■■■■■■■■■■■■■■■■■
PENYAKIT HATI
BAHAYA YANG TIDAK DISEDARI
(Siri 585)
■■■■■■■■■■■■■■■■■
بِسْــــــــــــــــــمِ ﷲ الرَّحْمَنِ الرحيم
اَلسَّلاَمُ عَلَيْكُمْ وَرَحْمَةُ اللهِ وَبَرَكَاتُهُ
Dosa besar 69:
Tafsir Al-Qur'an dengan
pendapat aqal, nafsu
.... sambungan.....
Penjelasan
========
Penjelasan 1:
Al-Qur'an adalah Kalam Allah yang Maha Suci, Maha Agung, Maha Sempurna. Setiap kalimatnya, bahkan setiap hurufnya mengandungi ribuan rahsia, hikmah, petunjuk, pelajaran, pengajaran dan panduan hidup zahir batin bagi sekalian manusia.
Al-Qur'an Kalamullah merupakan Cahaya Ketuhanan yang menerangi seluruh alam, menjadi Petunjuk kepada manusia yang ingin bertaqwa dan kembali kepada Allah di dalam keadaan selamat sejahtera.
Al-Qur'an Kalamullah merupakan Cahaya Ketuhanan yang menjadi penawar dan penyembuh sekalian penyakit zahir dan penyakit batin manusia.
Al-Qur'an Kalam Allah Yang Maha Agung terdiri dari kalimat-kalimat tinggi, rahsia-rahsia Ketuhanan dan kehambaan yang amat halus, rahsia alam yang tersembunyi, yang amat sukar difahami oleh kebanyakan manusia, kecuali sebahagian daripadanya yang berbentuk peringatan, amaran, hukuman, balasan di dunia mahu pun di Akhirat.
Penjelasan 2:
Oleh kerana Al-Qur'an merupakan Kalam Allah Yang Maha Tinggi, Maha Seni dan Maha Halus sehingga tidak dapat difahami oleh kebanyakan manusia, maka manusia memerlukan mufassir (ahli Tafsir) dan mujtahid (ahli ijtihad yang menerbitkan hukum - hakam) bagi menjelaskan kandungan Al-Qur'an.
Penjelasan 3:
Setiap mufassir (ahli Tafsir) dan mujtahid (ahli ijtihad yang menerbitkan hukum - hakam) wajib menepati syarat-syarat yang benar-benar melayakkan mereka menjadi mufassir dan mujtahid. Mereka adalah "Ulama Pilihan Allah" yang mewarisi Ilmu Nabi ﷺ, zahir dan batin bagi menjelaskan kandungan Al-Qur'an.
Penjelasan 4:
Pada hakikatnya, tidak ada yang mengetahui Tafsir dan Ta'wil bagi Al-Qur'an melainkan Allah Ta'ala sendiri. Kemudian Allah Ta'ala Limpahkan beberapa rahsia yang tersimpan di dalam "Diri-Nya" kepada hamba-hamba Pilihan-Nya, iaitu Rasul, Nabi dan Auliya Allah yang mewarisi Cahaya Risalah dan Nubuwwah. Melalui rahsia-rahsia Ketuhanan dan kehambaan yang Allah Ta'ala curahkan ke dalam diri mereka inilah mereka mampu mengenal haq dan batil. Mereka mampu membezakan Petunjuk Allah dengan bisikan syaitan. Maka tafsir dan ta'wil mereka benar-benar menurut Petunjuk Allah dan bebas dari pengaruh hawa nafsu atau bisikan syaitan dan jauh dari pengaruh manusia sesat atau pengaruh pemerintah zalim.
Penjelasan 5:
Orang yang belum sampai ke peringkat Ma'rifat, mengenal Allah dengan tahqiq takkan mampu bezakan Petunjuk Allah dengan bisikan syaitan dan bisikan halus nafsu yang seringkali terlihat seperti kebenaran sedangkan ianya batil dan sesat. Mereka seringkali terbabas kepada menuruti bisikan nafsu atau syaitan atau menurut tuntutan Pemerintah fasiq.
Penjelasan 6:
Setiap mufassir dan mujtahid wajib menepati kedua-dua syarat zahir dan syarat batin.
Syarat zahir 15 syarat.
Sebahagian daripada syarat tersebut adalah :
Hafal Qur'an dan mahir di dalam ulumul Qur'an, hafal 500,000 Hadith dan mampu bezakan darjat-darjat Hadith, mahir di dalam 15 lughat Bahasa Arab, mahir dalam ilmu nahwu, saraf, balaghah, mantiq, bayan, badi' dan lain-lain, mahir memahami Sirah Nabawiyyah — Sirah Rasulullah ﷺ dan sirah Nabi-Nabi terdahulu.
Syarat batin adalah :
Beliau mesti merupakan ahli Ma'rifat yang sudah mengenal Allah dengan Ma'rifat yang tahqiq sehingga setiap "Kalimat Allah" yang ditafsirnya menurut Petunjuk Allah yang tahqiq, tidak sesekali terbit dari nafsu kehendaknya atau kerana bisikan syaitan atau kehendak manusia.
Penjelasan 7:
Setiap mufassir dan mujtahid yang benar hanya wujud di dalam Ahlus Sunnah Wal Jamaah, sedangkan selain Ahlus-Sunnah (72 golongan yang terkeluar dari Ahlus Sunnah) mentafsirkan Al-Qur'an secara batil kerana mereka menuruti hawa nafsu dan bisikan syaitan.
Bersambung siri 586 اِ نْ شَآ ءَ اللّهُ
=======================
MAJLIS TAZKIRAH JILANI
🌳🍁🕌🕌🕌🍁🌳
No comments:
Post a Comment