Tuesday, June 11, 2024

 ■■■■■■■■■■■■■■■■■

PENYAKIT HATI

BAHAYA YANG TIDAK DISEDARI

(Siri 364)

■■■■■■■■■■■■■■■■■



بِسْــــــــــــــــــمِ ﷲ الرَّحْمَنِ الرحيم

اَلسَّلاَمُ عَلَيْكُمْ وَرَحْمَةُ اللهِ وَبَرَكَاتُهُ




Dosa Besar 48:

Meremehkan, menghina Ulama

...... sambungan......



Penjelasan Tambahan:


Pertama : Perintah Allah supaya berserta dengan Ahli Zikir

Allah Ta’ala Memerintahkan agar Rasulullah  ﷺ (dan Ummat Baginda) berserta dengan “Ahli Zikir” (iaitu mereka yang sentiasa berzikir mengingat Allah dan ubudiyyah dengan hati yang suci bersih).  Tiada harapan mereka selain dari Wajah Allah semata-mata (Keredhaan Allah semata-mata).  Ahli Zikir adalah Ulama Billah (Ulama Pewaris Nabi yang Benar yang kemudiannya dimasyhurkan dengan nama Mursyid, Ahli Sufi, Ahli Ma'rifat). 


Ke-2 : Allah Melarang Rasulullah ﷺ berpaling dari mereka (Ahli Zikir)

Meskipun ia merupakan teguran kepada Rasulullah ﷺ namun ianya merupakan peringatan dan amaran kepada Ummat Islam seluruhnya.   Iaitu i’tibar kepada Ummat Islam agar jangan sekali-kali memandang rendah atau menghina “Ahli Zikir”.   Dan jangan berpaling dari mereka semata-mata kerana mengharap perhiasan dunia. 


Maksud “Ahli Zikir” pada zaman kemudian daripada kewafatan Rasulullah ﷺ, sebagaimana kami jelaskan sebelum ini adalah sekalian Mursyid Pewaris Nabi yang Siddiq, yang sentiasa menyeru kepada Allah pagi-pagi dan petang-petang dan sentiasa di dalam keadaan ubudiyyah zahir batin.  Tiada yang mampu melakukan semua ini melainkan Mursyid Pewaris Nabi yang Siddiq yang di-Kurniakan oleh Allah keistimewaan di Sisi-Nya. 


Ke-3 : Jangan muliakan seseorang kerana kekayaan, pangkat atau kedudukannya.

Perintah Allah ini juga dengan jelas melarang keras orang beriman memuliakan seseorang kerana kekayaannya atau pangkatnya atau kedudukannya di dalam masyarakat.  Apa lagi mereka yang jelas kekafirannya menentang Allah dan Rasul-Nya.


Ke-4 : Allah Ta’ala Melarang duduk berserta orang yang lalai dari Zikrullah

Sekali lagi peringatan ini adalah kepada Ummat Islam.  Mereka dilarang duduk berserta dengan manusia yang lalai hatinya dari Zikrullah dan mereka yang disibukkan dengan mengejar pangkat, kedudukan dan dunia yang hina kerana mereka akan menarik kamu kepada kefasikan, kezaliman dan kesesatan. 


Ke-5 : Keunggulan, Kemenangan Ummat Islam adalah Iman – Tauhid – Ma’rifat

Keunggulan dan Keagungan Islam BUKAN datang dari harta kekayaan, ekonomi, politik dan kebendaan dunia yang hina, tetapi sebaliknya ia datang dari Keimanan dan Ketaqwaan.  Hanya mereka yang benar-benar bertaqwa akan mencapai kemenangan dunia akhirat.  Adapun mereka yang hanya memakai “label Islam” sedangkan jiwa mereka dipenuhi dengan kecintaan kepada dunia, pangkat, kedudukan tidak sesekali mencapai kemenangan.   Sebaliknya mereka akan menemui kehinaan.  Wal Iyazubillah.


Buktinya jelas menerusi ayat ini:

Ketika orang kafir Quraisy yang kaya-raya dan berpangkat menawarkan diri untuk membangunkan Islam dengan cara mendampingi Rasulullah ﷺ dan singkirkan Sahabat-sahabat Baginda yang miskin dan sangat dhaif dari sudut kebendaan…. Ketika itu juga Allah Ta’ala menurunkan Perintah-Nya supaya tetap Bersama “Ahli Zikir” iaitu para Sahabat Baginda – menunjukkan keunggulan dan kejayaan yang hakiki adalah Keimanan dan Ketaqwaan dan BUKAN harta, pangkat dan kedudukan.


Dengan keterangan di atas, moga mereka yang selama ini duduk di dalam kegelapan,  mengolok-olok, mempersenda dan menghina Ulama Billah (Ahli Sufi, Ahli Ma'rifat) SEGERA TAUBAT NASUHA di atas keceluparan mulut-mulut mereka.


Bersambung siri 365 اِ نْ شَآ ءَ اللّهُ

=====================

MAJLIS TAZKIRAH JILANI

   🌳🍁🕌🕌🕌🍁🌳

No comments:

Post a Comment

■■■■■■■■■■■■■■■■■ PENYAKIT HATI BAHAYA YANG TIDAK DISEDARI (Siri 583) ■■■■■■■■■■■■■■■■■ بِسْــــــــــــــــــمِ ﷲ الرَّحْمَنِ الرحيم اَلسَّ...