■■■■■■■■■■■■■■■■■
PENYAKIT HATI
BAHAYA YANG TIDAK DISEDARI
(Siri 687)
■■■■■■■■■■■■■■■■■
بِسْــــــــــــــــــمِ ﷲ الرَّحْمَنِ الرحيم
اَلسَّلاَمُ عَلَيْكُمْ وَرَحْمَةُ اللهِ وَبَرَكَاتُهُ
Dosa besar 70:
Mufaraqah dari Saf Ummat
sambungan...
Penjelasan ringkas:
Cara Sebenar Memahami dan I'tiqad Al-Qur'an Kalamullah yang Qadim:
PERTAMA:
Ahlus Sunnah yang benar meyakini Al Qur'an adalah Kalamullah, kata-kata Allah yang mengandungi perintah Allah, Hukum-Nya, pengajaran, kisah-kisah Nabi dahulu.
KEDUA:
Al Qur'an adalah Mukjizat terbesar, petunjuk, penawar dan cahaya bagi orang beriman.
KETIGA:
Ayat-Ayat suci Al-Qur'an yang asalnya tertulis pada pelepah tamar, kulit haiwan dan batu pada zaman Rasulullah ﷺ kemudiannya dikumpulkan dan dibukukan menurut Juzuk, Surah dan ayat-ayat-Nya. Pada zaman kemudiannya naskhah kitab Al-Qur'an dicetak dengan menggunakan kertas bagi kemudahan Ummat Islam membaca dan mengambil manfaat dari Mu'jizatnya.
Kesemua himpunan ini — sama ada dalam bentuk asalnya pada pelepah tamar, kulit haiwan, kayu dan batuan atau berbentuk lembaran kertas yang dibukukan — kesemua ini wajib dimuliakan dan dijunjung tinggi kerana kitab ini mengandungi Kalam Allah — Perintah Allah, suruhan, larangan, hukum, kisah dan lain-lain.
KEEMPAT:
Yang dimaksudkan dengan "Al- Qur'an Kalam Allah yang Qadim" adalah:
"Haqiqat Kalam Allah" yang tersimpan di dalam Ilmu Allah.
"Haqiqat" ini kemudiannya tersimpan di "Luh Mahfuz " pada waktu yang tidak diketahui, Kemudiannya diturunkan beransur-ansur kepada Nabi Muhammad ﷺ melalui perantaraan Jibril.
Ketika wahyu diturunkan pada Nabi ﷺ, Baginda membacanya di dalam bahasa Arab, ertinya "Hakikat Al Qur'an" yang tersimpan di dalam Ilmu Allah (kemudian Luh Mahfuz) diturunkan kepada Nabi di dalam bahasa Arab, maka demikian Nabi membacanya di dalam bahasa Arab.
KELIMA:
Manusia TIDAK akan mampu memahami Kalam Allah Yang Maha Tinggi, maka diciptakan-Nya huruf, tulisan dan bahasa yang dapat difahami oleh manusia dan dapat komunikasi sesama mereka. Firman Allah tercurah ke dalam dada Rasulullah ﷺ dan Baginda dapat memahaminya dan seterusnya membacakannya kepada manusia di dalam bahasa Arab.
KEENAM:
Menjawab Fahaman sesat yang meyakini Al-Qur'an makhluq.
Apabila merujuk kepada naskhah kitab Al-Qur'an yang terdiri dari lembaran kertas, tertulis di dalamnya Ayat-Ayat Allah menggunakan dakwat dan ditulis di dalam bahasa Arab....
Lembaran kertas itu makhluq.
Dakwat yang digunakan itu makhluq.
Bahasa Arab itu makhluq.
Tukang menulisnya juga makhluq.
Tetapi haqiqat yang terkandung di sebalik tulisan tersebut adalah Kalam Allah yang Qadim.
Ahlus Sunnah TIDAK mengi'tiqadkan kertas, dakwat, tulisan arab itu Qadim, tetapi yang dipegangi sebagai Kalam Allah yang Qadim adalah haqiqat di sebalik setiap huruf Kalimat Allah.
KETUJUH:
Apabila merujuk kepada orang yang membaca Al-Qur'an, lontaran suaranya adalah makhluq, tetapi haqiqat yang terkandung di sebalik suara bacaan Al-Qur'an itu adalah Kalam Allah yang Qadim.
KELAPAN:
Menurut Ijma' Ulama Ahlus Sunnah, sesiapa mengatakan Al-Qur'an itu makhluq, maka dia telah kafir, WAJIB disuruh taubat dan mengucap Kalimah Syahadah semula.
KESEMBILAN:
Orang awam dinasihatkan JANGAN melibatkan diri di dalam perbahasan panjang berkenaan Af'al Allah, Asma' Allah dan Sifat Allah yang semua ini merupakan Qadim. Fahamilah secara ringkas dan diamkan diri.
Ini kerana perdebatan hal Ketuhanan menggunakan aqal tidak sunyi dari syubhat dan kesamaran yang boleh merosakkan Aqidah. Sebahagiannya membawa kepada sifat sombong takabbur dengan ilmu perdebatan ini, bahkan tidak kurang akan jatuh kepada kesesatan dan kekafiran. Wal Iyazubilah.
Bersambung siri 688 اِ نْ شَآ ءَ اللّه
__________________________________
MAJLIS TAZKIRAH JILANI
🌳🍁🕌🕌🕌🍁🌳
No comments:
Post a Comment