■■■■■■■■■■■■■■■■■
PENYAKIT HATI
BAHAYA YANG TIDAK DISEDARI
(Siri 365)
■■■■■■■■■■■■■■■■■
بِسْــــــــــــــــــمِ ﷲ الرَّحْمَنِ الرحيم
اَلسَّلاَمُ عَلَيْكُمْ وَرَحْمَةُ اللهِ وَبَرَكَاتُهُ
Dosa Besar 48:
Meremehkan, menghina Ulama
...... sambungan......
Punca orang Islam meremehkan menghina Ulama
====================================
Sebelum masuk tajuk ini, sayugia diingatkan semula bahawa hamba-hamba Allah yang dikenali sebagai Ulama adalah thabit dengan Al-Qur'an, Hadith dan Ijma' Ulama. Allah Ta'ala Memilih mereka sebagai Wakil-Nya atas muka bumi. Dia Meninggikan Darjat mereka dan Kurniakan mereka Ilmu Ladunni yang dengannya mereka memimpin manusia kepada Allah dengan selamat.
Dia Menjadikan mereka Kekasih-Nya dan kekasih Rasulullah ﷺ yang memenuhi bumi dengan Cahaya Ketuhanan sehingga ikan di lautan, burung di angkasa raya dan semut di dalam sarangnya mengenali mereka dan mendoakan mereka.
Mereka sentiasa di dalam Pimpinan Allah dan Rasul-Nya. Setiap detik dan saat mereka musyahadahkan Wajah Allah dan tidak sesekali berpaling dari-Nya. Dengan demikian mereka di dalam Pemeliharaan Allah Ta'ala dan tidak sesekali masuk kepada golongan sesat. Merekalah Ulama Billah, Ahlillah, Auliya Allah, Rijalullah, Mursyid, Ahli Ma'rifat, Ahli Sufi yang berjasa sepanjang zaman sampai Qiamat.
Berkata Al-Imam Sulton Auliya Qutb-Ar-Rabbani Shaikh Muhyiddin Abdul Qodir Jilani رضي الله عنه:
"Seseorang tidak dapat dikatakan Sufi (Ulama Billah, Mursyid Pewaris Nabi yang Sebenar) sehingga dia sampai ke maqam di mana dia di Anugerahi pandangan kepada Rasulullah ﷺ di dalam mimpinya dan diberi arahan dan tegahan. Jika keadaan ini terjadi maka hatinya akan dinaikkan ke maqam lebih tinggi serta disucikan batinnya. Beliau seterusnya akan memperoleh kehampiran dengan Allah Ta'ala sementara tangannya di dalam pimpinan tangan Rasulullah ﷺ
[Fath-Ar-Rabbaniy Wa Faidh Ar-Rahmaniy]
Sekarang mari perhatikan punca sebenar orang Islam meremehkan, mengejek, mempersenda, menghina Ulama Billah.
(1) Kejahilan diri — Tidak mengenal Ulama Billah
Ini boleh dikatakan sebagai punca utama. Kebanyakan orang Islam tidak mengenali Ulama mereka sendiri. Mereka jahil berkenaan Ulama Billah yang Allah Ta'ala Pilih sebagai pengganti Rasulullah ﷺ.
Kebanyakan orang Islam tidak mengetahui tokoh-tokoh Mujaddid dan Mujtahid Ahlus Sunnah yang telah mencurah bakti menerbitkan Ilmu yang diperlukan oleh Ummat Islam untuk Mengenal Allah dan beramal Ibadah menurut Perintah-Nya (Ilmu Fiqh, Usuluddin, Tasawwuf, Tafsir, Ulumul Hadith, Nahwu, Sarf, Sirah, mantiq, bayan, badi' dan lain-lain berjumlah lebih 30 macam ilmu Ahlus Sunnah).
Mereka tidak mengenali sekalian Ulama Ahlus Sunnah yang telah berjasa memimpin Ummat mengamalkan Syari'at dan Toriqat Rasul ﷺ sepanjang zaman sejak kewafatan Rasulullah ﷺ turun-temurun sampai ke zaman ini dan bersambung sampai Qiamat.
(2) Kejahilan Ibu bapa, Pemimpin masyarakat, Pemimpin Negara
Kebanyakan ibu bapa pemimpin masyarakat dan negara tidak mengenali Jalan Lurus, Jalan Ahlus Sunnah yang benar yang diwarisi daripada Junjungan Besar Rasulullah ﷺ. Mereka juga tidak mengenal Ulama Pewaris Nabi yang benar-benar mewarisi Nabi yang WAJIB dijadikan pedoman dan ikutan. Akibatnya anak-anak TIDAK dididik menurut acuan Ahlus Sunnah yang benar.
(3) Propaganda Yahudi dan Kristian
Di antara propaganda Yahudi dan Nasara yang paling utama untuk melemahkan Ummat adalah dengan cara menjauhkan Ulama Billah daripada Ummat dan menonjolkan "Ulama as-su', Ulama politik dunia" sebagai jaguh Agama.
(4) Propaganda Golongan Bid'ah sesat Wahhabiyyah (khawarij), Syi'ah (rafdhi) dan sekular.
Mereka adalah penentang Ahlus Sunnah dari dalam. Orang awam Islam menyangka mereka ini sebagai Ahlus Sunnah dan terpengaruh dengan dakyah mereka.
(5) Tipu daya Ulama as-su', Ulama nafsu, Ulama dunia
Mereka menduduki jabatan-jabatan penting di dalam pentadbiran negara dan menyelewengkan Ummat dengan fatwa-fatwa batil dan sesat.
Bersambung siri 366 اِ نْ شَآ ءَ اللّهُ
=====================
MAJLIS TAZKIRAH JILANI
🌳🍁🕌🕌🕌🍁🌳
No comments:
Post a Comment