Monday, July 07, 2025

■■■■■■■■■■■■■■■■■

PENYAKIT HATI

BAHAYA YANG TIDAK DISEDARI

(Siri 681)

■■■■■■■■■■■■■■■■■


بِسْــــــــــــــــــمِ ﷲ الرَّحْمَنِ الرحيم

اَلسَّلاَمُ عَلَيْكُمْ وَرَحْمَةُ اللهِ وَبَرَكَاتُهُ



Dosa besar 70:

Mufaraqah dari Saf Ummat

sambungan...


Prinsip ke-7:

Iman adalah Nur Rabbaniyyah (Cahaya Ketuhanan) dalam hati


Menurut keyakinan Ahlus Sunnah Wal Jama'ah,  Haqiqat Iman adalah "Cahaya Ketuhanan di dalam hati".  Iman —Tauhid — Ma'rifat  bukan sekadar lafaz kata-kata atau ungkapan lisan yang sedap didengar.  Bukan juga sekadar teori-teori aqal.  Bukan sekadar ceramah, seminar, kursus berhubung dengannya, bukan juga sekadar perbahasan dalil-dalil, tetapi sebenar-benar Iman atau disebut Tauhid atau disebut Ma'rifat adalah Cahaya Ketuhanan yang bersinar di dalam hati yang menjadi penghayatan Hati dan Ruh.


Menurut Ahli Ma'rifat apabila "Cahaya Ketuhanan" memenuhi hati seseorang lalu memancar bercahaya-cahaya, maka hamba Allah ini dikatakan beriman kepada Allah dengan sebenar-benar Keimanan. Dalilnya Firman Allah:


Firman Allah:


سُوۡرَةُ النُّور

۞ ٱللَّهُ نُورُ ٱلسَّمَـٰوَٲتِ وَٱلۡأَرۡضِ‌ مَثَلُ نُورِهِۦ كَمِشۡكَوٰةٍ۬ فِيہَا مِصۡبَاحٌ‌ ٱلۡمِصۡبَاحُ فِى زُجَاجَةٍ‌ ٱلزُّجَاجَةُ كَأَنَّہَا كَوۡكَبٌ۬ دُرِّىٌّ يُوقَدُ مِن شَجَرَةٍ۬ مُّبَـٰرَڪَةٍ۬ زَيۡتُونَةٍ۬ لَّا شَرۡقِيَّةٍ۬ وَلَا غَرۡبِيَّةٍ۬ يَكَادُ زَيۡتُہَا يُضِىٓءُ وَلَوۡ لَمۡ تَمۡسَسۡهُ نَارٌ۬‌ نُّورٌ عَلَىٰ نُورٍ۬‌ يَہۡدِى ٱللَّهُ لِنُورِهِۦ مَن يَشَآءُ‌ وَيَضۡرِبُ ٱللَّهُ ٱلۡأَمۡثَـٰلَ لِلنَّاسِ‌ وَٱللَّهُ بِكُلِّ شَىۡءٍ عَلِيمٌ۬ 


"Allah (memberi) cahaya (kepada) langit dan bumi. Perumpamaan cahaya Allah adalah seperti lubang yang tak tembus yang di dalamnya ada pelita besar.  Pelita itu di dalam kaca dan kaca itu seakan-akan (bintang yang bercahaya) seperti mutiara yang menyalakan minyak dari pohon yang banyak berkahnya, iaitu pohon zaitun yang tumbuh tidak di sebelah timur (sesuatu) dan tidak pula di sebelah baratnya yang minyaknya sahaja menerangi walaupun tidak disentuh api. Cahaya di atas cahaya (berlapis-lapis) Allah membimbing kepada cahaya-Nya, siapa yang Dia kehendaki, dan Allah membuat perumpamaan-perumpamaan bagi manusia dan Allah Maha Mengetahui segala sesuatu."

[An-Nuur (24) : Ayat 35]


Berkata Ibn Abbas Radhiallahu anhu:

"Kalam Allah (   مَثَلُ نُورِهِ ) adalah Cahaya Allah di dalam hati orang beriman."

[Tafsir Ibn Abbas}


Berkata Sulton Auliya Shaikh Abdul Qodir Jilani Radhialllahu anhu:

"Maksud Misykat adalah hati seorang Mu'min.  Maksud Al-Misbahu adalah bermaksud Rahsia tinggi yang terbit dari hati yang amat suci iaitu Ruh Sultoni.  Maksud Az-zujajatu  adalah mata-hati yang bersifat dengan gemerlapan kerana kekuatan cahaya yang luar biasa."

[Sirrul Asrar]


Sebagaimana telah dijelaskan sebelum ini Iman adalah berbeza dari Islam.  Ini kerana seseorang yang mengaku Islam boleh jadi pura-pura Islam, munafiq atau mengikuti ajaran sesat.  Sebab itu seorang Islam belum dikatakan beriman sebelum dia menepati syarat-syarat orang beriman.


Bagaimana orang Islam mencapai Keimanan sejati (haqiqat Iman)?

Haqiqat Iman iaitu Iman yang sebenar dalam bentuk Penghayatan Hati dan Ruh hanya diperoleh oleh seseorang setelah dia berusaha sungguh-sungguh menyucikan batinnya daripada sekalian kekotoran ma'nawiyyah iaitu kekotoran di dalam jiwa seseorang yang menyebabkan dia terhalang dari memperoleh  Iman — Tauhid — Ma'rifat yang hakiki.


Kekotoran ma'nawiyyah  ini adalah :  Syirik khafi, Mazmumah, Ghaflah yang menguasai pada hati kebanyakan manusia.  Semua kekotoran ini mestilah dibersihkan dengan mujahadah pada Jalan Ma'rifat dengan pimpinan Mursyid yang Siddiq  (Pewaris Nabi yang muhaqqiq), untuk memperoleh Keimanan yang sejati.


Bersambung siri 682 اِ نْ شَآ ءَ اللّه

__________________________

     MAJLIS TAZKIRAH JILANI     

           🌳🍁🕌🕌🕌🍁🌳

No comments:

Post a Comment

■■■■■■■■■■■■■■■■■ PENYAKIT HATI BAHAYA YANG TIDAK DISEDARI (Siri 707) ■■■■■■■■■■■■■■■■■ بِسْــــــــــــــــــمِ ﷲ الرَّحْمَنِ الرحيم اَلسَّ...