SIRI 102
KEWAJIPAN AMAL SYARI'AT DAN TORIQAT RASULULLAH ﷺ
بِسْــــــــــــــــــمِ ﷲ الرَّحْمَنِ الرحيم
اَلسَّلاَمُ عَلَيْكُمْ وَرَحْمَةُ اللهِ وَبَرَكَاتُهُ
Bab 2: Syari'at dan Toriqat Rasulullah ﷺ
Fasal 11: Punca kesesatan orang awam dan salikin
Punca 3: Melanggar hukum Syari'at
Punca ke-3 kesesatan orang awam atau juga salikin (murid pada jalan Ma'rifat) adalah melanggar hukum-hakam Syari'at sewenang-wenangnya. Setengah dari mereka yang sudah memperoleh maqam tertentu menganggap Syari'at tak perlu lagi kerana kononnya mereka sudah meningkat kepada tahap lebih tinggi. Sesungguhnya ini adalah pendapat orang zindiq.
Kami telah berulangkali menyebut di dalam Risalah ini dan risalah-risalah lain bahawa setiap Muslim wajib berpegang teguh dengan Syari'at dan Toriqat Rasulullah ﷺ. Syari'at adalah pakaian zahir (anggota zahir) sementara Toriqat adalah pakaian batin (hati). Barangsiapa meninggalkannya (walaupun cuma satu daripadanya) maka jadilah dia fasiq atau zindiq.
Hukum-hakam Syari'at adalah Perintah Allah dan Rasul-Nya yang merupakan pakaian orang beriman. Keseluruhan hukum-hakam tersebut telah dijelaskan oleh Ulama melalui berbagai disiplin ilmu — khususnya Ilmu Fiqh, Usuluddin dan Tasawwuf sedang semua ini diambil dari Al-Qur'an dan Hadith. Ulama Mu'tabar Ahlus Sunnah (Ulama bertaraf Auliya Allah) telah mengkaji sedalam-dalamnya Kitabullah dan Sunnah Rasul-Nya lalu mereka ijtihad menerbitkan sekalian hukum yang diperlukan oleh Ummat.
Dengan demikian wajib atas tiap orang beriman memakainya dengan cantik dan sempurna. Betapa tinggi pun maqam kamu, kamu wajib berpegang teguh dengan hukum-hakam Syari'at.
Bahkan kebenaran mutlaq adalah:
Makin tinggi seseorang mencapai Maqam Ma'rifat (Tauhid peringkat tinggi), makin teguh pegangannya kepada Hukum Syari'at. Makin tinggi Ma'rifatnya, makin halus pula Syari'atnya... bermaksud makin indah amal ibadahnya. Sekalian sunnat akan dikerjakan dan sekalian makruh pun akan ditinggalkan. Semua itu berlaku bukan secara keterpaksaan tetapi ianya menjadi kelaziman yang mengalir bersama ruh dan turun naik nafasnya.
Berkata Al Imam Sulton Auliya Shaikh Abdul Qodir Jilani Radhiallahu Anhu:
"Ada dua macam ilmu yang diturunkan kepada kita.
Pertama ilmu Zahir, disebut Syari'at.
Kedua Ilmu batin, disebut Ma'rifat/ Toriqat.
Syari'at untuk jasad kita dan Ma'rifat (yang terbit dari Toriqat) adalah untuk batin. Kedua-duanya WAJIB dipadu dan dari perpaduannya membuahkan haqiqat. Seperti halnya pohon dan daunnya yang menghasilkan buah. Sebagaimana Firman-Nya di dalam Surah Ar Rahman: ayat 19 (مَرَجَ ٱلۡبَحۡرَيۡنِ يَلۡتَقِيَانِ)
Dengan ilmu zahir sahaja, manusia tidak akan mencapai Haqiqat dan tidak akan sampai kepada Matlamat Ubudiyyah. Ubudiyyah yang benar dan sempurna hanya akan wujud oleh perpaduan antara ilmu zahir (Syari'at Rasulullah ﷺ) dan ilmu batin (Toriqat Rasulullah ﷺ). Dengan ini dapat menyempurnakan tuntutan Ma'rifat dan Ubudiyyah sebagaimana Firman Allah "وَمَا خَلَقْتُ الْجِنَّ وَالْإِنْسَ إِلَّا لِيَعْبُدُونِ".
[Tamat Nukilan dari Kitab Sirrul Asrar]
Fatwa Imam Malik Radhiallahu Anhu:
(Mujtahid Mutlaq Mazhab Maliki)
“Sesiapa yang mempelajari ilmu fiqh tanpa mengamalkan Tasawwuf, maka dia telah menjadi fasiq. Dan sesiapa yang mengamalkan Tasawwuf tanpa mempelajari ilmu fiqh, maka dia telah menjadi zindiq. Dan sesiapa yang menggabungkan antara kedua-duanya, maka itulah kebenaran."
[Nukilan Imam Ghazali di dalam Ihya, Al-Qutb Tajul Arifin Shaikh Yahya Al-Kholidi di dalam Risalah Ma’rifat, Imam Zarruq di dalam Qawaid Tasawwuf, Imam Qusyairi di dalam Risalah Qusyairiyah, Imam Asy-Sya'rani di dalam Tabaqat]
Bersambung siri 103 اِ نْ شَآ ءَ اللّه
____________________________
MAJLIS TAZKIRAH JILANI
🌳🍁🕌🕌🕌🍁🌳
No comments:
Post a Comment