu Tinggi

Sebahagian Profesor, cerdik pandai Agama, Kiyai, Drs, Ulama menyangka mereka sudah sampai Mujtahid dengan hanya secebis ilmu syari'at semata-mata atau kerana mereka dilantik menjadi panel Syari'ah oleh pemerintah atau kerana mereka memakai jubah mufti... semua ini tertipu.  Kamu belum layak menjadi Mujtahid yang layak mentafsir Al-Qur'an dan Hadith Nabi sebelum menepati syarat-syarat Mujtahid seperti ditegaskan oleh Ulama Ahlus Sunnah yang Mu'tabar terdahulu. 


Punca 3: Tipu daya Syaitan

Syaitan membisikkan kepada orang-orang bergelar "Ulama" dengan berbagai tafsiran batil. Mereka sangka mereka sudah mentafsir dengan betul sedangkan mereka tertipu dengan bisikan Iblis Syaitan.


Punca 4: Arahan Pemerintah Fasiq

Berdasarkan bukti sejarah, "Orang-orang alim" yang dilantik menjadi mufti, ahli fatwa setelah kewafatan Sayyidina Ali Radhiallahu anhu adalah mufti, ahli fatwa jahil yang mengeluarkan fatwa menurut nafsu dan menurut kehendak Pemerintah fasiq.


Punca 5: Tidak berpegang kepada Mursyid Pewaris Nabi yang Siddiq

Sebagaimana kami huraikan beberapa kali sebelum ini, punca kesesatan "Orang alim" dan orang awam adalah tidak berpegang kepada Mursyid Pewaris Nabi yang Siddiq, iaitu mereka abaikan Pewaris Nabi yang benar-benar arif Mengenal Allah serta memperoleh pancaran Nur Muhammad.


Bersambung siri 656 اِ نْ شَآ ءَ اللّهُ

_____________________________

     MAJLIS TAZKIRAH JILANI

           🌳🍁🕌🕌🕌🍁🌳

Friday, June 20, 2025

■■■■■■■■■■■■■■■■■

PENYAKIT HATI

BAHAYA YANG TIDAK DISEDARI

(Siri 654)

■■■■■■■■■■■■■■■■■


بِسْــــــــــــــــــمِ ﷲ الرَّحْمَنِ الرحيم

اَلسَّلاَمُ عَلَيْكُمْ وَرَحْمَةُ اللهِ وَبَرَكَاتُهُ



Dosa besar 69:

Tafsir Al-Qur'an dengan

pendapat aqal, nafsu

.... sambungan.....



4. Apabila tiada pimpinan Allah dan Rasul-Nya, maka Ulama akan membuat fatwa menurut pemikiran dia, nafsu dia atau menurut kehendak Pemerintah fasiq dan zalim.  Hal ini bukan baru tetapi sudah lama terjadi, iaitu sejak Pemerintahan Ummat berpindah kepada pemimpin-pemimpin tamak kuasa, fasiq dan zalim.  Mereka Islam pada nama saja sedangkan pemerintahan mereka dipenuhi kefasikan dan kezaliman. "Ulama-ulama" dalam pemerintahan mereka hanya ulama as-su', ulama fasiq, ulama dunia yang mengeluarkan fatwa menurut kehendak Pemerintah.


5. Sebahagian orang Islam, termasuk cerdik pandai Agama, "ulama dunia" profesor, kiyai, ustad ingkar akan pertemuan Auliya Allah dengan Rasulullah ﷺ, ertinya mereka ingkar akan ayat Qur'an, keterangan Hadith dan Ijma' Ulama.  Mengikut mereka tak mungkin jumpa Rasulullah ﷺ sebab Baginda sudah wafat dan jasad di Madinah.  Mereka benar-benar mengkufuri Hadith Rasulullah ﷺ  maka termasuklah mereka ke dalam golongan sesat.  Mereka tidak akan mendapat petunjuk, hati mereka akan gelap dan mati. Wal Iyazubillah.


6. Hikmahnya Pimpinan Rasulullah ﷺ kepada Ummat setelah kewafatan Baginda adalah bagi keselamatan Ummat dan kemakmuran dunia ini.  Orang jahil tidak memahami haqiqat ini.  Hanya Ahlus Sunnah memahami sekalian rahsia tadbir Allah ini dan hanya Ahlus Sunnah saja berada pada Sistem Pentadbiran Allah ke atas manusia sampai Qiamat. Golongan sesat tidak memahaminya kerana mereka tertutup.


Fatwa Imam Ash-Sha'rani Radhiallahu Anhu:

"Hukum-hukum yang mereka (imam yang empat) keluarkan adalah bersumberkan Al Qur’an, Sunnah Nabi, perkataan sahabat, Imam mujtahid dan kasyaf.  Kasyaf itu ialah bertemu langsung dengan ruhaniyah Rasulullah ﷺ dan bertanya, “Wahai Rasulullah, adakah ini (suatu Hadith) dari engkau atau tidak?” 

[Al-Mizan, Shaikh Abdul Wahab Sha'rani] 


Berkata Al-Imam Sulton Auliya Shaikh Abdul Qodir Jilani Radhiallahu anhu:

"Ilmu tersebut (iaitu Ilmu Rahsia yang tersangat rahsia) dimasukkan kepada Nabi ﷺ  pada malam Baginda  Mi'raj kepada Tuhannya.  Rahsia itu tersembunyi di dalam diri Baginda di balik tiga ribu tabir hijab.  Baginda tidak membuka rahsia tersebut melainkan kepada sebahagian pengikut Baginda yang sangat cinta dengan Baginda.  Melalui penyebaran dan keberkatan Rahsia inilah Islam (Ahlus Sunnah) akan terus memerintah sehingga ke hari Qiamat."

[Sirrul Asrar Fi-ma-Yahtaju Ilayhil Abarar]


Bersambung siri 655 اِ نْ شَآ ءَ اللّهُ

_________________________

      MAJLIS TAZKIRAH JILANI     

           🌳🍁🕌🕌🕌🍁🌳

■■■■■■■■■■■■■■■■■

PENYAKIT HATI

BAHAYA YANG TIDAK DISEDARI

(Siri 653)

■■■■■■■■■■■■■■■■■


بِسْــــــــــــــــــمِ ﷲ الرَّحْمَنِ الرحيم

اَلسَّلاَمُ عَلَيْكُمْ وَرَحْمَةُ اللهِ وَبَرَكَاتُهُ



Dosa besar 69:

Tafsir Al-Qur'an dengan

pendapat aqal, nafsu

.... sambungan.....




Tujuan Utama pendedahan — membuka mata dan hati kepada kebenaran Ahlus Sunnah dan kebatilan golongan sesat


Tentu ramai hairan apa tujuan utama pendedahan hal ini dan kebaikannya kepada Islam dan Iman, apa kebaikannya kepada kekuatan Iman seseorang, apa kelebihannya kepada perjuangan Islam keseluruhannya?


Jawapannya tersangat panjang, kita hanya ringkaskan dalam bentuk poin-poin sahaja.  Moga terbuka hati mereka yang masih mencari-cari kebenaran!


1. Menjelaskan kepada Ummat seluruhnya bahawa Ahlus Sunnah adalah satu-satunya kelompok yang selamat sedangkan selain mereka adalah golongan batil yang binasa dan menemui kesesatan Wal Iyazubillah.  Termasuk ke dalam kelompok sesat dan binasa adalah golongan yang memperjuangkan sistem demokrasi, liberal, falsafah, dan lain-lain pemikiran manusia.


2. Ahlus Sunnah akan tetap selamat dan jauh dari kesesatan kerana mereka sentiasa di dalam pimpinan Allah dan Rasul-Nya sedangkan golongan lain akan menemui kesesatan dan kerugian dunia Akhirat.


3. Maksud Ahlus Sunnah sentiasa di dalam pimpinan Allah dan Rasul-Nya adalah wujudnya Mursyid Pewaris Nabi yang Siddiq yang memimpin mereka.  Mereka sentiasa berhubung dengan Allah dan di dalam pimpinan tangan Rasulullah ﷺ.  Ertinya mereka sentiasa di dalam petunjuk Allah dan bimbingan Rasulullah ﷺ dan terpelihara daripada kesesatan sedangkan golongan lain sentiasa dipimpin oleh nafsu dunia dan syaitan. Ini kerana mereka tidak Mengenal Allah dan Rasul-Nya. Mereka tidak mendapat bertemu dengan Rasulullah ﷺ dan tidak memperoleh pimpinan Baginda.


Berkata Al-Imam Sulton Auliya Shaikh Abdul Qodir Jilani Radhiallahu anhu:

"Seseorang tidak dapat dikatakan Ahli Sufi (Ulama Pewaris Nabi yang sebenar) sehingga dia sampai ke maqam di mana dia dianugerahi pandangan kepada Rasulullah ﷺ di dalam mimpinya dan diberi arahan dan tegahan.  Jika keadaan ini terjadi maka hatinya akan dinaikkan ke maqam lebih tinggi serta disucikan batinnya.  Beliau seterusnya akan memperoleh kehampiran dengan Allah Ta'ala sementara tangannya di dalam pimpinan tangan Rasulullah ﷺ. 

[Fath-Ar-Rabbaniy Wa Faidh Ar-Rahmaniy]


Kata beliau lagi:

"Dalam semua itu mereka mengikut teladan daripada pengikut-pengikut Rasulullah  ﷺ yang terkenal sebagai Golongan Tasawwuf (Pewaris Nabi yang Siddiq) yang memakai pakaian bulu yang telah meninggalkan semua urusan keduniaan untuk berdiri di pintu Rasulullah ﷺ dan berada hampir dengan Baginda.  Mereka menyampaikan khabar sebagaimana mereka menerimanya secara langsung daripada mulut Rasulullah ﷺ " .

[Sirrul Asrar Fi ma Yahtaju Ilaihil Abrar]



Catitan:

Ulama terdahulu seperti Al-Imam Sulton Auliya Shaikh Abdul Qodir Jilani, Imam Ghazali, Imam Syazili, Imam Sya'rani, Imam Qusyairi dan lain-lain Ridhwanullahi Alaihim Ajma'in memberikan panggilan khusus kepada Ulama Pewaris Nabi yang Siddiq sebagai Ahli Sufi, kerana membezakan antara Pewaris Nabi sebenar dengan ulama As-su', ulama dunia, ulama palsu yang menduduki kerusi pemerintahan pada waktu itu.  Sejak kewafatan Sayyidina Ali Radhiallahu anhu dan perpindahan kuasa Pemerintahan kepada Golongan fasiq dan zalim (menurut Hadith Nabi Mulkan Addhan —iaitu Pemerintahan Zalim), Ulama Pewaris Nabi yang sebenar tidak lagi mencampuri urusan pemerintahan (kecuali memberi amaran kepada pemerintah zalim).  Mereka tumpukan kepada Tarbiyyah Ummat hingga ke zaman ini akan sampai munculnya Imam Mahdi Alaihis-Salam.


Bersambung siri 654 اِ نْ شَآ ءَ اللّهُ

_____________________________

     MAJLIS TAZKIRAH JILANI     

           🌳🍁🕌🕌🕌🍁🌳

Thursday, June 19, 2025

■■■■■■■■■■■■■■■■■

PENYAKIT HATI

BAHAYA YANG TIDAK DISEDARI

(Siri 652)

■■■■■■■■■■■■■■■■■


بِسْــــــــــــــــــمِ ﷲ الرَّحْمَنِ الرحيم

اَلسَّلاَمُ عَلَيْكُمْ وَرَحْمَةُ اللهِ وَبَرَكَاتُهُ



Dosa besar 69:

Tafsir Al-Qur'an dengan

pendapat aqal, nafsu

.... sambungan.....




Dalil 4: Hadith Rasulullah ﷺ:

"Sabda Rasulullah ﷺ;

"Barang siapa yang pernah melihat aku dalam mimpinya, bererti dia akan dapat melihatku di dalam keadaan sedar (jaga berserta jasad dan ruh). Sesungguhnya syaitan tidak boleh menjelma dengan rupaku ".

[Muttafaq Alaih]


Berkata Imam Sayuthi berkenaan Hadith tersebut:

"Ramai yang mempersoalkan ehwal Ahli Ma'rifat melihat Nabi ﷺ di dalam keadaan jaga (yaqazah atau dalam keadaan sedar).  Di zaman kami ada segolongan mereka yang tidak mempunyai pegangan Agama yang kukuh, dengan penuh emosi menafikannya dan sangat hairan dengan kebenaran ini.  Mereka mendakwa ianya mustahil. 


Apa yang benar adalah: Dari hadith ini kita faham bahawa sesiapa yang benar-benar beriman dengan Nabi ﷺ (Mukmin sejati) tetapi tidak dapat melihat Baginda kerana mereka tidak hadir (pada hayat Nabi ﷺ masih hidup), Hadith ini memberikan khabar gembira bahawa mereka akan dapat melihat Baginda sebelum mereka mati." 


"Hadith-hadith ini juga dalil yang mengesahkan sesiapa yang pernah melihat Baginda di dalam mimpinya, pasti akan melihat Baginda di dalam keadaan jaga (yaqazah)" Selanjutnya Imam Sayuthi menambah: 

Ada sebahagian orang tidak mempercayainya dan berkata: "Bagaimana mungkin orang hidup melihat orang mati"? 


Untuk dakwaan ini, Imam Sayuthi menjawab: 

"Orang-orang yang berkata demikian jatuh kepada dua bahaya: Pertama kerana tidak mempercayai kebenaran Hadith Nabi yang sahih dan yang kedua kerana mengingkari Kekuasaan Tuhan Yang Maha Perkasa."

[Al-Hawi Lil Fatawi]


Berkata Imam Ibnu Hajar Radhiallahu anhu:

"Telah dikhabarkan kepada kami bahawa bertemu Nabi ﷺ dalam keadaan sedar (jasad berserta ruh sebagaimana hidup) adalah Karamah para Auliya Allah oleh Al-Ghazali, Al-Barizi, Al-Taj Al-Subki, dan Al-Yafi`i, dari kalangan Asy-Syafiiyah dan Al-Qurtubi dan Ibn Abi Jamra dari kalangan Malikiyah.  Seterusnya beliau menegaskan: 

"Sesiapa yang menafikannya, adalah dia tersesat.  Mereka yang menafikannya adalah mereka menafikan kebenaran Nabi ﷺ, dan menafikan Kekuasaan Tuhan serta menafikan juga Karamah Auliya Allah yang telah dibuktikan oleh Sunnah yang sahih ." 

[Fatwa Hadithiyyah, Ibnu Hajar Al-Haytahmi]


Bersambung siri 653 اِ نْ شَآ ءَ اللّهُ

_____________________________

      MAJLIS TAZKIRAH JILANI     

           🌳🍁🕌🕌🕌🍁🌳

■■■■■■■■■■■■■■■■■

PENYAKIT HATI

BAHAYA YANG TIDAK DISEDARI

(Siri 651)

■■■■■■■■■■■■■■■■■


بِسْــــــــــــــــــمِ ﷲ الرَّحْمَنِ الرحيم

اَلسَّلاَمُ عَلَيْكُمْ وَرَحْمَةُ اللهِ وَبَرَكَاتُهُ



Dosa besar 69:

Tafsir Al-Qur'an dengan

pendapat aqal, nafsu

.... sambungan.....




Dalil 3: Firman Allah:


فَلَا تَكُن فِى مِرۡيَةٍ۬ مِّن لِّقَآٮِٕهِۦ‌ 

“........Maka janganlah kamu ragu tentang pertemuanmu (dengan Musa pada malam Mi'raj)...... .” 

[Sajadah (32) : Ayat 23] 


Berkata Ibnu Abbas Radhiallahu anhu:

"Maksud jangan ragu-ragu dengan pertemuan-mu adalah tentang peristiwa berlaku pertemuan di antara Baginda Nabi  ﷺ  dengan Nabi Musa Alaihis Salam pada malam Mi'raj Nabi ﷺ ke Arasy.

[Tafsir Ibnu Abbas]


Berkata Imam Qurtubi Radhiallahu anhu:

Menurut tafsir Ibnu Abbas: "Wahai Muhammad, janganlah engkau ragu-ragu untuk bertemu dengan Nabi Musa, iaitu pada saat Baginda dipertemukan dengan Nabi Musa pada malam Baginda melakukan Peristiwa Isra' Mi'raj".  Berkata Qatadah: "Maksudnya wahai Muhammad janganlah engkau ragu bahawa engkau telah bertemu dengan Nabi Musa pada malam Isra' Mi'raj.  

[Tafsir Qurtubi]


Berkata Ibn Kathir Radhiallahu anhu;

"Di antara tanda-tandanya adalah Allah Menunjukkan bahawa Baginda melihat Nabi Musa dan bertemu dengan beliau pada malam Mi'raj."

[Tafsir Ibn Kathir]


Penjelasan tambahan:

Peristiwa pertemuan Rasulullah ﷺ dengan Nabi Musa Alaihis-Salam dan dialog yang terjadi antara Baginda dengan Nabi Musa berhubung dengan "Perintah Solat" sudah masyhur kisahnya.  Ayat Allah ini menegaskan "jangan sesekali engkau ragu akan pertemuan engkau dengan Musa" ertinya Rasulullah ﷺ benar-benar bertemu dengan Nabi Musa dalam keadaan jasad dan ruh.  Ia bukan mimpi, bukan khayalan, bukan sangkaan, bukan andaian tetapi benar-benar terjadi dalam keadaan sedar.


Bersambung siri 652 اِ نْ شَآ ءَ اللّهُ

_____________________________

     MAJLIS TAZKIRAH JILANI     

           🌳🍁🕌🕌🕌🍁🌳

Wednesday, June 18, 2025

■■■■■■■■■■■■■■■■■

PENYAKIT HATI

BAHAYA YANG TIDAK DISEDARI

(Siri 650)

■■■■■■■■■■■■■■■■■


بِسْــــــــــــــــــمِ ﷲ الرَّحْمَنِ الرحيم

اَلسَّلاَمُ عَلَيْكُمْ وَرَحْمَةُ اللهِ وَبَرَكَاتُهُ



Dosa besar 69:

Tafsir Al-Qur'an dengan

pendapat aqal, nafsu

.... sambungan.....




Penjelasan Tambahan:

Peristiwa Isra' Mi'raj mengandungi kejadian-kejadian bersertanya yang sangat mengagumkan.  Kejadian-kejadian ini mengalahkan seluruh aqal fikiran manusia.  Ianya merupakan salah satu Mu'jizat besar bagi Nabi ﷺ sebagai bukti kebesaran dan keagungan Allah Yang Maha Perkasa! 


Satu dari Bukti Agung adalah ayat Allah ini, iaitu Kisah Pertemuan Rasulullah ﷺ dengan para Rasul dan Nabi terdahulu.  Ayat Allah ini menjadi bukti nyata bahawa Rasulullah ﷺ benar-benar bertemu dengan para Rasul dan Nabi yang telah wafat ribuan tahun dahulu, berserta ruh dan jasad mereka.  Apa yang terjadi bukan mimpi, bukan khayalan, bukan bayangan tetapi pertemuan yang benar berserta jasad dan ruh.  Baginda menjadi Imam Solat mereka dan bertanya kepada mereka tentang Utusan Rasul dan hakikat Tauhid sebagaimana Allah Perintahkan.


Sebagaimana kami jelaskan pada awal, para Rasul, Auliya, orang Mu'min sejati tidak mati pada haqiqatnya, mereka sebenarnya hidup di Sisi Allah dengan cara yang sangat istimewa. 


Menurut logik aqal tak mungkin Rasul dan Nabi yang telah wafat beribu tahun lamanya dapat berhimpun di Masjid Al-Aqsa di dalam keadaan sempurna jasad mereka, dan seterusnya solat berjemaah di bawah pimpinan Nabi.  Bahkan Allah Perintahkan Nabi mushafahah dan berbicara dengan mereka...! 


Apakah maknanya semua ini? 


Di sinilah kita ingin menarik renungan kepada hakikat bahawa pertemuan di antara Mu'min yang hidup (Mu'min Sejati) dengan  Kekasih-Kekasih Allah yang sudah wafat harus terjadi....! 


Barang siapa yang menjadikan aqal sempit mereka sebagai Tuhan, pasti akan tersungkur dengan segala kenyataan ini kerana tak dapat menjawab peristiwa aneh ini yang benar-benar mengggugat pemikiran!  Mereka tidak dapat menerimanya sebagai kebenaran!  Berbeza dengan Mu'min Sejati yang benar-benar teguh Imannya, bersinar hatinya dengan cahaya Keimanan mampu jazamkannya tanpa sedikit pun keraguan.


Bersambung siri 651 اِ نْ شَآ ءَ اللّهُ

_____________________________

      MAJLIS TAZKIRAH JILANI     

           🌳🍁🕌🕌🕌🍁🌳

■■■■■■■■■■■■■■■■■

PENYAKIT HATI

BAHAYA YANG TIDAK DISEDARI

(Siri 649)

■■■■■■■■■■■■■■■■■


بِسْــــــــــــــــــمِ ﷲ الرَّحْمَنِ الرحيم

اَلسَّلاَمُ عَلَيْكُمْ وَرَحْمَةُ اللهِ وَبَرَكَاتُهُ



Dosa besar 69:

Tafsir Al-Qur'an dengan

pendapat aqal, nafsu

.... sambungan.....



Dalil 2: Firman Allah:


وَسۡـَٔلۡ مَنۡ أَرۡسَلۡنَا مِن قَبۡلِكَ مِن رُّسُلِنَآ أَجَعَلۡنَا مِن دُونِ ٱلرَّحۡمَـٰنِ ءَالِهَةً۬ يُعۡبَدُونَ


"Dan bertanyalah kepada Rasul-Rasul yang Kami telah utuskan sebelum-mu(wahai Muhammad); pernahkah Kami  menetapkan sebarang tuhan untuk disembah, selain dari Allah Yang Maha Pemurah?"

[Az-Zukhruf (43) : Ayat 45 ]


Berkata Ibn Abbas Radhiallahu anhu:

Ayat ini adalah Perintah Allah kepada Rasulullah ﷺ pada malam Isra' Mi'raj di mana Baginda mengimamkan 70 orang Pesuruh Allah (Rasul dan Nabi) di antara mereka adalah Nabi Ibrahim, Musa dan Isa Alaihis-salatu was-salam....!   Allah Perintahkan Baginda bertanya kepada mereka yakni para Nabi yang hadir di Masjid Al-Aqsa untuk solat berjemaah tadi, adakah Allah mengutuskan mereka selain dari menyeru kepada Tauhid kepada Allah Yang Maha Esa.

[Tanwir Al-Miqbas min Tafsir Ibnu Abbas]



Berkata Imam Qurtubi Radhiallahu anhu:

Menukil kata-kata Ibnu Abbas dan Ibnu Zaid berkata: "Ketika peristiwa Rasulullah ﷺ melakukan Isra' Mi'raj dari Masjidil Haram ke Masjidil Aqsa - Masjid Baitul Muqaddis, Allah Memerintahkan Nabi Adam dan Rasul-Rasul yang lain berhimpun bersama Nabi  ﷺ di Baitul Muqaddis, di saat itu Jibril Alaihis Salam ada bersama Baginda.  Jibril kemudian melaungkan azan dan iqamah untuk melakukan Solat.  Jibril berkata: Berdirilah wahai Muhammad, majulah ke hadapan, solatlah dengan jadi Imam kepada mereka.”


Ibn Abbas berkata: "Mereka berjumlah 70 orang Nabi dan antara mereka adalah Nabi Ibrahim, Musa dan Isa.  Pada riwayat lain Ibn Abbas berkata; "Tujuh baris orang Nabi solat di belakang Rasulullah ﷺ.  Para Rasul berjumlah 3 baris dan pada Nabi berjumlah 4 baris dan di belakang Rasulullah ﷺ ialah Nabi Ibrahim Kekasih Allah, dan di sebelah kirinya ialah Nabi Ismail, dan di sebelah kirinya ialah Nabi Ishaq, kemudian Nabi Musa kemudian para rasul yang lain dan Rasulullah ﷺ telah mengimamkan mereka dua rakaat.  Ketika Rasulullah ﷺ beredar, Baginda berdiri dan berkata (kepada mereka): Sesungguhnya Tuhanku telah mewahyukan supaya aku bertanya kepada kamu, adakah salah seorang daripada kamu diutuskan untuk menyeru kepada beribadah kepada selain Allah?  Mereka (para Nabi dan Rasul) menjawab: Wahai Muhammad, kami bersaksi bahawa kami semua diutuskan dengan satu seruan, iaitu, Tiada Tuhan selain Allah dan apa yang disembah selain Allah adalah bathil, dan sesungguhnya kamu adalah Nabi yang terakhir dan penghulu sekalian Rasul, ini sudah jelas bagi kami dengan kamu mengimamkan kami tadi, dan tiada Nabi lagi selepas kamu hingga ke hari Qiyamah kecuali Isa ibn Maryam, sesungguhnya dia telah diperintahkan untuk mengikut (menjejaki) sunnahmu”

[Tafsir Qurtubi]


Bersambung siri 650 اِ نْ شَآ ءَ اللّهُ

_____________________________

      MAJLIS TAZKIRAH JILANI     

           🌳🍁🕌🕌🕌🍁🌳

Tuesday, June 17, 2025

■■■■■■■■■■■■■■■■■

PENYAKIT HATI

BAHAYA YANG TIDAK DISEDARI

(Siri 648)

■■■■■■■■■■■■■■■■■


بِسْــــــــــــــــــمِ ﷲ الرَّحْمَنِ الرحيم

اَلسَّلاَمُ عَلَيْكُمْ وَرَحْمَةُ اللهِ وَبَرَكَاتُهُ



Dosa besar 69:

Tafsir Al-Qur'an dengan

pendapat aqal, nafsu

.... sambungan.....



(sambungan Tafsir Ibn Kathir)

Imam Ahmad meriwayatkan sebuah Hadith yang mempunyai berita baik untuk setiap orang beriman bahawa ruh setiap Mu’min akan mengembara di dalam  Syurga, memakan buah-buahannya, meni’mati keindahannya dan merasai penghormatan yang telah disediakan oleh Allah untuknya.  Hadith ini mempunyai sanad yang unik dan sahih yang diriwayatkan melalui tiga orang Imam besar, Imam Ahmad meriwayatkan hadith ini dari Imam Shafi’e dari Imam Malik, dari Az-Zuhri, dari Abdur-Rahman bin Kaab bin Malik bahawa ayahnya menyebut, Rasulullah ﷺ  bersabda:


«نَسَمَةُ الْمُؤْمِنِ طَائِرٌ يَعْلُقُ فِي شَجَرِ الْجَنَّـةِ حَتَّى يَرْجِعَهُ اللهُ إِلى جَسَدِهِ يَوْمَ يَبْعَثُه»


“Ruh orang Mu’min akan menjadi burung yang meni’mati makanan pada pohonan di dalam Syurga, sehingga Allah menghantarnya kembali ketubuhnya pada hari Dia membangkitkannya kembali”.


Hadith ini menyebut bahawa ruh orang Mu’min adalah dalam bentuk burung di dalam Syurga.  Sementara ruh para Syuhada adalah di dalam burung berwarna hijau. Wallahu A'lam.


Firman Allah pada akhir ayat ini mengesahkan ini:


يَسْتَبْشِرُونَ بِنِعْمَةٍ مِّنَ اللَّهِ وَفَضْلٍ وَأَنَّ اللَّهَ لاَ يُضِيعُ أَجْرَ الْمُؤْمِنِينَ


“Mereka bergembira dengan balasan Nikmat dari Allah dan limpah kurnia-Nya; dan (ingatlah), bahawa Allah tidak menghilangkan pahala orang-orang yang beriman." 


Abdur-Rahman bin Zayd bin Aslam mengatakan, “Ayat ini meliputi semua orang beriman. Jarang sekali Allah Ta’ala menyatakan kebaikan serta pemberian yang di-Anugerah oleh Allah kepada para Rasul-Nya, tanpa mengikutinya dengan apa yang Dia Anugerahkan kepada orang Mu’min selepasnya”.  Wallahu A'lam.

— Tamat Nukilan Kitab Tafsir Ibnu Kathir —

[Tafsir Ibnu Kathir]



Penjelasan Tambahan:

Jika kamu memiliki matahati yang tajam, anda akan memahami penjelasan ini dengan sempurna....! 


Kalam Allah pada hujung ayat...... 


وَأَنَّ اللَّهَ لاَ يُضِيعُ أَجْرَ الْمُؤْمِنِينَ 


".....dan sesungguhnya Allah tidak menghilangkan pahala orang-orang yang beriman." 


dan kemudian Hadith Nabi.... 


Rasulullah ﷺ. bersabda: 


«نَسَمَةُ الْمُؤْمِنِ طَائِرٌ يَعْلُقُ فِي شَجَرِ الْجَنَّـةِ حَتَّى يَرْجِعَهُ اللهُ إِلى جَسَدِهِ يَوْمَ يَبْعَثُه» 


“Ruh orang Mu’min akan menjadi burung yang meni’mati makanan pada pohonan di dalam Syurga, ......" 


menjadi bukti kukuh bahawa "hantaran" Firman Allah pada Surah Aali Imran tersebut adalah meliputi semua Mu'min yakni Rasul, Nabi, Auliya Allah dan juga orang soleh yang suci hati mereka! 


Ini bermakna kesemua mereka (Rasul, Nabi, Auliya Allah dan orang-orang soleh yang suci) yang mendapat Rahmat, Kurnia Allah itu apabila mereka hembuskan nafas terakhir di dunia, mereka segera berpindah ke alam lain di dalam keadaan yang istimewa, terus hidup di alam lain berserta Allah, tidak seperti kematian biasa yang diketahui umum ; tidak seperti keadaan manusia lain yang mati dan melalui soal mungkar nakir dan lainnya. 


Berbeza sama sekali! 


Inilah Anugerah istimewa Allah kepada hamba-hamba yang menjadi kekasih-Nya.  Mereka sudah mendapat khabar gembira di saat-saat kematian mereka ketika Allah memperlihatkan kebaikan-kebaikan yang disediakan untuk mereka di sisi-Nya....! 


Sungguh beruntunglah mereka-mereka yang sucikan hati dan ruh mereka (menurut Jalan Ma'rifat yang dipimpin oleh Mursyid Pewaris Nabi yang Siddiq), lalu berjuang bersungguh-sungguh menyebarkan Kalimah Allah di atas muka bumi dengan penuh keikhlasan!


Bersambung siri 649 اِ نْ شَآ ءَ اللّهُ

_____________________________

    MAJLIS TAZKIRAH JILANI     

       🌳🍁🕌🕌🕌🍁🌳

■■■■■■■■■■■■■■■■■

PENYAKIT HATI

BAHAYA YANG TIDAK DISEDARI

(Siri 647)

■■■■■■■■■■■■■■■■■


بِسْــــــــــــــــــمِ ﷲ الرَّحْمَنِ الرحيم

اَلسَّلاَمُ عَلَيْكُمْ وَرَحْمَةُ اللهِ وَبَرَكَاتُهُ



Dosa besar 69:

Tafsir Al-Qur'an dengan

pendapat aqal, nafsu

.... sambungan.....



Berkata Imam Ibn Kathir Radhiallahu anhu:

"Allah Ta’ala berfirman melalui ayat di atas bahawa walaupun para syuhada’ terbunuh di dalam kehidupan dunia ini, ruh mereka tetap hidup serta menerima rezeki di alam barzakh. 


Di dalam Sahihnya, Muslim mencatit bahawa Masruq mengatakan; “ Kami bertanya Abdullah berkenaan ayat ini, وَلاَ تَحْسَبَنَّ الَّذِينَ قُتِلُواْ فِى سَبِيلِ اللَّهِ أَمْوَتاً بَلْ أَحْيَاءٌ عِندَ رَبِّهِمْ يُرْزَقُونَ 

“Dan jangan sekali-kali engkau menyangka orang-orang yang terbunuh (yang gugur Syahid) pada Jalan Allah itu mati, (mereka tidak mati) bahkan mereka adalah hidup (secara istimewa) di Sisi Tuhan mereka dengan mendapat rezeki;” 


Beliau berkata, kami bertanya pada Nabi  ﷺ, soalan yang sama, Baginda bersabda, 


«أَرْوَاحُهُمْ فِي جَوْفِ طَيْرٍ خُضْرٍ، لَهَا قَنَادِيلُ مُعَلَّقَةٌ بِالْعَرْشِ، تَسْرَحُ مِنَ الْجَنَّةِ حَيْثُ شَاءَتْ، ثُمَّ تَأْوِي إِلَى تِلْكَ الْقَنَادِيلِ، فَاطَّلَعَ إِلَيْهِمْ رَبُّهُمُ اطِّلَاعَةً فَقَالَ: هَلْ تَشْتَهُونَ شَيْئًا؟ فَقَالُوا: أَيَّ شَيْءٍ نَشْتَهِي وَنَحْنُ نَسْرَحُ مِنَ الْجَنَّةِ حَيْثُ شِئْنَا؟ فَفَعَلَ ذَلِكَ بِهِمْ ثَلَاثَ مَرَّاتٍ، فَلَمَّا رَأَوْا أَنَّهُمْ لَنْ يُتْرَكُوا مِنْ أَنْ يُسْأَلُوا، قَالُوا: يَا رَبِّ نُرِيدُ أَنْ تَرُدَّ أَرْوَاحَنَا فِي أَجْسَادِنَا حَتَّى نُقْتَلَ فِي سَبِيلِكَ مَرَّةً أُخْرَى، فَلَمَّا رَأَى أَنْ لَيْسَ لَهُمْ حَاجَةٌ، تُرِكُوا» 


Ruh mereka di dalam burung-burung hijau yang mempunyai lampu, bergantung di bawah Arasy Allah Ta’ala.  Dan mereka berterbangan di dalam Syurga bila-bila mereka sukai.  Allah melihat kepada mereka dan bertanya;


“ Adakah kamu mengharap apa-apa?”


Mereka menjawab, 


“Apa lagi yang kami boleh meminta, sedangkan kami boleh pergi ke mana saja kami suka di dalam Syurga.  Allah Ta’ala bertanya soalan ini tiga kali, dan apabila mereka menyedari bahawa Allah akan tetap terus bertanya sehingga mereka memberi jawapan, mereka pun berkata, “Wahai Tuhan kami, kami berharap ruh kami dikembalikan kepada tubuh kami agar dapat mati syahid di jalan Engkau lagi”.


Allah Maha Mengetahui mereka tidak mempunyai permintaan lain lagi....!!!



Anas dan Abu Sa`id menyebut perkataan yang sama. 


Imam Ahmad menyebut Ibn `Abbas meriwayatkan, Rasulullah ﷺ bersabda:   

    «الشُّهَدَاءُ عَلى بَارِقِ نَهْرٍ بِبَابِ الْجَنَّـةِ، فِي قُبَّةٍ خَضْرَاءَ، يَخْرُجُ عَلَيْهِمْ رِزْقُهُمْ مِنَ الْجَنَّـةِ بُكْرَةً وَعَشِيًّا» 


“Para syuhada berkumpul di tebing sungai berhampiran pintu Syurga, di dalam khemah berwarna hijau di mana rezeki mereka didatangkan dari Syurga siang dan malam.”


Dari catitan ini kita dapat gambaran bahawa terdapat ”bermacam-macam syuhada, setengah mereka berada di dalam Syurga, dan sebahagian lain tetap di tebing sungai berhampiran Syurga. Kemungkinan juga semua arwah para syuhada’ dihimpunkan dan diberi rezeki siang dan malam.  Allah lebih mengetahui. 


Ahmad dan Ibn Jarir meriwayatkan hadith ini, ianya mempunyai sanad yang baik. 


Bersambung siri 648 اِ نْ شَآ ءَ اللّهُ

_____________________________

    MAJLIS TAZKIRAH JILANI     

      🌳🍁🕌🕌🕌🍁🌳

■■■■■■■■■■■■■■■■■

PENYAKIT HATI

BAHAYA YANG TIDAK DISEDARI

(Siri 646)

■■■■■■■■■■■■■■■■■


بِسْــــــــــــــــــمِ ﷲ الرَّحْمَنِ الرحيم

اَلسَّلاَمُ عَلَيْكُمْ وَرَحْمَةُ اللهِ وَبَرَكَاتُهُ



Dosa besar 69:

Tafsir Al-Qur'an dengan

pendapat aqal, nafsu

.... sambungan.....




Berkata Imam Tabari Radhiallahu anhu:

Firman Allah,  " وَلَا تَحۡسَبَنَّ " maknanya adalah; "Janganlah kalian menduga!"

Firman Allah "  ٱلَّذِينَ قُتِلُواْ فِى سَبِيلِ ٱللَّهِ  "   — orang-orang yang gugur pada Jalan Allah," maknanya adalah, "Wahai Muhammad, janganlah kamu menyangka bahawa orang-orang yang terbunuh di

Uhud, dari kalangan sahabat Rasulullah ﷺ, adalah mati. Tidak, mereka hidup di Sisi-Ku, menikmati segala rezeki yang Aku berikan.  Mereka berbahagia dengan Kemuliaan dan Kurnia yang Aku berikan kepada mereka.”


Dari  Ibnu Abbas, beliau berkata: Rasulullah ﷺ bersabda;

"Ketika kawan-kawan kalian mendapatkan musibah di Uhud (Syahid), Allah Ta'ala meletakkan roh mereka di tenggorokan burung hijau yang lalu-lalang di sungai-sungai Syurga dan makan dari buah-buahannya.  Ia hinggap pada lampu-lampu yang terbuat dari emas di bawah naungan Arasy.  Kemudian ketika mendapatkan nikmatnya minuman dan makanan, juga indahnya permintaan, mereka berkata, 

"Aduhai, seandainya kawan-kawan kami mengetahui apa yang Allah lakukan kepada kami, nescaya mereka akan semangat dalam berjihad dan tidak mundur ke belakang ketika di dalam peperangan".   Allah Ta'ala lalu berfirman; "Aku sudah sampaikan kepada mereka (pesan) kalian".  Allah Ta'ala kemudian menurunkan ayat-ayat ini kepada mereka." [Imam Abu Dawud]

[Tamat nukilan kitab Tafsir At-Tabari]



Dari Tafsir Jalalain:

(Janganlah kamu kira bahawa orang-orang yang gugur) dengan takhfif atau pakai tasydid (di Jalan Allah) maksudnya demi agama-Nya (mati), tetapi mereka itu (hidup di sisi Tuhan mereka).  Roh-roh mereka berada dalam kantong burung-burung hijau yang berterbangan dalam Syurga ke mana saja mereka kehendaki sebagaimana tersebut dalam sebuah Hadith (dengan mendapat rezeki) yaitu dengan memakan buah-buahan Syurga.

[Tafsir Jalalain]


Maksudnya....

Begitulah keadaan orang-orang mu'min yang syahid (sama ada mereka syahid di medan perang atau syahid mempertahankan Agama — zahir batin, syari'at dan Toriqat, jasmani dan ruhani).  Allah Ta'ala Kurniakan mereka kemuliaan di Sisi-Nya.  Mereka hidup bahagia, riang gembira di dalam Naungan Rahmat Allah.  Alangkah indahnya kehidupan Mu'min sejati....sebagaimana janji Allah pada ayat tadi.....  يَسْتَبْشِرُونَ بِنِعْمَةٍ مِّنَ ٱللَّهِ وَفَضْلٍ وَأَنَّ ٱللَّهَ لاَ يُضِيعُ أَجْرَ ٱلْمُؤْمِنِينَ

Mereka bergembira dengan balasan Nikmat dari Allah dan limpah kurnia-Nya; dan (ingatlah), bahawa Allah tidak menghilangkan pahala orang-orang yang beriman." 


Bersambung siri 647 اِ نْ شَآ ءَ اللّهُ

_____________________________

    MAJLIS TAZKIRAH JILANI     

        🌳🍁🕌🕌🕌🍁🌳

■■■■■■■■■■■■■■■■■ PENYAKIT HATI BAHAYA YANG TIDAK DISEDARI (Siri 769) ■■■■■■■■■■■■■■■■■ بِسْــــــــــــــــــمِ ﷲ الرَّحْمَنِ الرحيم اَلسَّ...