Tuesday, April 28, 2026

SIRI 369


KEWAJIPAN AMAL SYARI'AT DAN TORIQAT RASULULLAH 



بِسْــــــــــــــــــمِ ﷲ الرَّحْمَنِ الرحيم

اَلسَّلاَمُ عَلَيْكُمْ وَرَحْمَةُ اللهِ وَبَرَكَاتُهُ


Bab 5:  Mursyid Pewaris Nabi yang Siddiq


Fasal 4: Dalil-Dalil Mursyid di dalam Al-Qur'an, Sunnah Rasulullah ﷺ dan Ulama


Sebelum melihat Dalil-dalil berhubung dengan Mursyid, sila baca terlebih dahulu penjelasan di atas berkenaan “Definisi” dan “Fakta-fakta penting berhubung dengan Mursyid” dengan teliti sebagaimana kami kemukakan di atas berdasarkan tafsiran dan pendirian Masyaikh Ahlus Sunnah yang terpercaya sepanjang zaman.  


Tanpa mengetahui asas-asas penting ini, seseorang akan membantah mengikut hawa nafsu, dia akan menafikan akan kewujudan Mursyid Pewaris Nabi yang Benar.  Mereka akan menafikan sekeras-kerasnya menurut nafsu dan bisikan syaitan sebagaimana yang dilakukan oleh golongan jahil dari golongan Wahhabiyyah (Khawarij), Syi’ah (Rafidhi), golongan Sekular (Liberal) dan golongan cerdik pandai Universiti yang jahil.  


Berikut adalah sebahagian daripada dalil berkenaan kewujudan Mursyid Pewaris Nabi yang Benar, menurut tafsiran dan pegangan Ahlus Sunnah Wal Jama’ah sepanjang zaman. 


Dalil 1: Firman Allah:


ۗ مَن يَهْدِ ٱللَّهُ فَهُوَ ٱلْمُهْتَدِ ۖ وَمَن يُضْلِلْ فَلَن تَجِدَ لَهُۥ وَلِيًّۭا مُّرْشِدًۭا 


"Sesiapa yang diberi petunjuk oleh Allah, maka dialah yang berjaya mencapai kebahagiaan dan sesiapa yang Di-Sesatkan-Nya maka engkau tidak sekali-kali akan beroleh sebarang Wali yang Mursyid.  (Penolong yang dapat menunjukkan jalan yang benar kepada-Nya).”

[Al-Kahfi (18) : Ayat 17]


Pada kalimah ....“وَلِيًّا مُّرۡشِدً۬ا" (“Waliyyam-Mursyida") terdapat faedah, iaitu "Wali Mursyid" digambarkan sebagai Wakil Allah, Penolong Allah, Khalifah Rasulullah ﷺ, Kekasih Allah untuk memimpin manusia kepada Ketuhanan.  Sehingga jadilah ungkapan Waliyyam-Mursyida bermaksud Wakil Allah yang menunjukki jalan lurus, jalan suci, jalan kebenaran.  Jalan ini tidak lain melainkan Manhaj yang diwariskan oleh Junjungan Besar Rasulullah ﷺ kepada Hamba-hamba Pilihan Allah yang khusus. 


Menurut Ahli Ma'rifat, pengertian ini menjelaskan wujud Wakil Allah atas muka bumi yang mesti diikuti untuk memperoleh kebenaran dan kesucian dari Rahmat Allah  — kebaikan dunia akhirat.  Allah Ta'ala Mengurniakan mereka Maqam Nubuwwah yang terpancar dari Nur Muhammad — suatu isyarat bahawa, Wali Mursyid ini adalah sentiasa Di-Dalam Petunjuk Allah dan pimpinan ruhaniyyah Rasulullah ﷺ.  Mereka berpegang teguh kepada Al-Qur'an dan Sunnah Baginda ﷺ dan menyebarkan Agama yang benar (Ahlus Sunnah yang benar) serta Rahmat Allah kepada seluruh dunia sepanjang zaman setelah kewafatan Baginda ﷺ.


Al-Imam Sultan Auliya, Shaikh Abdul Qodir Jilani Radhiallahu Anhu berikan definisi yang paling lengkap berhubung dengan Mursyid, yang juga dikenali sebagai “Ahli Sufi” dan “Ahli Ma’rifat”. 


Berkata Sulton Auliya Al-Imam Shaikh Abdul Qodir Jilani Radhiallahu Anhu:

"Seseorang tidak dapat dikatakan Ahli Sufi (Mursyid) sehingga dia sampai ke Maqam di mana dia Di-Anugerahi oleh Allah pandangan kepada Rasulullah ﷺ di dalam mimpinya dan diberi arahan dan tegahan.  Jika keadaan ini terjadi maka hatinya akan Di-Naikkan ke Maqam lebih tinggi serta Di-Sucikan batinnya.  Beliau seterusnya akan memperoleh kehampiran dengan Allah Ta'ala sementara tangannya di dalam pimpinan tangan Rasulullah ﷺ. 

[Fath-Ar-Rabbaniy Wa Faidh Ar-Rahmaniy]


Bersambung siri 370 اِ نْ شَآ ءَ اللّهُ

___________________________

MAJLIS TAZKIRAH JILANI     

     🌳🍁🕌🕌🕌🍁🌳

No comments:

Post a Comment

SIRI 387 KEWAJIPAN AMAL SYARI'AT DAN TORIQAT RASULULLAH  بِسْــــــــــــــــــمِ ﷲ الرَّحْمَنِ الرحيم اَلسَّلاَمُ عَلَيْكُمْ وَرَحْمَةُ...