Tuesday, February 04, 2025

■■■■■■■■■■■■■■■■■

PENYAKIT HATI

BAHAYA YANG TIDAK DISEDARI

(Siri 615)

■■■■■■■■■■■■■■■■■


‎بِسْــــــــــــــــــمِ ﷲ الرَّحْمَنِ الرحيم

‎اَلسَّلاَمُ عَلَيْكُمْ وَرَحْمَةُ اللهِ وَبَرَكَاتُهُ



Dosa besar 69:

Tafsir Al-Qur'an dengan

pendapat aqal, nafsu

.... sambungan.....



(8) Masuk Syurga dengan Rahmat Allah, bukan kerana amal kamu


Setiap Mukmin masuk Syurga dengan Rahmat Allah dan Limpah Kurnia-Nya yang Maha Luas, bukan kerana amal ibadahnya.


Sebelum ini kami sebut secara ringkas, di antara tanda orang beriman adalah sungguh-sungguh mengerjakan ibadah dan amal soleh tetapi jangan sesekali  bergantung hati kepada amal ibadah;  ertinya jangan sesekali kamu merasakan diri kamu mempunyai keupayaan melakukan sesuatu amal kebaikan, ibadah, amal soleh kerana ia termasuk Syirik di dalam ibadah.


Sebaliknya hendaklah kamu mengembalikan sekalian ibadah, kebaikan, amal soleh yang kamu kerjakan kepada Allah.  Hendaklah kamu melihat bahawa setiap amal kebaikan dan ibadah yang kamu kerjakan adalah atas Rahmat Allah.  Bukan kerana kekuatan yang ada pada kamu, bukan kerana kebijaksanaan kamu, bukan kerana ilmu kamu yang banyak.


Demikian lagi kamu masuk Syurga juga dengan Rahmat Allah, bukan kerana ibadah kamu yang banyak atau cemerlang. 


Bagaimanakah penjelasannya?


Apabila kamu memahami bahawa tiada suatu zarrah pun bergerak atau diam melainkan dengan Allah, dan kamu memahami tiada daya upaya sedikit pun untuk kamu melakukan apa jua kebaikan, ibadah dan amal soleh melainkan dengan Kurnia Allah Yang Maha Pengasih, maka kamu akan faham bahawa tiada daya upaya masuk Syurga melainkan dengan Rahmat Allah.


Rasulullah  ﷺ bersabda:

"Tidaklah dimasukkan seseorang daripada kamu ke dalam Syurga kerana amalannya.  Dan tidak dijauhkan daripada neraka (kerana amalannya).  Dan tidak juga aku.  Kecuali dengan Rahmat daripada Allah.

[Imam Muslim, Imam Ahmad]


Berkata Al-Imam Sulton Auliya Shaikh Abdul Qadir Jilani Radhiallahu Anhu:

"Seseorang tidak akan masuk Syurga di Akhirat dengan amalnya, tetapi dengan Rahmat Allah.  Namun Allah memberikan darjat kepada hamba-Nya di Syurga berdasarkan amal perbuatan mereka (darjat Keimanan — pent).  Itu semua kerana Allah Ta'ala tidak dituntut hak oleh siapa pun, tiada yang dapat mengharuskan-Nya menunaikan janji-Nya, akan tetapi Dia melakukan apa yang di-Kehendaki-Nya, menyiksa, mengampuni, memberikan Ni'mat, menyayangi siapa pun yang di-Kehendaki-Nya.  Tidak ada yang berhak meminta Allah bertanggungjawab atas apa yang di-Perbuat-Nya, tetapi manusia diminta dan disoal akan pertanggungjawabannya.

Dia memberi rezeki tanpa batas dengan Rahmat-Nya dan menolak siapa pun yang di-Kehendaki-Nya. [Tiada siapa pun layak menyoal perbuatan Allah ini - pent] Bagaimana tidak demikian, sementara makhluq, langit dan bumi dari Arsy yang tinggi hingga tanah yang rendah, Dia yang Menciptakan dan Memilikinya. Tidak ada pemilik dan pencipta lain kecuali Dia Yang Maha Perkasa lagi Maha Mulia. 

[Futuhul Ghaib]


Bersambung siri 616 اِ نْ شَآ ءَ اللّهُ

=======================

MAJLIS TAZKIRAH JILANI

🌳🍁🕌🕌🕌🍁🌳

No comments:

Post a Comment

■■■■■■■■■■■■■■■■■ PENYAKIT HATI BAHAYA YANG TIDAK DISEDARI (Siri 661) ■■■■■■■■■■■■■■■■■ بِسْــــــــــــــــــمِ ﷲ الرَّحْمَنِ الرحيم اَلسَّ...