■■■■■■■■■■■■■■■■■
PENYAKIT HATI
BAHAYA YANG TIDAK DISEDARI
(Siri 478)
■■■■■■■■■■■■■■■■■
بِسْــــــــــــــــــمِ ﷲ الرَّحْمَنِ الرحيم
اَلسَّلاَمُ عَلَيْكُمْ وَرَحْمَةُ اللهِ وَبَرَكَاتُهُ
Dosa Besar 57:
Lalai dari Zikrullah
(Lupa kepada Allah)
..... sambungan.....
Akibat Lupa kepada Allah
Akibat ke-3 : Dunia menguasai diri
Bahaya seterusnya adalah.... ketika seseorang lupa kepada Allah, tidak kekal hati Zikrullah, maka "cinta dunia" akan masuk ke hatinya sedangkan "cinta dunia" membawa kepada kebinasaan Iman dan Islam. Berikut kami jelaskan secara ringkas berkenaan dunia yang membawa kebinasaan. Huraian terperinci telah kami bentangkan pada tajuk :
Dosa Besar ke-16 : Cinta Dunia. Sila rujuk di sana.
Pengertian Ringkas
Hubbud-dunya ( حُبُّ الدُّنْيَا ) — cinta dunia :
=========================
Definisi :
Dari segi bahasa, ungkapan "dunia" ( الدُّنْيَا ) berasal dari akar kata " da na a" yang membawa maksud : dekat, rendah, lemah, kurang.
Dari segi istilah, "dunia" adalah setiap sesuatu yang tidak membawa manfaat pada Akhirat atau perkara sia-sia yang menjatuhkan seseorang kepada kebinasaan dan Kemurkaan Allah.
Maka Hubbud-dunya ( حُبُّ الدُّنْيَا ) — cinta dunia adalah bermaksud mencintai kelazatan dunia, mencintai segala kemewahan, kesenangan, keseronokan, pangkat, kedudukan, kuasa dan kemegahan sehingga jauh dari Rahmat Allah dan jatuh kepada Kemurkaan-Nya.
Penjelasan Tambahan :
=================
(1) Al-Qur'an dan Sunnah Rasul membahaskan "dunia" di dalam beberapa bentuk :
Dunia adalah tempat persinggahan.
Dunia adalah tempat dugaan dan cobaan.
Dunia adalah tempat bercucuk tanam benih Akhirat.
Dunia adalah tempat mencari bekal pulang.
Dunia hanyalah tempat bermain-main serta kelalaian.
Dunia hanyalah perhiasan yang menipu daya.
Dunia hanyalah tempat bermegah-megah dengan harta dan anak-anak.
Dunia dan seisinya dilaknat kecuali Zikrullah, orang Alim (Arif) dan muta'allim (penuntut atau murid).
Mencintai Dunia membawa manusia kepada kesombongan.
Mencintai Dunia menjerumuskan kepada kekejian dan kefasikan.
Mencintai Dunia mendorong manusia kepada kekafiran.
(2) Umumnya dunia dan seisinya dilaknat kecuali sebahagian daripadanya yang membawa kepada menambahkan takut kepada Allah serta membawa kebaikan pada Hari Perhitungan.
(3) Cinta kepada dunia — Hubbud-dunya ( حُبُّ الدُّنْيَا ), bererti mencintai "Dunia" yang membawa kebinasaan kepada Iman, jauh dari Keredhaan Allah dan jatuh kepada Kemurkaan Allah.
(4) Demikian besarnya nafsu manusia kepada "dunia" sehingga 1000 lembah emas sekalipun tidak memadai baginya — dia inginkan lebih banyak lagi. Demikian rakusnya manusia sehingga mereka sanggup berbunuhan semata-mata kerana merebut secebis "dunia yang hina".
(5) Menurut Ilmu Tasawwuf,
" Dunia " adalah salah satu daripada 4 perkara yang membawa kebinasaan (afaat) kepada manusia — iaitu merosak Iman dan ibadahnya serta mengundang Kemurkaan Allah.
(6) Perkara-perkara yang terhitung ke dalam istilah "dunia yang menjerumuskan kepada kebinasaan" adalah :
Harta kekayaan melimpah ruah, Wang ringgit bertimbun-timbun, gedung-gedung perniagaan, kedudukan, pangkat, Kuasa, kemuliaan di mata manusia. Perkara-perkara ini yang lazimnya menghambat manusia agar bertungkus-lumus mencari, menikmati dan bermegah-megah dengannya. Maka kelakuan mencintai semua inilah dinamakan hubbud-dunya yang membinasakan manusia.
(7) Cinta dunia menarik manusia kepada rangkaian dosa-dosa besar yang lain antaranya :
Menyebabkan seseorang lalai dari mengingat Allah.
Menyebabkan seseorang meninggalkan ibadah.
Menghilangkan khusyu' di dalam solat.
Menimbulkan berbagai sifat nifaq (kemunafikan) di dalam hati.
Menumbuhkan sifat bakhil.
Menimbulkan permusuhan dan pertengkaran.
Mendorong kepada kemegahan dan kesombongan.
Mendorong kepada kezaliman dan pembunuhan.
Menyebabkan hati menjadi keras dan mati.
Wal Iyazubillah.
Bersambung siri 479 اِ نْ شَآ ءَ اللّهُ
=====================
MAJLIS TAZKIRAH JILANI
🌳🍁🕌🕌🕌🍁🌳
No comments:
Post a Comment