Monday, February 03, 2025

■■■■■■■■■■■■■■■■■

PENYAKIT HATI

BAHAYA YANG TIDAK DISEDARI

(Siri 612)

■■■■■■■■■■■■■■■■■


بِسْــــــــــــــــــمِ ﷲ الرَّحْمَنِ الرحيم

اَلسَّلاَمُ عَلَيْكُمْ وَرَحْمَةُ اللهِ وَبَرَكَاتُهُ



Dosa besar 69:

Tafsir Al-Qur'an dengan

pendapat aqal, nafsu

.... sambungan.....



(5) Perkataan dan Perbuatan wajib berdiri pada hukum syari'at sedang Hati berdiri pada Haqiqat


Di dalam menanggapi Af'al Allah (Perbuatan Allah) dan af'al makhluq (perbuatan makhluq) setiap orang beriman wajib menetapkan pada dirinya dua hal terpenting:


Pertama: Perkataan dan perbuatan berdiri pada Hukum Syari'at.

Menghukum setiap perlakuan, kejadian, perbuatan manusia menurut undang-undang Syari'at yang Allah Ta'ala tetapkan.


Kedua: Hati berdiri dan memandang haqiqat.

Hati melihat setiap kejadian, perlakuan, perbuatan makhluq seluruhnya adalah pada hakikatnya Perbuatan Allah.


Ertinya tidaklah sesuatu pun terjadi di alam ini melainkan di sebalik setiap kejadian tersebut adalah Af'al Allah. Ketika memandang sesuatu kejadian, wajib bagi setiap orang beriman menghukum menurut Syari'at (hukum dan undang-undang Allah). Dan pada masa yang sama hati  wajib berdiri pada haqiqat, iaitu memandang dalam hati bahawa semua yang terjadi adalah di dalam Qadha dan Qadar-Nya yang azali.  Tiada suatu pun terkeluar dari Taqdir Allah Yang Azali.  Makhluq tiada kuasa apa-apa pada hakikatnya....  termasuk iblis dan syaitan juga tiada kuasa menentukan sesuatu melainkan apa yang ditaqdirkan oleh Allah. Dengan satu penjagaan penting:  

DILARANG KERAS (HARAM) melafazkan hal haqiqat dengan perkataan (ucapan lidah) adalah perbuatan orang zindiq. 


Contoh:

Orang yang mencuri, menyamun, merompak di hukum potong tangan apabila memenuhi syaratnya.  (Ini syari'at).  Hati melihat Taqdir Allah yang terjadi pada perompak, pencuri atau penyamun (Ini haqiqat). Haqiqat ini adalah perdirian hati. Maka haram berkata: Si fulan mencuri kerana Allah Taqdirkan dia mencuri. Ini haram, berdosa besar serta menjerumuskan kepada sifat zindiq. 


Contoh lain:

Apabila seseorang pembunuh ditanya :

Mengapa engkau membunuh si fulan, dia menjawab: "Allah Taqdirkan aku membunuhnya". Ini perkataan orang zindiq. 


Contoh lain:

Ketika seorang yang bergelumang di dalam memakan hasil yang haram termasuk makan riba, rasuah dll. Dia menjawab: "ini semua Taqdir Allah atasku, aku tak bersalah."  Ini perkataan orang zindiq. 


Seseorang yang enggan mengakui kesalahannya dan berdalih kepada "haqiqat" Ketentuan Allah adalah perangainya seperti Iblis yang enggan mengakui dosa keengkarannya kepada Allah, sebaliknya dia berdalih kepada Taqdir. Maka binasalah dia. Wal Iyazubillah.


Firman Allah :

 

قَالَ فَبِمَآ أَغۡوَيۡتَنِى لَأَقۡعُدَنَّ لَهُمۡ صِرَٲطَكَ ٱلۡمُسۡتَقِيمَ ثُمَّ لَأَتِيَنَّهُم مِّنۢ بَيۡنِ أَيۡدِيہِمۡ وَمِنۡ خَلۡفِهِمۡ وَعَنۡ أَيۡمَـٰنِہِمۡ وَعَن شَمَآٮِٕلِهِمۡ‌ وَلَا تَجِدُ أَكۡثَرَهُمۡ شَـٰكِرِينَ


"Iblis berkata: Oleh kerana Engkau (wahai Tuhan) menyebabkan daku tersesat (maka) demi sesungguhnya aku akan mengambil tempat menghalangi mereka (dari menjalani) jalan-Mu yang lurus; Kemudian aku datangi mereka, dari hadapan mereka serta dari belakang mereka, dan dari kanan mereka serta dari kiri mereka dan Engkau tidak akan dapati kebanyakan mereka bersyukur. "

[Al-A'raf (7) : Ayat 16 -17]


Iblis enggan mengakui dosa kekufuran dia terhadap Allah sebaliknya dia salahkan Taqdir. Akibatnya dia menjadi makhluq terlaknat sampai Qiamat. Wal Iyazubillah.


Bersambung siri 613 اِ نْ شَآ ءَ اللّهُ

=======================

MAJLIS TAZKIRAH JILANI  

🌳🍁🕌🕌🕌🍁🌳

No comments:

Post a Comment

■■■■■■■■■■■■■■■■■ PENYAKIT HATI BAHAYA YANG TIDAK DISEDARI (Siri 661) ■■■■■■■■■■■■■■■■■ بِسْــــــــــــــــــمِ ﷲ الرَّحْمَنِ الرحيم اَلسَّ...