Wednesday, April 29, 2026

SIRI 388


KEWAJIPAN AMAL SYARI'AT DAN TORIQAT RASULULLAH 



بِسْــــــــــــــــــمِ ﷲ الرَّحْمَنِ الرحيم

اَلسَّلاَمُ عَلَيْكُمْ وَرَحْمَةُ اللهِ وَبَرَكَاتُهُ


Bab 5:  Mursyid Pewaris Nabi yang Siddiq

Fasal 4: Dalil-Dalil Mursyid di dalam Al-Qur'an, Sunnah Rasulullah ﷺ dan Ulama

sambungan.....



Dalil 10: Firman Allah:

sambungan.....


Penjelasan Tambahan ke-4: Allah Ta’ala Melarang duduk berserta orang yang lalai dari Zikrullah.


Sekali lagi peringatan ini adalah kepada Ummat Islam.  Mereka dilarang duduk berserta dengan manusia yang lalai hatinya dari Zikrullah dan mereka yang disibukkan dengan mengejar pangkat, kedudukan dan dunia yang hina kerana mereka akan menarik kamu kepada kefasikan, kezaliman dan kesesatan. 



Penjelasan Tambahan ke-5: Keunggulan dan Kemenangan Ummat Islam adalah Iman – Tauhid – Ma’rifat


Keunggulan dan Keagungan Islam BUKAN datang dari harta kekayaan, ekonomi, politik dan kebendaan dunia yang hina, tetapi sebaliknya ia datang dari Keimanan dan Ketaqwaan.  Hanya mereka yang benar-benar bertaqwa akan mencapai kemenangan dunia Akhirat.  Adapun mereka yang hanya memakai “label Islam” sedangkan jiwa mereka dipenuhi dengan kecintaan kepada dunia, pangkat, kedudukan tidak sesekali mencapai kemenangan.  Sebaliknya mereka akan menemui kehinaan.  Wal Iyazubillah.


Buktinya jelas menerusi ayat ini:

Ketika orang kafir Quraisy yang kaya-raya dan berpangkat menawarkan diri untuk membangunkan Islam dengan cara mendampingi Rasulullah ﷺ dan singkirkan Sahabat-sahabat Baginda ﷺ yang miskin dan sangat dhaif dari sudut kebendaan…. Ketika itu juga Allah Ta’ala menurunkan Perintah-Nya supaya tetap Bersama “Ahli Zikir” iaitu para Sahabat Baginda ﷺ – menunjukkan keunggulan dan kejayaan yang hakiki adalah Keimanan dan Ketaqwaan dan BUKAN harta, pangkat dan kedudukan.



Penjelasan Tambahan ke-6: Majlis Mursyid Pewaris Nabi yang Siddiq adalah Majlis yang Di-Redhai Allah.


Setiap Majlis Mursyid Pewaris Nabi yang Siddiq adalah Majlis yang Di-Redhai Allah.  Setiap Majlis mereka Di-Liputi Rahmat Allah kerana mereka mengikuti jejak Langkah Rasulullah ﷺ dan para Sahabat Baginda ﷺ yang terpilih. 


Dalilnya di dalam ayat ini: 

Allah Ta’ala Memuliakan para Sahabat _Ridhwanullah Alaihi Ajmain_ yang berhimpun untuk berzikir kepada Allah, sehingga Baginda ﷺ Di-Perintah duduk dan sabar berserta mereka.  Maka bersabda Baginda ﷺ: “Segala Puji bagi Allah yang belum mematikanku hingga Memerintahkan kepadaku agar bersabar dengan orang-orang dari Ummatku, Bersama-Mu di dalam kehidupan dan Bersama-Mu di dalam kematian.”



Penjelasan Tambahan ke-7: Setiap Muslim wajib berpegang kepada Mursyid yang Siddiq


Sekali lagi kami tegaskan, Perintah Allah ini menjadi bukti kewajipan setiap Muslim berpegang kepada Mursyid Pewaris Nabi yang Siddiq, berserta dengan mereka dan sabar agar mereka mencapai kejayaan.


Semasa hayat Rasulullah ﷺ, Baginda ﷺ adalah Pemimpin kepada Ummat Islam.  Setelah kewafatan Rasulullah ﷺ, para Sahabat Ridhwanullah Alaihi Ajmain menggantikan Baginda ﷺ di dalam urusan mendidik dan memimpin Ummat Islam kepada Allah dengan selamat.  Setelah kewafatan Sahabat Ridhwanullah Alaihi Ajmain, Amanah ini berpindah kepada sekalian Mursyid Pewaris Nabi yang Siddiq. 


Pengajaran terpenting di sini adalah: Setiap orang Islam wajib berserta dengan Mursyid Pewaris Nabi yang Siddiq, demi keselamatan Agama mereka.  Ini kerana hanya Mursyid yang Siddiq mengenal Allah dengan sebenarnya dan di dalam Pimpinan Allah dan Rasul-Nya.  Hanya mereka diberi kemampuan untuk kekal berzikir ingat Allah dan mendirikan ubudiyyah sepanjang masa.


Bersambung siri 389 اِ نْ شَآ ءَ اللّهُ

___________________________

MAJLIS TAZKIRAH JILANI

     🌳🍁🕌🕌🕌🍁🌳

No comments:

Post a Comment

SIRI 401 KEWAJIPAN AMAL SYARI'AT DAN TORIQAT RASULULLAH  بِسْــــــــــــــــــمِ ﷲ الرَّحْمَنِ الرحيم اَلسَّلاَمُ عَلَيْكُمْ وَرَحْمَةُ...